Bab 2 - Yang Hilang Bukan Cinta
Yang Hilang Bukan Cinta
BAB 2
Telah dua minggu Hisham mengambil alih tugas ibunya berniaga satay di Gerai Satay Mak Imah. Sejak dia berhenti daripada universiti, gerai itu menjadi sumber rezeki utama mereka. Walaupun penat, dia rasa puas dapat meringankan beban ibunya.
Hari itu, suasana agak sibuk. Pelanggan datang silih berganti, dan Hisham sedang sibuk memanggang satay apabila sebuah kereta mewah berhenti tidak jauh dari gerainya. Dari dalam kereta itu, keluar seorang gadis yang dikenalinya — Mariam, sepupunya.
Namun, pandangan Hisham tertancap pada sosok di sebelah Mariam. Gadis itu... Lydia Diyana.
Hisham terdiam seketika. Sudah dua minggu berlalu sejak insiden di tepi pantai, di mana dia membantu Lydia yang terluka di kaki. Pertemuan singkat itu dia sudah melupakannya....Dan hari ini gadis itu berada di hadapannya membawa dia Kembali mengingati peristiwa di pantai tempoh hari.
"Hisham!" panggil Mariam ceria, melambai ke arahnya. "Aku nak buat tempahan satay ni!"
Hisham mengukir senyum kecil, namun matanya masih tertumpu pada Lydia yang turut tersenyum sopan ke arahnya. Lydia kelihatan lebih santai hari ini, tiada kesakitan di wajahnya, hanya sebaris senyuman manis.
"Apa khabar, Encik Hisham?" sapa Lydia, lembut dengan loghat Indonesia yang masih pekat.
"Ohhh....what a small world" katanya dalam hati.
Hisham mengangguk sedikit. "Baik. Lydia... dah sihat kaki tu?"
Lydia ketawa kecil, tersipu-sipu. "Alhamdulillah... Dah tak sakit. Saya lupa nak cari awak masa tu. Tiba-tiba Papa ajak balik cepat sangat."
"Tak apa. Yang penting dah sihat," balas Hisham, cuba menyembunyikan debar di dadanya.
Mariam memandang kedua-duanya bergilir, senyum nakal terukir di bibir. "Oh, kamu dah kenal rupanya?"
"Kami pernah jumpa kat pantai hari tu," jawab Hisham selamba. "Dunia ni kecil kan?" Kata Hisham sambil tersenyum memandang Lydia.
Lydia tersipu malu. Lelaki kacak ini seperti nendengar kata hatinya.
"Saya jatuh, dia tolong," celah Lydia, ringkas.
Mariam tergelak. "Macam drama pulak."
"Apa yang drama, tempah satay ni drama juga ke?" usik Hisham.
Mariam menjeling manja. "Aku nak tempah dua ribu cucuk satay. Untuk majlis pembukaan butik kami."
"Butik? Bila?" dahi Hisham sedikit berkerut.
"Pada hari ulang tahun Lydia ke-23....Hari Khamis ni...3 hari lah lagi." jawab Mariam. "Papa dia hadiahkan butik, kami uruskan sama-sama."
Hisham mengangguk perlahan. Dalam hati, dia kagum dengan kehidupan Lydia yang serba mewah dan sempurna, jauh berbeza dengan hidupnya yang sederhana. Namun, dia juga tahu, tak semua yang nampak mewah itu bebas daripada masalah.
"Baik, berapa banyak nak tempah ni?" soal Hisham, menumpukan perhatian kepada Mariam.
Sementara mereka berbincang tentang jumlah cucuk satay, waktu penghantaran dan bayaran, Lydia mengambil tempat duduk di salah satu meja kecil berhampiran. Matanya tidak beralih memandang dua sepupu itu yang tekun berbincang.
