Bab 13 - Yang Hilang Bukan Cinta
Yang Hilang Bukan Cinta
Sebulan sudah berlalu sejak Lydia dan anak mereka, Muhammad Daniel, terbang ke Indonesia. Namun sehingga hari ini, tiada satu pun khabar berita yang diterima Hisham. Setiap hari dia menunggu, setiap malam dia menanti… namun telefon tetap sunyi. Nombor Lydia tidak dapat dihubungi, dan seolah-olah semua yang berkaitan dengan keluarga mertuanya hilang tanpa jejak.
Hisham hanya mampu menghabiskan hari-harinya dengan rawatan fisioterapi di hospital, berkat bantuan Mariam dan ibunya, Puan Sarimah. Tubuhnya semakin susut, wajahnya semakin cengkung, namun hatinya tetap menggenggam harapan.
Petang itu, selepas sesi fisioterapi, Hisham duduk di kerusi roda di sudut ruang menunggu farmasi hospital, menanti ubatnya siap.
Seorang lelaki berbadan tinggi melangkah menghampiri, senyumannya terpancar jelas di wajah kacaknya. Kulitnya putih bersih, gaya rambutnya kemas, meski berpakaian santai dengan kemeja polo dan seluar jeans berpotongan kemas, penampilannya tetap memancarkan aura orang berpengaruh.
"Hisham, bukan?" sapa lelaki itu dengan nada sopan dalam loghat Indonesia.
Hisham mengangkat wajah, sedikit terkejut.
"Saya Bobby....panggil Uncle Bob. Saya rakan kongsi perniagaan ayah Lydia. Kita pernah bertemu, masa majlis perkahwinan kamu dengan Lydia, hampir tiga tahun lalu."
Hisham mengerutkan dahi, cuba mengingati. Wajah lelaki itu memang samar-samar pernah dilihat, tetapi terlalu banyak perkara yang berlaku sejak kebelakangan ini.
"Ada apa ya, Encik?" suara Hisham lemah, namun matanya penuh tanda tanya.
Uncle Bob menarik kerusi, duduk berhadapan Hisham. Wajahnya berubah serius.
"Saya baru seminggu pulang dari Indonesia. Saya… saya hadir ke pemakaman Lydia dan anak kamu."
Jantung Hisham terasa seperti terhenti.
"Apa maksud… pemakaman?" suaranya serak.
Uncle Bob menarik telefon bimbit dari poket seluarnya, lalu menunjukkan beberapa keping gambar. Gambar nisan, gambar majlis pengkebumian, wajah-wajah sedih di tanah perkuburan yang asing.
"Lydia dan Daniel… mereka… mereka meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Jakarta. Saya… saya minta maaf saya harus sampaikan berita ini."
Seakan dunia Hisham terhenti seketika.
"Tidak… tidak mungkin… Lydia… Daniel… mereka tak mungkin dah tiada…!" Hisham menjerit, tubuhnya menggigil, air mata meluncur laju di pipinya.
Mariam yang baru tiba bersama ibunya, terpaku mendengar berita itu.
"Ya Allah… Lydia…" Mariam menekup mulutnya, matanya berkaca.
Mak Imah jatuh terduduk di kerusi bersebelahan, wajahnya pucat.
"Kenapa… kenapa semua ni jadi begini…" bisiknya lemah.
Sementara itu, di luar bangunan hospital, Bobby Sugara berdiri di tepi keretanya. Matanya sayu memandang ke arah pintu utama hospital, tempat dia baru saja menyampaikan berita palsu yang meremukkan hati Hisham dan keluarganya.
Dia termenung lama, dadanya sesak menahan perasaan. Dia sudah terlaku dalam terlibat dalam pembohongan besar ini.
"Aku dah hancurkan hidup seorang lelaki yang tak bersalah…" bisiknya perlahan, suaranya tenggelam di antara deruan enjin kereta yang lalu lalang.
Tangannya menggeletar ketika dia membuka pintu kereta dan duduk di dalam. Nafasnya turun naik, matanya memejam erat, cuba menenangkan hati yang bergelora.
Dia menarik nafas dalam-dalam, beristighfar perlahan. Namun hatinya tetap berasa kosong. Perbuatan yang dilakukannya hari ini terlalu kejam, terlalu hina.
Tapi dia tiada pilihan. Arahan tetap arahan.
Bobby mencapai telefon bimbit dari poket seluarnya. Jari-jemarinya bergetar ketika dia menekan nombor yang sudah pun tersimpan di dalam senarai panggilan.
Talian bersambung.
"Halo…"
Suara di hujung talian kedengaran tegas.
"Rancangan kita berjaya," kata Bobby perlahan, matanya memandang kosong ke arah cermin hadapan. "Sama seperti rancangan sebelum ini… kemalangan langgar lari itu… semua ikut perancangan."
Sunyi seketika sebelum suara lelaki di hujung talian itu menyambung, nadanya puas.
"Bagus. Kamu tahu apa akibatnya kalau kamu gagal, Bobby."
Bobby menggenggam stereng kereta erat-erat. Dalam hati kecilnya, dia menjerit, namun di luar, dia hanya mampu mengangguk dan menekan butang menamatkan panggilan.
Dia memejamkan mata, wajah Lydia, wajah Muhammad Daniel, dan wajah Hisham yang terseksa… semua itu berputar dalam fikirannya.
Namun dia tahu, dia hanyalah budak kecil dalam permainan besar keluarga Lydia.
---
Sejak hari itu, hidup Hisham bagaikan tiada lagi ertinya. Dia hilang semangat, kesihatannya semakin merosot. Mariam dan beberapa orang rakan mereka, termasuk Dr. Ridzuan, cuba mengesan Uncle Bob, bertanyakan nombor telefon ayah atau ibu Lydia di Indonesia. Namun semuanya buntu.
Mereka pergi ke pejabat Import Export milik Pak Harun, namun premis itu sudah lama ditutup. Tiada alamat, tiada nombor untuk dihubungi.
Keadaan Hisham semakin parah, tubuhnya semakin lemah. Puan Sarimah juga jatuh sakit, hatinya remuk melihat keadaan anak tunggalnya yang menderita.
Akhirnya, Mariam membuat keputusan. Dia menghubungi ayahnya, Rahman, yang menetap di New York bersama isterinya, Hanum, dan adik perempuannya Sofia yang sedang menuntut dalam bidang kewartawanan di Columbia University.
"Ayah… tolonglah balik, ayah… Hisham… Mak Long… semua dalam keadaan teruk…" suara Mariam sebak di hujung talian.
Rahman terdiam, hatinya remuk mendengar berita itu. Sebelum ini dia sudah mendengar keseluruhan cerita dari Mariam dan Kak Longnya. Cerita tentang Hisham dipukul oleh orang-orang suruhan ayah Lydia, tentang pernikahan Hisham dan tentang kemalanganHisham.... tapi mereka kemudian mengatakan semuanya baik-baik sahaja.
Dia memandang isterinya, Hanum, yang turut sugul mendengar perbualan itu.
"Kita harus balik," ujar Rahman tegas. "Hisham perlukan kita… Kak Long perlukan kita…anak Kita Mariam....mereka perlukan Kita "
Tanpa berlengah, mereka segera menguruskan perjalanan pulang ke Malaysia.
Rahman, adik angkat Sarimah sejak kecil, tidak pernah menganggap Sarimah sekadar kakak angkat. Sejak dibela oleh keluarga itu sejak bayi, kasih sayang antara mereka tidak pernah berbelah bagi.
Kerana itu jugalah, Mariam yang selama ini tinggal bersama Mak Longnya begitu dijaga rapi. Hisham, Mariam, mereka seperti anak kandung sendiri dalam mata Rahman.
Comments
Post a Comment