Bab 8 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 8

Yang Hilang Bukan Cinta 


Hisham bersandar di bangku kayu depan gerainya. Semua persiapan untuk berniaga malam itu dah siap. Bau arang satay yang belum dinyalakan masih lekat di udara. Matanya melirik ke arah seorang lelaki yang sedang santai di meja sebelah — memetik gitar sambil senyum nipis bila nampak Hisham datang dekat.


"Sham… harap-harap malam ni tak hujanlah. Air balang aku dah siap empat balang tau," kata lelaki tu, Ramli — jiran gerai, sahabat, geng lepak pantai.


"InsyaAllah, tak hujan lah Li. Tengok tu, bintang pun banyak kat langit." Hisham tersengih, matanya menjeling ke langit yang makin jingga.


"Aamiin… harap betul-betul macam tu." Ramli ketawa kecil, letak gitar atas meja. Dia sambung dengan muka bersahaja, "Dengar guruh di langit, air tempatan dicurahkan."


Hisham terus gelak. "Dah simpang lain peribahasa kau tu, Li."


"Sepatutnya… nampak bintang di langit, air balang bancuh-bancuh kan."


Berderai ketawa mereka berdua. Suasana petang tu tenang, angin pantai sepoi-sepoi.

“Eh, mana budak Azwan tu, Sham? Selalu time-time macam ni dah nampak dia bakar satay.” Tanya Ramli bila Dia memandang ke belakang gerai tempat pembakaran satay dan Azwan, pembantu Hisham, belum nampak kelibatnya.


Emak dia tak berapa sihat. Dia mesej aku tadi, kata tolong mak dia kejap sebelum datang sini.”


Ramli angguk perlahan, sambil memandang ke arah jalan utama.

“Oh, kesiannya. Aku lupa dia pun macam kau jugak, kan? Dah tak ada ayah.”

Hisham tunduk seketika, kenangan lama menerjah benaknya.

“Ha’ah… dia cuma ada mak dia sorang je sekarang. Sama macam aku dulu. Aku faham sangat apa dia rasa. Kalau dia tak datang pun aku tak sampai hati nak marah.”


Ramli tersenyum kecil, kagum dengan sikap Hisham yang sentiasa memahami pekerjanya.

“Kau memang lain, Sham… Orang lain dah potong gaji budak tu kalau lambat, tapi kau ni… lembut hati.”


Hisham ketawa kecil sambil mengibas-ngibas asap dari tempat bakar.

“Rezeki ni Tuhan yang atur, Ramli. Kalau aku berkira sangat, tak ke mana jugak. Azwan tu budak baik. Ikut cakap, rajin. Kalau sesekali dia ada hal, aku tutup mata je lah.”


Ramli tepuk bahu Hisham perlahan.

“Betul jugak cakap kau. Rezeki tak pernah salah alamat.”


Mereka berdua tersenyum sambil meneruskan kerja masing-masing, menyiapkan gerai untuk malam yang bakal sibuk


Matahari makin condong. Senja pun mula melabuhkan tirainya. Kawasan pantai dah mula dipenuhi orang ramai — ada yang datang makan, ada yang lepak tengok laut.


Lepas solat Maghrib di masjid berdekatan, Hisham terus sarung apron. Dia ambil pesanan pelanggan, lepas tu arahkan Azwan, pembantunya, bakar satay ikut pesanan.


Malam makin larut. Jam dah pukul 10. Pantai makin meriah, gerai-gerai makin rancak. Hisham beberapa kali jeling jam tangan. Macam orang tengah tunggu seseorang.


Satay pun dah makin habis. Dia tarik nafas lega, duduk di meja hadapan gerainya yang baru ditinggalkan pelanggan.


Tak lama lepas tu, Ramli datang menghampiri. Dia tarik kerusi, duduk sebelah Hisham.


"Sham, bungkuskan aku 20 cucuk satay. Nak bawa balik," kata Ramli.


"Kebetulan satay tinggal 25 cucuk je. Kau ambil semua lah, aku belanja," balas Hisham, senyum.


"Eh, kau ni asyik belanja aku je… segan la," Ramli ketawa kecil.


"Ala, apa nak disegankan. Kita ni kira jiran sepantai dah. Dah macam saudara."


Ketawa mereka berdua pecah lagi.


Tiba-tiba Ramli tepuk lengan Hisham. "Eh Sham… aku lupa nak bagitau kau tadi."


Hisham pandang dia. "Apa dia?"


"Semalam kau tak meniaga kan?"


"Haah… aku bawa mak aku gi hospital, ada check-up. Kenapa?"


Ramli tunduk sikit, suaranya jadi serius. "Semalam ada orang cari kau. Tapi gerai tutup. Dia datang gerai aku, beli air tembikai… lepas tu dia tanya kau."


Hisham angkat kening. "Tanya apa?"


"Tanya kau cuti sebab apa. Rumah kau kat mana. Selain jual satay, kau buat apa…"


Hisham senyum kecil, ingat Ramli gurau. "Ish… betul ke ni?"


"Betul bro. Ada dua orang tunggu dalam kereta," jelas Ramli.


Hisham angguk perlahan. "Mungkin nak beli satay kot…"


"Boleh jadi… tapi yang peliknya, cara dia tanya tu lain macam." Ramli pandang Hisham, nadanya makin serius. "Diorang cakap loghat Indonesia."


Degup jantung Hisham terasa laju. Hati dia berdebar. Otaknya ligat berfikir — siapa? Pak Harun? Atau orang suruhan dia?


Ramli sambung, "Orang tu… dalam 40-an. Badan kurus, tak tinggi. Ada kumis nipis…"


Hisham terus terbayang wajah Om Diki. Dia tanya perlahan, "Rambut ikal berombak?"


"Haaa… betul Sham. Rambut ombak-ombak sikit tu."


"Kalau macam tu… itu Om Diki. Dia pekerja ayah Lydia." Nada Hisham berubah, wajah dia mula nampak serius.


Ramli angguk. "Ada dua orang lagi dalam kereta bro… tapi cermin gelap, tak nampak sangat. Lepas tu diorang chow."


Hisham diam. Fikirannya jauh melayang. Ada sesuatu yang dia rasa bakal terjadi… tapi dia belum pasti apa.

Sedang tangan Hisham ligat mematikan bara api di atas pemanggang, fikirannya terus melayang. Wajah Lydia terbayang di benaknya. Malam ini… kenapa dia tak muncul? Selalunya, kalau bukan datang ke gerai, Lydia pasti akan telefon, sekurang-kurangnya bertanya khabar.

Mariam pun sama… selalunya gadis itu akan singgah, sekadar membeli air atau melambai dari jauh. Tapi malam ni, sunyi. Handphonenya juga diam… tiada sebarang panggilan atau mesej.

Hisham mengeluh perlahan, matanya masih fokus pada bara, tapi hatinya jauh… tertanya-tanya… “Kenapa, Lydia? Apa yang buat kau senyap malam ni?”

Selepas Hisham Dan Azwan mengemas semua peralatan jualannya di gerai, Mereka pun beredar pulang. Hisham menghantar Azwan balik ke rumahnya dan dengan laju dia melucurkan kenderaannya balik ke rumahnya.




Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini