Bab 6
Bab 6
Yang Hilang Bukan Cinta
Selepas Alia melabuhkan punggung di kerusi kosong di sebelah Hisham, dia tidak duduk diam. Tangannya yang kecil ligat memegang bungkusan kuih bahulu bakar yang baru saja diberikan kepada Mariam. Matanya kemudian teralih ke arah kotak putih sederhana di atas meja.
"Kek hari jadi ke?" tanya Alia sambil menepuk-nepuk perlahan kotak itu. Matanya bersinar, penuh rasa ingin tahu. "Siapa birthday hari ni, bang?" soalnya lagi sambil memandang Hisham.
Hisham hanya tersenyum sambil mengusap lembut kepala gadis itu. "Kak Lydia Dan Alia lah…," jawabnya ringkas, wajahnya ceria melihat telatah gadis kecil itu.
"Happy birthday Kak" kata Alia dengan Suara yang jelas menunjukkan dia gembira.
"Ehh… Bang Sham....bukan hari tu dah sambut birthday Alia kah? Ada kek juga," kata Alia sambil ketawa kecil. Jelas kegembiraan terpancar di wajahnya, polos dan tulus, seperti kanak-kanak seusianya yang hanya tahu gembira tanpa memikirkan hal yang rumit.
Lydia tersenyum nipis, walau dalam hati masih ada sisa perasaan yang dia sendiri sukar tafsirkan. Dia segera membuka kotak itu perlahan-lahan. Mata mereka bertiga tertumpu ke arah Lydia yang berhati-hati mengangkat penutup kotak, memperlihatkan sebiji kek berwarna kuning lembut dengan hiasan sederhana, namun cukup manis dipandang.
"Wahh… cantiknya kek ni," puji Alia dengan mata membulat teruja. Kemudian dia memandang Lydia, senyumnya makin melebar.
Tanpa ragu, dia berkata dengan nada jujur yang tak berselindung, "Bunga kek ni cantik macam Kak Lydia Dan Abang Sham....sepadan" ucap Alia selamba, tangannya menunjuk ke arah Hisham dan Lydia silih berganti.
Suasana di meja itu seketika terhenti. Lydia yang baru saja meletakkan kek itu di tengah meja, terpempan sejenak. Hisham terdiam, hanya memandang Alia dengan kening sedikit terangkat, kemudian perlahan-lahan senyuman nipis terukir di bibirnya, menahan rasa malu yang mula merayap ke wajahnya.
Mariam pula sudah tergelak kecil, bahunya terhingut-hingut menahan tawa. Pandangannya jatuh ke arah Lydia yang jelas terpinga-pinga.
Lydia menelan liur perlahan, wajahnya terasa panas, namun dia tetap mengukir senyuman senget. "Alia ni suka cakap ikut suka hati dia saja ya," katanya sambil mencubit lembut hujung hidung Alia, cuba mengalihkan rasa malunya sendiri.
Alia ketawa ceria, tidak sedar apa-apa tentang reaksi dua insan dewasa itu yang jelas sedang cuba menyembunyikan debaran masing-masing.
Hisham hanya menggeleng perlahan, matanya masih melirik Lydia, dan tanpa dia sedar… kata-kata polos dari seorang gadis kecil itu cukup membuatkan fikirannya berfikir panjang — tentang perasaan yang selama ini dia sendiri cuba nafikan.
Setelah selesai makan, Mariam mencadangkan mereka ke acara yang paling dinanti-nantikan oleh si kecil itu.
"Jom potong kek untuk Lydia Dan Alia," ajak Mariam sambil mengangkat kotak kek yang sudah dibuka tadi.
Wajah Alia berseri-seri, kegembiraannya jelas terpancar apabila Mariam mengatur lilin kecil di atas kek kuning lembut itu. Dengan hati-hati, Mariam menyalakan lilin tersebut, sementara Hisham dan Lydia tersenyum memerhati telatah si kecil yang tidak sabar-sabar mahu meniup lilin.
"Yeayy!" sorak Alia sebaik lilin padam ditiupnya. Lydia Dia terus memotong kek itu dengan tangan kecilnya, Mariam membantunya memegang pisau agar kek itu tidak terlepas dari pegangan.
Tidak lama kemudian, Alia memandang Lydia dengan mata yang bersinar-sinar, penuh harapan.
"Kakak… jom bergambar dengan Alia dan Abang Sham," ajaknya, tangannya sudah ligat menarik lengan Lydia.
Lydia tersentak kecil, senyuman di bibirnya mati perlahan. Dia menggeleng perlahan, wajahnya berubah canggung. "Eh… tak payah lah…," katanya, cuba menolak dengan sopan.
"Alaaa… jomlah… Kak Yam, tolong pujuk dia," rayu Alia sambil memandang Mariam dengan wajah manja.
Mariam sudah ketawa kecil, matanya memandang Lydia penuh usikan. "Ahaaa... jomlah Lydia bergambar kenangan… bukan selalu," katanya sambil menolak lembut bahu Lydia.
Alia semakin kuat menarik tangan Lydia, wajah comelnya penuh harapan.
Lydia menghela nafas, cuba menahan degupan jantung yang semakin laju. Dia dapat rasa… pandangan Hisham yang duduk di hadapannya itu tidak pernah lepas dari dirinya.
Hisham hanya tersenyum, tidak berkata apa-apa. Tapi jauh di sudut hatinya, dia benar-benar berharap Lydia bersetuju. Dia mahu gambar itu… dia mahu kenangan itu… dan diam-diam dia mahu Lydia ada di sisinya… walau untuk sekeping gambar.
Lydia memandang wajah Hisham yang tenang itu… dan dia kalah.
"Okeylah… sekali je tau," katanya akhirnya, menyerah kalah pada pujukan dan harapan yang terlukis di wajah mereka semua.
Namun dalam hatinya, dia tahu — dia sebenarnya tidak setegas yang dia tunjukkan. Diam-diam, dia sendiri mengharapkan saat itu diabadikan. Sekeping gambar itu… dia mahu… dia mahu melihatnya nanti, di kala dia bersendirian, di saat hati mula rindu, di saat dia perlu mengingatkan dirinya bahawa malam ini… bukan mimpi.
“Biar pun hanya sekeping gambar… tapi mungkin itu cukup untuk jadi peneman aku nanti…,” bisik hatinya perlahan.
Hisham berdiri di sisi mereka, senyuman tidak lekang dari wajahnya. Mariam mengambil telefon, bersedia menangkap detik itu. Alia berdiri di tengah-tengah, tangan kecilnya melingkar di lengan Hisham dan Lydia.
"Satu… dua… tiga…," suara Mariam kedengaran.
Klik…
Detik itu terhenti seketika. Lensa kamera menangkap bukan hanya wajah-wajah yang tersenyum… tapi juga cerita yang tersimpan rapi di dalam hati masing-masing. Lydia tersenyum, namun debaran dadanya tetap bersisa. Hisham di sisi, wajahnya tenang… tapi dia tahu lelaki itu juga menyembunyikan sesuatu yang tak terucap.
Dan Lydia hanya mampu berharap… gambar itu nanti bukan sekadar kenangan… tapi mungkin… permulaan sesuatu.
Alia bersorak kecil, Mariam ketawa puas… dan Hisham, hanya senyum… senyum yang penuh makna.
Selepas itu, Mariam memotong kek menjadi beberapa bahagian kecil dan membahagi-bahagikan kepada mereka.
"Nah Hisham… Lydia… Alia… dan untuk aku sendiri," kata Mariam sambil menyerahkan potongan kek kepada setiap seorang.
Mereka menikmati kek itu sambil berbual santai. Tidak lama selepas itu, Mariam mengalihkan perhatian Alia dengan satu cadangan yang membuatkan mata si kecil itu kembali bersinar.
"Alia nak ice cream tak?" tanya Mariam, senyuman nakal terukir di wajahnya.
Alia yang sedang menyuap kek berhenti seketika. Matanya membulat, bersinar-sinar sebaik mendengar perkataan 'ice cream'.
"Nak… ada ke jual kat sini?" tanyanya, nada ragu-ragu bercampur teruja.
"Ada… jom kita pergi ke kedai seberang jalan tu," ajak Mariam sambil bangun dan menarik tangan Alia.
"Hati-hati…," pesan Hisham, pandangannya mengikuti langkah mereka berdua yang perlahan-lahan beredar dari tempat itu.
Dan… kini tinggal mereka berdua. Suasana sepi seketika, hanya deruan ombak dan bayu laut yang menemani.
Hisham melayangkan pandangannya ke arah Lydia. Matanya tidak berkelip memerhati gadis di hadapannya. Ada sesuatu tentang Lydia yang buat dia rasa… lain. Mata itu… cantik. Jernih. Bulu mata itu melentik, asli… hatinya membisikkan. Dia tersenyum kecil sendiri, terkenangkan fikirannya sebelum ini yang sempat meneka mungkin Lydia memakai bulu mata palsu.
Ternyata, semua itu asli… seindah tuan empunya diri.
Sedang dia asyik termenung memandang Lydia, gadis itu perasan akan lirikan matanya yang tak lepas memerhati.
"Ehh… kenapa pandang saya macam tu? Tersenyum-senyum lagi…" tegur Lydia, keningnya terangkat sedikit, nada suaranya separuh bergurau, separuh berbaur rasa tak selesa menahan debar di dada.
Hisham tersentak kecil, namun senyumannya makin melebar. "Tak… saya cuma… tertanya-tanya…," balas Hisham perlahan.
"Tertanya apa?"
"Macam mana awak boleh cantik semula jadi macam tu… tak pakai apa-apa tambahan pun…," ujar Hisham jujur, matanya tak lepas memandang Lydia yang jelas kelihatan malu dengan pujian itu.
Lydia menunduk, cuba menyembunyikan senyuman yang mulai terukir di bibirnya.
"Ahhh…pandainya awak berkata-kata," balasnya perlahan sambil tersenyum tapi jantungnya berdegup kencang.
Dan di malam yang sederhana itu, dengan hanya bunyi ombak dan angin pantai sebagai saksi, mereka saling bertentangan mata, cuba memahami rasa yang mula bercambah… walau tanpa kata yang jelas terucap.
Lydia duduk diam, memandang wajah lelaki di hadapannya yang sejak tadi tidak beralih memerhati dirinya. Sorot mata itu… tidak seperti pandangan lelaki lain yang pernah dia temui. Pandangan Hisham… ada sesuatu yang sukar diterjemah. Ada keikhlasan. Ada rasa yang dia sendiri tidak berani tafsirkan.
Jantung Lydia berdetak laju. Dia cuba mengalih pandangan, cuba menunduk, namun… mata itu seakan memanggil-manggil hatinya untuk berani mengakui apa yang dia sendiri sembunyikan selama ini.
“Kenapa kau buat hati aku begini, Hisham…” bisik hati kecil Lydia, perlahan… sehalus bayu pantai yang menyapa wajahnya.
Dia cuba menafikan. Dia cuba menahan rasa. Namun hakikatnya… lelaki di hadapannya itu perlahan-lahan sudah mula mengetuk pintu hatinya. Diam-diam, tanpa sedar… ruang kosong dalam dirinya yang selama ini dipenuhi ketakutan, kecurigaan… kini seakan dibelai oleh kehadiran Hisham.
“Aku tak boleh… aku tak boleh biar hati aku jatuh pada kau… tapi kenapa… setiap kali kau pandang aku macam tu, aku rasa dunia aku perlahan-lahan berubah…”
Lydia menghela nafas, cuba menenangkan debaran yang makin kuat menguasai dadanya. Dia tahu, jika dia terus berada di hadapan lelaki itu, jika dia terus melayan getaran rasa itu… dia sendiri akan tewas dengan perasaannya.
“Hisham… jangan baik sangat… jangan pandang aku macam aku istimewa… aku takut… aku takut hati aku makin dekat… dan aku takut… aku tak mampu pergi jauh lagi dari kau…”
Wajah Hisham di hadapannya masih tenang, matanya tak lepas memerhati. Lydia senyum nipis, senyum yang cuba menutup gelora hatinya.
Tapi dia tahu… jauh di sudut hati yang paling dalam… lelaki itu sudah mula menapak perlahan-lahan, meninggalkan jejak yang dia sendiri tidak tahu bila akan hilang.
Alia mengalihkan pandangan dari bertatapan dengan lelaki yang telah mula mencuri ruang dalam hatinya dan cuba menyembunyikan debaran di dada. Tangannya menolak pinggan kek itu ke arah Hisham. "Habiskanlah kek tu," katanya, sekadar mahu mengalihkan topik.
Hisham tersenyum senget, matanya tak lepas dari wajah Lydia yang jelas kelihatan merah merona. "Saya suapkan…" katanya, tangannya perlahan mencapai sudu kecil yang terletak di pinggan.
"Ahhh… malu lah…," Lydia tergelak kecil, wajahnya makin merah, matanya melirik sekeliling — bimbang jika ada mata-mata yang memerhati.
Hisham mengangkat kening, sudu kecil di tangannya sudah berisi sedikit kek. "Orang lain tak kisah pun pada kita… dekat lah sikit," ujarnya tenang, senyumannya nakal bermain di bibir.
Lydia tergelak kecil, akhirnya mengalah. Dia perlahan-lahan mendekatkan wajahnya ke arah Hisham. Mata mereka bertaut lama… seolah-olah waktu terhenti seketika. Debaran di dada Lydia makin kencang, namun dia tetap membuka mulut perlahan-lahan.
Hisham menyuakan sudu itu ke mulut Lydia sambil berkata perlahan, "Happy Birthday To Lady D…"
Lydia tergelak kecil, spontan menutup mulutnya yang penuh dengan kek dengan tapak tangan. Hisham turut tergelak sama, rasa senang dan manis terpalit dalam detik itu.
"Giliran awak pula…," kata Lydia dengan nada nakal. Tangannya mencapai sudu kecil, mengambil sedikit kek dari pinggannya.
Hisham hanya senyum, wajahnya tenang, namun matanya tidak lepas memerhati Lydia yang kini menyua sudu ke arahnya.
Lydia ketawa kecil, tangannya ligat menyuakan sudu kecil berisi kek ke arah Hisham. "Marilah dekat…," ujarnya lembut, matanya bersinar penuh usikan.
Hisham hanya tersenyum, perlahan dia tunduk sedikit, membuka mulutnya… namun, gerakan itu terhenti serta-merta.
Matanya tidak lagi fokus pada sudu kecil yang hampir ke mulutnya… sebaliknya, pandangannya melewati bahu Lydia, tepat menatap dua sosok tubuh yang berdiri tegak di belakang gadis itu.
Pak Harun… dan Ibu Marini.
Wajah Pak Harun berkerut, sinar matanya tajam dan penuh makna. Sementara Ibu Marini berdiri di sisi, memandang mereka dengan wajah yang sukar ditafsir — ada kaget, ada kecewa, mungkin juga amarah yang cuba disembunyikan di balik raut wajah tenang itu.
Hisham kaku. Nafasnya tertahan seketika. Jantungnya berdetak laju, darahnya terasa berderau. Dia tak sangka — sepatutnya ini hanya malam santai tepi pantai, hanya detik manis bergurau dan berkongsi kek… tapi kini, semuanya berubah dalam sekelip mata.
Lydia masih tidak menyedari apa-apa. Dia terus ketawa kecil, wajahnya berseri, tangannya tetap menyuakan sudu kecil itu ke arah mulut Hisham.
"Alaaa… kenapa berhenti? Bukalah mulut…," katanya, masih dalam nada bergurau, matanya bersinar, tak sedar ada sesuatu yang sedang menyesakkan ruang di belakangnya.
Hisham menarik nafas perlahan, cuba mengawal wajahnya agar tidak menunjukkan kegusaran yang membuak dalam dada. Matanya masih memerhati Pak Harun dan Ibu Marini — namun dalam sekelip mata, kedua-duanya berpaling dan berjalan pergi, meninggalkan tempat itu tanpa sepatah kata.
Hisham hanya mampu memerhati bayang mereka menghilang di sebalik keramaian gerai dan orang ramai.
Dengan sisa senyuman yang dibuat-buat, Hisham akhirnya membuka mulut perlahan-lahan, membiarkan Lydia menyuapkan kek itu kepadanya.
Namun dalam hatinya, dia tahu — malam ini mungkin baru permulaan pada sesuatu yang jauh lebih rumit… sesuatu yang dia sendiri belum bersedia hadapi.
Comments
Post a Comment