Bab 11 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 11

Yang Hilang Bukan Cinta 


Langit petang itu mendung, namun di hati Lydia, tiada apa yang mampu meredupkan semangatnya. Walaupun hidupnya kini tidak lagi semewah dulu, dia bahagia — bahagia kerana dia hidup bersama lelaki yang dicintainya.


Setelah berkahwin dengan Hisham, Lydia membuat keputusan besar — meninggalkan pengajian di universiti. Bukan kerana dia tidak mahu belajar, tetapi kerana dia tidak punya pilihan.


Ayahnya, Pak Harun, menghalang semua bentuk bantuan. Biasiswa yang dijanjikan ditarik balik. Malah, Marlyn Chic Boutique yang dihadiahkan kepadanya sempena ulang tahun kelahiran ke-21, juga diambil semula.


"Kamu pilih lelaki itu, Lydia, jadi kamu juga pilih jalan susah," itu kata-kata terakhir ayahnya sebelum talian diputuskan.


Lydia telan segalanya. Luka di hati, dia simpan dalam-dalam. Demi cintanya kepada Hisham.


Mereka berdua kini mengusahakan gerai satay kecil yang dulunya milik Hisham sahaja. Setiap hari mereka sama-sama memerap daging, mencucuk satay, membakar, dan melayan pelanggan. Peluh mengalir, tapi senyuman tetap terukir.



---


Mariam pula tidak pernah putus semangat. Dia meneruskan pengajian di universiti, walaupun diuji dengan pelbagai dugaan dalam keluarga. Setiap malam, dia tekun belajar, menyiapkan tugasan, menghadiri kuliah, dan akhirnya… usahanya berbalas.


Hari itu, dia menggenggam segulung ijazah dalam bidang perniagaan. Wajahnya berseri-seri dalam jubah konvokesyen, senyuman tidak lekang dari bibir.


Namun, dalam kegembiraan itu, hatinya juga tertumpu kepada Lydia.


Hari yang sama, di hospital, Lydia melahirkan seorang bayi lelaki yang sihat dan comel. Hisham berdiri di sisi katil, memandang wajah pucat isterinya, matanya berkaca-kaca.


"Alhamdulillah... anak kita, sayang..." bisiknya perlahan sambil mencium ubun-ubun bayi kecil itu.


Lydia tersenyum lemah, air mata bahagia mengalir di pipi melihat Hisham nengazankan bayi mereka. "Muhammad Daniel... itu nama bayi kita kan?" Suami isteri itu tersenyum bahagia. Nama itu memang telah mereka pilih setelah mengetahui jantina bayi berkenaan. 

Hisham mengangguk, jari-jemarinya membelai pipi halus anak mereka. "Muhammad Daniel Hisham... semoga jadi anak soleh."



---


Tahun berlalu, kehidupan mereka sederhana namun penuh kasih sayang. Usia Muhammad Daniel sudah dua tahun Dan dia membesar sebagai bayi ceria, menjadi pelengkap hidup mereka.


Namun, kebahagiaan itu diuji lagi.


Satu malam, telefon di rumah Mak Imah berdering. Lydia yang sedang melipat kain, segera mengangkatnya.


"Halo?"


"Lydia..." suara di hujung talian itu membuat darahnya berderau.


"Ayah..." bibirnya bergetar.


Suasana sunyi seketika sebelum suara Pak Harun kedengaran tegas.


"Nenek kamu sakit tenat Di Bandung. Kamu harus segera datang, Lydia. Bawa suami kamu... bawa cucu aku. Ini bukan permintaan, ini tanggungjawab."


Lydia terkedu. Jantungnya berdegup kencang. Dia tiba-tiba teringat peristiwa tiga tahun Yang lalu..... Dia dan Hisham hampir kehilangan nyawa disebabkan suara yang baru didengarnya tadi.

  

Lydia memandang ke arah Hisham yang sedang bermain dengan Daniel di ruang tamu. Hatinya berbelah bahagi… namun dia tahu, dia tiada pilihan.


Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini