Bab 22 - Bintang Yang Ku Gapai

 Bunyi hon mengejutkan Tamara. Sebuah van putih berhenti di tepi jalan tidak jauh darinya. Dia terkejut, hampir menjerit, lalu melangkah pantas ke kawasan berumput di sisi jalan, jantungnya berdegup laju.


Kaca tingkap van diturunkan. Seorang wanita berwajah ramah, sebaya Kak Wan, menjenguk keluar dari tempat duduk pemandu. Di sebelahnya duduk seorang gadis muda, barangkali dalam lingkungan umur Lima belas tahun.


“Dik… nak ke mana tu?” sapa wanita itu, suaranya lembut namun jelas.


“Nak ke stesen bas…” kata Tamara, tanpa sedar. Kata-kata itu keluar lebih cepat daripada fikirannya sempat menilai.


“Naiklah… kakak nak hantar anak pergi tuisyen. Boleh tumpangkan sekali.”


Tamara teragak-agak. Wajahnya menoleh ke belakang. Deretan kenderaan terus meluncur di jalan utama. Bolehkah dia mempercayai wanita ini?


“Naiklah…” pelawa wanita itu lagi, senyuman masih terukir.


Dengan sedikit rasa bimbang yang cuba disorokkan, Tamara membuka pintu gelangsar van dan masuk ke tempat duduk belakang.


“Kakak, Liza.....ini anak kakak Nadia. Adik nama siapa?” tanya wanita itu sambil memandu perlahan keluar dari simpang kecil.


“Saya… Linda, kak,” jawab Tamara, hampir teragak-agak. Nama itu satu-satunya yang melekat di fikirannya ketika ini. “Tak menyusahkan ke, Kak Liza?”


“Eh, tak lah… tadi kakak dari rumah Datuk. Hantar anak sulung kakak tu—kerja dengan Azra Katering.”


Tamara diam sebentar. Peluang untuk menguji wanita itu tiba.


“Kakak nampak saya tadi ke?” soalnya berhati-hati, ingin tahu sejauh mana wanita itu menyedari kehadirannya di kawasan villa tadi.


“Tak nampak sangat pun… tapi kakak kenal uniform adik tu. Sama macam Kak Wan jiran kakak. Dia pun kerja kat villa tu.” Kak Liza menjeling ke cermin sisi. “Tadi kakak nampak adik berdiri kat luar pagar. Mesti kerja sekali dengan Kak Wan, kan?”


Dada Tamara terasa sempit. Ya Allah… janganlah Kak Liza tahu aku dah ikat Kak Wan di bilik stor.


“Ya… saya kerja dengan Kak Wan,” balasnya, suara hampir tersekat. Dia menambah cepat, “Kata Kak Wan… cucu dia demam.”


Tamara sengaja menyebut perkara itu. Dia berharap ia dapat menguatkan cerita bahawa dia benar-benar rapat dengan Kak Wan.


“Ya, Hanif tu memang rapat sangat dengan nenek dia. Kalau sakit, mesti cari nenek dia,” balas Kak Liza, tersenyum kecil.


“Emak dia kerja shift malam, kata Kak Wan.” Tamara terus menyambung, mahu terus kelihatan seperti ‘orang dalam’.


“A’ah, betul tu… Sue, emak Hanif tu jururawat. Dia ibu tunggal,” ujar Kak Liza lagi, sambil membelok keluar ke jalan utama.


Van itu meluncur tenang di atas tar. Bunyi enjin yang stabil sedikit menenangkan Tamara.


“Linda nak ke stesen bas mana?” soal Kak Liza selepas beberapa minit.


“Saya nak ke Ipoh, Kak.”


“Oh, kalau macam tu… kita hantar anak kakak ke tempat tuisyen dulu ya. Lepas tu baru ke Terminal Bersepadu Selatan. Dekat saja.”


“Baik, Kak,” balas Tamara patuh.


Selepas menurunkan anaknya di sebuah rumah di kawasan perumahan sederhana, Tamara berpindah ke tempat duduk di sebelah pemandu. Suasana sedikit sunyi seketika.


“Jauh tu nak ke Ipoh… Linda tak bawa beg?” tanya Kak Liza sambil memandangnya sekilas.


Tamara berfikir pantas. “Dah ada dengan sepupu saya. Dia tunggu di stesen bas. Sekali nak ke Ipoh.”


“Ohh… patutlah,” balas Kak Liza, mengangguk faham.


