Bab 7 - Yang Hilang Bukan Cinta
Bab 7
Yang Hilang Bukan Cinta
Sudah tiga bulan berlalu sejak malam itu — malam yang penuh debar di tepi pantai, malam di mana Hisham dan Lydia tanpa sedar menjadi tatapan ibu bapa gadis itu. Hingga ke hari ini, Lydia mahupun Mariam tidak pernah menyentuh tentang hal tersebut. Hisham pula, diam memendam seribu persoalan. Setiap hari dia tertanya-tanya, apakah Lydia tahu? Atau ibu bapanya sengaja tidak membangkitkan perkara itu? Atau… mungkin mereka tidak suka, cuma belum bersuara?
Sejak malam itu juga, hubungan mereka menjadi semakin rapat. Hampir setiap malam, Lydia dan Mariam akan singgah ke gerai sataynya di tepi pantai sebelum pulang. Kadang-kadang hanya seketika, sekadar menikmati satay panas sambil bersembang ringkas. Ada kalanya Lydia sendiri yang menghantar Mariam pulang ke rumah Mak Long Imah — ibu Hisham. Kalau tidak terburu-buru, Lydia akan turut naik, menemani Mak Imah berbual di ruang tamu sambil menikmati teh panas dan kuih-muih ringkas.
Mak Imah bukanlah orang yang mudah menilai manusia dari luaran, tapi dia bukan buta. Dia perasan cara Lydia berpakaian, kereta yang dipandunya, wangian mahal yang lekat di tubuh gadis itu, juga jam tangan eksklusif yang terikat di pergelangan tangannya. Semuanya melambangkan latar belakang yang jauh lebih mewah dari kehidupan mereka sekeluarga. Kata Mariam, ayah Lydia pemilik syarikat besar dalam bidang import eksport dan perkapalan. Keluarga Lydia bukan calang-calang orang.
Tapi... Lydia sendiri tidak pernah menonjolkan kemewahan itu. Tutur katanya sopan, senyumnya manis, dan paling penting, dia tidak kekok langsung berada di rumah mereka yang serba sederhana. Malah, jika ada masa terluang, Lydia ringan tangan membantu Mak Imah di dapur. Dia pandai menyesuaikan diri, langsung tidak memperlihatkan keangkuhan orang berada.
Namun, sebagai seorang ibu, hati Mak Imah tetap resah. Dia pernah berbual panjang dengan Hisham, meluahkan kegusarannya.
“Sham… mak bukan nak sekat kau berkawan, tapi kau sedar kan siapa kita… siapa dia…”
“Mak…” Hisham hanya mampu menunduk.
“Bukan mak nak rendahkan diri… tapi langit dengan bumi, Sham. Kalau keluarga dia tak suka… kalau dia sendiri tak sanggup hidup susah macam kita…”
Hisham diam. Kata-kata itu merayap di hati, menyentuh resah yang memang sudah lama bersarang. Dia sendiri kadang-kadang buntu. Dia tahu perasaan Lydia terhadapnya bukan main-main. Tapi dia juga tahu… keluarga Lydia mungkin melihat dirinya cuma seperti… lelaki tepi pantai. Penjual satay. Bukan sesiapa.
Tapi cinta ini, dia tak mampu sekat. Setiap senyuman Lydia, setiap kata-katanya… semakin hari semakin menghuni ruang hati Hisham.
Dan sehingga hari ini, dia tetap menanti. Menanti jawapan yang mungkin akan datang… atau mungkin akan merobohkan semua harapan yang dia bina dalam diam.
Malam itu sunyi. Hanya deru kipas siling yang berputar perlahan menjadi peneman di bilik kecil itu. Hisham berbaring di atas katil, merenung siling yang kosong, tubuhnya masih terasa segar selepas mandi dan solat Isya’, namun matanya… jauh sekali untuk terlelap.
Selalunya… saat begini, dia sudah lena, dibuai mimpi selepas seharian penat berniaga. Tapi malam ini… lain. Fikirannya terusik. Hatinya bergolak. Nama Lydia, wajah Lydia, segala tentang gadis itu berlegar-legar dalam benaknya.
Hisham menghela nafas panjang, tangannya bergerak perlahan ke arah meja tulis di sisi katil. Dia menarik laci kecil itu, laci yang selalu menjadi tempat dia menyimpan rahsia hatinya.
Sekeping gambar… dia capai dengan hati-hati, seolah-olah gambar itu terlalu rapuh untuk disentuh.
Wajah Lydia dalam gambar itu… tersenyum manis, matanya bersinar… seakan sedang memandang tepat ke dalam jiwanya.
"Lydia…" bisik hatinya perlahan, nama itu bergema di dada.
Entah sudah berapa kali gambar itu ditatap, dipeluk, dijadikan peneman di saat dia sendiri dan tenggelam dalam rasa rindu yang tak pernah surut.
Dia bawa gambar itu ke dadanya, menekannya perlahan… seolah-olah ingin merasakan kehadiran Lydia di situ, walau hanya bayang.
Lama dia berbaring begitu… memikirkan satu perkara yang tak mampu dia nafikan lagi — Cinta.
Ya… dia cintakan Lydia. Bukan sekadar suka, bukan sekadar tertarik. Ini… lebih dari itu. Perasaan yang lahir perlahan, tanpa dia sedar, tapi kini makin kuat mencengkam hatinya.
Tapi sayang… walau cinta itu hadir, mereka berdua tidak pernah benar-benar meluahkannya. Hanya bahasa mata, senyuman, dan diam-diam yang mempamerkan rasa.
Dan… di balik rasa cinta itu, dia tahu ada tembok besar yang menanti mereka. Keluarga Lydia. Beza latar belakang mereka. Kekhuatiran ibunya yang tak pernah berselindung.
"Mampukah aku lalu semua ni…? Mampukah dia bertahan…? Mampukah cinta ni cukup kuat…?"
Hisham memejamkan mata, pelukan pada gambar itu semakin erat.
Dalam diam… dia berdoa. Semoga Tuhan permudahkan jalan mereka. Semoga cinta itu… ada penghujungnya, bukan sekadar rasa yang terkunci dalam hati.
Keesokan harinya, Hisham tersentak apabila terdengar bunyi alarm dari jam loceng kecil di atas almari sisi katilnya. Bunyi itu nyaring, memecah keheningan subuh yang masih gelap. Dia mengerling jam itu — lima belas minit lagi azan Subuh akan berkumandang.
Dengan tangan yang masih berat, dia mencapai jam loceng itu dan menekan butang untuk mematikannya. Namun, dalam gerakan itu, tangannya tiba-tiba terasa sesuatu di atas dadanya. Hisham terkaku seketika. Jari-jemarinya meraba perlahan... hatinya bergetar.
Gambar yang dia tatap semalam… masih di situ. Terletak di atas dadanya sepanjang malam, seolah-olah dia tidur mendakapnya. Hisham pejam mata seketika. Istighfar berkali-kali terluah dari bibirnya.
“Astaghfirullahalazim…” Bisiknya perlahan, menahan rasa malu pada diri sendiri.
Tidak dia sangka, sampai ke tahap itu dia membiarkan perasaan menguasai akal. Memuja sekeping gambar… seolah-olah ia mampu memberi jawapan kepada semua persoalan yang bermain di benaknya. Seolah-olah… gambar itu sendiri mampu mendekatkan dia dengan gadis yang telah lama bertakhta di hati.
Hisham menggeleng perlahan. Dia tidak boleh begini. Dia harus berpijak di bumi nyata.
Dengan perlahan, dia letakkan semula gambar itu di atas meja kecil di sisi katil. Lalu dia bangkit, mencapai tuala yang tergantung di belakang pintu. Tanpa membuang masa, dia melangkah ke bilik air. Air wuduk akan menjadi penyejuk hati. Dan Subuh ini… dia akan cuba tenangkan jiwanya, sekuat yang dia mampu.
Comments
Post a Comment