Bab 4 - Yang Hilang Bukan Cinta

 Yang Hilang Bukan Cinta 

Bab 4


Hisham memperlahankan kenderaannya, memerhati deretan bangunan kedai di hadapannya. Dia akhirnya berhenti di hadapan sebuah kedai yang terletak paling hujung. Di bahagian luar kedai itu, dua buah kanopi putih telah dipasang, bersambung dengan susunan meja dan kerusi yang turut berwarna putih. Reben berwarna merah jambu menghiasi setiap kerusi, menyerikan suasana yang masih lengang.


Dua orang lelaki lewat 40-an kelihatan sibuk mengatur meja dan kerusi. Melihat sahaja mereka, Hisham yakin itu orang sewaan untuk majlis pembukaan butik hari ini.  Dia keluar dari kenderaannya, menghampiri mereka sambil memberi salam.


"Assalamualaikum, bang," sapa Hisham.


Salah seorang daripada mereka menyambut salam itu dengan senyuman, sebelum bertanya dalam loghat Indonesia yang lembut.


"Mas mau cari Non Lydia?"


Hisham mengangguk, namun dalam fikirannya dia ragu hendak memanggil lelaki itu apa. Bapak? Pak? Mas? Atau Om? Akhirnya dia memilih cara paling mudah.


"Ya bang," jawab Hisham, senyum tersipu.


Lelaki itu ketawa kecil sambil menunjuk ke arah pintu kedai.


"Mas masuk saja ke butik."


Hisham mengekori langkah lelaki itu ke pintu kaca berbingkai putih. Di atas pintu tertulis Marly Chic Boutique dengan huruf berwarna hitam keemasan yang bergaya. Hisham tersenyum kecil. Gabungan nama Mariam dan Lydia, teka hatinya.


"Terima kasih, bang," ucap Hisham sebelum menolak pintu masuk.


Sejuk hawa pendingin menerpa wajahnya, disertai haruman lembut yang menyusuk hidung. Pandangannya terarah ke seorang wanita muda yang sedang menyusun baju di rak kayu putih. Baju-baju itu tersusun kemas, berwarna-warni, menambahkan ceria ruang butik tersebut.


Wanita itu menoleh saat pintu terbuka. Senyuman manis terukir di bibir pucatnya. Wajahnya yang rapi dimakeup kelihatan polos tanpa secalit gincu.


"Encik Hisham?" sapa wanita itu.


Hisham mengangguk. "Ya... saya hantar satay."


"Oh okay, masuklah... saya panggilkan Lydia," kata wanita itu sebelum menghilang di balik pintu kayu jati berukir indah.


Hisham melangkah masuk. Matanya melilau memerhati sekeliling. Di sudut kanan butik, tersusun deretan standing flower — gubahan bunga besar yang biasa dihantar sempena pembukaan butik atau pejabat. Ada yang dihiasi reben besar dengan ucapan seperti Selamat & Sukses Atas Pembukaan Marly Chic Boutique, ada juga yang datang daripada syarikat besar.


Hatinya berbisik kagum. Ramai juga kenalan Lydia dan Mariam...


Lamunan Hisham terhenti apabila suara lembut memanggil namanya.


"Hisham..."


Dia menoleh. Terpaku seketika.


Seorang gadis cantik berdiri di hadapannya, semerbak dengan haruman perfume Estee Lauder. 


Gaya rambut Lydia pada petang itu benar-benar mencuri perhatian. Rambutnya yang panjang dan lembut disanggul kemas di atas kepala, membentuk sanggul bergaya yang tampak klasik namun elegan. Beberapa helaian halus dibiarkan terurai di sisi wajahnya, memberi sentuhan lembut dan romantik pada penampilannya. Sanggul itu tidak terlalu ketat, cukup longgar untuk menampilkan sisi feminin tanpa menghilangkan rasa eksklusif.


Mariam gadis yang sederhana pun memuji penampilan Lydia yang anggun dengan gaya rambut yang begitu sesuai dengan wajahnya yang lembut. Dengan sanggul rapi itu, Lydia tampak seperti seorang wanita muda bangsawan yang baru keluar dari potret klasik Eropah.


Dipadankan dengan baju kurung moden dan solekan natural, Lydia benar-benar menyerlah pada hari istimewa itu. Setiap langkahnya ke sekitar butik, setiap ucapan yang dilontarkan, disambut dengan pandangan kagum — seolah-olah, bukan sahaja butik itu menjadi tarikan, malah kehadiran Lydia sendiri adalah simbol keindahan yang dipamerkan hari itu.