Beberapa minit kemudian, van itu berhenti di hadapan terminal bas. Tamara mengucapkan terima kasih berkali-kali sebelum cepat-cepat turun dan menghilang di celah orang ramai. Lol no


Langkah Tamara perlahan, seakan berat ditarik oleh keletihan dan kebimbangan. Dia melintasi beberapa gerai kecil sebelum matanya menangkap sebuah kedai runcit di sudut terminal. Lampu kekuningan di dalamnya suram, tapi cukup terang untuk menampakkan papan tanda kecil tergantung di sisi rak: "Top up di sini."

Tamara menelan liur. Nak beli kredit pun tak ada duit, bisiknya dalam hati. Harapan itu hadir sekejap, lalu padam semula seperti api lilin ditiup angin.

Dia menghala ke bangku kayu yang tersedia di sisi kedai. Bangku itu menghadap laluan orang ramai yang tidak pernah sunyi. Dengan perlahan, dia melabuhkan duduk, menghela nafas panjang. Matanya memerhati kaki-kaki manusia yang terus bergerak—semuanya ada tujuan, semuanya tahu ke mana hendak dituju. Sedangkan dia?

Di hujung bangku yang sama, dua remaja perempuan sedang berbual rancak. Tawa mereka ceria, dunia mereka ringan. Mereka berhenti sebentar bila menyedari kehadiran Tamara. Salah seorang daripada mereka melemparkan senyuman sopan, dan yang satu lagi mula berbisik sambil menjeling ke arahnya.

Tamara cepat-cepat membetulkan tudungnya yang senget, lalu menarik hujungnya lebih rapat ke pipi. Dia cuba menutup sebahagian wajahnya, menyembunyikan resah yang terbias di mata. 

Dia tahu — di tempat seperti ini, pandangan orang adalah musuh yang halus. Dan dia… tak mampu menanggung satu lagi soalan, satu lagi renungan yang membuatkan jiwanya terasa telanjang.


Tamara menyeluk poket uniform yang sudah kusam dan renyuk. Jari-jemarinya teraba sesuatu — telefon bimbit Kak Wan. Masih ada. Dia menarik nafas lega lalu mengeluarkannya perlahan-lahan, seolah-olah benda itu terlalu berharga untuk disentuh dengan kasar.

Skrin telefon dihidupkan. Bateri masih penuh. Dia segera membuka aplikasi panggilan. Tapi sebaik sahaja nombor ditekan — "Tidak dapat membuat panggilan. Sila tambah nilai."

Tamara mengeluh perlahan. Sudahlah tak ada duit, telefon pula tiada kredit. Dia bersandar di bangku terminal, matanya merenung kosong ke arah orang ramai yang berlalu-lalang. Ada yang ketawa riang bersama keluarga, ada yang menunggu sambil memeluk beg galas dengan penuh sabar. Tapi dia? Terperangkap di celah dunia yang seolah-olah tak mahu menerimanya.

"Nak ke Ipoh pun tak ada duit beli tiket… apa aku nak buat sekarang?" desis hatinya.

Tiba-tiba, satu fikiran gila muncul di benaknya. Tangannya menggenggam telefon Kak Wan erat.

"Kalau aku jual telefon ni… cukup tak duit tiket ke Ipoh?"

Dia telan liur. Rasa bersalah menjalar, tapi ketakutan dan keinginan untuk lari dari kekacauan yang dia tinggalkan lebih kuat.

"Aku janji… aku akan ganti balik nanti. Kak Wan maafkan aku. Tapi aku kena keluar malam ni juga. Apa pun jadi, aku tak boleh terus di sini."

Tamara bangkit perlahan, menggenggam telefon itu seakan memegang sisa terakhir harapannya. Dia memandang kiri dan kanan, mencari papan tanda kecil bertulis ‘kedai telefon’. Air mata bergenang, tapi dia seka cepat-cepat. Tak ada masa untuk menyesal.

Langkahnya pasti — demi sebuah perjalanan yang belum tentu akan selamat… tapi itulah satu-satunya jalan yang dia ada.


Di hujung terminal yang mulai lengang, ada sebuah kedai kecil berlampu malap — menjual casing telefon, aksesori dan tambah nilai prabayar. Kedai itu sunyi, jauh dari hiruk-pikuk gerai makanan dan ruang menunggu. Di dalamnya, seorang remaja lelaki sedang duduk bersandar, leka menatal skrin telefonnya.

Tamara berdiri lama di hadapan pintu kedai, berpura-pura memerhati telefon bimbit Kak Wan yang tergenggam di tangan. Dia tidak tahu dari mana harus bermula.

“Kak… nak beli top up ke?” sapa remaja itu, suaranya mesra, nada remaja yang belum terbeban dengan dunia.

Tamara menggeleng perlahan, cuba senyum walau rasa dalam hati seakan runtuh.

“Masuklah… tengok-tengok casing baru pun boleh,” pelawanya lagi, tersenyum lebar. Tamara menurut. Dia melangkah masuk dan berdiri di tepi almari kaca yang menampilkan pelbagai casing warna-warni — semuanya kelihatan terlalu asing dalam hidupnya sekarang.

“Telefon akak jenis apa?” tanya budak itu, masih mesra.

Tamara mengangkat telefon yang digenggamnya. “Tak, dik… akak bukan nak beli. Akak… nak jual. Kalau dapat.”

Dia menghulurkan telefon itu, suara perlahan hampir berbisik. Remaja itu menyambut dan membelek dengan teliti, matanya tajam menilai.

“Telefon ni akak punya sendiri ke?” soalnya.

Tamara mengangguk. Senyum nipisnya cuba menutup gugup dan rasa bersalah yang bergolak.

“Nanti saya tanya Atok dulu, ya.” Dia serahkan semula telefon itu kepada Tamara. “Akak tunggu sekejap.”

Tamara menyambut dengan tangan yang sedikit menggeletar. Jantungnya berdegup laju. Dia melihat remaja itu melangkah keluar, menuju ke kedai sebelah.

“Ya Allah… permudahkan urusan aku…” bisik hatinya, dalam diam dia menahan nafas, seolah-olah hidupnya bergantung pada satu transaksi kecil ini.

Tidak lama kemudian, remaja itu kembali bersama seorang lelaki tua — berwajah tenang, berkain pelikat, berbaju Melayu lusuh, dan berkopiah putih. Wajahnya seperti seseorang yang jarang berbicara sia-sia.

“Ini akak yang nak jual telefon tu,” kata si remaja.

Tamara menghulurkan telefon itu. Lelaki tua itu menyambut dan membelek perlahan, jari-jarinya lincah tetapi lembut.

“Kenapa nak jual?” soalnya tanpa menuduh, hanya ingin tahu.

“Saya… nak guna duit. Nak balik kampung. Ibu saya sakit,” jawab Tamara. Suaranya tenang, tapi matanya mengelak dari bertentang pandang. Bohong kecil yang terpaksa, demi sebuah perjalanan pulang — atau mungkin lari — dari segalanya.

“Kampung mana?” soal lelaki itu lagi.

“Kelantan…”

Tamara masih tidak berani memandang wajahnya. Dia hanya menunduk, berdoa agar lelaki itu percaya. Agar dia tidak bertanya lebih lanjut.

“Atok… belilah untuk Adik. Adik tu selalu main telefon abang,” pintas remaja itu, cuba merayu sambil tersenyum kepada lelaki tua itu.

“Berapa nak jual?” tanya lelaki itu, suaranya masih datar.

“Dua ratus…” jawab Tamara, hampir tidak yakin.

“Kuranglah sikit. Seratus lima puluh,” balas lelaki itu perlahan.

Tamara mengangguk tanpa banyak soal. Dia tahu, dia tak dalam kedudukan untuk tawar-menawar.

Telefon dan wang bertukar tangan. Not-not merah dalam genggaman Tamara terasa berat, seakan mengandungi beban rasa bersalah dan harapan serentak.

“Terima kasih…” suaranya tersekat, tapi dia tak menoleh lagi. Tamara melangkah keluar dari kedai itu, memeluk wang di tangan dan bergerak pantas ke arah kaunter tiket — dengan hati yang penuh debaran dan langkah yang masih belum pasti.

"Aku harus pergi... secepat mungkin. Sebelum terlambat." Tamara menggenggam botol air dalam tangan, jari-jarinya menggigil bukan kerana sejuk — tetapi kerana ketakutan yang menjerut dada.

"Lelaki tua terkutuk itu... dia bukan jenis yang akan berdiam diri. Kalau dia tahu aku lari, pasti dia akan hantar orang-orangnya untuk menjejak aku. Mungkin sekarang pun mereka sedang mencari... di jalan, di terminal, di kamera litar."

Dia menarik nafas dalam, cuba menenangkan gelodak dalam hati. Matanya liar memerhati sekeliling, setiap wajah asing kelihatan mencurigakan.

"Aku tak boleh tunggu. Aku tak boleh salah langkah lagi. Malam ini, aku mesti keluar dari Kuala Lumpur — tak kira apa yang terjadi."

Tangannya meraba tiket dalam poket — masih di situ. Selamat. Itu satu-satunya kunci keluar yang dia ada sekarang.


-----

Setelah selesai membeli tiket bas ke Ipoh dengan harga RM30, Tamara menggenggam tiket itu erat, seolah-olah memegang kunci kebebasan. Walaupun cuma sehelai kertas kecil, nilainya jauh lebih besar daripada wang — ia lambang harapan, satu langkah keluar dari kegelapan yang menghimpit.

Dia menyeluk poket, mengira baki wang yang tinggal. RM120. Cukup untuk bertahan sementara. Tapi perutnya mula berkeroncong. Baru dia sedar, kali terakhir dia menjamah makanan ialah pagi semalam — itupun sekadar roti kering dan secawan teh yang sudah sejuk.

Langkahnya membawa dia ke sebuah kedai kecil di sudut terminal. Di hadapan gerai itu tersusun plastik-plastik nasi lemak, mee goreng bungkus, roti pelbagai jenis dan air mineral dalam kotak berais.

Tamara berdiri sejenak. Matanya meneliti satu persatu, cuba menilai keperluan berbanding kehendak.

Akhirnya dia mencapai dua botol kecil air mineral — cukup untuk perjalanan malam yang panjang — dan dua bungkus roti bun berinti coklat.

“Empat ringgit semuanya, kak,” kata penjaga gerai, seorang wanita separuh umur yang kelihatan penat tetapi tetap ramah.

Tamara hulur wang tanpa banyak bicara. Dia menyimpan air dan roti ke dalam beg kecilnya, kemudian melangkah ke bangku panjang berhampiran pintu masuk ke perkarangan pelepasan bas.

Dia duduk perlahan, membuka penutup botol air, meneguk sedikit — terasa sejuk mengalir di kerongkong yang kering. Bun pertama dibuka, dikunyah perlahan. Rasanya hambar, tapi cukup untuk mengalas perut. Matanya meliar memandang orang yang lalu lalang — ada yang tergesa-gesa, ada yang kelihatan tenang, ada yang memeluk anak kecil sambil mengangkat beg.

Dia sendirian. Tapi untuk pertama kalinya, Tamara rasa sedikit lega.

Biarpun dunia di belakangnya masih gelap, sekurang-kurangnya malam ini dia akan bergerak ke hadapan — ke satu tempat yang belum tentu selamat, tapi lebih baik daripada terus terperangkap di Kuala Lumpur.


"Aku harus pergi... secepat mungkin. Sebelum terlambat." Tamara menggenggam botol air dalam tangan, jari-jarinya menggigil bukan kerana sejuk — tetapi kerana ketakutan yang menjerut dada.

"Lelaki tua terkutuk itu... dia bukan jenis yang akan berdiam diri. Kalau dia tahu aku lari, pasti dia akan hantar orang-orangnya untuk menjejak aku. Mungkin sekarang pun mereka sedang mencari... di jalan, di terminal, di kamera litar."

Dia menarik nafas dalam, cuba menenangkan gelodak dalam hati. Matanya liar memerhati sekeliling, setiap wajah asing kelihatan mencurigakan.

"Aku tak boleh tunggu. Aku tak boleh salah langkah lagi. Malam ini, aku mesti keluar dari Kuala Lumpur — tak kira apa yang terjadi."

Tangannya meraba tiket dalam poket — masih di situ. Selamat. Itu satu-satunya kunci keluar yang dia ada sekarang.

-----

Tamara mengatur langkah menuju ke platform pelepasan. Waktu begitu sunyi, lampu terminal malap, hanya suara enjin bas yang berdengung lembut.
Dan bila bas itu bergerak meninggalkan perkarangan TBS, Tamara menunduk, bersiap selama kurang lebih 2 jam 30 minit hingga 3 jam untuk tiba di Ipoh sekitar 1:30 hingga 2:00 pagi…
— satu waktu yang sunyi, tidak ramai penumpang, penuh ketegangan tetapi juga penuh harapan.

Tamara menyeluk sakunya dan memegang tiket dan baki wang dalam genggamannya. Dia melangkah naik ke tangga Bas Dan masuk ke perut bas. Dengan nafas yang lega dia melabuhkan punggungnya di kerusi empuk bas yg berhawa dingin itu.

Bas itu akan bertolak tepat pada jam 11:00 malam. Dia menghela satu nafas panjang… jam kini hampir ke waktu itu.
Hatinya berdegup kencang — fikiran bergegar memikirkan lelaki tua itu dan kemungkinan orangnya mula menjejak. “Lebih cepat aku keluar dari sini, lebih selamatlah aku,” bisiknya.

-----

Dalam perjalanan menuju ke Ipoh yang sunyi dan panjang, Tamara menyandarkan kepalanya ke cermin tingkap bas. Lampu-lampu jalan yang berderet memancar seperti bintang-bintang malap yang seolah mengiringi perjalanannya. Udara dingin dari penghawa dingin menusuk hingga ke tulang, namun jiwanya lebih dingin lagi.

“Ayah... Ara datang, ayah... Ara rindu... Ara nak peluk ayah, mohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap Ara...” bisik hatinya dalam linangan air mata yang tidak mampu lagi ditahan.

Jam hampir menunjukkan pukul dua pagi apabila bas berhenti di terminal bas Ipoh. Tamara melangkah turun perlahan-lahan, memeluk erat tubuhnya yang kedinginan.  Dia bingung nak ke mana harus dituju, nak ke rumah Pak Osman? Nak ke warung Pak Osman jauh pula dari situ dan tentu dah tutup. Dia terus melangkah. Beberapa buah bas dari KL pun baru sampai di stesyen itu. Dia terus melangkah dan langkahnya seperti dituntun oleh satu harapan — harapan untuk pulang.


Sedang Tamara melangkah perlahan di kawasan terminal yang terang benderang, matanya liar meninjau sekeliling. Suasana masih hidup meskipun jam sudah melepasi dua pagi. Cahaya lampu neon memantul di lantai jubin yang berkilat, dan suara-suara penumpang yang baru tiba bergema di ruang terbuka itu. Sesekali kedengaran bunyi hon dari bas yang bersedia untuk berlepas semula.

Tiba-tiba, telinganya menangkap bunyi riuh rendah dari satu arah — sekumpulan pelajar sekolah yang turun dari sebuah bas dengan beg galas masing-masing. Di antara hiruk-pikuk suara remaja itu, terdengar pula satu suara lelaki yang sedang mengatur pergerakan mereka dengan nada tegas tapi lembut, penuh sabar.

Langkah Tamara terhenti. Jantungnya berdetak sedikit laju.

Suara itu…

Dia memalingkan wajah ke arah suara itu dan pandangannya jatuh pada seorang lelaki pertengahan usia berkemeja lengan panjang, wajahnya bersih dan ramah, sedang berdiri dengan tangan menunjuk arah kepada beberapa pelajarnya.

“Cikgu Hafiz…?” gumam Tamara, hampir tidak percaya dengan penglihatannya sendiri.

Lelaki itu menoleh. Matanya sedikit membulat, kemudian wajahnya berubah ceria. Sebuah senyuman hangat segera terukir di bibirnya.

“Eh, Tamara?” sapanya terkejut, namun gembira. “Kamu buat apa di sini? Pagi-pagi begini?”


Tamara hampir menangis melihat wajah yang dikenali itu. “Cikgu... tolong saya... saya baru lepas lari dari orang yang culik saya. Saya tak ada telefon... boleh saya pinjam telefon cikgu sekejap?”

Tanpa banyak soal, Cikgu Hafiz menghulurkan telefonnya. Dengan tangan yang sedikit menggigil, Tamara mendail nombor Linda — nasib baik dia masih hafal nombor itu.

“Linda! Ini Ara. Aku berjaya lari... aku diculik oleh Datuk Razif. Sekarang aku di Ipoh... aku nak balik ke kampung, ke Sri Menanti. Aku terserempak dengan Cikgu Hafiz, dan aku pinjam telefon dia sekarang ni. Kalau jadi apa-apa kat aku lepas ni... kau tolong beritahu polis, ya? Semua benda yang aku tahu akan aku beritahu bila aku sampai kampung nanti.”

Suara Linda di hujung talian terdengar panik dan bergetar, tapi Tamara tak sempat menjelaskan lebih banyak. Dia hanya tahu satu perkara — dia perlu teruskan perjalanan. Demi kebenaran. Demi ayahnya. Dan demi dirinya sendiri.



Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini