Bab 1 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi
Yang Hilang Bukan Cinta
Petang itu langit mendung, seperti turut memayungi resah yang bersarang di dada Hisham. Angin laut menderu perlahan, membawa bau asin dan kenangan yang tenggelam dalam dasar waktu. Dari dalam kenderaan hitam mewah itu, dia memberi isyarat kepada pemandunya.
"Amran... turunkan saya di tepi tu saja."
Amran mengangguk patuh. "Tempat ni tak ramai orang, Tuan."
"Ya... tak macam dua puluh tahun dulu. Waktu saya berniaga satay di sini... suasana meriah. Ada saja orang berniaga di kiri kanan. Ada yang menjual mainan, ada yang bernyanyi, ada yang menangis."
Hisham tersenyum nipis. Kenangan itu terlalu kuat mencengkam.
Khalid, bodyguard peribadinya yang tegap dan setia, membuka pintu belakang lalu berdiri hampir. "Tuan, nak saya ikut sekali?"
Hisham menggeleng perlahan. "Tak payah ikut saya. Awak tunggu saja dalam kereta dengan Amran. Saya duduk di batu tu saja... tak jauh."
"Baik, Tuan." Khalid sempat menghulurkan sesuatu. "Err... Tuan tak nak tukar kot Tuan dengan jaket ni je?"
"Ohh ya... Terima kasih, Khalid." Dia menyambut jaket itu dan memakainya perlahan.
Langkahnya diatur ke arah batu besar di tepi pantai. Kasutnya tenggelam sedikit dalam pasir lembut. Ombak kecil menghempas pantai dengan lembut, seolah memanggil pulang semua yang hilang.
Hisham duduk perlahan. Matanya jauh memandang ke laut — laut yang dulu menjadi saksi ketabahannya sebagai penjual satay, dan mungkin juga tempat yang terakhir dia lihat bayang Lydia yang membawa Daniel pergi tanpa pesan.
Dua orang remaja melintasinya. Yang lelaki menyebut 'Adik' kepada remaja perempuan di sisinya. Wajah mereka muda, riang, penuh harapan.
"Adik... tak payahlah main lagi... ayah dah tunggu lama tu."
"Adik nak ambil batu-batu ni lah. Abang pergi lah dulu. Nanti Adik kejar abang."
"Tak payah lah, Dik..." si abang menarik tangan adiknya dengan lembut.
Hisham tersenyum nipis. Di hadapan matanya, bayang dua beradik itu berubah — menjadi Dani dan Bella. Dia membayangkan Dani yang kecil, berlari di pasir ini dulu. Dan Bella... gadis yang membesar di bawah jagaannya. Mereka kini di takdirkan bertemu dan bercinta.
Dia menghela nafas panjang. Hati lelakinya bergolak. Ingatannya terbang kepada perbualan dengan Mariam pagi tadi.
"Sham... kalau aku bagi tahu kau satu perkara... kau jangan terkejut ya."
"Haaa... apa dia?"
"Emak Dani yang nama dia Dian tu adalah Lydia. Dan Dani tu... anak kau, Daniel."
Dia masih ingat bagaimana seluruh tubuhnya kaku. Dunia seakan berhenti berputar.
"Lydia? Tapi... bukankah Lydia dan Dani dah meninggal?"
"Tapi tak ada bukti yang sahih, kan? Aku ingat lagi... orang yang bawa berita tu cuma tunjuk gambar pemakaman dari jauh. Tak ada siapa pun yang tengok mayat tu betul-betul."
Dan sekarang? Mereka akan tiba di Kuala Lumpur malam esok.
"Sham... Lydia dah berkahwin. Dan Daniel tu sekarang bernama Ahmad Dani."
"Tapi betulkah? Mungkin itu anak dia dengan suami baru."
"Tapi tarikh lahir dia sama dengan Daniel. Aku nampak gambar dia sambut hari jadi... sama tarikh."
"Allahu..."
"Kalau betul Dani tu anak kau... Bella dan Dani adik-beradik!"
Hisham tunduk. Kepalanya ditekup. Tangannya mengepal kuat. Nafasnya kasar.
"Ya Allah... kalau benar semua ini... bagaimana aku nak beritahu Bella yang aku bukan ayah kandungnya? Bagaimana aku nak jelaskan segalanya sebelum dia berkahwin?"
Dia buntu. Takut. Luruh jiwanya.
Lydia...
Nama itu mengalun perlahan dalam hatinya. Dua puluh lima tahun..... Dua puluh lima tahun dia hidup dengan duka yang tidak pernah terubat. Dan hari ini... khabar itu datang. Bahawa Lydia, wanita yang pernah menjadi isterinya, masih hidup. Dan Daniel... darah dagingnya... juga masih bernyawa. Masih di bawah langit yang sama. Masih... mungkin... boleh dipeluk dan dicium lagi.
Air mata Hisham tumpah jua. Dia bangkit dan melangkah perlahan ke gigi air. Biarlah ombak menyapa kasut kulitnya. Biarlah rasa rindunya ditenangkan walau cuma oleh bayu laut yang pernah menjadi saksi cintanya dengan Lydia.
Dia tunduk, mengambil sebiji batu kecil. Hatinya menyebut nama itu perlahan.
"Dani..."
Lalu batu itu dilontar jauh ke tengah laut.
"Lydia..."
Sebiji lagi batu menyusul. Ombak menyambutnya tanpa kata. Laut tetap tenang, seolah tidak peduli pada derita manusia yang duduk di tebingnya.
"Bella... anakku..."
Lama dia berdiri. Lama dia membatu.
Angin laut semakin garang membelai wajahnya. Ombak terus memukul kaki Hisham tanpa henti, seolah mahu menggugurkan segala gundah yang bersarang di hati lelaki itu. Tapi tiada yang bisa menenangkan kalbu yang telah lama patah — apatah lagi bila luka lama kini terbuka semula... dengan nyeri yang lebih dalam, lebih kejam.
Dia tunduk. Pandangannya jatuh ke buih ombak yang pecah di hujung kaki.
“Ya Allah...” bisik Hisham dengan suara serak yang hampir tidak kedengaran.
“Lydia masih hidup...”
Air matanya menitis, satu demi satu, lalu lenyap bersama hembusan angin petang. Suaranya parau, patah-patah. Tapi di dalam jiwanya, jeritan itu bergema kuat — lebih kuat dari deruan ombak, lebih dahsyat dari badai laut.
“Kau sembunyikan dirimu selama ini, Lydia? Ke mana kau pergi? Kenapa kau tidak pernah kembali? Tidak pernah memberi khabar... walau satu garis pun. Tidak... walau satu nafas pun.”
Tangannya dikepal. Dadanya sesak. Nafasnya pendek-pendek.
“Dan Daniel...”
Nama itu menusuk terus ke jantungnya.
“Anakku... darah dagingku... kau hidup. Kau membesar tanpa aku... tanpa kasih seorang ayah. Kau meraikan ulang tahunmu tanpa aku. Kau sakit... kau sihat... kau belajar berjalan dan berlari... tanpa aku di sisi.”
Hisham terduduk semula di batu itu. Bahunya terjatuh longlai. Kepalanya tunduk seperti pohon yang rebah ditiup badai.
“Aku ini ayah yang bagaimana... Tuhan?” soalnya dalam hati. “Aku mencari, tapi tak jumpa. Aku menunggu, tapi tak kunjung. Dan akhirnya... aku hanya mampu menyimpan rindu yang tak pernah reda.”
Kelopak matanya membengkak dengan tangisan yang ditahan terlalu lama.
“Dani... kalau benar kau itu Muhammad Daniel, anakku... maafkan ayah. Ayah tak pernah berhenti mencintaimu, sayang. Tapi hidup ini kejam. Ia merampas kamu dari pelukan ayah sejak kau masih bayi lagi.”
Dia meraup wajahnya yang basah.
“Dan Lydia... wahai wanita yang pernah aku panggil isteri... mengapa kau pergi tanpa pesan? Kenapa kau sembunyikan diri begitu lama? Apa salahku hingga kau hukum aku dengan kehilangan sebegini?”
Angin pantai menderu kuat, seolah menjawab tangisan hatinya.
“Tapi kalau benar ini takdir... aku terima, Lydia. Aku terima semua kepedihan ini... asalkan aku dapat bertemu kamu dan Dani walau sekali. Aku ingin menatap mata kamu semula. Aku ingin peluk Dani dan katakan padanya... yang dia tak pernah hilang dari hati aku.”
Tangannya menggigil. Dadanya berombak hebat. Seluruh dirinya larut dalam penyesalan dan kerinduan yang tak tertanggung.
"Dan kini... bila kau hadir semula, aku takut. Aku takut kehilangan kamu sekali lagi. Aku takut... tak mampu berhadapan dengan kebenaran yang selama ini hanya ada dalam mimpi dan doa aku.”
“Dan Bella...”
Seketika, wajah anak gadisnya terbayang.
“Bella... bagaimana aku harus beritahu padamu bahawa aku bukan ayah kandungmu? Bagaimana aku nak robekkan kebenaran yang selama ini aku sembunyikan demi melindungimu dari luka masa lalu?”
Dia menekup wajahnya sekali lagi. Air mata mengalir tanpa mampu ditahan.
“Aku ini lelaki yang lemah di hadapan takdir. Lelaki yang selama ini kelihatan kuat... tapi rapuh bila berdepan dengan cinta dan kehilangan.”
Lalu dia bangun perlahan, menggigil menahan emosi. Hatinya seolah tidak tertampung dengan beban perasaan.
Langkahnya menuju ke gigi air. Ombak kecil menyambutnya, membasahi kaki hingga ke lutut.
Dia tunduk, mengambil sebiji batu kecil dan melontarnya sejauh yang mampu.
“Itulah rindu aku... yang aku buang ke tengah laut... tapi aku tahu, ia takkan pernah hilang.”
Ketika dia hampir rebah oleh beban yang tak tertanggung itu, suara Khalid datang dari belakang, lembut dan hormat.
"Tuan... maaf. Dah hampir waktu Maghrib."
Khalid berdiri beberapa langkah di belakang. Wajahnya tenang, namun hormat. Hisham mengangguk perlahan. Langkahnya berat. Seolah pantai ini enggan melepaskannya pergi.
Hisham hanya diam. Dia memandang laut buat kali terakhir.
“Lydia... Daniel... tunggulah aku. Aku akan datang padamu. Walau dengan tubuh yang luka dan hati yang hancur, aku tetap akan datang. Kerana aku belum pernah berhenti mencintai kamu berdua.”
Dengan langkah berat, dia berpaling dari laut itu. Pemandangan senja kelihatan kabur dek genangan air mata. Tapi hatinya tekad. Dia tahu, badai ini belum berakhir. Namun dia sudah bersedia — kerana dua jiwa dari masa silam sedang menantinya... di hujung esok.
Dia menoleh sekali lagi ke arah laut. Matahari hampir tenggelam di ufuk barat. Hari akan berganti malam. Tapi jiwanya? Masih kelam. Masih mencari cahaya untuk mengerti dan berdamai.
“Lydia... tunggu aku. Tunggu aku walau hanya untuk satu pertemuan terakhir...”
Dan dengan langkah yang berat, Hisham meninggalkan pantai itu — tempat cinta pernah berputik, dan harapan sedang bersemi kembali.
------
Tengah hari itu, suasana Café Alamanda di lobi hotel mewah itu tenang dan sederhana. Lampu kuning remang menyinari setiap meja, aroma kopi Arabica mengapung di udara, dan alunan muzik piano instrumental melatari perbualan para tetamu hotel.
Hisham duduk di meja hujung menghadap jendela kaca. Di hadapannya secawan jus oren yang sudah tinggal separuh, dan sepinggan spaghetti Bolognese yang belum disentuh.
Dia kelihatan tenang, tapi jiwanya ribut. Jantungnya masih berdegup kencang sejak perbualannya dengan Mariam pagi tadi.
"Dia bernama Dian, tapi aku tahu dia Lydia, Sham. Aku lihat gambar ‘gerai satay Mak Imah’ dan butik Marly Chic di blogspot anak dia — Dani.
Dia cerita, ibunya dulu pernah kerja di gerai satay di Malaysia. Dan tahu tak... Majikan ibunya dulu panggil dia... Lady D."
Lady D.
Panggilan yang hanya panggilannya untuk Lydia.
“Mustahil... kalau bukan dia…” bisik Hisham sendiri.
Dia mengangkat pandangan. Tidak jauh dari mejanya, ada sepasang suami isteri bersama seorang remaja lelaki dan perempuan. Hisham tahu itu Lydia bersama-sama suami baru dan anak-anaknya....Mereka kelihatan tenang dan bahagia, sesekali berbual kecil dan ketawa. Sementara si ibu — wanita itu — anggun dan sederhana dalam blus krim lembut, seluar palazzo warna cokelat dan scarf berbunga-bunga cokelat dan krim.
Sebentar kemudian, wanita itu berdiri perlahan. Dia berkata sesuatu kepada suaminya, dan lelaki itu hanya mengangguk sambil mengelus tangan isterinya. Wanita itu menuju ke arah washroom di sebelah lorong kecil.
Hisham mengecilkan matanya. Dia tahu... itulah dia. Wanita Itu Masih kelihatan anggun seperti dulu walaupun dia sudah agak berisi sedikit.
Perlahan-lahan, dia bangun. Tidak terburu. Tidak panik. Tapi hatinya seperti mahu pecah. Dia berjalan menghampiri lorong itu — tidak masuk ke tandas lelaki, tapi berdiri di sisi dinding berhampiran pintu tandas wanita.
Langkah wanita itu keluar dari pintu... dan mereka hampir bertembung.
"Maaf, Pak..." kata wanita itu, sedikit tergesa dan tidak menyedari siapa yang berdiri di hadapannya.
Hisham cuma mengangguk Dan tersenyum.
"Maaf, Puan… Apakah Puan ini Ibu Dian?" tanya Hisham ketika dia melihat wanita itu mulai melangkah untuk pergi, dengan suara tertahan, cuba menyembunyikan debaran di dadanya yang menggila.
Wanita anggun berusia lewat empat puluhan itu menoleh perlahan. Wajahnya tenang, penuh wibawa. “Ya… Saya Dian. Bapak siapa?” tanyanya sopan, sedikit heran.
“Saya ayah Nur Nabila… Bella… kawan anak Puan. Dani.” Jawapan itu meluncur lirih dari bibir Hisham.
"Ohhh…” Wanita itu tertawa kecil, lembut, namun menyimpan seribu rahsia. “Kebetulan kita bertemu di sini, ya? Ayo kita ke kafe. Dani dan suami saya ada di sana.”
“Silakan…” jawab Hisham, menunduk sopan walau di dalam hatinya badai sedang mengamuk, menerjang kenangan yang selama ini dikuburnya dalam-dalam.
Dian berpaling. Dengan langkah tenang dan penuh karisma, dia melangkah menuju arah kafe. Namun, belum sampai langkah ketiganya, suara lelaki itu terdengar — perlahan, tapi cukup untuk menggetarkan jiwa.
"Lady D…"
Langkah Dian terhenti seketika. Jantungnya seperti diremas-remas. Petir seolah menyambar ruang fikirnya. Dia berpaling cepat, matanya menatap lelaki itu — penuh kejutan, penuh luka yang belum sembuh.
"Ini aku… Hisham," kata lelaki itu, matanya redup, suaranya dalam, sarat beban rindu dan penyesalan.
Tubuh Dian menggigil. Kakinya terasa ringan. Dia seolah melayang, dan pandangannya mulai mengabur.
“Hisham…” bisiknya lirih, hampir tak terdengar. Suara yang hanya bisa ditangkap oleh angin dan kenangan.
Langkahnya goyah. Nafasnya tercekat. Dunia seakan membeku di antara mereka. Suasana kafe yang sedikit bising saat itu tak lagi bermakna. Semuanya tenggelam oleh satu suara dari masa lalu:
"Lady D."
Hisham cepat melangkah ke arahnya, tangannya terulur, ingin menyentuh, menyambut, menopang jika wanita itu rebah. Tapi Dian masih berdiri, meski jiwanya hampir runtuh.
"Benarkah ini kamu?" Suaranya parau, bergetar. “Kamu… masih hidup?”
Hisham mengangguk pelan. "Aku tidak pernah mati, Dian.....hanya kau yang pernah hilang — dari hidupku."
Tangan Dian menutup mulutnya sendiri. Air mata mulai jatuh tanpa bisa ditahan. Dia mundur selangkah, seperti menolak kenyataan yang berdiri di hadapannya.
“Tidak… ini tidak mungkin. Kamu… sudah mati....kamu hilang di laut....kamu tidak ditemui..."
"Aku Masih hidup....dan berdiri di depanmu dengan dosa yang sama: mencintaimu di saat aku tak lagi berhak," potong Hisham, suaranya serak penuh penyesalan.
Dian memejamkan mata. Dalam dirinya, kenangan berhamburan, seperti daun gugur yang tak sempat disapu angin. Kenangan itu kembali hidup — hari terakhir mereka bertemu, pelukan terakhir, ciuman perpisahan yang katanya hanya sementara. Ternyata tidak. Ternyata itu adalah selamat tinggal yang tak pernah dijanjikan.
Tiba-tiba terdengar suara riuh dari kafe. Suara Dani tertawa, dan lelaki yang bersama dengannya memanggil, “Sayang, kamu ke mana?”
Dian terkejut. Dia menoleh ke arah suara itu. Realiti menghantam dadanya seperti badai yang tak mengenal ampun.
"Aku harus pergi," bisik Dian, nyaris patah. Dia segera berpaling, berlari kecil ke arah kafe, meninggalkan Hisham yang terdiam mematung, menahan rasa yang kembali menampar dada.
Hisham hanya menatap punggung wanita itu — wanita yang pernah menjadi seluruh dunia baginya, dan kini, menjadi milik orang lain.
-----
Kamar hotel itu sunyi. Hanya deru pendingin hawa yang kedengaran samar, berpadu dengan nafas Dian yang masih belum stabil. Cahaya lampu meja yang redup menyimbah wajah pucatnya yang terbaring lemah di atas katil. Beberapa saat tadi, dia akhirnya sedar dari pengsan — kejadian yang membuat seluruh keluarga kecilnya kalut dan cemas.
Andrian duduk di sisi, tangannya setia mengelus belakang tubuh isterinya dengan lembut, cuba memberi ketenangan walaupun jiwanya sendiri berombak resah. Dani dan Sofia duduk di birai katil, wajah mereka jelas memaparkan kebimbangan yang sukar disembunyikan.
“Ma… nggak pusing lagi?” tanya Andrian, menyodorkan sebotol kecil air mineral kepada isterinya.
Dian menggeleng lemah, menolak perlahan botol itu.
“Mama… sudah nggak apa-apa. Sudah nggak pusing,” ujarnya perlahan kepada Andrian. Suaranya seperti ditarik dari dada yang sesak.
Dia menggenggam tangan Dani dan Sofia.
“Nggak usah khuatir ya, Nak. Ibu cuma capek sikit. Kita baru sampai lewat malam tadi. Mungkin kurang tidur.”
Dia tersenyum—senyum yang dipaksa, yang ditarik dari luka dalam hatinya. Kerana di sebalik senyuman itu, masih tergiang suara lelaki tadi.
"Lady D... aku Hisham"
Comments
Post a Comment