Hisham menatap gadis itu tanpa berkelip, terpesona.  Lydia...? Bisiknya perlahan. 


Namun gadis itu ketawa kecil, berseloroh.


"Bukan... ini Lady Diyana," katanya sambil memusingkan badannya, membuat gaya seperti memperagakan pakaian.


Belum sempat Hisham membalas, langkah gadis itu terhuyung sedikit. Hisham segera menangkap tubuhnya. Tubuh itu jatuh tepat ke dalam pelukannya.


Saat itu, pintu butik terbuka. 


Sepasang suami isteri yang amat dikenali Hisham berdiri di ambang pintu, terpaku melihat adegan itu.



Wajah-wajah itu tidak asing lagi buat Hisham. Lelaki itu — Pak Harun, dan isterinya, Ibu Marini — adalah pasangan yang ditemuinya di tepi pantai tempoh hari. Waktu dia membantu Lydia mengubat luka di kakinya.


Wajah Lydia berubah gugup. Dia cepat-cepat berdiri tegak, merapikan baju kurungnya yang sedikit berkedut.


"Ayah... Ibu..." Lydia menyambut mereka dengan senyuman canggung sebelum menoleh ke arah Hisham.


"Hampir saja saya tersandung sebab kasut tinggi ni," katanya bersuara perlahan, masih menahan malu. "Nasib baik Hisham sempat selamatkan saya... Kalau tidak, habis saya hempas ke lantai."


Ibu Marini tersenyum lega sambil mengangguk kecil ke arah Hisham. "Terima kasih ya, Hisham," ucapnya lembut, matanya penuh keikhlasan.


Namun riak wajah Pak Harun sedikit tegang. Pandangannya jatuh ke arah anak perempuannya dan lelaki muda itu. Di dalam hatinya, dia tertanya-tanya... Betulkah hampir jatuh? Atau memang mereka berpelukan tadi?


Tapi cepat-cepat dia menepis prasangka itu. Dia ingat lagi, bagaimana Hisham tidak sudi pun menyambut huluran salam isterinya tempoh hari di tepi pantai. Anak muda ni bukan jenis mudah-mudah nak sentuh orang, getus hatinya, memujuk diri.


Pak Harun mengangguk perlahan, membuang jauh rasa sangsi yang bersarang.


Lydia kemudian bersuara, cuba mengubah suasana.


"Jom Hisham. Kita ke luar... saya tunjuk tempat untuk bakar satay tu."


Hisham mengangguk. Dia ikut langkah Lydia keluar dari butik, menuju ke kawasan di bawah kanopi tadi. Kedua-dua lelaki Indonesia itu masih sibuk mengatur kerusi.


Lydia menghampiri mereka, berbual sesuatu dalam bahasa Indonesia. Mereka mengangguk-angguk tanda faham.


"Terima kasih, Om," ucap Lydia kepada mereka dengan sopan.


"Baik, Non. Sama-sama," jawab salah seorang lelaki itu, tersenyum.


Lydia berpaling kepada Hisham.


"Itu pekerja ayah saya," jelasnya sambil menunjuk ke arah kedua-duanya. "Mereka memang biasa tolong kami urus majlis macam ni."


Hisham mengangguk faham. Beberapa bekas besar berisi satay yang telah dibakar separuh masak pagi tadi dibawa turun dari kenderaannya. Tempat membakar satay telah tersedia di sudut kiri kawasan itu, agak jauh dari meja tetamu. Tempat pemanggangnya bersaiz besar, cukup untuk memanggang dalam kuantiti banyak serentak.


Hisham menghela nafas lega. Mudah kerja aku malam ni...


Salah seorang lelaki tadi menghampirinya. Lelaki itu memperkenalkan diri dengan mesra.


"Nama saya Diki... Panggil saja Om Diki. Kalau perlu tolong bakar satay, saya bisa bantu, Mas," katanya sambil tersenyum lebar.


"Oh, terima kasih, Om Diki," balas Hisham, senang hati.


Om Diki ketawa kecil. "Dulu di kampung saya di Jambi, saya jual satay, bakso, sama lontong di Ancol Jambi. Jadi urusan begini... sudah biasa."


Mereka ketawa kecil. Tanpa melengahkan masa, Hisham dan Om Diki memulakan persiapan untuk membakar satay. Bau arang yang mula membara dan aroma daging satay yang diperap mula memenuhi ruang.


Sesekali, pandangan Hisham terarah ke dalam butik. Wajah Lydia muncul dalam fikirannya. Gadis itu... makin lama, makin sukar untuk dia abaikan kehadirannya dalam hidup.

Suasana di majlis itu cukup meriah, dihiasi dengan limpahan cahaya lembut dari chandelier kristal yang tergantung megah di siling dewan. Bunyi gesekan biola mengiringi suasana, menghidupkan malam yang penuh makna itu.


Lydia berdiri di hadapan kek hari jadinya yang tersergam indah — tiga tingkat, berwarna pastel lembut dengan taburan bunga ros gula yang halus dan elegan. Wajahnya berseri-seri, dan senyumannya yang tulus benar-benar menyerlahkan kejelitaannya malam itu.


Tatkala hadirin menyanyikan lagu ulang tahun, Lydia menunduk sedikit, malu-malu, namun tidak dapat menyembunyikan rasa bahagianya. Tangannya yang runcing perlahan memotong kek, lalu menghulurkan potongan pertama kepada ibunya, Ibu Marini, dan kemudian kepada ayahnya, Pak Harun, yang berdiri di sisinya dengan wajah bangga.


Sorakan dan tepukan bergema di sekeliling mereka. Kamera berkelip-kelip merakam detik-detik berharga itu.


Selesai sahaja upacara memotong kek, Pak Harun melangkah ke hadapan dan mengambil mikrofon. Suaranya tenang namun sarat dengan emosi seorang ayah.


 “Anakku Lydia… hari ini bukan sekadar ulang tahunmu yang ke-23"

“Tapi juga hari lahir kepada impianmu.


Tetamu tersenyum, ada yang mengangguk setuju.


“Ayah doakan… agar kejayaanmu terus berkembang, dan butik ini menjadi simbol kekuatan, cita rasa dan keindahan wanita seperti dirimu.”

Tepukan bergema lagi. Lydia mengesat sedikit air mata yang mula bergenang di hujung matanya. Dia melangkah ke pentas kecil yang dihias indah dengan bunga segar, lalu mengambil gunting reben yang telah disediakan.


 “Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim…”

“Saya dengan ini merasmikan pembukaan Marly Chic Boutique.”

Gunting memotong reben emas itu dengan kemas.


Flash kamera kembali menyala. Bunga kertas berwarna putih dan emas berterbangan dari siling. Tepukan semakin gemuruh. Hari itu, Lydia bukan sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya… tetapi juga lahirnya satu lembaran baru dalam hidupnya sebagai wanita yang berdiri atas kaki sendiri.


Asap satay yang sedang dipanggang perlahan-lahan menari di udara petang. Hisham khusyuk membalikkan lidi-lidi satay yang sedang menyala di atas bara api, sambil sesekali mengesat peluh di dahi dengan tuala kecil yang tersangkut di bahunya.

Tiba-tiba, satu suara lembut menegurnya dari belakang.

 “Hisham…”


Dia berpaling — dan terkejut melihat Lydia berdiri di situ, memegang sepotong kek. Wajah Lydia berseri-seri, senyumannya sederhana, tapi cukup untuk membuat dada Hisham bergetar.

 "Ini untuk kamu…”


Sebelum sempat dia memberi reaksi, Lydia menarik tangan Hisham perlahan, membawanya ke sebuah meja bulat berhampiran di bawah pohon rendang.

Di meja itu, Mariam dan Om Diki sedang duduk berbual ringan. Melihat Lydia dan Hisham datang, Om Diki segera bangun.

 “Mas Hisham duduk saja sini, ya. Biar Om Diki yang sambung bakar satay-satay tu.”


“Terima kasih, Om,” balas Hisham dan Lydia serentak.


Hisham kelihatan sedikit segan, menyedari dirinya masih mengenakan apron berminyak dan berbau asap. Dia segera membuka apron itu dan meletakkannya di sisi kerusi.

“Wah… handsome juga sepupu kau ni bila dia buka apron,” bisik Lydia kepada Mariam sambil mengenyit mata.


Mariam tersenyum.

“Dia duduk sebelah kau, sebab tu lah aura kecantikan kau tu pergi kat dia.”


“Kau pun cantik juga… sebab kau duduk di samping aku,” balas Lydia sambil ketawa kecil.


Mariam buat-buat merajuk.

 “Tapi dari tadi aku pun duduk dekat dengan kau… kau tak pernah cakap pun aku cantik.”



Lydia ketawa, lalu membalas nakal:

“Ahaa… aku tahu dah. Aura kecantikan kau tu dah pergi kat Hisham, dan aura kekacakan sepupu aku tu pulak… dah masuk mata kau!”


Lydia menjegilkan mata sambil ketawa, lalu mencubit lengannya manja.
Mariam pura-pura mengaduh kesakitan, dan kedua-duanya tergelak lagi.

Hisham hanya tersenyum melihat gelagat dua gadis di sisinya. Dalam hatinya, dia tahu — inilah antara detik paling ringan, paling hangat… yang akan dia simpan diam-diam dalam lipatan hati.

Tepat jam satu tengah hari, suasana di sekitar butik kembali sunyi. Tetamu yang sejak pagi tadi berpusu-pusu hadir, kini sudah beredar. Tinggallah mereka bertiga — Hisham, Lydia dan Mariam — duduk santai di bawah kanopi, menikmati hidangan nasi briyani, satay yang masih panas, serta kuih-muih moden dan tradisional yang tersusun cantik di meja.


"Banyak sangat orang bawa kek. Kat dalam butik masih ada tiga kotak kek yang besar," rungut Mariam sambil menyuap nasi briyani ke mulutnya.


Hisham tersenyum memandang ke arah Lydia yang turut mengunyah perlahan. Lydia mengangguk bersetuju.


"Di meja dessert pun ada dua kotak lagi. Pai dengan sandwiches pun banyak lagi," tambah Lydia sambil matanya meleret ke arah meja hidangan yang masih penuh dengan pelbagai jenis makanan.


Hisham mengangkat kening, memberi cadangan.


"Sedekahkan saja pada jiran-jiran kedai-kedai sebelah. Kalau banyak lebih, bagi pada gelandangan."


Mariam mengetap bibir, kemudian menepuk dahi. "Eh, bawa sekotak kek tu untuk Alia!"


Wajahnya ceria, kemudian tiba-tiba teringat sesuatu.


"Untuk birthday Alia," sambung Mariam perlahan, sambil menyudu lagi nasi ke pinggan.


"Birthday Alia dah berlalu… minggu lalu," balas Hisham selamba sambil meneguk air mineral di depannya.


"Alamakkk… Yam lupalah!" Mariam mengeluh sambil meletakkan sudu ke pinggan. Tangannya mencapai gelas jus oren dan diteguk perlahan.

Hisham menyandarkan badannya ke kerusi.


"Aku dah hadiahkan dia sekotak aiskrim dengan bekas air yang dia idam-idamkan tu," ujar Hisham, wajahnya tenang.


Namun kata-kata itu membuatkan Lydia tiba-tiba bersuara, memotong perbualan mereka.


"Eh… tunggu… tunggu… Siapa Alia?" soalnya, memandang kedua-dua sepupu itu silih berganti. Nada suaranya tenang, tapi jelas ada riak ingin tahu… atau mungkin… ada resah yang tersembunyi?


Mariam sengaja memandang Hisham sambil menyembunyikan senyuman nakalnya. Dia tahu Lydia belum begitu rapat dengan Hisham, tapi dia suka ‘mengusik’ begitu.


"Alia tu girlfriend Hisham," jawab Mariam selamba, matanya masih melekat ke arah sepupunya itu.


Wajah Lydia berubah seketika. Riak terkejut berbaur keliru jelas terpancar. Pandangannya beralih ke Hisham yang kini tunduk, kononnya sibuk mengacau nasi di pinggannya. Dia cuba mengelak pandangan Mariam yang sengaja mahu ‘memancing’ keresahan Lydia.


Lydia menarik nafas perlahan. Girlfriend? Entah kenapa, kata-kata itu membuatkan hatinya terasa sesuatu.


Hisham angkat kepala perlahan, matanya bertembung dengan Lydia. Senyuman kecil terukir di bibirnya.


"Alia tu girlfriend Hisham?" soal Lydia lagi, seolah mahu penjelasan penuh.


Mariam menahan senyum, sengaja membiarkan Lydia terawang-awang.


"Ya lah… dia manja dengan Hisham. Asyik cari Hisham je," seloroh Mariam, masih dengan wajah selamba.


Hisham menggeleng kecil, memandang Mariam penuh makna. Tapi dia tak membalas apa-apa, membiarkan Lydia terus meneka.


Lydia mengetap bibir, tapi dia tak mahu nampak emosinya terbawa-bawa.


"Tak sangka cepat awak ‘move on’," sindir Lydia separuh serius, separuh gurau. "Baru kenal saya semalam, hari ni dah cerita pasal girlfriend."


Mariam ketawa kecil, memandang mereka berdua bergilir-gilir.


"Eh, malam ni korang free tak?" tanya Mariam, mengubah topik.


Hisham angkat kening. "Aku cuti berniaga malam ni. Tak sempat sediakan satay untuk gerai? Kesian emak. Mesti dia letih kalau buat seorang."


