Bab 3 Yang Hilang Bukan Cinta
Yang Hilang Bukan Cinta
Bab 3
Suasana rumah kecil di Kampung Sri Murni pagi itu dipenuhi aroma rempah yang membangkitkan selera. Di ruang dapur, Mak Imah tekun meracik daging ayam dan daging lembu yang sudah siap dipotong kecil. Di sebelahnya, Hisham sibuk mengacau bahan perapan dalam bekas besar.
“Sham, kau kacau elok-elok tu. Biar rempah rata, nanti satay tak sedap,” pesan Mak Imah sambil tangannya ligat mengatur daging yang sudah siap diperap ke dalam dulang.
“Baik, Mak.” Hisham menurut, tangannya terus mengacau rempah kuning keperangan itu dengan sudip kayu.
Di sudut ruang, Makcik Bedah dan cucu perempuannya, Alia, kelihatan tekun menyucuk daging ke lidi satay. Tangan mereka bergerak pantas, seolah-olah sudah berpuluh tahun melakukan kerja itu.
"Kau macam aku tengok dah semakin sihat sekarang Imah. Tak ada batuk-batuk lagi " kata Mak Bedah. Tangannya tetap lincah menyucuk daging ayam ke lidi satay.
"Dah kurang kena asap dan embun agaknya Bedah. Sejak Hisham yang berniaga di gerai, aku duduk di rumah saja. Adalah juga bantu Hisham sikit-sikit sediakan bumbu perapan.....yang lain tu semua Hisham yang buat". Balas Mak Imah.
"Baguslah kalau begitu. Hisham tak sekolah lagi kah?" Tanya Makcik Bedah sambil memandang ke arah Hisham.
"Sekarang saya cuti Makcik...." cepat-cepat Hisham menjawab pertanyaan Makcik Bedah. Takut Emaknya pula yang menjawab. Hisham tahu Emaknya tak pandai berbohong. Tentu emaknya akan beritahu Makcik Bedah yang dia dah berhenti. Hisham tak mahu orang lain tahu perkara ini terlebih lagi sepupunya Mariam. Hisham tahu lambat laun Mariam akan tahu juga perkara ini tapi biarlah Bukan sekarang.
“Cepat betul tangan kamu ni, Alia. Kau dah boleh buka gerai sendiri nanti,” usik Hisham sambil memandang gadis itu yang semakin remaja. Dia cuba mengalih topik perbualan dengan Makcik Bedah tadi.
Alia hanya tersenyum, wajahnya yang bulat dan comel itu tetap seperti dulu, cuma lebih matang. “Kalau gerai satay pun boleh berjaya macam Abang Sham, Alia buka terus,” balasnya bersahaja.
Hisham tergelak kecil. Dia tahu, Alia bukan budak kecil yang selalu menangis malam-malam lagi. Budak itu sudah besar, sudah pandai berdikari, malah lebih tabah daripada kebanyakan remaja lain.
Dia masih ingat waktu dia baru masuk tahun pertama universiti, Alia masa itu masih di darjah lima. Budak kecil yang selalu merengek minta dia atau Mariam ajarkan subjek Bahasa Inggeris dan Matematik.
“Abang Sham, ajar saya lagi... Saya tak faham pecahan ni,” suara kecil Alia bergema dalam ingatannya.
Dia dan Mariam tidak pernah berkira. Alia rajin, bijak pula tu. Tidak hairanlah, bila keputusan peperiksaan darjah enam keluar, Alia dapat keputusan cemerlang, terutama dalam subjek yang mereka ajarkan.
Namun di sebalik kejayaan itu, Hisham tahu Alia pernah melalui luka yang dalam. Sejak ibu bapanya bercerai, hidup Alia berubah. Kedua-duanya seolah-olah tidak mahu memikul tanggungjawab, dan akhirnya Makcik Bedah — ibu kepada ayah Alia — yang mengambil Alia tinggal bersama.
Malam-malam awal di kampung ini, tangisan Alia sering kedengaran, merayu dihantar kembali ke pangkuan ibunya. Sayu hati sesiapa pun yang mendengar.
Mariamlah yang selalu jadi peneman Alia. Dibawanya ke taman, dikenalkan dengan kawan-kawan sebayanya. Budak-budak kampung semua suka Alia. Bukan saja kerana rupa parasnya yang comel, tapi kerana kecerdikannya yang jelas terserlah.
Hisham tersenyum sendiri, mengimbau kenangan itu.
“Sham, jangan termenung lama-lama. Satay ni masih ada lagi seribu cucuk nak disiapkan” tegur Mak Imah memecah lamunannya.
“Oh, ya....ya. Sekejap je tu mak sebab kita ada dua orang pembantu yang cekap” jawab Hisham sambil memandang kedua orang nenek dan cucu itu dengan senyuman. Kemudian dia pantas menyambung kerjanya.
Sebenarnya, satay yang mereka siapkan kali ini bukan tempahan biasa. Tiga hari lepas, Lydia dan Mariam datang ke gerainya dan menempah dua ribu cucuk satay untuk majlis pembukaan butik mereka.
Butik itu, hadiah daripada ayah Lydia, Pak Harun. Siapa sangka, gadis dari keluarga berada seperti Lydia mahu juga bertapak di sini, membuka butik bersama sepupunya, Mariam.
Hisham masih ingat riak wajah Lydia ketika mereka datang tempoh hari. Wajah itu… wajah yang masih kekal dalam fikirannya sejak pertemuan di Gerai Satay Mak Imah tempoh hari. Walau dia cuba mengelak perasaan aneh itu, dia tidak mampu menafikan — kehadiran Lydia seakan mengusik hatinya.
Tapi itu bukan urusannya sekarang. Yang penting, dua ribu cucuk satay perlu siap dan dihantar esok pagi tepat jam lapan. Perasmian butik akan bermula pukul sepuluh pagi. Kalau lambat, malu Mak Imah, malu dia juga.
“Cepatlah, Sham. Satay nak kena simpan dalam freezer ni. Besok awal pagi kau kena hantar semua ke butik tu,” pesan Makcik Bedah pula.
Hisham hanya mengangguk. Ya, dia perlu fokus. Soal hati… boleh tunggu.
Malam semakin larut. Setelah semua satay siap diperap dan disusun dalam freezer, suasana rumah kembali tenang. Hanya bunyi cengkerik bersahutan dari luar rumah, sesekali diselangi hembusan angin malam yang sepoi-sepoi menyelinap masuk ke celah tingkap.
Mak Imah duduk seketika di ruang dapur, mengurut-urut lengannya yang terasa lenguh. "Dah siap semua... tinggal tunggu esok je Sham. Satay kena bakar seawal pagi, jangan lambat. Mereka kata majlis butik tu mula jam sepuluh, tapi satay nak hantar jam lapan, kan?"
"Ya, Mak. Jangan risau, saya set jam, subuh esok kita start bakar," balas Hisham sambil mengemaskan bekas rempah di atas meja.
Sementara itu, Makcik Bedah dan Alia bersiap-siap mahu pulang ke rumah mereka yang hanya bersebelahan. Alia menguap kecil, keletihan jelas di wajahnya, namun tetap menguntumkan senyuman.
Sebelum mereka melangkah keluar, Hisham sempat bertanya, "Mak...upah untuk Makcik Bedah dengan Alia dah bagi ke?"
Mak Imah menggeleng sambil tersenyum. "Belum lagi. Tadi Mak nak bagi tapi Makcik Bedah kata esok saja sebab esok masih ada kerja lagi. Makcik Bedah dan Alia datang esok bantu Sham tau. Mak faham keadaan mereka. Makcik Bedah tu bukannya ada kerja tetap. Dapat juga dia duit belanja sikit untuk dia dengan Alia. Dia pun dah macam keluarga kita. Kalau kita susah, dia selalu bantu."
Hisham hanya mengangguk perlahan, hatinya sedikit lega. Dia tahu, Makcik Bedah sudah lama memikul tanggungjawab menjaga Alia selepas ibu bapanya bercerai dan masing-masing enggan memelihara anak sendiri. Alia tinggal bersama neneknya sejak umur lapan tahun, dan sejak itu juga hidup mereka saling berkait.
Selesai makan malam, mereka semua bersurai. Rumah kembali sunyi.
Hisham masuk ke biliknya setelah membersihkan diri. Bilik bujang sederhana itu cukup selesa baginya, dengan katil kayu di penjuru, rak buku kecil yang sudah lama tidak berusik, dan kipas meja berputar perlahan.
Dia merebahkan diri di atas katil, menarik nafas lega. Badannya penat, tapi fikirannya masih segar.
Secara tidak sedar, fikirannya mula melayang memikirkan gadis manis berwajah Indo yang bakal ditemuinya esok. Lydia… nama itu sudah cukup mengusik benaknya sejak beberapa hari lalu.
Dia masih ingat wajah bujur sirih itu, hidung mancung, kulit sawo matang yang bersih, dan sepasang mata cantik yang tidak mudah dilupakan.
"Ahhh… paling pun dia pakai bulu mata palsu," gumam Hisham sendiri, disusuli ketawa kecil yang terlepas dari bibirnya. Lucu dengan fikiran sendiri.
Namun dia tahu, esok adalah hari penting, bukan hanya untuk Lydia dan Mariam, tapi entah kenapa… dia rasa seolah-olah esok juga adalah permulaan sesuatu yang dia sendiri belum pasti.
Perlahan-lahan matanya terkatup, namun bayangan senyuman Lydia masih bermain dalam fikirannya, mengiringi dia ke alam lena.
Comments
Post a Comment