Bab 20 - Bintang Yang Ku Gapai
Keesokan harinya, seperti biasa, Kak Wan datang membawa sarapan untuk Tamara. Aroma kopi panas dan roti bakar memenuhi ruang bilik itu. Namun pagi ini, Tamara telah bangun lebih awal dari biasa. Dia sudah mandi dan hanya mengenakan baju tidur kelawar yang diberikan oleh Kak Wan malam semalam — polos dan ringkas, namun cukup menutup tubuhnya.
Setelah meletakkan talam di meja, Kak Wan terus mencapai bakul laundry yang penuh dengan baju-baju kotor. Tamara menjeling ke arah bakul itu — matanya tajam, memerhati. Mungkin ada sesuatu di dalamnya yang boleh dijadikan alat bantu untuk keluar dari tempat ini.
“Kak Wan…” Tamara bersuara perlahan sambil menuang kopi ke dalam gelas, “Saya nak solat. Ada telekung tak?”
“Ada, ada… nanti Kak Wan ambilkan ya,” balas wanita itu sambil tergesa-gesa menuju ke pintu.
Klik. Bunyi pintu dikunci dari luar.
Tamara segera meluru ke bakul laundry. Tangannya ligat menyelongkar baju-baju kotor yang tersusun tidak kemas. Dia terhenti apabila menjumpai sepasang pakaian — blaus dan seluar biru muda dengan jalur putih di sisi. Pakaian seragam Kak Wan. Tanpa berfikir panjang, Tamara menyembunyikan pakaian itu di bawah tilam. Jantungnya berdebar, tetapi fikirannya tetap tajam. Aku akan guna baju ni untuk keluar dari sini. Dengan cara apa pun.
Dia segera menyusun semula baju-baju lain ke dalam bakul seolah-olah tiada apa yang berubah.
Beberapa ketika kemudian, Kak Wan kembali — lambat sedikit dari biasa. Tamara telah pun menghabiskan sarapannya.
“Maaf Kak Wan lambat…” ujar wanita itu sambil menghulurkan sepasang telekung putih.
“Kak Wan sibuk sikit tadi. Beritahu orang katering untuk letak meja-meja. Malam ni Datuk buat party besar... sempena filem dia yang dapat box office.”
Tamara pura-pura terkejut. “Oh ya ke? Ramai ke orang datang nanti, Kak Wan?”
“Biasanya ramai, Cik Rania. Pengarah-pengarah filem, artis-artis, datuk-datuk, datin-datin... semua datang.”
Malam ni peluang aku, bisik hati Tamara.
Dia menatap Kak Wan, lalu cuba memancing lagi.
“Kak Wan... Kak tahu tak kenapa saya dikurung di sini?”
Kak Wan kelihatan sedikit gelisah, namun hanya menggeleng sambil tersenyum kecil. “Mungkin Datuk nak kahwin dengan Cik Rania kot… Saya tak pernah tengok dia bawa perempuan ke rumah ni.”
Tamara hanya tersenyum hambar. Kahwin? Dengan penculik? Lelaki tua keji? Jangan harap...
Dia diam seketika, kemudian bertanya dengan nada biasa, “Kak Wan... semalam Kak Wan ada di sini?”
“Oh, tak ada. Kak balik semalam. Minta izin dengan Datuk. Cucu Kak tiba-tiba demam. Emak dia kerja shift malam — dia nurse.”
Tamara mengangguk perlahan. Patutlah...
Tiba-tiba, telefon bimbit Kak Wan berbunyi. Wanita itu tergesa-gesa menyeluk poket uniform dan mengeluarkannya.
“Alah… telefon Kak ni memang buat hal… kadang-kadang tak boleh jawab panggilan,” katanya sambil menepuk-nepuk telefon itu di tapak tangan.
Tamara melihat peluang terbuka luas.
“Cuba saya tengok, Kak. Saya tak mahir sangat, tapi dulu saya kerja kedai handphone. Boleh baiki sikit-sikit.”
Kak Wan menyerahkan telefon itu. “Tengok dulu siapa yang panggil tu…”
Tamara menekan butang, namun telefon itu tidak menyala.
“Macam dah mati bateri, Kak. Caj dulu, baru saya boleh tengok apa masalahnya.”
“Baiklah. Kak caj di sini sajalah. Bila penuh nanti, Cik Rania tengok-tengokkan ya.”
“Baik, Kak…” Tamara tersenyum — senyuman yang disembunyikan di balik gelas kopi.
Kak Wan mengangkat bakul laundry dan keluar dari bilik itu seperti biasa, tanpa menyedari apa yang baru sahaja berlaku.
Dan Tamara?
Dia menoleh ke tilam. Di bawahnya, tersembunyi seragam biru muda.
Di meja, telefon bimbit Kak Wan yang sedang dicas mula menunjukkan nyawa.
Malam ini akan tiba — dan dengan malam itu, Tamara akan cuba meloloskan diri dari neraka bernama rumah ini.
------
Selepas Maghrib, bilik Tamara sunyi. Dia telah bersiap — menyarung uniform Kak Wan: baju blaus biru muda dan seluar bergaris putih yang sedikit singkat di kakinya. Tudung bawal chiffon dililit ringkas menutup wajahnya. Dia mencapai sepasang selipar jepun yang masih berbalut plastik, lalu meletakkannya di tepi pintu.
Dia menyelak langsir tebal.
Villa itu terang benderang. Lampu-lampu pesta menggantung di setiap sudut, dan beberapa kenderaan mewah keluar masuk di halaman depan. Tetapi yang menarik perhatiannya adalah sebuah pagar kecil di sisi perkarangan — tempat orang-orang katering keluar masuk membawa dulang dan peralatan.
Itu laluan aku, kata Tamara dalam hati.
“Maafkan aku, Kak Wan… aku terpaksa.”
Bunyi ketukan pintu mengejutkannya. Tamara pantas melompat naik ke atas katil dan menarik selimut menutupi tubuhnya.
Pintu dibuka. Kak Wan muncul.
“Ehh, Cik Rania… tidur ke?” soalnya, menoleh ke arah katil.
“Saya demam, Kak Wan…” jawab Tamara lemah. “Ambilkan air tu… saya haus.”
Tanpa syak, Kak Wan melangkah ke meja kecil di sudut bilik.
Dan saat itulah Tamara bertindak.
Dengan sepantas kilat, dia menyingkap selimut dan meluru ke arah Kak Wan, merangkul kepalanya dengan kuat dari belakang. Kak Wan terjelepuk ke lantai, cuba menjerit, namun suara itu ditelan tuala kecil yang disumbat ke mulutnya.
“Maafkan saya, Kak…”
Dengan cepat dan tenang, Tamara mengikat tangan Kak Wan menggunakan tudung bawal chiffon dan membalut kakinya dengan sarung bantal yang telah dia sedia tanggal sejak tengah hari tadi. Kepala Kak Wan ditutup kembali dengan selimut — hanya tubuh kecilnya yang terbaring kaku, digelapi panik dan bingung.
Tamara mengangkat Kak Wan ke atas katil dan menyelimutinya dari paras dada ke kaki.
“Kak Wan, maafkan saya ya. Tidur malam ni kat sini dulu. Saya akan keluar… tapi saya janji, saya bukan nak lukakan sesiapa.”
Tamara menjengukkan kepalanya perlahan-lahan keluar dari pintu bilik.
Jantungnya berdegup kencang. Matanya melilau ke kiri dan kanan, memeriksa koridor panjang yang remang-remang diterangi lampu dinding. Tiada sesiapa. Hanya bunyi muzik rancak dari laman utama villa yang bergema sampai ke tingkat atas. Lagu yang sama dimainkan sejak petang tadi — seakan menjadi pengalih perhatian sempurna untuk apa yang akan dilakukannya.
“Sekarang atau tidak langsung,” bisik hati kecilnya.
Dengan cermat, Tamara melangkah keluar, lalu menutup pintu di belakangnya. Bunyi kunci berpusing dari luar kedengaran halus — cukup untuk menandakan dia tidak akan kembali ke bilik itu lagi. Nafasnya ditahan. Kakinya laju menyusuri lorong, setiap langkah terasa seperti berlumba dengan waktu. Gaun ringkas yang dipakainya meleret sedikit, tetapi dia tidak peduli.
Setiap detik di villa itu terasa semakin menghimpit.
Dari satu sudut, cahaya samar bulan menembus masuk melalui tingkap tinggi, membentuk bayang-bayang aneh di lantai marmar. Tamara terus bergerak — tidak lagi menoleh ke belakang. Matanya sesekali mengintai ke arah tangga utama yang menjunam ke ruang tengah villa.
“Jangan ada yang nampak… jangan ada yang tahan aku…” fikirnya.
Langkahnya terhenti apabila terdengar derapan kasut dari arah bertentangan. Seorang lelaki berpakaian seragam berwarna biru gelap muncul dari sebuah pintu sambil menatang kotak hitam berisi peralatan. Di bajunya tertera tulisan “Maintenance Unit”.
Mereka berselisih. Lelaki itu sekadar mengangguk, tidak mengesyaki apa-apa.
Tamara berdiri kaku seketika beberapa langkah dari pintu yang baru saja ditutup rapat oleh lelaki berjaket kulit tadi. Degupan jantungnya masih belum tenang. Nafasnya pendek-pendek, menandakan tubuhnya sedang menanggung tekanan dan ketakutan yang mencengkam.
Matanya terpaku pada daun pintu yang berwarna kelabu suram itu. Hatinya bergetar apabila dia mula menyedari sesuatu—bukankah ini bilik yang pernah dibuka oleh dua lelaki malam itu? Ya… malam yang penuh dengan bayangan ngeri. Malam di mana mereka mengusung plastik hitam besar itu masuk ke dalam. Plastik yang tidak bergerak... berat... dan bentuknya sangat mencurigakan. Wajah Maimunah terbayang sekelip mata di fikirannya. Mayat? Adakah di situlah mayat Maimunah ‘dilenyapkan’?
Bulu roma di tengkuk dan lengannya tegak berdiri tanpa amaran. Tamara segera menekup mulutnya, menahan rasa loya yang tiba-tiba menjalar dari perut ke dada. Dia melangkah ke belakang, namun dengan pantas memberanikan diri semula dan melangkah perlahan-lahan ke arah pintu tersebut, seolah-olah dipanggil oleh rasa ingin tahu yang tak tertahan.
Langkahnya berhati-hati, senyap, hampir tidak berbunyi. Dia tahu, sebarang bunyi yang mencurigakan mampu membawa padah. Ketika berdiri tepat di hadapan pintu, matanya menangkap satu perkataan yang terpampang jelas dengan cat merah pudar—EXIT. Hatinya melonjak sedikit. Ini pintu keluar, bisik hati kecilnya penuh harapan. Mungkin lelaki tadi menggunakan tangga ini untuk naik ke tingkat atas.....dan tangga ini jugalah tempat dua lelaki malam itu membawa mayat Maimunah keluar Dari villa ini.
Dengan tangan yang sedikit menggigil, Tamara menghulurkan jari dan memulas tombol perlahan-lahan. Pintu itu sedikit berkarat, mengeluarkan bunyi berkeriuk yang hampir membuatkan jantungnya terhenti. Namun tiada sesiapa yang muncul. Dia menarik nafas dalam-dalam dan menjenguk ke dalam.
Ruang sempit terbentang di hadapannya. Cahaya dari lampu kalimantang yang kelam menggambarkan suasana yang muram dan sunyi. Dinding konkrit kasar dengan paip-paip besi yang menjalar di atas siling menambahkan rasa sejuk dan mendebarkan. Tangga besi curam menjunam ke bawah, membawa ke satu kawasan yang tidak terlihat dari tempat dia berdiri. Tangga itu bersambung ke satu pintu pagar keselamatan berpalang besi di bawah sana. Di balik pagar itu, Tamara dapat melihat sedikit cahaya dari luar—lampu jalan yang malap dan kelibat daun pokok yang bergoyang perlahan ditiup angin malam.
Itu dunia luar. Dunia yang bebas. Nafasnya semakin laju. Harapannya melonjak.
Namun... bagaimana jika ruang ini turut diawasi? Bagaimana jika seseorang sedang menunggu di bawah? Atau pintu itu terkunci dari luar?
Tamara menggenggam tangan kirinya, cuba mengumpul semangat. Dia tidak boleh berpatah balik. Tidak sekarang. Inilah satu-satunya peluang. Perlahan-lahan, dia menuruni anak tangga, satu demi satu, jantungnya seakan berdentum di telinga sendiri. Suara langkahnya berlaga dengan anak tangga logam kedengaran bergema, walaupun dia sudah berhati-hati.
Semakin hampir ke bawah, hidungnya mula menangkap aroma satay yang sedang dibakar. Haruman itu kuat dan menyelerakan, membuatkan hatinya berbisik: Mungkin kawasan parti diadakan di sini.
Apabila tiba di hujung anak tangga, sebuah pintu kayu sederhana kelihatan. Dengan satu helaan nafas, Tamara menggenggam tombol pintu itu dan menolaknya perlahan. Serentak, aroma satay yang tadi samar kini menyerbu hidungnya — hangat, menggoda, dan mengesahkan tekaannya.
Beberapa orang wanita berdiri tidak jauh dari pintu itu, masing-masing berpakaian seragam kemeja putih dan seluar hitam. Di poket kiri dada mereka, tertulis kemas "Arza Catering".
Mereka hanya tersenyum apabila melihat Tamara muncul dari pintu itu. Tiada siapa menyoal atau menahan. Tamara membalas dengan senyuman ringkas dan satu anggukan, sambil membetulkan tudungnya yang sedikit senget.
Langkahnya segera dipercepat. Tegas dan terarah, dia menuju ke pagar kecil di tepi villa. Matanya liar mencari-cari kemana arah pintu itu menuju.
Dia mempercepatkan langkah meninggalkan villa itu sehingga dia sampai ke jalan utama. Dia menarik nafas dalam-dalam Dan matanya liar memandang ke kiri kanan jalan. Tiba-tiba sebuah van berhenti di tepinya dan membunyikan hon. Tamara hampir saja menjerit dan dia berlari anak ke arah tepi jalan yang berumput. Kaca van di turunkan. Pemandunya seorang perempuan sebaya Kak Wan.
"Dik ....nak pergi mana?" Tanya wanita itu.
"Nak ke stesyen bas " tiba
Comments
Post a Comment