"Nanti beritahu Mak Long aku balik lusa ya. Esok jam 8 pagi ada orang nak bersihkan rumah. Lepas tu nak ke butik." Kata Mariam. Rumah yang dimaksudkannya adalah rumah ayahnya yang setiap tiga minggu sekali dibersihkan oleh pembersih yang diupah. Hisham mengangguk tanda faham.


Lydia memandang Mariam Dan Hisham silih berganti menunggu sambungan.


"Apa plan?" soal Hisham.


"Kita jumpa malam ni… aku kenalkan Lydia dengan Alia," jawab Mariam sambil menjeling nakal ke arah Lydia.


Lydia mencebik kecil.


"Boleh… saya pun curious sangat ni siapa Alia sebenarnya," balas Lydia, matanya merenung Hisham, cuba membaca wajah lelaki itu. Hisham pula hanya senyum simpul, membiarkan rahsia itu terpendam hingga malam nanti.


"Janji ya… malam ni," Mariam mengangkat jari kelingking, menghulurkan ke arah Lydia.


Lydia ketawa kecil, menyambut huluran itu.


"Janji," balasnya.


Hisham hanya memandang kedua-dua gadis itu, senyum di bibir, tapi di hatinya… dia sendiri tak pasti, apa sebenarnya yang dia rasa tentang Lydia.


Kalau macam tu, kita jumpa kat pantai tempat Hisham berniaga tu lah," cadang Mariam sambil meletakkan sudu ke pinggan kosongnya.


Lydia mengangkat kening, sedikit terkejut. "Pantai?"


Hisham mengangguk perlahan, senyuman nipis di bibirnya. "Pantai tu bukan sekadar tempat aku berniaga. Ada deretan gerai makan, tempat lepak. Kalau malam, suasana dia lain. Tenang… santai… best untuk makan-makan sambil sembang."


Mariam menambah, "Tempat tu dah jadi port kami dari dulu lagi. Kalau nak kenal Alia betul-betul, kena jumpa kat situ. Dia memang suka lepak situ malam-malam."


Lydia senyum kecil, hatinya masih berbaur dengan rasa ingin tahu yang belum terjawab.


"Okey… janji malam ni ya. Hisham pun cuti berniaga malam ni, kan?" soalnya, mahu kepastian.


Hisham mengangguk. "Ya, malam ni aku memang tak buka gerai. Tapi tempat tu tetap meriah. Kita boleh duduk kat meja tepi pantai… makan, borak…"


"Dan Lydia boleh kenal sendiri siapa ‘girlfriend’ Hisham tu," sambung Mariam nakal, membuatkan Lydia mencubit lengan sepupunya itu kecil-kecil.


"Jangan main-mainkan saya macam ni, Mariam," rungut Lydia sambil tergelak kecil, tapi wajahnya masih kemerahan menahan malu.


Hisham hanya tersenyum, menikmati gurauan itu tanpa membalas apa-apa. Dalam hati, dia sendiri tak sangka, Lydia yang baru dia kenal, boleh mengusik rasa dia begini.


"Janji ya, pukul lapan malam. Kita jumpa kat situ," kata Hisham, memandang Lydia, kali ini lebih serius nada suaranya.


Lydia mengangguk perlahan, matanya bertaut dengan mata Hisham, ada sesuatu yang tak terucap di antara mereka.


"Janji…" balas Lydia.


Mariam sekadar tersenyum puas, hatinya senang melihat dua insan yang entah sedar atau tidak, semakin dekat dengan garis takdir masing-masing.


Sewaktu dalam perjalanan pulang petang itu Hisham sengaja mengambil jalan melalui pantai tempat yang mereka janjikan malam ini. Dia memandang sekilas pantai yang mencipta sejarah pertemuan yang tak dirancang.  Malam nanti… mereka akan ke sana. Tempat yang penuh kenangan, dan mungkin… tempat itu bakal membuka kisah baru dalam hidup mereka.


Angin petang yang sepoi-sepoi menyapa perlahan semasa dia menurunkan kaca cermin keretanya untuk memandang dengan lebih jelas pemandangan di pantai itu. Aroma wangi yang lembut menyucuk hidungnya.  Segar dan terasa sungguh romantik. Dia teringat bau wangian yang menerpa hidungnya ketika Lydia jatuh dalam pelukannya pagi tadi. Estee Lauder pleasure....

Gumamnya sambil tersenyum sendiri 


Hisham terus memandu laju menuju ke rumahnya dengan seribu harapan agar pertemuan mereka malam ini akan terus menjadi pertemuan yang tiada titik noktahnya.

Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini