Bab 23 - Bintang Yang Ku Gapai
Setelah selesai mengatur barisan pelajar dan memastikan van sekolah dalam perjalanan untuk membawa mereka ke Teluk Intan, Cikgu Hafiz mempelawa Tamara duduk di salah sebuah warung kecil di hujung terminal. Malam itu warung-warung di situ masih meriah — kebanyakan pelanggan tidak berganjak kerana ada perlawanan bola sepak yang sedang ditayangkan di kaca TV. Tamara duduk diam, memegang botol air mineralnya erat-erat. “Ara dah makan? Minum dulu minuman panas....dalam bas tadi sejuk. Awak tak pakai baju tebal pun” kata Cikgu Hafiz perlahan. “Lepas tu kalau sudi, cerita sikit apa yang berlaku.” Setelah memesan minuman panas Dan sepinggan nasi goreng kampung, perlahan-lahan, Tamara mula membuka cerita. Tentang bagaimana dia diculik oleh Datuk Razif. Tentang kurungan, ketakutan, Kak Wan yang terpaksa diikat dan dikurung — dan rasa bersalah yang menyesakkan dada. Tentang menjual telefon Kak Wan hanya untuk mendapatkan tambang dan sedikit makanan. Cikgu Hafiz mendengar penuh teliti, sesekali me...