Bab 5 Yang Hilang Bukan Cinta
Yang Hilang Bukan Cinta
Bab 5
Langkah kaki Lydia terhenti seketika, matanya tertancap pada sesosok tubuh yang sedang duduk membelakanginya di sebuah meja kayu di gerai tepi pantai itu. Hembusan bayu laut yang lembut tidak cukup menenangkan getaran halus yang merayap di hatinya. Nafasnya terasa berat, dadanya berdebar kencang, seolah-olah masa berlalu perlahan di sekelilingnya.
Jari-jemarinya menggenggam tangan Mariam dengan erat, terlalu erat hingga sahabatnya itu tersentak kecil.
"Aduh… sakitlah, Lydia," keluh Mariam sambil menarik tangannya perlahan.
Lydia tersedar, wajahnya merona malu. Dia melonggarkan genggaman itu, namun jemarinya masih bergetar.
"Relaxlah…," pujuk Mariam, senyum kecil terukir di bibirnya. Dia faham benar perasaan Lydia saat ini — resah, gugup, serba salah… semua bercampur menjadi satu. "Kau yang pilih nak jumpa dia malam ni, kan? Jangan buat aku tolak kau sampai ke depan meja tu sudah…" katanya berseloroh sambil tergelak. "Nah ....kau bawa ni. Nanti kau yang beri pada Alia tanda salam perkenalan." Mariam mengujuk kotak kek kepada Lydia.
Lydia mengangguk perlahan. Dia melepaskan tangan Mariam dan mengambil kotak yang berisi kek itu. Langkahnya kembali bergerak, perlahan, ragu-ragu, seolah-olah setiap langkahnya menuntut kekuatan yang entah ke mana hilangnya. Pandangannya masih tertumpu pada lelaki itu… susuk tubuh yang terlalu dikenalinya… namun entah kenapa malam ini, dia terasa seperti sedang mendekati seorang asing.
Mereka akhirnya menghampiri meja kayu itu, langkah Lydia masih terasa berat walau Mariam di sisi terus memberi sokongan dengan senyuman kecil yang cuba meredakan keresahannya. Di bawah limpahan cahaya lampu jalan yang suram dan deru ombak yang menghempas pantai di kejauhan, hanya kelihatan susuk tubuh Hisham duduk sendirian di meja itu. Lelaki itu khusyuk membelek sebuah buku, jemarinya perlahan menyelak helaian demi helaian seolah-olah larut dalam dunianya sendiri.
Mariam terus menarik kerusi dan melabuhkan punggung tanpa banyak bicara, Lydia mengekori dengan perlahan, kotak kek di tangannya diletakkan di atas meja — kotak berwarna putih yang sederhana, namun cukup berat membawa perasaan yang dia sendiri tidak pasti mahu diluahkan atau disembunyikan.
"Alia mana?" soal Mariam selamba, matanya terus mencari wajah Hisham di sebalik buku itu.
Hisham tersentak kecil, cepat-cepat menutup bukunya dan mengalihkan pandangan kepada mereka. Senyuman nipis terukir di bibirnya, namun ada sesuatu yang sukar ditebak di matanya — renungan yang entah kenapa membuatkan jantung Lydia kembali berdegup kencang.
"Dia balik dulu," jawab Hisham ringkas. Matanya terhenti lama pada Lydia, seolah-olah ada sesuatu yang ingin dia katakan, namun kata-kata itu tersekat entah di mana.
Lydia berpura-pura sibuk membetulkan kotak kek di atas meja. Matanya mengelak dari terus bertembung dengan pandangan Hisham. Perasaannya bercampur baur — suka dan tidak suka. Suka… kerana Alia tiada bersama. Tiada bayang perempuan itu yang perlu dia hadapi, tiada wajah manis yang perlu dia perhatikan dengan senyap-senyap, mengukur sendiri di mana letaknya kekurangan diri.
Namun, dalam masa yang sama, dia tidak suka… kerana dia tidak berpeluang untuk menilai sendiri siapa perempuan bernama Alia itu. Perempuan yang berjaya memiliki perhatian lelaki yang dia sendiri tak mampu halau dari hatinya — lelaki bernama Hisham.
Jari jemarinya menggenggam jari jemari Mariam di bawah meja menahan segala rasa yang bergelora di dada. Dia cuba tersenyum, tapi senyuman itu lebih kepada menyembunyikan perasaan sendiri daripada mempamerkan kegembiraan. Mariam hanya tersenyum. Membiarkan sahabatnya jelita itu menggenggam hari jemarinya untuk menahan gejolak di dadanya.
"Kau bawak kek?" Hisham akhirnya bersuara, matanya melirik ke arah kotak putih itu.
Lydia mengangguk perlahan. "Untuk kau… dengan… Alia," katanya, suaranya hampir tidak kedengaran, namun cukup jelas menusuk ke telinga Hisham.
Mariam hanya tersenyum nipis, memerhati dua insan itu dengan pandangan penuh makna. Malam di pantai itu mungkin sekadar santai untuk yang lain, tetapi bagi mereka bertiga… malam ini bukan sekadar lepak kosong — ada hati yang diuji, ada rasa yang disembunyikan, ada rahsia yang perlahan-lahan menanti untuk terdedah.
"Nak kita order makanan sekarang kah? Atau tunggu Alia?" tanya Mariam sebaik sahaja pelayan gerai itu datang membawa menu ke meja mereka.
Lydia berpura-pura sibuk membelek menu di tangannya, walau hakikatnya dia tidak mampu menumpukan perhatian. Dia lebih tertarik menanti jawapan Hisham.
"Order sekarang saja," balas Hisham sambil memandang pelayan itu. "Pesan fries, ayam goreng… dan orange juice untuk Alia sekali."
Lydia menunduk sedikit, namun bibirnya mengukir senyum tawar. “Amboi… Hisham dah hafal makanan kegemaran buah hatinya,” bisik hati kecilnya. Rasa pahit itu menelan dirinya perlahan-lahan, namun di wajahnya, dia tetap cuba menampakkan ketenangan, seolah-olah kata-kata Hisham itu langsung tidak memberi apa-apa makna.
"Fries satu, ayam goreng… orange juice…" Lydia turut mengulang pesanan itu kepada pelayan, suaranya tenang walau hatinya sedang memberontak.
"Untuk awak, Miss?" tanya pelayan itu kepada Lydia.
"Air mineral saja," jawabnya ringkas, malas mahu memikirkan makanan lain. Selera makannya hilang entah ke mana.
Mariam memandang Lydia sekilas, seolah-olah dapat membaca apa yang bergolak di wajah sahabatnya itu. Namun dia hanya diam, memberi ruang untuk Lydia menyembunyikan perasaannya sendiri.
"Lydia, kau tak makan? Aku belanja kau sempena hari jadi kau" soal Hisham tiba-tiba, membuatkan Lydia mengangkat muka, sambil tersenyum.
Dia cuba menyembunyikan rasa resah di hatinya. "Tak apa, aku tak lapar sangat. Dah banyak makan siang tadi. Terima kasih"
Hisham mengangguk perlahan, namun matanya tidak lepas memerhati Lydia. Ada sesuatu yang dia rasakan berlainan malam ini. Wajah Lydia kelihatan lain… lebih pucat, lebih suram… tapi dia tidak pasti sama ada dia patut bertanya atau biarkan sahaja.
Pelayan itu berlalu pergi, meninggalkan mereka bertiga dalam suasana sepi seketika. Deruan ombak di kejauhan dan bayu laut yang menerpa wajah mereka menjadi latar yang sempurna untuk malam yang penuh rasa yang tidak terungkap itu.
Sedang mereka bertiga berbual kosong, menunggu pesanan sampai, suasana santai itu tiba-tiba dikejutkan dengan suara nyaring seorang gadis kecil yang menerpa ke arah mereka.
"Kakak!" Sergah gadis comel itu sambil berlari-lari anak ke arah Mariam.
Mariam dan Lydia hampir serentak terkejut. Lydia refleks memegang dadanya yang berdebar kerana terkejut, sementara Hisham hanya tersenyum nipis. Dia sudah awal-awal lagi nampak kelibat gadis itu dari jauh, berlari sambil mengayun dua tocangnya yang comel.
Gadis kecil itu tanpa segan silu mencapai tangan Mariam untuk disalam dan diciumnya penuh hormat, sebelum beralih kepada Lydia dan melakukan perkara yang sama.
"Duduk sini..." ujar Hisham sambil menarik kerusi kosong di sisinya untuk gadis itu.
Gadis itu terus duduk dengan ceria, tangannya menggenggam sebungkus plastik jernih berisi kuih bahulu bakar.
"Oh ya, kakak… ini nenek suruh bagi pada kakak," katanya sambil menghulurkan bungkusan itu kepada Mariam.
"Wah… ini favourite kakak! Sampaikan pada nenek, terima kasih banyak-banyak dari kakak ya," balas Mariam dengan riang, membuka bungkusan itu sedikit dan mencium bau kuih kegemarannya.
Gadis itu mengangguk-angguk, senyumnya manis menampakkan lesung pipit halus di pipinya.
"Kakak… ini kawan kakak kah?" soal gadis itu sambil memandang Lydia penuh rasa ingin tahu.
"Aa ah… lupa pula nak perkenalkan," kata Mariam sambil mengerling ke arah Hisham, nadanya penuh usikan. "Sham… kau kenalkanlah mereka berdua."
Hisham mengangguk perlahan, senyumannya tenang tapi matanya sempat melirik ke arah Lydia yang diam membisu.
"Oh ya… Lydia… ini Alia… Alia, ini Lydia, kawan Kak Yam," ujar Hisham perlahan, suaranya tenang dan datar, cuba menyembunyikan debaran kecil yang tiba-tiba hadir.
Namun, apa yang dia tak jangka, sebaik sahaja nama itu disebut, Lydia mempamerkan reaksi yang membuatkan jantung Hisham tersentak.
Dahi Lydia berkerut, matanya membulat kecil sebelum dia ketawa terdekah-dekah sambil menutup mulutnya, cuba menahan gelak yang jelas datang dari rasa terkejut bercampur lega.
Alia yang comel itu memandang Lydia sambil tersenyum lebar.
"Cantiknya kawan Kak Yam… padan dengan Abang Sham," ujar Alia bersahaja, matanya bersinar memandang Lydia kemudian beralih kepada Hisham yang jelas terpinga-pinga.
Kini giliran Mariam pula meletuskan tawa. Ketawanya kuat, jelas terhibur dengan situasi tidak disangka itu.
Hisham cuma tersenyum, namun dia terasa mukanya panas tiba-tiba. Malu, sedikit gugup, dan entah kenapa… dia dapat rasakan jantungnya berdegup lebih laju daripada biasa.
Lydia pula masih tergelak kecil, namun di hatinya, debaran itu perlahan-lahan reda. Ternyata… ‘Alia’ yang selama ini dia bayangkan sebagai pesaing dalam diam… rupa-rupanya cuma seorang gadis kecil comel yang tidak tahu apa-apa tentang perasaan orang dewasa.
“Astaghfirullah… aku ni yang overthinking rupanya…” bisik hati Lydia sambil mengesat sisa ketawanya.
Malam itu, di bawah bayu pantai yang lembut, Lydia rasa dadanya sedikit lapang… untuk seketika
Comments
Post a Comment