Bab 21 - Bintang Yang Ku Gapai
Malam itu, Azman duduk membongkok di atas katil sempit di bilik sewanya. Lampu bilik yang suram menambah kelam pada wajahnya yang sudah sedia muram. Di tangannya, tergenggam erat sekeping gambar lama yang sudah kekuningan. Matanya tidak berkelip menatap wajah-wajah yang pernah menjadi dunianya—dia, ibunya, dan kakaknya, Maimunah. Dua wanita dalam gambar itu kini telah tiada. Pergi meninggalkan Azman seorang diri menelan segala sisa hidup yang sudah tak bersisa.
Tiga hari lalu, Maimunah mati dibunuh—dalam keadaan yang kejam. Dan belum sempat dia habis berkabung, ibunya pula menyusul ke liang lahad sehari kemudian. Ibunya yang menghidap barah rahim rebah selepas menerima berita kematian Maimunah. Hancur luluh hati seorang ibu.
"Ibu....Kak Munah.....Adik akan cari pembunuh akak..... Adik akan pastikan pembunuh itu juga Adik bunuh dengan tangan Adik sendiri" kata Azman diantara sedu sedannya.
Azman terasa dunianya gelap. Semua usahanya selama ini—bekerja keras, mengumpul wang untuk membiayai rawatan ibu mereka—akhirnya sia-sia. Dan dia tahu, dia tidak boleh berharap pada Maimunah. Kakaknya itu semakin hanyut dalam dunia gemerlapan—mengejar wang, lelaki, dan kehidupan malam bersama VVIP dan kenalan-kenalan yang tidak bermoral.
Azman bekerja dengan seorang lelaki berpengaruh—Datuk Razif. Seorang pengarah filem terkenal, namun di sebalik semua itu, dia juga ketua sindiket dadah terbesar di Kuala Lumpur. Kerjanya kotor dan penuh risiko. Tapi Azman simpan kemelut itu sendiri. Dia tidak pernah memberitahu Maimunah siapa sebenarnya majikannya. Kalau perempuan itu tahu, dia pasti akan mengugutnya demi duit.
Namun kini, semuanya sudah berakhir. Maimunah telah tiada. Dan walau Azman cuba menenangkan dirinya bahawa kakaknya mati kerana kelakuannya sendiri, tetap hatinya sakit. Kerana di sebalik semua kelemahan Maimunah, dia tetap kakaknya. Tetap darah dagingnya.
Yang membuat dendam Azman menyala kembali ialah Tamara. Tamara yang dilaporkan oleh media telah hilang dan menjadi tanda tanya kemana hilangnya gadis itu. Ayah gadis itu lah yang telah menghalau mereka keluar dari rumah mewah satu ketika dulu, mengusir mereka sekeluarga seperti sampah. Sejak itu, hidup mereka bergelut di kota yang tidak mengenal belas. Kini, dia terperangkap dalam kehidupan bawah tanah yang kejam.
Azman memejamkan mata rapat-rapat. Dadanya terasa sesak, seolah-olah dihimpit beban yang tidak mampu dileraikan dengan tangisan sekalipun. Hatinya hancur, luluh tidak bersisa.
Tapi .....bukan salah ayah tirinya mereka dihalau keluar dari rumah itu. Lelaki itu terlalu baik untuk dipersalahkan. Lelaki yang selama ini dianggap seperti ayah kandung sendiri — penyayang, pemurah, warak, malah berwajah tampan dan berhemah tinggi.
Yang bersalah, cuma satu. Ibunya.
Azman masih ingat malam itu. Malam yang memalukan. Malam yang menghancurkan segalanya. Ibunya ditangkap bersama lelaki lain di sebuah hotel bajet murahan. Pegawai pencegah maksiat datang mengetuk pintu bilik dengan ketukan yang membelah malam, menyingkap maruah yang selama ini hanya tinggal nama.
Apa yang ibunya cari daripada lelaki lain? Apa yang belum cukup dalam rumah tangga yang serba mewah itu? Ayah tirinya bukan lelaki sembarangan — dia ada segalanya. Harta. Ilmu. Agama. Cinta. Tetapi tetap juga dikhianati.
Azman menggenggam penumbuk, menahan amarah dan malu yang membuak dalam dada. Dia tidak benci pada ibunya. Tapi dia kecewa. Kecewa yang dalam dan menyakitkan.
“Kenapa, mak? Apa lagi yang mak cari? Kenapa mesti rosakkan semuanya?”
Pertanyaan itu hanya mampu bergema dalam hatinya. Tak terluah, kerana setiap kali wajah ibunya muncul di hadapan, yang tinggal cuma sayu dan luka.
Tepat jam 2:45 pagi, telefon Azman berdering. Nama Boss tertera. Hatinya segera tahu—kerja kotor lagi.
Dia menaiki motosikal buruknya ke villa mewah milik Datuk Razif. Rumah itu masih terang benderang, sisa pesta malam tadi masih terasa. Dia tidak hadir malam itu, masih berkabung. Tapi malam ini, katanya ada "kerja besar".
Dia dibawa masuk terus ke bilik tidur bosnya—pertama kali dia menjejak kaki ke situ. Ruang bilik itu luas dan mewah, dengan perabot mahal dan lukisan eksklusif menghiasi dinding.
Datuk Razif duduk bersandar di sofa empuk di sudut bilik tidur yang luas itu. Di tangannya ada segelas wine merah. Lampu malap dari meja sisi katil menjadi satu-satunya pencahayaan, mewujudkan suasana remang yang tenang dan eksklusif. Angin sejuk dari penghawa dingin menyapa lembut kulit, bersatu dengan aroma harum yang menari-nari keluar dari diffuser moden — asapnya halus, putih, berliku-liku di udara seperti bayang bisu yang menyembunyikan rahsia.
Di tengah bilik, terhampar sebuah katil bersaiz king yang tersusun kemas, dengan cadar sutera kelabu pekat dan bantal-bantal empuk bertingkat-tingkat. Segala-galanya tampak sempurna — terlalu sempurna.
Tanpa sepatah kata, Datuk Razif mencapai alat kawalan jauh di atas meja kopi kecil di sisinya. Dengan satu klik, lampu chandelier di tengah siling menyala terang.
Bilik itu serta-merta dibanjiri cahaya putih yang hangat. Tiada lagi rahsia yang dapat disembunyikan dalam redup. Segala-galanya kini jelas — dan nyata.
"Datuk... tugas besar apa sampai kita berurusan dalam bilik tidur?" soal Azman sambil tersenyum senget, nada suaranya separuh bergurau, separuh berhati-hati.
Datuk Razif tergelak kecil, ketawanya terkekeh-kekeh seperti ada sesuatu yang hanya dia tahu. Di tangannya, segelas minuman berwarna keemasan masih berbuih di tepi bibir kaca.
"Tugas yang lebih besar daripada sekilo dadah," balasnya perlahan, mata merenung Azman sambil meletakkan gelas itu ke atas meja kecil di sisi. Bunyi dasar kaca menyentuh permukaan kayu menghasilkan dentuman lembut, namun cukup untuk menggetarkan suasana.
Azman tidak terus membalas. Senyumannya mati perlahan-lahan. Kata-kata Datuk Razif bukan lagi jenaka. Ada sesuatu di sebaliknya — sesuatu yang tidak main-main.
"Aku nak kau habiskan seseorang malam ni," kata Datuk Razif tanpa berselindung.
Azman tersentak. Kata-kata Datuk Razif tadi masih berdengung di telinga.
Habiskan seseorang?
Bunuh?
Aku? Jadi pembunuh?
Dia memalingkan wajah sedikit, cuba mengawal riak yang hampir bocor dari rautnya. Nafasnya mula terasa berat.
Nampaknya tugas aku kali ini bukan lagi main-main...
Seperti juga tugas-tugas terdahulu — membawa bungkusan-bungkusan dadah itu menyeberang ke negara jiran. Dia tahu risiko. Silap langkah, buruk padahnya. Sekali tersilap, bukan hanya nyawa sendiri yang tergadai, bahkan mereka yang berada di sekeliling pun boleh menjadi mangsa.
Tapi ini… ini lebih parah.
Menyentuh barang haram satu hal. Tapi menyentuh nyawa manusia?
Azman tunduk sejenak. Hati kecilnya mula berkecamuk.
Dia angkat kepala, pandang Datuk Razif yang masih tenang bersandar, seolah-olah tiada apa yang berat sedang dipikul bersama.
Azman tergamam. "Siapa, Boss?"
"Rania Abraham."
Dugg! Jantung Azman terasa seperti digenggam kuat. Rania Abraham....Tamara! Dan itu cukup untuk menghidupkan bara dendam lamanya.
Tamara?
Nama itu muncul tiba-tiba. Menampar benak Azman seperti angin keras yang tak disangka datangnya.
Kenapa Tamara?
Apa kaitan dia dalam semua ni?
Apa hubungan Datuk Razif dengan perempuan tu?
Azman mengerutkan dahi, cuba mencari logik yang boleh diterima akal. Tapi dalam dunia yang dipenuhi helah dan topeng ini, logik selalunya tak punya tempat.
Perempuan simpanan? fikirnya sinis.
Ahh… tak hairanlah.
Di kota kosmopolitan seperti ini, terlalu ramai yang mahu hidup mewah — dan terlalu ramai juga yang sanggup menjual diri untuk mencapainya. Bagi sesetengah orang, harga maruah hanyalah sekadar angka dalam akaun.
Azman bersandar sedikit, nafasnya bergetar perlahan.
Kalau benar Tamara terlibat… maka ini bukan sekadar urusan peribadi. Ini permainan kuasa. Permainan yang boleh makan diri bila-bila masa.
Tiba-tiba, pintu bilik itu dihempas terbuka. Polis bersenjata lengkap menyerbu masuk. Inspektor Daniel dan seorang lagi anggota polis mengacukan pistol ke arah Azman. Seorang lagi menerpa dan menggari tangannya yang berlumuran darah.
Azman tidak melawan. Dia tunduk. Air matanya deras nengalir. Tunduk kepada takdir dan kehancuran yang kini tidak dapat diselamatkan lagi.
Comments
Post a Comment