Diam-diam, dia mengamati raut wajah Hisham. Kulitnya cerah, bersih, tinggi lampai — mungkin sekitar lima kaki lapan inci, bisik hati Lydia. Tubuhnya tegap, tidak terlalu berotot tetapi cukup untuk membuat orang tahu dia aktif dan sihat. Hidung mancung, rahang terukir kemas, wajah sederhana tapi ada aura yang sukar dia jelaskan.
‘Orangnya boleh tahan juga...’ Lydia tersenyum sendiri, tanpa sedar dia terus memandang ke arah lelaki itu.
Tiba-tiba satu bayang melabuhkan diri di hadapannya. Lydia tersentak kecil.
"Amboi..." usik Mariam sambil tergelak kecil. "Mata tak lepas tengok sepupu aku ya? Aku dah jerit-jerit tanya kau nak hantar satay pukul berapa, kau buat tak dengar je!"
Lydia tergelak, wajahnya sedikit merah. "Oh... ya ke? Maaf... maaf... aku tengah tengok telefon." Lydia cepat-cepat mengangkat telefon bimbit di tangannya, cuba menutup rasa malu.
Mariam menjeling nakal, lalu memicit hujung hidung Lydia. "Banyaklah fon kau... Mata tu lain macam je tadi."
"Hish... kau ni..." Lydia menepis tangan Mariam, ketawa kecil. "Suka buat aku malu."
"Eh, biasa lah. Aku dah lama kenal kau. Kalau kau suka, cakap jelah," usik Mariam lagi, senyum lebar.
Lydia menggeleng perlahan, cuba menyembunyikan rasa segan yang semakin menebal.
Di satu sudut, Hisham masih berdiri di gerai, memasukkan satay ke dalam bekas sambil tersenyum kecil, seolah-olah dapat mengagak apa yang berlaku antara dua sahabat itu.
Namun jauh di sudut hati, dia sendiri tidak menafikan... Lydia Diyana — gadis yang kelihatan sederhana tapi ada sesuatu pada dirinya — mula mencuri tumpuan tanpa dia sedari.
Hisham menarik nafas perlahan, matanya masih sesekali melirik ke arah Lydia yang sedang berbual dengan Mariam. Gadis itu… Lydia Diyana. Nama itu baru saja benar-benar melekat dalam ingatannya sejak pertemuan mereka di gerai satay hari ini. Bukan tidak pernah bertemu sebelum ini, tapi hakikatnya, selepas insiden singkat di tepi pantai tempoh hari, Hisham hampir sahaja melupakan kewujudan gadis itu.
Dia akui, sewaktu kali pertama mereka bertemu secara kebetulan di tepi pantai, fikirannya terlalu sarat memikirkan soal hidupnya sendiri. Luka kecil di kaki gadis itu, ucapan terima kasih, dan perkenalan ringkas bersama ibu bapanya... semuanya seperti berlalu begitu sahaja. Bukan kerana dia sombong atau tidak peduli, tetapi selepas itu, dia kembali tenggelam dalam persoalan besar tentang masa depannya.
Keputusan untuk berhenti belajar, keadaan ibunya yang makin uzur, perniagaan kecil keluarga yang perlu diteruskan — semua itu jauh lebih mendesak dalam kepala Hisham berbanding memikirkan siapa gadis manis yang kakinya dia rawat di tepi pantai itu.
Namun, hari ini... melihat Lydia di hadapannya buat kali kedua, Hisham sedar — ada sesuatu tentang gadis itu yang perlahan-lahan mula menarik perhatiannya. Senyuman manis, mata yang bersinar ramah, dan cara Lydia memandangnya... seolah-olah ada ruang kosong dalam hidupnya yang tiba-tiba terisi.
Dan untuk pertama kalinya, Hisham tertanya-tanya... mungkin pertemuan singkat di tepi pantai itu bukan sekadar kebetulan.
Dan tanpa mereka tahu, pertemuan hari itu cuma permulaan, kepada kisah yang jauh lebih besar, yang bakal mengubah hidup masing-masing.
Comments
Post a Comment