Sudah tujuh tahun berlalu, namun ingatan tentang hari itu masih menghiris hati Sofea. Hari yang meragut segalanya — ibu, ayah, dan Farid, lelaki yang bakal menjadi suaminya dalam masa tiga minggu lagi.
Pagi itu, dia sepatutnya bercuti untuk sesi fitting baju pengantin bersama Farid. Dia sudah memaklumkan lebih awal kepada pihak hotel tempatnya bekerja bahawa dia akan bercuti dua hari. Rancangannya adalah untuk menyelesaikan semua hal perkahwinan bersama Farid, setelah sekian lama menyerahkan hampir keseluruhan persiapan kepada ibu bapa dan tunangnya kerana kesibukannya sebagai tukang masak di hotel terkemuka itu.
Namun, Adam tiba-tiba demam panas. Adik bongsunya yang menghidap autisme itu kelihatan sangat tidak selesa pagi itu — matanya layu, tubuhnya hangat. Sofea tidak sanggup membiarkannya dijaga orang lain. Naluri seorang kakak menang dalam dilema yang singkat.
"Ibu dan ayah pergi sajalah dengan Farid," ujar Sofea sambil membasahkan tuala kecil untuk diletakkan di dahi Adam. "Sofea jaga Adam. Lagipun, semua hal perkahwinan pun ibu yang uruskan, kan?"
Ibu bapanya tidak membantah. Farid juga bersetuju, malah sempat berseloroh di muka pintu, “Kita kahwin cepat-cepat, nanti senang jaga Adam sama-sama.”
Sofea hanya tertawa kecil sambil melambai.
---
Hari itu berlalu tenang — pada mulanya. Sambil menjaga Adam yang terbaring lesu, Sofea duduk di meja kecil ruang tamu, menulis senarai nama tetamu untuk majlis nikah dan sanding. Setiap nama yang ditulis terasa istimewa — setiap satunya akan menjadi saksi kepada hari bahagianya nanti. Kak Zaidah, pembantu rumah mereka juga sibuk membantu Sofea memasukkan kad-kad jemputan ke dalam sampul putih.
Tiba-tiba, telefon bimbitnya berdering.
Nombor tidak dikenali. Bukan nombor bimbit. Nombor talian tetap. Sesuatu yang jarang berlaku.
Sofea menjawab dengan suara perlahan. “Hello?”
“Puan Sofea?” tanya suara di hujung talian. Tenang, tetapi serius.
"Ya, saya."
"Sofea Binti Khairuddin?"
"Ya betul.....siapa ni?' Tanya Sofea mula rasa berdebar-debar.
“Saya dari Hospital Sungai Nilam. Kami ingin maklumkan bahawa ada kemalangan jalan raya melibatkan tiga individu yang telah kami kenal pasti sebagai Khairuddin Bin Muhammad Radzi, Kartina Binti Ahmad Jauhar Dan Ahmad Farid bin Razlan."
Lama Sofea berdiam mendengar apa yang dikatakan oleh pemanggil itu. Tangannya bergetar. Dadanya sesak
Suara itu terus berbicara — mengenai lokasi, keadaan mangsa, dan prosedur pengenalan jenazah — tetapi telinganya sudah tidak mampu mendengar. Tubuhnya longlai. Telefon terlepas dari genggaman. Dia terduduk di lantai, menggigil.
"Ba ....baik saya akan ke sana". kata Sofea, suaranya tersekat-sekat dalam getar. Perlahan-lahan dia bangkit dari duduk, tubuhnya terasa ringan dan dada bagai ditekan beban yang tidak kelihatan. Air mata deras mengalir membasahi pipinya tanpa mampu ditahan lagi
Tangisan mula mengalir tanpa suara.
Tangan Sofea bergetar. Telefon bimbit yang dipegangnya terlepas jatuh ke lantai.
Kak Zaidah, pembantu rumah yang duduk di hadapan Sofea, terkejut melihat perubahan mendadak pada wajah gadis itu. Wajah Sofea pucat lesi, dan tangannya terketar-ketar.
“Kau kenapa ni, Sofea?” tanya Kak Zaidah cemas. Dia segera berdiri dan memegang bahu Sofea yang terhuyung-hayang, seolah-olah hendak rebah.
“Ibu, Kak... ibu, ayah dan Farid... kemalangan,” ujar Sofea, tersekat-sekat, sebelum tubuhnya berpaut lemah pada lengan Kak Zaidah.
“Astagfirullah... teruk kah?” Suara Kak Zaidah makin bergetar.
Sofea hanya mengangguk. Dunia di sekelilingnya mula berpusing. Nafasnya pendek dan tidak teratur.
Dan sebelum sempat Kak Zaidah bertanya lagi, Sofea rebah dalam pelukan wanita itu.
Gelap
Adam yang terbaring di bilik memanggil namanya, tetapi Sofea tidak menyahut.
Pada hari itu, Sofea kehilangan lebih dari sekadar orang yang disayanginya. Dia kehilangan separuh jiwanya.
🔶🔶🔶🔶
Sofea membuka matanya perlahan-lahan.
Kepalanya berat, dan pandangannya masih kabur. Dia kini berada di atas sofa ruang tamu. Bunyi deru kipas siling bercampur dengan esak tangis halus dari arah lain membuatkan hatinya kembali terasa sepi. Perlahan-lahan dia cuba bangkit, namun tubuhnya terasa longlai. Dia terduduk semula.
"Baring saja dulu, Sofea," ujar Kak Zaidah lembut.
Wanita separuh usia itu sedang mendukung Adam yang masih kelihatan lemah. Bibir si kecil merah dan kering akibat demam panas yang belum surut. Adam merintih kecil dalam pelukan, tubuhnya gelisah.
Sofea mengangkat tangan ke dahi. Pening. Tapi kesedihan lebih menghimpit dari segala rasa. Air mata yang masih berbaki di tubir matanya akhirnya jatuh perlahan. Dia menekup wajah, lalu mendongak semula, memandang Kak Zaidah dengan mata yang berkaca.
"Kakak dah telefon Helmy dan Nadia. Kakak juga hubungi Pak Ngah kamu," ujar Kak Zaidah, cuba menenangkan suasana.
Sofea hanya mengangguk perlahan.
Adam tiba-tiba meronta, menghulurkan tangannya kepada Sofea. Tangisannya makin kuat. Kak Zaidah membawanya dekat, dan Sofea segera menyambut tubuh kecil itu lalu mendakapnya erat. Tangis mereka berdua bertaut — satu kerana tidak mengerti, satu lagi kerana terlalu mengerti.
"Sabar ya, Sofea... Allah lebih sayangkan mereka. Redhakan pemergian mereka," bisik Kak Zaidah, sambil mengelus lembut bahu gadis itu.
Sofea mengangguk perlahan. Tapi hatinya belum mahu redha. Belum mampu. Belum kuat.
"Kak... Sofea nak ke hospital," ucapnya dengan suara serak. Dia menyerahkan Adam semula kepada Kak Zaidah, meskipun bayi itu terus menangis dalam pelukan wanita itu.
"Sofea boleh ke memandu? Awak tu masih belum stabil. Nanti pening lagi," soal Kak Zaidah risau.
"Saya naik teksi, Kak." Suaranya perlahan, namun tegas. Dia mula memakai tudung yang terletak di hujung sofa, dan mencapai beg tangannya dari meja kecil.
"Tunggu Pak Ngah kau saja. Biar dia yang datang ambil," pujuk Kak Zaidah.
"Pak Ngah jauh, Kak. Dia di Ipoh. Paling cepat pun tiga jam baru sampai."
"Habis tu... tunggu Nadia? Dia kata dia nak datang.....tapi katanya dia terus pergi ke hospital "
" Tak apa.....saya mesti pergi sekarang juga Kak"
Kak Zaidah diam. Dia tahu Sofea tekad. Walau hatinya berat melepaskan gadis itu, dia tahu tiada siapa yang dapat menghalang hasrat seorang anak untuk melihat ibu bapanya — walaupun hanya jasad yang terbujur kaku.
"Saya panggil teksi," ujar Sofea dalam sedu sedan.
"Baik-baik ya, Sofea. Jangan risau... kakak akan jaga Adam. Panas badan dia ni," balas Kak Zaidah, lalu membaringkan Adam di sofa semula. Tubuh kecil itu menangis kuat, mungkin kerana terasa kehilangan yang dia sendiri belum mengerti.
Sofea melangkah longlai ke luar rumah, setelah menempah teksi melalui telefon bimbitnya. Jantungnya bagai digenggam erat. Dadanya masih sesak. Tapi dia perlu pergi. Dia perlu lihat sendiri — walaupun itu akan menghancurkan hatinya sekali lagi.
Kak Zaidah mendukung Adam ke beranda, memerhati Sofea yang kini melangkah masuk ke dalam teksi yang baru tiba. Deruman enjin itu perlahan-lahan menjauh, membawa bersama seorang anak yang baru kehilangan segalanya.
🔶🔶🔶🔶
Teksi yang membawa Sofea berhenti di hadapan Unit Forensik Hospital Sungai Nilam. Langit mendung, dan angin petang menghembus dingin, seolah-olah turut berkabung dengan hatinya yang retak. Tubuhnya lemah, langkahnya longlai, namun jiwanya mendesak untuk terus mara.
Seorang staf wanita berpakaian seragam biru menyambut kedatangannya dengan penuh simpati. Melihat keadaan Sofea yang hampir tidak mampu berdiri, wanita itu segera memapahnya masuk.
"Sabar ya, dik..." bisiknya perlahan, sambil memegang lengan Sofea erat. "Banyakkan istighfar. Ini ujian yang kita semua pasti lalui. Allah sayang pada kita... sebab itu Dia uji kita dengan kehilangan orang-orang yang kita sayang."
Sofea hanya mampu mengangguk perlahan, air matanya tidak pernah berhenti mengalir. Setiap langkah menuju bilik itu seperti menghumban dirinya ke dalam gaung gelap yang tiada dasar.
Pintu bilik mayat dibuka perlahan. Bau formalin menyengat hidung. Di hadapannya terbujur tiga jasad kaku, ditutup dengan kain putih. Di sisi jenazah itu berdiri dua petugas hospital — masing-masing mengenakan pelitup muka dan pakaian pelindung berwarna putih.
"Cik Sofea," ujar salah seorang daripada mereka. "Boleh camkan mayat-mayat ini, ya?"
Sofea mengangguk perlahan.
Dengan gerakan hati-hati dan hormat, petugas itu membuka kain penutup wajah jenazah pertama.
Ibunya.
Masih segar di ingatan, pagi tadi wanita itu mencium dahinya sebelum berangkat keluar.
"Jaga Adam baik-baik, ya. Jangan tinggalkan dia walau apa pun terjadi."
Dan dia menjawab, ketawa kecil sambil mencium tangan ibunya, "Ok, Bu… Sofea akan jaga Adam macam baby Sofea sendiri."
Kini wajah itu terbujur kaku di hadapannya. Pelipis ibunya berdarah, dan luka kecil di dahinya masih mengalirkan kesan merah yang belum kering. Hati Sofea luluh, jiwanya runtuh.
Petugas kemudian membuka kain jenazah kedua.
Ayah.
Sofea menggenggam erat lengan baju sendiri. Nafasnya tercungap-cungap. Darah masih kelihatan di rambut dan dahi lelaki itu walaupun telah dibersihkan. Rambut ayahnya basah, wajahnya tenang — namun jelas sekali tubuh itu telah lama meninggalkan dunia.
Sofea menutup mulutnya, cuba menahan sendu yang semakin kuat. Dada terasa sesak, dan pandangan mula berpinar.
Petugas beralih ke jasad ketiga.
Namun sebelum sempat kain itu dibuka, tubuh Sofea menggigil. Kakinya melemah. Dunia berputar tanpa amaran.
Dan dalam sekelip mata, Sofea rebah di lantai bilik mayat, tidak sedarkan diri — belum sempat menatap wajah tunangnya buat kali terakhir.
Comments
Post a Comment