Bab 1 - Bintang Yang Ku Gapai

 

Bas ekspres terus meluncur laju di atas jalan raya yang dibasahi gerimis pagi. Di dalamnya, Tamara duduk diam di kerusi paling belakang, memeluk beg sandangnya erat-erat. Matanya menatap jauh ke luar tingkap, menyaksikan bayangan pokok kelapa sawit dan rumah-rumah kampung yang semakin hilang dari pandangan—seperti kenangan yang perlahan-lahan menjauh.


Angin dari penghawa dingin menyapa lembut wajahnya, namun hatinya berkecamuk. Tangannya menggenggam sehelai sapu tangan usang—bekalan terakhir dari arwah ibunya. Setiap benang pada sapu tangan itu menyimpan cerita kasih seorang ibu yang telah pergi terlalu awal, meninggalkan Tamara dalam jagaan ayah yang makin jauh hatinya, dan ibu tiri yang tidak pernah menganggapnya lebih dari sekadar beban.


Dia menunduk. Wajahnya yang ayu kelihatan tenang dari luar, tetapi di dalam hati, hanya Tuhan yang tahu. Pergi ke bandar bukan impiannya, tetapi juga bukan hukuman. Ini adalah jalan terakhir—peluang untuk membina hidup, untuk menyelamatkan maruah, dan mungkin... mencari bintang yang pernah dijanjikan ibunya sewaktu kecil.


"Suatu hari nanti, Mara... kau akan jadi seperti bintang. Bersinar walau gelap malam menyelubungi," kata-kata itu masih terngiang.


Bas berhenti seketika di sebuah hentian kecil. Penumpang naik dan turun, namun Tamara tetap kaku di tempatnya. Tangannya kini menyentuh leher, terasa rantai kecil hadiah terakhir dari arwah ibu.


Dia tidak tahu apa yang menantinya di bandar. Tapi dia tahu, dia tidak akan berpatah balik. Langkah ini—langkah pertama—adalah untuk dirinya, untuk masa depan yang tidak akan lagi ditentukan oleh orang lain.


Dan di luar sana... bintang yang ingin digapainya mungkin sedang menunggu.


Tamara memeluk erat beg sandangnya. Tubuhnya sedikit menggigil dalam kesejukan malam. Bas itu meluncur perlahan keluar dari pekan kecil yang telah lama menjadi saksi kehidupannya.


Dia bersandar ke kerusi, memandang ke luar jendela, namun yang dilihatnya hanyalah bayang-bayang kenangan yang menyesakkan dada.


“Ayah…” bisik hatinya.


Dia masih ingat bagaimana wajah ayahnya berubah cemas bila melihat tamparan Halimah hinggap di pipinya. Tapi ayahnya hanya menunduk, tidak berkata apa-apa.


"Ayah tak suka gaduh dalam rumah ni, Ara… jangan panjang-panjangkan."


Itu yang selalu ayah katakan. Tamara tahu, ayahnya sayang padanya. Tapi sejak perkahwinan dengan Halimah, lelaki itu menjadi semakin pendiam dan serba salah.


Azman pula, anak Halimah, suka memerlinya. Pernah Tamara adukan perbuatan Azman yang menyelongkar biliknya dan menyebarkan gambar-gambar peribadinya pada kawan-kawan. Tapi ayah diam. Katanya, “Mungkin Ara yang salah faham. Azman tu lelaki… jangan dituduh sembarangan.”


Air mata Tamara mengalir perlahan. Ayah… kenapa tak pernah berdiri untuk Ara? Kenapa lebih pentingkan ketenangan rumah tangga baru ayah berbanding maruah dan jiwa anak sendiri?

"Ara... Maafkan ayah. Ayah tak mampu lawan semua ni. Tapi jangan pernah ragu... sayang ayah pada Ara, tak pernah berubah. Ayah cuma... lemah."

Tamara memejamkan matanya. Hatinya pilu bila mengingati kata-kata ayahnya. Sebelum ini ayah seorang yang tegas dan berpendirian teguh. Kenapa sekarang ayah mengakui dirinya lemah?



Ayah tak pernah pertahankan aku, walau tahu kebenarannya? Tapi... aku tahu, dia sayang aku. Cuma dia lemah..." Dan Tamara menangis teresak-esak.

Tamara masih ingat satu-satunya barang peninggalan arwah ibunya — seutas kalung emas berbentuk hati, yang sering dipakai arwah setiap kali menghantar Tamara ke sekolah.


 “Kalung ni hadiah ayah untuk ibu waktu Ara dilahirkan,” kata ibunya suatu hari. “Kalung ni untuk Ara, kalau ibu dah tak ada.”


Namun sebulan selepas Halimah masuk ke rumah itu, kalung tersebut hilang dari kotak simpanan. Bila Tamara tanya, Halimah menjawab dengan wajah selamba:

 “Budak sekolah tak layak pakai barang kemas. Aku simpan supaya tak hilang.”


Esoknya, semasa perhimpunan sekolah, Maimunah masuk ke kelas Tamara — memakai kalung emas yang sama, dan menunjukkan pada kawan-kawannya.


“Cantik tak? Hadiah dari mak aku,” katanya sambil tertawa sinis dan mengerling ke arah Tamara.


Tamara hanya mampu menggigit bibir, menahan air mata yang mendidih.

Dia juga dituduh sebagai pencuri. Satu hari, Halimah menuduh Tamara mencuri RM500 dari laci biliknya.Tamara menafikan — dia tahu dia tak bersalah. Halimah menampar pipi Tamara dan menolak gadis itu hingga jatuh tersungkur di lantai dan Halimah bersungguh-sungguh menuduh Tamara sambil siap menangis di hadapan ayahnya, Taufiq.


Ayah tidak percaya Tamara bersalah. Ayahnya memeluk Tamara Dan memujuknya supaya bersabar Dan demi menenangkan rumah tangga, dia menggantikan duit itu.


“Ara… kalau betul bukan Ara, biarlah. Ayah tahu hati Ara. Jangan fikir lagi, ya?” katanya sambil menghulurkan RM200 untuk belanja sekolah.


Tapi keesokan harinya, sewaktu ayah ke ladang, Halimah masuk ke bilik Tamara dan menampar pipinya.


“Budak sekolah tak perlu pegang duit banyak-banyak! Bagi duit RM200 yang semalam ayah kau bagi tu..." katanya sebelum merampas RM200 itu.

Petang itu, Tamara terdengar Maimunah memberitahu Halimah:


“Azman tu yang ambil duit mak tu. Dia beli tab kat kedai Ah Seng." Kata Mona

"Ahhhh....emak tak percayalah......jangan tuduh adik kau yang bukan-bukan ya" Bentak Halimah.

 Tamara hanya mampu berbisik dalam hati:

Kenapa yang jahat dibela, yang benar diseksa...?


Masih jelas dalam ingatan Tamara sewaktu ayahnya menjemput rakan-rakan perniagaannya ke rumah. Kerana Halimah tidak tahu memasak, dia memesan lauk dari jiran. Tapi ayah meminta Tamara sendiri menyediakan bubur kacang hijau durian, kegemaran arwah ibunya yang terkenal sedap di kalangan rakan -rakan ayahnya.

Tamara gembira bila Halimah akhirnya mengaku di depan tetamu bahawa Tamara yang memasak bubur tersebut.

 “Bubur ni Tamara yang buat. Dia ikut resipi arwah isteri abang.”

Tetamu memuji dan berkata rasanya mesti hampir sama seperti buatan arwah emaknya dulu. Tapi ketika mereka menjamah bubur, semua tergamam — terlalu masin!

Muka Taufiq berubah, dan Halimah hanya ketawa kecil:

 “Entah apa dia letak… malu saya.”

Kemudian, Halimah membuang kesemua bubur ke dalam tong sampah. Dengan nada sinis dia berkata "Sedap konon.....kalau tak pandai masak tu cakaplah tak pandai.... mengaku pandai....padahal bodoh macam ayah dia juga!"

Tamara hanya menelan segala hinaan itu dengan linangan air mata.

Kemudian sewaktu Tamara melintas di ruang dapur hendak ke bilik air dia terdengar Maimunah berbisik di dapur:

 “Mak suruh letak garam sepeket, kan? Baru dia malu besar.”

Ingatan itu Masih jelas lagi dalam lipatan mindanya bagaimana peristiwa satu Syawal itu sungguh mengguris hatinya.

Beberapa hari sebelum raya, Maimunah membeli sepasang baju kurung moden warna biru. Tapi bila tiba pagi raya, dia menjerit kononnya bajunya rosak — hangus terkena seterika.


“Tamara yang gosok baju aku! Dia sengaja bakar!”

Padahal Tamara langsung tak sentuh baju itu.

Halimah menyokong cerita itu. Dia kemudian mengambil baju raya Tamara yang baru, dan memberikannya kepada Maimunah.

“Kalau buat kerja biar ikhlas....baju kau ni biar  kakak kau yang pakai. Kau pakai sajalah baju lama tahun lepas tu.”


Tamara hanya mampu menangis dalam diam. Hari raya itu, dia tersenyum tawar melihat  Maimunah berselfie memakai bajunya yang baru, berkilau di bawah cahaya matahari.


Tamara kembali sedar dari lamunannya apabila pemandu bas mematikan lampu dalam kabin. Dia menyapu pipinya sendiri — air mata yang mengalir tanpa dia sedar.

 “Cukuplah sampai sini saja......." Tamara mengesat air matanya dengan hujung lengan baju kurungnya.  "Aku takkan jadi mangsa mereka lagi. Aku akan cari jalan... walau aku sendiri tak tahu ke mana aku nak pergi.”


Bas telah sampai ke destinasinya. Dengan langkah yang lesu, Tamara turun dari perut bas yang dingin, seperti sekuntum bunga yang tercampak ke bumi asing. Angin  bandar Ipoh menyapa wajahnya, membawa bersama debu dan harapan yang entah ke mana. Dia berdiri terpinga-pinga di tepi jalan, matanya meliar ke kiri dan ke kanan, mencari bayang yang dikenal... namun hampa.


"Ke mana harus aku bawa diri ini?" bisiknya perlahan, nyaris ditelan deru enjin dan kebisingan bandar Ipoh yang tak pernah peduli.

Dia tidak tahu apa yang menantinya di tempat itu. Tapi dia tahu, dia tidak akan berpatah balik. Langkah ini—langkah pertama—adalah untuk dirinya, untuk masa depan yang tidak akan lagi ditentukan oleh orang lain.


---


Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini