Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

 Yang Hilang Bukan Cinta 


Dari dalam kereta yang terparkir senyap di bawah pohon rhu, Hisham diam memerhati. Tangannya masih menggenggam telefon yang baru sahaja dia letakkan tadi. Matanya tidak lepas dari Bella — anak gadisnya yang terlalu banyak menanggung rindu dalam diam.


Bella duduk di atas batu besar itu, seperti biasa. Rambutnya yang diikat longgar ditiup angin laut. Bajunya sedikit berkibar. Dari jauh, Hisham dapat lihat tubuh kecil itu seperti sedang bercakap dengan ombak, atau mungkin dengan seseorang yang dia rindukan.


Tiba-tiba, sebuah kereta pacuan empat roda berwarna hitam berhenti tidak jauh dari situ.

Hisham menajamkan pandangannya.


Lydia turun terlebih dahulu, membuka pintu belakang.

Seorang anak muda keluar— perlahan-lahan, seperti takut menjejaki pasir yang pernah dia tinggalkan. 

"Daniel.....anak Ku!" Katanya lirih. 

Hisham menggenggam stereng erat. Nafasnya menjadi berat.

Tapi dia tak berganjak. Dia tetap di situ.

Dia perlu lihat sendiri... Pertemuan dua hati yang saling merindu. 


Dani melangkah perlahan ke arah batu besar.

Bella belum menyedari kehadirannya.

Langkah Dani terhenti beberapa meter di belakang Bella. Dia berdiri seketika — memerhati, menghela nafas, lalu bersuara perlahan.


"Bella......"

Bella menoleh.

Matanya membulat. Nafasnya tersekat.


“Dani…?”

"Happy birthday, Bella" kata Dani.  Langkahnya terhenti.

Mereka saling berpandangan. Sunyi memeluk mereka sesaat.

Dani tersenyum dan mengangkat sebuah kek kecil dalam kotak — tulisan atasnya samar kelihatan: “Happy Birthday Bella.”


 “Aku harap aku ngak terlambat… tapi aku tetap datang.”


Bella tergamam.

Kemudian senyumnya pecah bersama linangan air mata.


Dani mencubit sedikit krim dan menyuapkan ke mulut Bella.

Bella ketawa kecil, lalu membalas — menyuap krim ke mulut Dani.

Kemudian Dani mengambil sedikit krim Dan mencalitnya di pipi Bella. Bella menjerit kecil Dan cepat-cepat mengesat krim di pipinya namun krim itu malah terkena hidungnya. Dani ketawa terdekah-dekah menunjuk hidung Bella yang comot terkena krim kek itu.

Ketawa mereka mekar dalam angin. Di bawah langit petang yang perlahan-lahan tenggelam.


Hisham menutup matanya. Menahan sebak.


Di saat itu, dia tak perlukan apa-apa lagi dalam hidupnya.


“Ya Allah… biarlah mereka bahagia.”


Matanya kabur oleh air mata. Bukan sedih. Tapi… lega.

Anak-anaknya telah menemukan bahagianya sendiri.


Tiba-tiba, dari sisi kereta, Hisham terdengar tapak kaki menghampiri.

Dia berpaling.


Lydia.


Dia berdiri dalam diam, matanya juga tertumpu pada Bella dan Dani di kejauhan.

Air mukanya tenang. Tapi matanya… berkaca.


Hisham membuka pintu kereta perlahan-lahan dan keluar.


Mereka berdiri bersebelahan, diam.


Tiada kata-kata perlu diucapkan — kerana hari ini, mereka berdua sedang menyaksikan cinta yang mereka pernah miliki dulu… kini hidup semula dalam jiwa anak-anak mereka.

"Kadang-kadang... kita cuba lupakan. Tapi ada cinta yang tak mahu pergi." Ucap Lydia perlahan, hampir dibawa angin.


Hisham tersenyum sayu.

"Dan ada cinta... yang memang tak pernah pergi."


Mereka berpaling, mata bertemu. Hanya diam yang berbicara.


"Hisham... aku pernah bertanya pada diriku sendiri—kenapa kita tak bertahan? Tapi hari ini, aku tahu jawapannya."


"Kerana kita melepaskan... bukan kerana kita berhenti mencintai. Tapi kerana kita mahu mereka hidup dengan bahagia." 

Lydia tunduk, air mata gugur di pipinya.

"Yang hilang bukan cinta, Hisham... yang hilang hanyalah masa. Tapi cinta itu... tetap hidup dalam kenangan yang tak pernah kita buang."


Hisham mengangguk perlahan.

"Dan kita... kekal di sisi insan yang memilih kita, yang mencintai kita tanpa syarat."


Lydia mengangguk dan senyum.

 Hisham hulurkan sapu tangan. Lydia menerimanya dengan teragak-agak dan tangannya sedikit menggigil.

"Terima kasih... kerana dulu kau pernah mencintaiku. Tapi hari ini... aku bukan lagi milik cinta itu."


"Begitu juga aku, Lydia. Kita tak kehilangan cinta. Kita cuma simpan ia dalam peti kenangan. Dan sekarang... saatnya kita tutup peti itu dengan tenang."


Mereka berpaling kembali ke arah Bella dan Dani.


Angin pantai terus menderu, membawa pergi segala beban yang pernah menghimpit dua jiwa dewasa itu. Mereka tidak saling memiliki, tetapi mereka saling menghormati. Cinta pertama telah lama berlabuh. Kini, generasi seterusnya pula mula berlayar.


Di ufuk barat, matahari perlahan-lahan tenggelam. Hari baru menanti. Tapi kenangan kekal abadi.


Dari kejauhan, suara tawa dan jeritan manja kedengaran bersama hembusan angin pantai yang membelai mesra.


“Daddy...!” jerit Bella sambil melambai-lambai dengan senyum yang bersinar.


“Ibu...!” seru Dani pula, melambai ceria ke arah Lydia dan Hisham.


Lydia dan Hisham yang berdiri di tepi pantai membalas lambaian itu, mata mereka bersinar dengan rasa syukur yang tak mampu dilafazkan.


Lydia ketawa kecil sambil air mata bergenang di pelupuk. Dia kemudian memandang ke arah Hisham.


Mata mereka bertaut — lama, dalam, dan damai.


Lydia memandang sapu tangan yang masih berada di genggamannya. Dia melangkah perlahan ke arah Hisham, dengan senyuman yang kelihatan tenang namun sarat kelukaan yang tersembunyi.


"Hisham....Sapu tangan ini... telah menghapus air mata yang dulu aku simpan selama bertahun-tahun. Tapi sekarang... biarlah ia kembali kepada kamu,"_ katanya lembut, matanya tak berganjak dari wajah lelaki yang pernah menjadi rumah hatinya.

Dengan perlahan, Lydia menyeluk saku kiri jaket Hisham, meletakkan sapu tangan itu dengan penuh hati-hati. Jemarinya menyentuh dada kiri lelaki itu, tempat di mana jantung berdegup sabar.

_"Simpan di sini, Hisham. Dekat dengan hati kamu... sebab itulah tempat cinta kita pernah tinggal. Dan mungkin, tempat ia tak pernah benar-benar pergi."_

Hisham terdiam. Tiada kata yang mampu menandingi perasaan saat itu. Terasa hangat di dada kirinya tempat sapu tangan itu diselitkan. Seakan-akan jantungnya berdegup dengan gema kenangan.


Angin pantai berbisik pelan, seolah memahami makna dalam setiap detik. Ombak kecil terus berlari di pantai, membawa bersama cerita cinta yang tidak pernah luntur, meskipun masa telah berlalu.

Dia memandang Lydia, seolah-olah ingin menghafal setiap garis wajahnya buat kali terakhir. Tapi bukan kerana ingin melupakan—sebaliknya, untuk menyimpan selamanya.


"Terima kasih Hisham... bukan hanya kerana sapu tangan ini. Tapi kerana pernah hadir... dan tak pernah benar-benar hilang dari hati aku." Lydia menunduk, senyumannya tipis tapi sarat makna.

"Kalau takdir tak izinkan kita untuk bersama semula...

setidaknya... ia masih izinkan cinta kita terus hidup...

walaupun hanya sebagai kenangan.

Dan untuk aku... itu pun sudah cukup indah.

Kerana dalam setiap hela nafasku...

kau tetap ada — walau hanya dalam ingatan."


Mereka berdiri seketika lagi. Ombak kecil memukul pantai, langit senja mulai berlabuh. Pulau di kejauhan seperti menjadi saksi diam kepada cinta yang tidak pernah surut.


"Cinta itu… tak pergi, Lydia. Ia cuma bertukar bentuk—jadi doa dalam diam, jadi senyuman saat melihat langit, jadi degupan yang tak tahu berhenti."


Lydia berdiri, memejam mata sejenak.


"Yang Hilang Bukan Cinta," bisiknya. "Yang hilang... hanyalah peluang untuk kita memilikinya lagi. “Selamat tinggal, Hisham... sampai jumpa lagi” bisik Lydia perlahan, namun cukup untuk menggetarkan udara di antara mereka.


Hisham mengangguk, senyum tenang menghiasi wajahnya.


“Selamat jalan, Lydia. Jaga diri.....”


Lydia melangkah pergi, tenang dan teguh.


Dari arah bertentangan, sebuah kenderaan pacuan empat roda berhenti. Pintu dibuka, dan Andrian keluar, wajahnya berseri menyambut kepulangan isterinya. Tanpa sepatah kata, dia memeluk Lydia seketika dan membukakan pintu untuknya. Lydia masuk ke dalam kenderaan tanpa menoleh lagi.


Sebelum naik ke tempat duduk pemandu, Andrian berpaling ke arah Hisham dan melambai.


Hisham membalas lambaian itu. Matanya memandang langit, menarik nafas panjang... dada terasa lapang.


Dia tahu.


Yang hilang bukan cinta.


Cinta tak pernah hilang — ia hanya berubah bentuk.


Hisham melangkah ke gigi air, membiarkan ombak kecil membasahi kasut kulitnya. Matanya menatap pulau yang berdiri megah di tengah laut — simbol cinta mereka yang tidak pernah sampai ke pelabuhan.


Tawa dua remaja bergema sayup di telinga. Ia dibawa angin, sebentar muncul, sebentar hilang.


Tangannya meraba saku kiri. Sapu tangan itu masih hangat di situ — berdekatan jantungnya yang kini berdegup tenang dan mendamaikan.


Langit semakin mendung, awan sarat menanti untuk mencurahkan rintik hujan. Hisham berpaling untuk melangkah pergi…


Lalu tersentak.


Di hadapannya berdiri seorang wanita dengan senyuman tenang dan payung terbuka di tangan.


*Sofia.*


Rintik hujan mula turun, menyentuh pasir dengan irama lembut.


Tanpa sepatah kata, Sofia memayung suaminya. Hisham berdiri di bawah payung itu, memandang wanita yang menunggu dengan setia. Tangannya merangkul bahu isterinya, dan mereka berjalan perlahan menuju ke kenderaan yang menunggu.

Dan di belakang mereka, pantai kekal sunyi… pulau tetap berdiri.

Di saku kirinya, sapu tangan kecil menyimpan segala yang tidak terucap.

“Ada cinta yang tidak pernah pergi. Ia tidak bersuara, tetapi sentiasa tinggal.”

Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 2 - Seagung Cinta Ini