Bab 23 - Bintang Yang Ku Gapai
Setelah selesai mengatur barisan pelajar dan memastikan van sekolah dalam perjalanan untuk membawa mereka ke Teluk Intan, Cikgu Hafiz mempelawa Tamara duduk di salah sebuah warung kecil di hujung terminal. Malam itu warung-warung di situ masih meriah — kebanyakan pelanggan tidak berganjak kerana ada perlawanan bola sepak yang sedang ditayangkan di kaca TV.
Tamara duduk diam, memegang botol air mineralnya erat-erat.
“Ara dah makan? Minum dulu minuman panas....dalam bas tadi sejuk. Awak tak pakai baju tebal pun” kata Cikgu Hafiz perlahan. “Lepas tu kalau sudi, cerita sikit apa yang berlaku.”
Setelah memesan minuman panas Dan sepinggan nasi goreng kampung, perlahan-lahan, Tamara mula membuka cerita. Tentang bagaimana dia diculik oleh Datuk Razif. Tentang kurungan, ketakutan, Kak Wan yang terpaksa diikat dan dikurung — dan rasa bersalah yang menyesakkan dada. Tentang menjual telefon Kak Wan hanya untuk mendapatkan tambang dan sedikit makanan.
Cikgu Hafiz mendengar penuh teliti, sesekali mengangguk perlahan. Wajahnya jelas menunjukkan simpati.
Belum sempat Tamara habis bercerita, telefon bimbit Cikgu Hafiz berbunyi berkali-kali. Nombor telefon Linda muncul di skrin, kemudian Armand, Emma, dan akhirnya ayahnya Taufiq.
Tamara tergelak kecil, walaupun matanya masih berkaca. “Cikgu... tak habis-habis bunyi. Mereka semua tu nak cari saya.”
“Ambil sajalah. Jawab semua. Biar mereka tahu kamu selamat,” kata Cikgu Hafiz sambil menyerahkan telefon itu kepada Tamara.
Tamara menjawab panggilan satu demi satu. Suaranya perlahan tetapi ada senyum yang mula terukir di wajahnya — suara orang-orang yang masih peduli, yang masih mencarinya.
Selepas itu, Cikgu Hafiz sendiri menghubungi ayah Tamara.
“Assalamualaikum, Bang. Tamara ada dengan saya sekarang. Kami berada di terminal Ipoh. Sekejap lagi kami akan bertolak ke Teluk Intan dan bermalam di rumah saya. Insya-Allah, esok pagi Abang boleh datang ambil dia di sana,” ujar Cikgu Hafiz tenang sambil menjarakkan sedikit telefon dari telinganya sebelum mematikan talian.
Dia menoleh ke arah Tamara yang masih kelihatan gelisah, namun cuba menenangkan diri. Senyuman lembut terukir di bibirnya, cuba menyampaikan keyakinan dan rasa aman.
“Jangan risau, Tamara… Di rumah Cikgu ada isteri dan anak-anak. Isteri Cikgu pun guru juga… mengajar di sekolah lain, bukan sekolah yang sama. Kamu selamat dengan kami, insya-Allah,” ujar Cikgu Hafiz dengan nada penuh keikhlasan.
Tamara hanya mengangguk perlahan. Rasa syukur mula meresap dalam hati — setelah perjalanan yang panjang dan penuh ketakutan, akhirnya dia bertemu seseorang yang dikenal dan dipercayai.
“Ayah tahu rumah cikgu ke?” tanyanya.
Cikgu Hafiz tersenyum senget. “Tentulah dia tahu. Rumah adik ipar dia.”
Tamara mengerutkan dahi. “Adik ipar?”
“Tamara...” suara Cikgu Hafiz menjadi tenang. “Kamu dah menghilang dari kampung hampir lapan tahun. Banyak dah berubah.”
“Apa yang berlaku pada ayah, Cikgu? Munah kata kaki dia patah. Betul ke?”
Cikgu Hafiz mengangguk perlahan. “Betul. Tapi sekarang dah elok. Dan... ayah kamu dah ceraikan mak tiri kamu.”
Tamara menelan air liur. “Saya tahu... Munah yang beritahu. Katanya ayah kemalangan setahun yg lalu....katanya entah ayah Masih hidup atau dah mati ...Tapi saya tahu... saya rasa... ayah masih hidup.”
Cikgu Hafiz memandang tepat ke wajah Tamara. “Dalam berita... ada sebut Mona—atau Munah—mati dibunuh. Betul?”
“Betul, Cikgu. Saya tak tahu cerita tu dah keluar sebab saya masih dikurung. Tapi saya tahu dia dibunuh.....Oleh Datuk Razif.”
Cikgu Hafiz menghela nafas.
“Tamara, kamu tahu tak siapa langgar ayah kamu dulu? Lari begitu saja.”
“Tak...” jawab Tamara perlahan. “Siapa?”
“Azman. Adik Munah.”
“Allahu Akbar...” Tamara menutup mulutnya. “Kenapa, Cikgu?”
“Dendam. Sebab ayah kamu ceraikan emak mereka dan halau mereka semua keluar dari kampung.”
Tamara diam seketika.
“Sebab apa ayah ceraikan Makcik Halimah?”
Cikgu Hafiz menggeleng perlahan, wajahnya berubah tegang. “Dia ditangkap basah dengan seorang lelaki Pakistan di hotel bajet, waktu operasi cegah maksiat.”
Tamara terkesima. “Ya Allah...”
“Sebetulnya, ayah kamu dah lama syak. Ada pekerja ladang nampak perempuan tu selalu dijemput kereta asing bila ayah kamu tiada di rumah. Selalu check in di hotel-hotel Batu Gajah.”
Air mata Tamara menitis. Dia mengesat dengan tisu di atas meja.
“Cikgu...” suaranya bergetar. “Saya tak ada waktu ayah susah. Saya tak tahu semua ni. Saya... saya lari...”
“Jangan salahkan diri kamu, Tamara,” kata Cikgu Hafiz perlahan. “Tapi sekarang kamu dah balik. Itu yang penting.”
Tamara tersenyum hambar, masih bergenang airmata.
“Cikgu... kenapa cikgu kata cikgu adik ipar ayah saya?”
Cikgu Hafiz tersenyum lebar, akhirnya ketawa kecil.
“Ayah kamu kahwin dengan kakak Cikgu..... mereka bertemu sewaktu ayah Ara dirawat di hospital akibat kemalangan tu. Kakak Cikgu adalah jururawat yg bertanggungjawab menjaga, merawat dan bantu dalam fisiotrapi ayah Ara" Katanya Cikgu Hafiz.
Tamara tergelak kecil. “Saya ingat cikgu kahwin dengan adik ayah saya... setahu Ara ayah tak ada adik!”
“Minggu lalu kami bertiga memang rancang nak ke Kuala Lumpur, nak cari Ara,” ujar Cikgu Hafiz perlahan. “Kak Zaidah pun dah dapat alamat dan nombor telefon pengurus Ara… Cik Linda.”
Dia diam sebentar, seolah-olah cuba menenangkan perasaannya sebelum menyambung.
“Tapi tiba-tiba kami dapat berita — Ara hilang. Ayah Ara sendiri telefon Cik Linda… Tapi tak sempat cakap lama. Masa tu Cik Linda tengah berada di balai polis. Disoal siasat tentang kehilangan Ara.”
Ara tunduk, menggenggam tangannya erat. Suaranya tenggelam di hujung kata. “Tentu Linda yang paling terkesan. Dia orang terakhir yang bersama saya…”
Cikgu Hafiz tersenyum tenang. “Sekarang Linda tak perlu susah hati lagi. Kita semua pun tak perlu risau. Ara dah selamat, ada depan mata cikgu sekarang. Tak ada siapa lagi boleh ambil Ara, tak ada siapa boleh buat Ara apa-apa.”
Mereka sama-sama ketawa kecil di bawah cahaya warung yang suram. Malam itu, Tamara merasa sedikit kehangatan yang sudah lama dia rindukan — rasa dilindungi, rasa diterima, dan rasa... pulang.
Comments
Post a Comment