Bab 12 - Yang Hilang Bukan Cinta

Yang Hilang Bukan Cinta 


Suasana pagi itu begitu kelam-kabut. Lydia dan Hisham bergegas ke sana-sini, membuat persiapan terakhir sebelum berangkat ke Indonesia. Selepas mendapat berita dari Pak Harun tentang keadaan nenek Lydia yang semakin tenat, mereka tiada masa untuk berlengah.


Hisham memandu ke pejabat imigresen, ditemani Lydia dan anak kecil mereka, Muhammad Daniel. Walaupun letih dan serabut, Lydia cuba berlagak tenang. Dia tahu, urusan passport dan segala keperluan perjalanan perlu diselesaikan secepat mungkin.


Di pejabat imigresen, mereka mengisi borang, mengambil gambar, dan melunaskan segala urusan yang diperlukan. Daniel yang keletihan tertidur di pangkuan Lydia.


"Alhamdulillah, selesai juga," Hisham menarik nafas lega sebaik urusan passport selesai. "Lydia, tunggu sini ya. Abang ambil kereta."


Lydia mengangguk sambil memeluk Daniel yang masih lena. Dia berdiri di bawah teduhan pohon besar di hadapan pejabat imigresen, matanya memerhati Hisham yang berjalan ke arah tempat letak kereta.


Tiba-tiba, deruman enjin kedengaran laju dari arah jalan. Sebuah kereta hitam meluru ke arah Hisham.


"Abang!!!"


Jeritan Lydia bergema sekuat hati.


Dentuman kuat itu memecah keheningan. Tubuh Hisham terpelanting ke tepi jalan, darah mengalir di kaki dan wajahnya. Orang ramai menjerit dan berlari ke arah kejadian. 


Lydia hampir rebah, tubuhnya menggigil, air mata mengalir deras. Daniel yang terjaga menangis ketakutan dalam pelukannya.


---


Ambulans tiba beberapa minit kemudian. Hisham dibawa ke hospital dalam keadaan separuh sedar. Doktor mengesahkan kakinya mengalami kecederaan serius dan perlu dibedah segera.


Segala persiapan ke Indonesia terpaksa ditangguhkan.


Lydia duduk di sisi katil hospital, menggenggam tangan Hisham yang lemah. Air matanya tidak berhenti mengalir.


"Maafkan Lydia, sayang... semua ni salah Lydia... kalau bukan sebab kita nak ke Indonesia..."


Hisham tersenyum nipis walau wajahnya menahan sakit. "Ini bukan salah kamu, Lydia... ini takdir... kita sabar ya..."



---


Tufa hari selepas kemalangan itu, panggilan telefon dari Ibu Marini sekali lagi menggugat ketenangan Lydia.


"Lydia, kamu harus segera datang. Keadaan Nenek semakin buruk... Ayahmu pun sudah di Bandung. Kalau kamu tak datang sekarang, kamu mungkin tak sempat jumpa dia..."


Lydia terdiam. Matanya merenung Hisham yang masih terbaring lemah di katil hospital. Berat hatinya untuk pergi, namun dia tiada pilihan.


Dengan linangan air mata, Lydia membuat keputusan. Dia akan ke Indonesia bersama Daniel, meninggalkan Hisham yang masih terlantar, dengan janji akan segera kembali.



---


Namun, segalanya tidak seperti yang diharapkan.


Sejak Lydia dan anak mereka ke Indonesia, Hisham tidak pernah lagi menerima sebarang khabar. Panggilan telefon tidak berjawab, nombor Lydia tidak lagi aktif. Seolah-olah mereka hilang begitu sahaja.


Hari berganti minggu, minggu berganti bulan.


Dalam kesedihan dan penantian itu, Mariam dan Puan Sarimah menjadi tulang belakang Hisham. Mereka menguruskan segala keperluan, membawa Hisham menjalani fisioterapi, membantunya perlahan-lahan untuk pulih.


Dan di saat-saat itu jugalah, Mariam bertemu dengan Dr. Ridzuan — doktor muda yang merawat Hisham di hospital.


Perkenalan yang bermula dengan urusan perubatan, perlahan-lahan berubah menjadi ikatan yang lebih dalam. Hati Mariam yang selama ini belum memikirkan tentang pasangan hidup akhirnya terbuka menerima kehadiran seorang lelaki.


Cinta... hadir tanpa dipinta.


Namun di hati kecil Mariam, tetap ada kerisauan... tentang Hisham, tentang Lydia....tentang Mak Long Imah Yang senantiasa bersedih sejak kejadian itu ...dan tentang kebenaran yang belum terungkai.


Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini