Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Yang Hilang Bukan Cinta


BAB 1


Angin laut terus berhembus perlahan, membawa bersama kenangan yang sukar dikikis dari hati Hisham. Laut yang luas dan tenang itu seolah-olah mengingatkan dia betapa kecil dan rapuh dirinya kini.


Sudah setahun arwah ayah pergi, meninggalkan dia dan ibunya bergelut sendirian. Sarimah — atau orang mengenainya sebagai Mak Imah — wanita tabah yang selama ini menjadi tulang belakang keluarga, kini terpaksa memikul beban seorang diri. Perniagaan kecil menjual satay di tepi jalan yang dahulunya hanya sampingan, kini menjadi sumber utama rezeki mereka. Setiap malam, Hisham melihat ibunya pulang dalam keadaan letih, batuknya tidak pernah surut, wajahnya semakin cengkung. Namun, wanita itu tetap memaksa diri berniaga demi menyambung hidup.


Hisham mengetap bibir. Keputusan untuk berhenti dari universiti bukan mudah. Tiga tahun dia berhempas pulas dalam bidang kedoktoran, menahan tekanan dan keletihan demi mengejar cita-cita menjadi doktor. Tapi tanggungjawab terhadap ibunya lebih besar daripada impian sendiri.


Apa yang paling sukar ialah... dia belum sanggup memberitahu Mariam.


Mariam, adik sepupunya yang manja, degil dan sering dianggap seperti adik kandung sendiri. Hubungan mereka sudah seperti darah daging. Umurnya dua tahun lebih muda, tapi Mariam selalu menganggap dirinya 'penjaga' Hisham, walau hakikatnya Hisham yang sering melindungi dia sejak kecil.


Ayah Mariam, Pak Ngah Rahman — adik angkat Mak Imah yang dibela oleh datuk dan nenek mereka sejak bayi lagi — sudah dianggap seperti ayah sendiri oleh Hisham. Malah, hubungan mereka lebih daripada sekadar ayah saudara. Darah mungkin tidak mengalir sama, tapi kasih sayang itu mengikat mereka tanpa syarat.


Pak Ngah Rahman banyak membantu keluarga mereka, terutamanya selepas arwah ayah Hisham pergi. Setiap bulan, wang dikirim dari New York, cukup untuk menampung keperluan asas. Hisham tahu tanpa Pak Ngah, mungkin mereka sudah lama tenggelam dalam kesempitan hidup.


Namun, Hisham lelaki. Dia tak mahu terus bergantung kepada ihsan orang, walaupun itu keluarga sendiri. Sudah tiba masanya dia berdiri atas kaki sendiri.


"Aku tak sanggup tengok Mak terus berniaga macam ni," bisik hatinya. "Dan aku tak sanggup biarkan Mariam tahu semua ni. Kalau dia tahu, dia pasti akan beritahu Pak Ngah... Dan Pak Ngah pasti akan halang aku berhenti."


Mariam sendiri belajar di universiti yang sama dengannya, cuma berlainan kursus. Dia sering meluangkan masa menjaga Mak Imah bila Hisham sibuk di kampus. Kadang-kadang dia memasak, kadang-kadang cuma menemani ibunya berbual. Hisham tahu, Mariam sanggup berkorban demi mereka, tapi dia tidak mahu gadis itu memikul beban yang bukan miliknya.


Sudah cukup dia sendiri mengorbankan impian demi keluarga. Dia tidak akan biarkan Mariam turut terkorban.


Hisham mendongak ke langit biru yang terbentang luas. Di celah awan, burung camar terbang bebas. Hatinya tetap berat, namun dia tahu keputusan ini perlu.


Ketika fikirannya masih hanyut, derai ketawa seorang gadis memecah lamunannya. Dia menoleh, memandang sekilas ke arah pasangan suami isteri bersama anak perempuan mereka yang melintasi kawasan itu...

Gadis yang pada perkiraan Hisham hampir sebaya dengannya itu sedang ketawa kecil, wajahnya berseri-seri mendengar sesuatu yang dikatakan oleh ibunya.


Mungkin mereka sebuah keluarga bahagia. Suami isteri dan anak perempuan mereka — lengkap. Tidak seperti dia, yang keluarganya telah hilang seorang lelaki yang paling penting dalam hidup.


Dia kembali memandang laut, namun jeritan kecil yang tiba-tiba kedengaran membuatkan dia pantas berpaling...


Di atas pasir, tidak jauh dari batu besar, gadis tadi terduduk sambil memegang kakinya. Wajahnya jelas menahan sakit, manakala darah mengalir perlahan dari buku lalinya. Kedua ibu bapanya kelihatan panik, si ibu berlutut sambil memegang bahu anak gadis itu, si ayah pula tercari-cari sesuatu, cuba menekap luka itu dengan helaian tisu.


Tanpa berlengah, Hisham bangkit dan menghampiri mereka.


"Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" tanyanya, tenang tapi tegas.


Wanita itu mengangkat wajah, matanya sedikit cemas. "Anak saya... dia lompat dari batu itu... terus jatuh, kakinya terluka," ujar wanita itu dalam nada gugup, jelas berloghat Indonesia.


Hisham cepat menangkap dialek itu. Mereka bukan orang tempatan. Barangkali sedang bercuti.


"Ada kotak kecemasan di kereta saya. Luka kecil macam ni, saya boleh rawat," ujar Hisham sambil melangkah pantas ke keretanya yang diparkir tidak jauh. Kotak first aid kit memang sentiasa ada di dalam boot — tabiat sejak dia mula belajar di fakulti perubatan.


Kembali ke tempat kejadian, Hisham membersihkan luka itu dengan berhati-hati. Gadis itu merengek perlahan, sesekali mengerutkan dahi menahan perit. Namun setelah luka dibersihkan dan disapu ubat, darah pun berhenti. Dia menutup luka itu dengan plaster.


"Sudah, tak serius. Cuma kena berhati-hati selepas ini," ujar Hisham.


Gadis itu bangun perlahan dengan bantuan ibu bapanya. Si ayah memandang Hisham, menghulurkan tangan.


"Terima kasih, ya. Nama saya Harun Gunawan. Ini isteri saya, Marini. Dan ini anak kami, Lydia Diyana."


Hisham menyambut tangan lelaki itu, senyum nipis terukir. "Hisham."


Harun memandangnya sejenak. "Kamu seorang doktor, ya?"


Pertanyaan itu buat Hisham terdiam sesaat. Senyumannya berubah hambar, pahit. Dia menggeleng perlahan.


"Bukan... bukan doktor."


Tiada penjelasan lanjut, tapi Harun tidak mendesak. Marini menghulurkan tangan, namun Hisham hanya meletakkan tangan ke dada kirinya, sedikit tunduk.


"Salam perkenalan, Puan."


Wanita itu tersenyum, turut meletakkan tangan ke dadanya. "Salam perkenalan. Terima kasih banyak kerana membantu."


"Berapa biaya ubatnya?" soal Harun lagi.


Hisham menggeleng. "Tidak perlu, Tuan. Luka kecil saja. Kotak ubat ini memang selalu ada dalam kereta saya."


Setelah mengucapkan terima kasih sekali lagi, mereka pun berlalu pergi. Hisham berjalan ke keretanya, meletakkan kembali kotak first aid kit ke dalam boot, lalu memandu pulang.


Langit di hadapan terbentang cerah, namun dalam hatinya masih bersisa mendung yang sukar dihalau.

Comments

Popular posts from this blog

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini