Bab 19 - Bintang Yang Ku Gapai

Emma menyandarkan tubuhnya di kerusi empuk berwarna hitam di pejabatnya. Dia memandang ke siling sambil menggigit hujung pen dengan resah. Sudah lima hari Tamara hilang. Ke mana perginya gadis itu? Dan kini......Mona. 

Tiga hari yang lalu, seorang inspektor bernama Hamid telah datang ke pejabatnya. Tujuannya—menyiasat tentang Rania. Emma masih ingat betapa tidak selesanya suasana waktu itu. Inspektor itu tidak datang seorang, malah ditemani dua pegawai lain yang tidak banyak bercakap, tetapi mata mereka tajam memerhati.


Mereka mengambil beberapa dokumen penting berkaitan kerja Rania—jadual pemotretan, kontrak, malah helaian penilaian prestasi. Emma ditanya bertalu-talu, seolah-olah dia sendiri menyembunyikan sesuatu. Soalan-soalan mereka kadangkala agak ganjil dan mengelirukan—tentang latar belakang keluarga Rania, tabiat hariannya, malah siapa yang paling rapat dengan gadis itu di luar waktu kerja. Emma tahu Bukan dia seorang yang menjadi sasaran.

Linda, selaku pengurus Rania, dan Armand — satu-satunya orang yang paling rapat dengan Rania di luar waktu kerja — turut melalui proses soal siasat yang melelahkan. Mereka ditahan berjam-jam, dipanggil siang dan malam tanpa mengira waktu, seolah-olah setiap detik mereka bersama Rania kini menjadi bahan bukti yang harus dibedah satu persatu.


Linda kelihatan tegas ketika menjawab, namun riak wajahnya jelas letih. Dia sudah masak dengan dunia hiburan, tetapi soal kehilangan seorang artis di bawah seliaannya — itu bukan sesuatu yang pernah dia jangka.


Armand pula lebih emosional. Beberapa kali dia ditegur kerana terlalu beremosi ketika menjawab soalan. Hubungan rapatnya dengan Rania bukan lagi rahsia. Bagi Armand, kehilangan Rania terasa seperti kehilangan sebahagian dari dirinya sendiri.


Emma kepenatan selepas sesi soal jawab itu. Walaupun dia cuba menjawab sebaik mungkin, ada getar dalam suaranya yang dia sendiri tidak dapat sembunyikan.


Dua belas tahun lalu, Emma pernah melalui fasa sebegini — penuh luka dan pengorbanan. Ketika itu, hidupnya ibarat naskhah yang dibacakan di hadapan khalayak. Setiap hari berulang-alik ke balai polis, turun naik Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Segalanya menguji jiwa dan raganya. Dia benar-benar letih. Namun demi maruah diri dan keluarganya, demi masa depan yang belum tentu cerah, dia tidak mengalah. Dia teruskan langkah, mengatur strategi, dan melawan habis-habisan. Tidak sekali pun dia membenarkan airmatanya menjadi tanda menyerah.


Dan kini... kejadian yang jauh lebih menakutkan terjadi. Penemuan mayat Mona—di tempat yang tidak dijangka, dalam keadaan yang mengerikan.

Degup jantung Emma semakin laju. Nafasnya tidak teratur. Kepala terasa berat.


"Apa sebenarnya yang sedang berlaku dalam hidup aku ni...?" bisiknya sendiri sambil memejamkan mata, cuba menenangkan diri. Tapi fikirannya terus berputar, ligat, mencari sambungan kepada teka-teki yang belum terjawab itu...


Penemuan mayat seorang  dua hari yang lalu dikenali sebagai Mona Lee atau pm nama sebenarnya Maimunah Binti Ramli di tepi tebing sebatang sungai kecil di bawah jambatan Jalan Tun Sambanthan membawa dua orang pegawai polis ke pejabatnya pagi semalam. Seorang pegawai polis berpangkat Sarjan memakai pakai seragam polis dan seorang Inspektor polis berambut pendek kemas, berkemeja biru muda dan berseluar slack gelap melangkah masuk. 

Mereka mengambil data-data peribadi Mona melalui resume yang terdapat dalam fail yang diserahkan oleh Suzana dan senarai jadual pertunjukan peragaan semua model-model di Bawah agensinya termasuk Mona Dan Rania. 

Emma memberitahu bahawa Mona tidak lagi bekerja di bawah agensinya. Dia telah berhenti seminggu yang lalu. Polis bertanya mengapa Mona berhenti. Adakah dia bekerja di tempat lain? Emma memberitahu bahawa dia telah memberhentikan Mona atas sebab disiplin.


Tiba-tiba pintu biliknya diketuk dari luar, mengejutkan Emma yang sedang membelek beberapa fail penting. Suzana muncul dengan wajah cemas.


"Cik Emma... polis yang datang semalam tu... mereka ada di luar, nak jumpa Cik Emma."


Emma mengangguk perlahan. Jantungnya berdegup sedikit laju, namun dia tetap mengekalkan wajah tenang. Dia membetulkan duduknya dan menarik nafas panjang.


Pintu bilik terbuka semula. Dua orang pegawai polis masuk—salah seorang daripadanya, lelaki berkemeja biru muda tanpa lencana rasmi, melangkah lebih ke hadapan. Wajahnya serius, suara tegas.


"Cik Emma," ujar lelaki itu, "saya Inspektor Daniel. Kami perlukan Cik Emma ikut kami ke balai untuk bantu siasatan kes kematian Maimunah binti Ramlee."


Emma mendongak, pandangannya bertembung dengan mata tajam Inspektor Daniel. Suasana dalam bilik tiba-tiba terasa sepi.


“Tuan… saya dah berikan semua keterangan semalam. Saya tak tahu apa-apa lagi,” balas Emma, suaranya cuba untuk stabil.


“Ada beberapa perkara yang perlu diperjelaskan lagi. Kami perlukan kerjasama Cik Emma sepenuhnya,” ujar Inspektor Daniel, kali ini nadanya lebih tegas, seolah tiada ruang untuk berunding.


Emma terdiam sejenak. Dia tahu, kisah pertengkarannya dengan Mona—yang kini dikenali sebagai si mati, Maimunah—akan menjadi beban besar yang perlu dijelaskan. Tapi dia tiada pilihan.


“Baiklah,” katanya akhirnya, lalu berdiri perlahan. “Beri saya lima minit.”


Namun sebelum dia sempat melangkah, pegawai yang berdiri di belakang Daniel bersuara, “Lebih baik ikut kami sekarang, Cik Emma. Kami akan tunggu Cik di luar.”


Emma hanya mampu mengangguk. Di balik wajahnya yang tenang, jiwanya bergolak hebat.

 
Suzana menghampiri Emma, ingin berkata sesuatu tapi terdiam. Emma mengangguk perlahan dan mencapai beg tangan kecil di meja.

“Saya pergi sekejap saja,” katanya kepada semua. “Teruskan kerja seperti biasa.”

Suzana di belakangnya menelan air liur. Suasana di pejabat sunyi sejenak, hanya detak jam di dinding yang kedengaran. Ketika Emma melangkah keluar diapit dua pegawai itu, semua mata di ruang pejabat memandang ke arahnya — ada yang terkejut, ada yang tertanya-tanya, dan ada juga yang mula berbisik perlahan.


Di luar, enjin kereta peronda sudah sedia menyala.


Hari ini... Emma bukan lagi wanita yang dipanggil untuk soal siasat secara sukarela. Dia kini saksi penting dalam kes pembunuhan berprofil tinggi — dan mungkin juga suspek.

------

Bilik siasatan itu dingin dan suram. Dindingnya berwarna kelabu pudar, dan hanya sebiji lampu pendarfluor tergantung di tengah-tengah siling memberikan cahaya yang keras dan menusuk mata. Di tengah bilik, sebuah meja logam sederhana dipisahkan oleh dua kerusi — satu untuk penyiasat, satu lagi untuk orang yang disoal.


Emma duduk tegak di kerusi itu, tangannya diletakkan kemas di atas riba, namun jari-jemarinya saling menggenggam dengan kuat. Jelas sekali, meskipun dia cuba kelihatan tenang, hatinya bergolak. Bunyi penghawa dingin berdengung perlahan, mencampur dengan derapan kasut pegawai yang lalu-lalang di luar pintu.


Inspector Daniel masuk bersama seorang anggota wanita yang memegang fail tebal. Dia mengambil tempat di seberang Emma, membuka fail itu perlahan sebelum memandang tepat ke arah Emma.

"Noor Emma Damia Binti Baharudin" Inspektor Daniel membaca nama yang tertulis dalam borang siasatan. 

"Ya.....saya" Suara Emma seakan-seakan berbisik.


"Terima kasih kerana datang, Cik Emma," katanya, suaranya tenang tetapi penuh makna. "Kami cuma perlukan beberapa penjelasan tambahan untuk melengkapkan siasatan."


Emma hanya mengangguk. Anak matanya bergerak-gerak memerhati sekeliling bilik itu — kamera kecil di sudut atas, cermin besar di dinding kanan yang dia tahu pastinya adalah cermin dua hala. Dia tahu seseorang sedang memerhatikan dari sebaliknya.


"Ini prosedur biasa, Cik Emma. Tapi kami perlukan ketelusan penuh," sambung Daniel sambil menyelak beberapa gambar dan menunjukkan satu keping kepada Emma — gambar tubuh Maimunah yang ditemui di kawasan semak.


Emma memejamkan mata seketika. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Jantungnya berdegup kencang, tetapi wajahnya masih cuba dikawal supaya tidak menampakkan panik.


"Seperti saya katakan semalam… saya tidak tahu apa-apa tentang ini. Saya tidak pernah... menyangka..." suaranya terhenti di situ.


"Namun menurut rekod kami, Cik Emma telah memecat Maimunah tiga hari sebelum dia dijumpai mati. Dan terdapat saksi yang mendengar pertengkaran antara kalian di pejabat," suara Daniel kini lebih tajam.


Cermin dua hala itu tetap membisu, tetapi Emma dapat merasakan setiap gerak-gerinya diperhatikan, setiap nada suaranya dianalisis.


Dalam bilik yang sunyi dan tegang itu, masa seakan bergerak perlahan. Di luar, bunyi siren kereta peronda kedengaran seketika — mengingatkan Emma bahawa dia kini berada dalam dunia yang berbeza. Dunia siasatan jenayah yang penuh teka-teki... dan dia mungkin salah satu daripadanya.

"Cik Emma.....tiga hari sebelum mayat si mati ditemui....si mati telah bertengkar dengan Cik Emma.....lalu memecatnya" Tanya Inspector Daniel sambil menyelak fail di hadapannya.


“Saya pecat dia bersebab,” suara Emma tenang, tapi nada hatinya bergelora.

Inspector Daniel mengangkat wajah, menatap tepat ke arah Emma. “Boleh saya tahu, apa sebabnya?”

Emma menarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab. “Kerana dia tidak berdisiplin. Sering langgar etika kerja, suka cari gaduh dengan kawan-kawan sepejabat.”

“Selain dari itu?” soal Daniel lagi, suaranya datar tetapi sarat makna.

“Saya dah banyak kali nasihatkan dia,” kata Emma sambil menoleh sedikit ke sisi. “Tapi dia tetap degil.”

Inspector Daniel membuka helaian fail di hadapannya dengan perlahan. “Cik Emma… kali terakhir si mati bekerja dengan agensi Cik Emma, saya dimaklumkan bahawa Cik Emma telah… menamparnya.”

Emma tunduk. Bibirnya bergerak, tapi suara hampir tak kedengaran. “Ya.”

“Boleh Cik Emma jelaskan… kenapa?” Nada suara Daniel kini lebih tegas.

Emma teragak-agak. “Kerana dia… berkata sesuatu yang tidak baik tentang Rania.”

Daniel mengangguk perlahan, mencatat sesuatu.

“Selain tentang Rania… adakah si mati menyebut perkara lain yang buat Cik Emma benar-benar hilang sabar?” Dia berhenti, memandang Emma sambil jari-jemarinya menyentuh bahagian atas fail.

Emma diam. Lalu menggeleng kecil. “Itu saja…”

“Cik Emma,” suara Daniel sedikit mengendur, tapi tetap tajam, “Saya diberitahu, si mati pernah menuduh Cik Emma… bekas perempuan simpanan seorang VVIP. Dan itu yang menyebabkan Cik Emma menamparnya. Betul, Cik Emma?”

Emma tunduk. Kedua-dua tangan di riba mengepal rapat. Air matanya mulai bergenang. Dia tidak membalas.

Daniel merapatkan tubuhnya sedikit ke depan, menunduk ke arah Emma. “Saya ulangi… si mati pernah berkata bahawa Cik Emma adalah bekas perempuan simpanan seorang VVIP. Itu yang membuat Cik Emma berang, dan menamparnya. Adakah itu benar?”

Emma mengangguk. Perlahan. Hampir tidak kelihatan.

Daniel membuka helaian terakhir fail itu. “Dan si mati menyebut nama… Datuk Razif.”

Tubuh Emma serta-merta kaku. Dada terasa sempit. Nafasnya tercungap kecil. Nama itu… luka lama yang dia cuba tanam jauh ke dalam. Nama yang dia benci sepenuh jiwa.

Daniel menyebutnya lagi, lebih lembut. “Cik Emma…”

Air mata yang ditahan itu akhirnya tumpah. Emma menekup wajahnya. Tubuhnya terhenjut kecil menahan esak tangis.

Siasatan baru sahaja bermula. Tapi luka lama sudah pun berdarah kembali.


Inspektor Daniel berdiri tegak, berpeluk tubuh memerhati wanita di hadapannya yang masih tenggelam dalam tangis. Suara esakannya perlahan tetapi menusuk. Dia sudah terlalu biasa dengan situasi seperti ini — air mata, ketakutan, tekanan — semua itu menjadi sebahagian daripada rutin soal siasat. Namun malam ini, ada sesuatu yang berbeza. Tangisan Emma bukan tangisan biasa. Ia seperti menanggung beban bertahun-tahun yang baru terlepas dari dada.

Beberapa minit berlalu dalam senyap. Ruang itu sunyi, hanya suara tangisan Emma yang mengisi udara.

Akhirnya, Daniel menarik nafas dalam dan menolak kerusinya ke belakang. Bunyi geseran kaki kerusi di lantai marmar memecah keheningan. Dia berpaling kepada pegawai polis wanita yang setia berdiri di sudut bilik, lalu mengangguk perlahan.

“Cik Emma…” suaranya tenang, tetapi penuh empati. “Kami faham ini bukan situasi yang mudah. Kami takkan paksa Cik teruskan malam ini. Kami akan jadualkan semula sesi soal siasat untuk esok. Tapi saya mohon, Cik beri kerjasama sepenuhnya.”

Pegawai polis wanita itu melangkah perlahan mendekati Emma. Tangannya terulur, menyentuh bahu Emma dengan lembut.

“Puan… kita boleh keluar sekarang,” bisiknya.

Emma mengangkat wajahnya perlahan. Matanya sembap, pipinya basah dengan air mata. Ada getar di bibirnya yang cuba menahan sendu.

Daniel menghulurkan sapu tangan dari sakunya — putih, bersih, terlipat rapi. Tangan Emma sedikit menggigil ketika menyambutnya.

“Terima kasih...” ucap Emma perlahan, suaranya nyaris tenggelam dalam tangis.

Dia menekap sapu tangan itu ke wajahnya, mengesat air mata yang masih belum mahu berhenti mengalir.

Emma melangkah keluar dari bilik siasatan, diiringi oleh pegawai polis wanita yang setia berada di sisinya sejak awal. Langkahnya perlahan namun tetap teratur, seolah-olah masih cuba menahan gelora emosi yang belum reda sepenuhnya. Sesekali dia mengelap pipinya dengan sapu tangan yang diberikan tadi, masih basah dengan air mata.

Dari dalam bilik, Inspektor Daniel memerhati gerak-geri wanita itu. Tubuhnya tegap bersandar pada dinding, berpeluk tubuh sambil matanya tidak lepas dari sosok Emma yang semakin menjauh.

"Ada kelas," gumamnya perlahan, hampir tidak terdengar. Senyum nipis terukir di bibirnya.

Walaupun Emma bukan wanita pertama yang menangis di bilik soal siasat itu, ada sesuatu pada dirinya yang membuat Daniel berhenti sejenak — mungkin kerana air mata itu bukan hanya kerana takut, tapi penuh luka yang tersimpan lama. Atau mungkin kerana dia tahu, wanita itu sedang membawa lebih dari satu rahsia.

-----

Hari kedua soalsiasat 

Emma duduk tegak. Tangannya disilangkan di hadapan dada. Wajahnya tenang tetapi mata penuh waspada. Sarjan Rafiq duduk bertentangan, sambil membuka fail. Di balik cermin satu hala, Inspektor Daniel berdiri dengan tangan di belakang, memerhati dengan penuh fokus.)

SARJAN RAFIQ:
Cik Emma... ada satu perkara yang kami ingin perjelaskan. Beberapa kenyataan mendakwa Cik Emma adalah perempuan simpanan Datuk Mohammad Razif Bin Razman.

(Emma tersenyum sinis, kemudian geleng kepala.)

EMMA:
Itu tidak benar, Sarjan. Saya bukan perempuan simpanan dia. Saya... bekas isteri dia.

(Sarjan Rafiq angkat kening sedikit. Di balik cermin, Inspektor Daniel tampak terkejut.)

SARJAN RAFIQ:
Bekas isteri?

EMMA:
Ya. Saya dan Mohammad Razif bin Razman pernah berkahwin 15 tahun yang lalu. Ketika itu dia hanyalah kakitangan biasa di syarikat ayah saya, Tan Sri Baharudin. Saya baru pulang dari luar negara, dan dilantik sebagai CEO.

SARJAN RAFIQ:
Tapi dia jauh lebih tua daripada Cik, bukan?

EMMA:
(Dingin)
Dua puluh tahun lebih tua. Dan duda. Tapi dia pandai... menggoda. Saya muda dan... terlalu percaya. Walaupun ayah saya menentang, saya tetap kahwin dengannya.

(Sarjan mencatat sesuatu. Emma meneruskan.)

EMMA (sambung):
Dalam perkahwinan itu, dia sering merayu saya berikan 50% saham syarikat saya kepadanya. Dan... ya, saya hampir serahkan segalanya. Saya fikir cinta itu ikhlas. Rupa-rupanya dia hanya mahu kuasa dan harta.

SARJAN RAFIQ:
Ayah Cik tahu tentang hal ini?

EMMA:
Ya. Ayah mula curiga. Dia upah penyiasat persendirian. Akhirnya, kami dapat bukti suami saya ketika itu ada perempuan lain. Dan lebih teruk, dia menjual bahan binaan syarikat kami secara haram — pada harga murah — ke syarikat luar.

SARJAN RAFIQ:
Apa yang berlaku selepas itu?

EMMA:
Saya bersemuka dengannya, bawa semua bukti. Tapi dia tak mengaku. Malah, dia ugut akan sebarkan gambar bogel saya.

(Sarjan angkat kepala, terkejut. Inspektor Daniel tampak tegang di balik cermin.)

SARJAN RAFIQ:
Gambar... bogel?

EMMA:
(Suara sedikit bergetar tapi wajah tetap tenang)
Saya tak pernah ambil gambar macam tu, Sarjan. Apatah lagi dengan dia. Tapi dia tunjuk gambar saya… di atas katil, tak sedarkan diri. Saya diberi dadah. Itu semua dilakukan tanpa kesedaran saya.

(Sarjan menutup fail sebentar. Matanya memandang Emma dengan penuh simpati.)

SARJAN RAFIQ:
Cik Emma, ini... berat untuk. Cik Emma kan".

EMMA:
Saya hampir menyerahkan semua saham saya kerana takut dan malu. Tapi ayah saya campur tangan. Dia pecat menantu dia serta-merta dan buat laporan polis.

SARJAN RAFIQ:
Dan perceraian?

EMMA:
Saya failkan perceraian di Mahkamah Syariah. Hampir setahun. Saya tuntut fasakh atas alasan dia mencemarkan maruah saya. Saya menang. Dan saya juga saman dia kerana ugutan itu — dan saya menang juga. Dia diperintah bayar saya dua juta ringgit.

(Senyap sejenak. Sarjan Rafiq meletakkan pen.)


EMMA:
Saya tahu ramai yang percaya cerita palsu Razif. Dia beritahu semua orang yang tak tahu cerita 12 tahun yang lalu bahawa saya "bekas perempuan simpanan" dia. Tapi saya tak peduli semua itu.  Saya hanya lah mangsa. Dan saya sudah lama bangkit.


SARJAN RAFIQ
Bagaimana pula dengan kes pecah amanah yang melibatkan penjualan haram barang-barang binaan milik syarikat ayah Cik Emma?

EMMA
(Tarik nafas perlahan, cuba tenangkan diri)
Razif... dia sangat licik, Tuan. Dia gunakan kepercayaan saya. Saya tandatangan dokumen yang saya sangka untuk pembelian barang — tapi rupa-rupanya, borang pengeluaran dari gudang.

(Dia diam seketika. Matanya berkaca, cuba menahan gelora dalam dada)
Saya tak tahu apa-apa. Tapi bila barang-barang tu dah keluar... dia jual semuanya kepada syarikat Lai. Harga murah. Terlalu murah.

SARJAN RAFIQ
Kes itu dibawa ke mahkamah?

EMMA
(Geleng perlahan, suaranya makin perlahan tapi tajam)
Tak, Tuan. Ayah... dia tak bawa ke mahkamah. Mungkin sebab dia malu... atau terlalu kecewa. Tapi yang pasti, Razif tak berani salahkan saya.

(Dia angkat wajah, memandang tepat ke arah Sarjan)
Salah seorang kerani gudang datang sendiri... dia akui, dia tahu ke mana Razif bawa barang-barang tu selepas dikeluarkan.

(Nada suara Emma mulai pecah sedikit. Dia tunduk lagi, bibirnya menggeletar)
Kalau bukan sebab pengakuan itu... saya mungkin masih disalahkan sampai hari ini.

(Perlahan, hampir berbisik)
Saya tak sangka... dia sanggup khianati saya sampai begitu sekali.


SARJAN RAFIQ
(Suara lebih lembut)
Sekarang Cik Emma mempunyai agensi modelling sendiri. Adakah syarikat itu milik Cik Emma?

EMMA
Ya... agensi itu milik saya dan atas nama saya sepenuhnya. Saya bina dari kosong selepas semua yang berlaku.

SARJAN RAFIQ
Dan bagaimana pula dengan kedudukan Cik Emma di syarikat hartanah dan pembinaan perumahan keluarga — Empayar Jaya Holdings?

EMMA
Saya sudah letak jawatan sebagai CEO selepas kes itu selesai. Saya perlukan ruang untuk sembuh dan membina hidup saya semula.
(Senyum nipis)
Sekarang, jawatan itu disandang oleh adik saya, Rykal Hakimi. Dia ambil alih sebaik saja pulang dari luar negara.


SARJAN RAFIQ
“Baiklah.....Hanya setakat ini sahaja soal siasat kami, Cik Emma. Terima kasih atas kerjasama yang diberikan.”

EMMA
“Sama-sama, Tuan.”

SARJAN RAFIQ
Cik Emma, pihak kami akan menghantar cik sama ada ke pejabat atau pulang ke rumah menggunakan kenderaan jabatan. Seorang pegawai polis wanita akan mengiringi cik bagi tujuan keselamatan dan prosedur.

EMMA
Baik, tuan. Terima kasih atas pertolongan dan kerjasama ini.


(Di balik cermin, Inspektor Daniel kelihatan menghela nafas panjang. Wajahnya sedikit berubah — bukan lagi sangsi, tapi hormat.

-----

Emma bangkit perlahan, mengemaskan beg tangannya. Langkahnya meninggalkan bilik soal siasat itu terasa berat — seolah-olah setiap titis kenangan di bilik itu masih melekat pada dinding dan udara yang tidak berpenghuni. Air matanya bergenang, namun dia menahan agar tidak gugur di hadapan sesiapa.

Tangga jubin biru di hadapannya kelihatan lebih tinggi daripada biasa. Dengan cermat dan perlahan, Emma menuruni anak tangga satu persatu, bagaikan sedang memikul seluruh beban masa lalunya.

Sampai sahaja di lobi, dia berhenti sejenak. Tangannya menyeluk beg tangan, mencari sesuatu. Sekeping sapu tangan putih ditarik keluar. Sapu tangan itu — masih berlipat kemas — pemberian Inspektor Daniel semalam sewaktu dia kelihatan sebak sewaktu soal siasat.

Dari atas, di tingkat dua, Inspektor Daniel berdiri kaku di balik pagar tangga. Pandangannya tertumpu pada Emma. Melihat wanita itu menggenggam sapu tangan pemberiannya, satu senyuman tipis terukir pada wajah lelaki itu. Dadanya bergetar aneh. Sapu tangan itu... masih disimpan?

Tiba-tiba Emma berpaling. Matanya naik ke atas, tepat memandang ke arah Daniel. Mereka saling terpandang. Wajah Emma tenang, namun pandangan matanya tidak dapat menyembunyikan sesuatu yang telah lama terpendam.

Pegawai muda itu kemudian mula melangkah turun, perlahan-lahan, tegap dalam seragam rasminya. Emma memandangnya lama, hampir tidak percaya.

“Inspektor Daniel!” panggil Emma dengan senyum yang akhirnya terukir juga di bibirnya. “Saya tak kenal tadi... pakai uniform… nampak segak.”

Daniel ketawa kecil, menyambut sapaannya dengan lirikan lembut.


Kelihatan Sarjan Rafiq bersama seorang pegawai polis wanita berjalan ke arah mereka. Di tangannya ada beberapa fail yang kelihatan baru disusun dari bilik siasatan.

"Tuan, kenderaan jabatan sudah disediakan untuk menghantar Cik Emma pulang. Pegawai Sabariah akan mengiringi beliau. Saya cadangkan Tuan turut serta sebagai langkah berjaga-jaga." Beritahu Sarjan Rafiq.


"Baik, saya akan ikut sekali. Pastikan semuanya berjalan lancar"


------

Kenderaan jabatan meluncur tenang di jalan yang semakin sunyi menjelang senja. Di tempat duduk belakang, Emma duduk diam memandang ke luar tingkap. Di sebelahnya, Pegawai Sabariah setia menemani. Di hadapan, Inspektor Daniel sesekali melirik ke cermin pandang belakang.


"Cik Emma... saya tahu soalan ini mungkin tidak selesa, tapi saya perlu bertanya. Selepas kes dua belas tahun lalu... Datuk Razif ada menghubungi Cik Emma semula?"

Emma tidak segera menjawab. Matanya berkaca, nafasnya turun naik perlahan.

"Tidak secara langsung.....kerana ada perintah Mahkamah yang melarang dia untuk mendekati saya dan keluarga saya. Tapi... ada masa-masanya saya rasa seperti diperhatikan. Seolah-olah ada bayang yang tak pernah pergi." Kata Emma dengan Suara bergetar.

Inspektor Daniel memandang sekilas ke arah Emma, kemudian kembali memfokuskan pandangannya ke hadapan. Dia sebenarnya ingin bertanya lebih lanjut — ingin tahu lebih dalam tentang hubungan masa lalu Emma dengan Datuk Razif. Namun, jawapan Emma tadi... walaupun tenang di permukaan, terselit getaran halus dan nada sayu yang tidak dapat disembunyikan.

Daniel menarik nafas perlahan.
Dia memilih untuk diam.
Soalan yang sudah terbentuk di hujung lidahnya ditelan kembali.

Ada sesuatu dalam suara Emma yang menyentuh ruang empatinya — seolah-olah wanita itu menyimpan luka lama yang masih belum sembuh sepenuhnya.

Dia tahu, ada kalanya diam lebih menghormati daripada sebarang soalan.

Setibanya mereka di perkarangan bangunan pejabat milik Emma, kenderaan polis itu berhenti perlahan. Seorang pegawai polis wanita segera melangkah keluar dan membuka pintu untuk Emma.

"Terima kasih," ucap Emma dengan senyuman sopan.

"Sama-sama, Puan." Pegawai itu mengangguk hormat sebelum kembali ke tempatnya.

Inspektor Daniel turut keluar dari kenderaan. Pandangannya jatuh pada Emma — dan untuk seketika, dia terdiam. Wajah wanita itu tampak begitu ayu dalam cahaya pagi, cukup untuk membuatkan dadanya bergetar, seperti kali pertama dia memandangnya malam tadi.

"Terima kasih, Cik Emma, kerana sudi memberi kerjasama kepada kami," ujar Daniel, cuba menyembunyikan rasa yang mula bersarang di hatinya.

Emma mengangguk kecil. "Sama-sama… saya pun berterima kasih kerana Tuan telah menghantar saya pulang dengan selamat." Dia kemudian tersenyum sebelum menyambung, "Oh ya, Tuan Daniel… terima kasih atas sapu tangan yang Tuan pinjamkan malam tadi."

Emma membuka beg tangannya dan mengeluarkan sehelai sapu tangan bersih, terlipat kemas. Dia menghulurkannya kepada Daniel.

"Sama-sama…" balas Daniel seraya menyambut sapu tangan itu dengan cepat, lalu menyimpannya ke dalam saku bajunya, seperti menyimpan sesuatu yang lebih daripada sekadar sehelai kain.

Emma melambai perlahan ke arah mereka saat kenderaan itu mula bergerak menjauh. Daniel sempat menoleh ke belakang, pandangannya masih melekat pada sosok Emma yang berdiri di hadapan pejabat, ditiup angin lembut pagi.


-----

Jam dinding menunjukkan pukul 10.45 malam. Pejabat sunyi. Bunyi jarum jam berdetik di dinding menjadi satu-satunya irama yang mengisi ruang. Inspektor Daniel masih di mejanya, dikelilingi timbunan fail siasatan pembunuhan Mona. Kertas-kertas itu penuh dengan kronologi, analisis forensik, dan kenyataan saksi… namun fikirannya melayang jauh dari semua itu.

Dia termenung, merenung kosong ke arah helaian nota di depannya, tetapi yang hadir dalam kepalanya bukanlah wajah suspek atau bukti kes — sebaliknya, wajah Emma.

Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Tangannya segera menyeluk saku jaket. Perlahan, dia menarik keluar sehelai sapu tangan.

Pastel pink. Lembut warnanya, seperti peribadi pemiliknya. Tepi sapu tangan itu dijahit rapi dengan benang maroon, dan di satu penjuru, tertulis satu nama dalam sulaman halus: EMMA.

Daniel tersenyum. Senyuman yang hanya muncul bila dia bersendirian begini — bila tidak perlu menyembunyikan apa-apa.

Dia mengangkat sapu tangan itu ke hidung dan menghidu perlahan.

"Wangi..." bisiknya sendiri, seakan sapu tangan itu menyimpan haruman Emma — haruman yang hanya dia mampu ingat, tapi tak pernah berani luahkan.


Tangannya menggenggam sapu tangan itu dengan perlahan, seolah-olah takut melukai sesuatu yang begitu rapuh. Di lubuk hatinya, ada rasa rindu yang tidak tahu sejak bila mula tumbuh. Mungkin sejak pertama kali melihat mata Emma yang menyimpan seribu cerita. Atau mungkin sejak dia hulurkan sapu tangan itu dahulu — saat pertama kali melihat wanita itu menangis dalam diam.

Dia bersandar ke kerusi, menutup mata sejenak. Malam itu terasa lebih panjang, kerana dia tahu... hatinya sudah tidak lagi kosong.

"Ehhhh...jangan-jangan dia tersilap bagi ni" kata hati kecil Inspektor Daniel.


Tanpa berfikir panjang, dia mencapai telefon bimbitnya Dan mendail nombor Emma.

Talian disambut segera.

“Hello…” suara lembut Emma kedengaran di hujung sana, hampir berbisik.

“Saya… Daniel,” ujar Inspektor itu, suaranya rendah namun jelas.

“Ya, Inspektor... kenapa telefon saya malam-malam begini? Nak soal siasat lagi kah?” tanya Emma sambil tertawa kecil.

Daniel turut tergelak perlahan. “Tidak… saya cuma nak beritahu. Cik Emma tersilap bagi sapu tangan tadi.”

“Ohhh…” Emma ketawa kecil. “Saya tak silap, Tuan. Memang saya beri. Khas untuk Tuan.”

Daniel terdiam sejenak. Suara Emma yang menyebut 'Tuan' itu kedengaran terlalu formal… terlalu jauh.

“Tuan?” panggil Emma, bila tiada balasan. “Tuan tak sudi kah?”

“Emmm… panggil saya Daniel saja. Kita tak formal sekarang,” balasnya perlahan.

“Baik… Daniel,” jawab Emma, perlahan, seakan menguji bunyi nama itu di bibirnya.

“Betul ke sapu tangan tu... Emma beri untuk saya? Bukan tersilap beri pada sesiapa?” soal Daniel, masih ragu, tetapi dengan nada penuh harapan.

“Tak silap… memang untuk Daniel. Kalau Daniel sudi menerimanya,” jawab Emma, lembut dan tulus.

Daniel tersenyum lagi. Jiwanya bagai dilambung ombak tenang.

“Kenapa tak sudi... pemberian daripada wanita secantik Emma. Saya akan simpan sampai bila-bila.”

“Simpan tau… jangan buang,” pesan Emma dengan nada berseloroh manja.

“Saya ada banyak lagi sapu tangan macam tu,” tambahnya. “Dah lama saya simpan. Tapi baru malam ini saya berikan pada seseorang.”

“Berapa helai lagi?” usik Daniel, ingin tahu.

“Sebelas helai lagi… kalau Daniel mahu, saya boleh bagi lagi,” balas Emma, tawa kecilnya menghiasi bicara.

Daniel tergelak perlahan.

“Saya bergurau saja… Tapi terima kasih, Emma. Malam ni… saya tidur bertemankan haruman sapu tangan ni. Wangi... dan menenangkan.”



EMMA
“Kalau saya beri sapu tangan tu… tak ada orang yang marah ke?”
Nada suaranya bersahaja, tapi ada getar halus yang cuba disembunyikan.

INSPEKTOR DANIEL
“Tak ada…”
Jawapannya perlahan, datar. Namun cukup untuk membuatkan Emma menoleh sedikit, menanti lebih.

EMMA
“Betul tak ada?”

INSPEKTOR DANIEL
“Betul…”

EMMA
“Kenapa tak ada?”

Daniel diam beberapa saat, seolah memilih untuk melepaskan sesuatu yang lama dipendam.

INSPEKTOR DANIEL
“Sebab dia dah tak ada…”

Emma membisu. Dada terasa bergetar. Kata-kata itu... cukup untuk dia faham tanpa bertanya lanjut. Dan dia memilih untuk tidak menyelak tirai masa lalu lelaki itu.

EMMA
“Baiklah, Daniel… mungkin Daniel nak berehat. Esok kena kerja, kan?”

INSPEKTOR DANIEL
“Saya masih di pejabat.”

EMMA
“Oh ya ke? Kesiannya…”
Nada suara Emma melembut, penuh simpati.

INSPEKTOR DANIEL
“Kalau kesian… temankanlah saya sekejap.”
Nada suaranya berubah, penuh usikan yang menggoda.

EMMA
“Ehhh… tak boleh. Saya ni terlibat dalam siasatan Daniel sekarang.”
Dia tergelak kecil, cuba menyembunyikan debar di dada.

INSPEKTOR DANIEL
(Sambil ketawa perlahan)
“Saya gurau sajalah. Lagipun, Inspektor Hamid ada je kat bilik sebelah ni.”

Suasana jadi senyap seketika, tapi bukan senyap yang janggal — ia senyap yang penuh rasa. Ada sesuatu yang mula tumbuh antara dua jiwa yang pernah luka.


Suasana jadi senyap seketika, tapi bukan senyap yang janggal — ia senyap yang penuh rasa. Ada sesuatu yang mula tumbuh antara dua jiwa yang pernah luka.

"Saya cuma berharap Rania segera ditemui dengan selamat... dan kita tahu siapa pembunuh Mona," kata Emma perlahan, seolah-olah berbicara kepada harapan yang menggantung di udara malam.

Inspektor Daniel tidak menjawab segera. Dia hanya memandang ke arah fail di hadapannya, namun fikirannya melayang pada suara Emma yang kedengaran jujur dan penuh keprihatinan.

"Mudah-mudahan semuanya segera berakhir," sambung Emma lagi. "Kalau Rania ditemui dengan selamat, dan semuanya berakhir dengan aman…"

Daniel menunggu. Jantungnya berdegup sedikit laju tanpa sebab yang pasti. "Kalau semua berakhir dengan aman...?" ulangnya, lembut. Ada sesuatu dalam nadanya yang membuatkan Emma sedikit gugup.

"Saya... saya belanja Daniel minum kopi," balas Emma sambil tertawa kecil, cuba menghapuskan ketegangan yang tiba-tiba terasa aneh.

Daniel tersenyum, puas. "Janji ya? Jangan mungkir."

Emma ketawa lagi, dan untuk seketika, bunyi tawanya seperti satu irama yang menenangkan jiwa Inspektor Daniel — di tengah dunia yang penuh dengan teka-teki dan luka, suara Emma seakan satu kelegaan yang manis.


“Selamat malam, Daniel,” bisik Emma.

“Selamat malam, Emma,” balasnya perlahan, sebelum memutuskan talian.

Daniel meletakkan telefon, menggenggam sapu tangan itu erat. Malam itu, bukan hanya haruman kain yang menemaninya, tetapi juga bayangan seorang wanita yang mula mengetuk pintu hatinya.

Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini