Taufiq menyandarkan tubuhnya ke bantal hospital yang bakal dia tinggalkan sebentar lagi. Matanya mengerling ke arah jam dinding — pukul 11.20 pagi. Lagi sepuluh minit sahaja sebelum dia dibenarkan keluar. Dia hanya menunggu ketibaan Zaidah dan adiknya yang akan menjemputnya pulang ke rumahnya di Kampung Sri Menanti.
Dengan perlahan, Taufiq memejamkan mata. Cuba membayangkan keadaan rumah yang telah dua bulan ditinggalkan. Sebelum masuk ke hospital, dia sempat berpesan kepada Mazlan — ketua ladang — dan isterinya agar menjenguk rumah itu dan membersihkannya sekadar mana yang perlu. Tapi dia tahu, rumah itu tetap sepi. Sunyi tanpa suara insan yang pernah menghidupkan setiap ruang.
Mereka memilih meja yang menghadap taman kecil di luar jendela kafe. Zaidah ke kaunter untuk memesan minuman, memberi ruang buat Taufiq dan adiknya berbual seketika.
Hafiz duduk bertentangan dengan Taufiq, kedua-dua tangannya meramas jari sendiri, seolah ada yang sedang membebani fikiran.
“Encik Taufiq…” suara Hafiz perlahan, “kalau bukan Encik Taufiq yang halau Tamara, kenapa isteri Encik Taufiq Dan Maimunah beritahu saya begitu?”
Sekarang, dia akan kembali... sendiri lagi. Kaki kirinya masih belum sembuh sepenuhnya. Dia perlu bertongkat untuk berdiri dan berjalan. Doktor telah berpesan agar dia terus berusaha dengan fisioterapi dan senaman ringan jika mahu pulih seperti sedia kala.
Tepat jam 11.30 pagi, pintu bilik diketuk perlahan. Taufiq membuka mata.
“Assalamualaikum… Encik Taufiq dah sedia?” suara Zaidah menyapa dari muka pintu, diiringi senyum ramah seperti selalu.
“Aa...ah… Dah sedia sejak tadi lagi,” jawab Taufiq sambil duduk tegak.
Zaidah melangkah masuk sambil menoleh ke arah seseorang di belakangnya.
“Tak sabar nak balik rumah, kan?” usiknya. “Ini adik saya… Masuklah, Fiz. Tolong angkatkan beg Encik Taufiq.”
Lelaki itu melangkah ke dalam. Taufiq memandang dan wajahnya berubah sedikit.
“Cikgu Hafiz?”
“Encik Taufiq…” Hafiz tersenyum lalu melangkah pantas dan meraih tangan Taufiq, menciumnya penuh hormat.
“Mana Tamara?” Soalan itu meluncur keluar tanpa sempat ditapis. Taufiq berdiri perlahan dengan bertongkat, memandang Hafiz dengan mata yang tidak dapat menyembunyikan keresahannya.
Hafiz terdiam seketika. “Tamara? Saya... saya tak tahu, Encik Taufiq.”
Taufiq terus menatap wajah Hafiz. “Kau betul tak tahu?”
“Saya tak tahu, Encik Taufiq. Sejak malam tu… sejak peristiwa itu… saya langsung tak jumpa dia lagi,” balas Hafiz, nada suaranya jelas jujur.“Tapi… bukankah Encik Taufiq yang halau Tamara keluar dari rumah malam tu?” soal Cikgu Hafiz perlahan, seolah masih mencari kepastian.
Taufiq menggeleng perlahan, matanya redup menahan rasa.
“Tak, Hafiz… aku tak pernah halau dia keluar dari rumah. Tidak malam itu, tidak pernah sekalipun…”
Zaidah yang mendengar perbualan itu mula terpinga-pinga.
“Siapa Tamara, Fiz? Apa yang dah berlaku sebenarnya?”
Hafiz menoleh ke arah kakaknya, hi wajahnya tenang. “Nantilah saya ceritakan, Kak.”
Dia kemudian menyandar beg ke sisi dan memegang lengan Taufiq.
“Ayuh, Encik Taufiq. Kita turun dulu. Makan sesuatu di kafe sebelum pulang,” ajak Hafiz sambil memimpin lengan Taufiq dengan berhati-hati.
Mereka perlahan-lahan melangkah ke arah lif, menuruni bangunan hospital menuju ke tingkat bawah. Setibanya di kafe, aroma kopi segar dan makanan panas menyambut kedatangan mereka. Beberapa jururawat dan kakitangan hospital yang mengenali Zaidah serta Taufiq terus menyapa dengan ramah.
“Hari ni Encik Taufiq dah discaj, ya?” tegur seorang jururawat muda yang baru keluar dari kafe sambil memegang gelas kopi.
“Ya, baru je discaj ni,” jawab Taufiq, menguntumkan senyum mesra walaupun masih bertongkat.
Seorang lagi jururawat menghampiri dan tersenyum sambil memandang ke arah Zaidah.
“Wah… Kak Idah pun ambil cuti hari ni? Nak hantar Encik Taufiq balik ke rumah ke?” usiknya dengan nada berseloroh.
Zaidah hanya tertawa kecil, menundukkan wajah sedikit sambil membetulkan tudung.
“Cuti kebetulan,” jawabnya ringkas, cuba menyembunyikan rasa segan.
“Kak… sama padan, tahu,” tambah jururawat itu sambil mengenyitkan mata nakal kepada Zaidah.
Hafiz tergelak kecil sambil menarik kerusi untuk Taufiq. Zaidah menggeleng perlahan, tapi pipinya sudah pun merona merah.
Taufiq hanya senyum… ada sesuatu yang hangat dalam suasana itu, meskipun hatinya masih dibayangi oleh bayang Tamara yang belum kembali.
Mereka memilih meja yang menghadap taman kecil di luar jendela kafe. Zaidah ke kaunter untuk memesan minuman, memberi ruang buat Taufiq dan adiknya berbual seketika.
Hafiz duduk bertentangan dengan Taufiq, kedua-dua tangannya meramas jari sendiri, seolah ada yang sedang membebani fikiran.
“Siapa yang beritahu Cikgu yang Pakcik halau Tamara malam tu?” soal Taufiq tiba-tiba, matanya menikam wajah Hafiz dengan penuh tanda tanya.
“...Maimunah,” jawab Hafiz perlahan.
Taufiq menarik nafas panjang, berat dan dalam.
“Memang saya dah duga…” katanya perlahan, seolah bercakap dengan dirinya sendiri. Suaranya sarat dengan kekecewaan.
Belum sempat Hafiz membalas, Zaidah tiba di meja mereka sambil membawa beberapa kuih dan secawan teh tarik. Wajahnya masih berbalut tanda tanya yang belum terjawab sejak tadi.
“Saya tak ganggu, kan?” soalnya sambil melabuhkan duduk, matanya bergilir memandang Taufiq dan Hafiz.
“Tak... saya tak keberatan kalau Cik Zaidah pun mendengarnya,” balas Taufiq jujur.
Zaidah mengangguk perlahan. “Cikgu, ceritakanlah... sebab masa Cikgu kena tangkap dengan Tamara, saya tak ada di situ. Saya cuma dengar cerita dari orang kampung je.”
Zaidah memang pernah mendengar tentang peristiwa itu — kisah lama yang tersebar ke seluruh kampung. Murid dan guru ditangkap basah di rumah guru lelaki. Huru-hara. Pejabat Pendidikan ambil tindakan segera. Hafiz dipindahkan ke Sarawak serta-merta. Lima tahun merantau, barulah dia mohon pulang semula ke Perak dan kini mengajar di sekolah menengah di Teluk Intan. Tapi dia tak pernah tahu kisah sebenar... dan kini, rupanya Taufiq adalah ayah kepada Tamara — murid yang dimaksudkan dalam peristiwa itu.
“Kak…” Hafiz menunduk sejenak, kemudian bersuara, “Encik Taufiq ni… ayah kepada Tamara. Murid saya yang dituduh bersama saya malam tu.”
Zaidah terkejut, memandang Hafiz kemudian Taufiq.
Hafiz menelan liur, kemudian perlahan-lahan membuka kisah yang disimpannya bertahun-tahun.
“Malam tu… saya baru lepas mandi. Baru keluar dari bilik air, masih bertuala. Tiba-tiba saya dengar suara jeritan dari ruang tamu. Saya terus keluar dan nampak Tamara terbaring di lantai. Siku dia berdarah. Saya panik… saya berlutut nak bantu dia duduk, nak tengok lukanya.”
Dia berhenti sejenak, menarik nafas.
“Masa tu lah... ketua kampung dan beberapa orang masjid tiba-tiba masuk ke rumah. Mereka nampak saya bertuala, basah, dan sedang memegang Tamara. Tak sempat saya jelaskan apa-apa, mereka terus tuduh kami buat maksiat.”
Taufiq tunduk, mendengar tanpa menyampuk.
“Saya dah puas nafikan… Tapi Tamara pula kata dia datang sebab saya mesej dia, ajak datang untuk perjumpaan koir. Sedangkan, Encik Taufiq… petang tu masa saya balik dari main bola, telefon saya hilang dari loker. Saya cari, kawan-kawan pun tolong cari, tapi tak jumpa. Yang peliknya… masa peristiwa tu, telefon tu tiba-tiba ada atas meja di ruang tamu rumah saya.”
Mereka terdiam seketika apabila pelayan kafe datang menghidang minuman dan kuih. Hafiz mengucapkan terima kasih, kemudian menyambung semula.
“Malam tu… saya tahu kami diperangkap. Tapi tak ada siapa percaya. Azman, ketua kampung… semua terus hukum tanpa soal. Sampai Encik Taufiq datang malam tu…”
Taufiq mengangkat wajahnya.
“Habis tu… kenapa Cikgu mengaku yang Cikgu bercinta dengan Tamara? Katanya Cikgu sering bertemu dia secara rahsia,” soal Taufiq. Nada suaranya lebih ingin tahu daripada menuduh.
Hafiz menatap lelaki itu dengan pandangan jujur.
“Saya cuma nak tolong Tamara, Encik Taufiq.”
“Tolong?” Taufiq mengerutkan dahi. “Tolong macam mana? Tolong Tamara lari dari rumah? Sampai sekarang Tamara tak pulang-pulang lagi ke rumah…”
Hafiz tunduk seketika, kemudian bersuara perlahan.
“Sebenarnya… saya terbaca diari Tamara. Dia tertinggal di dewan sekolah masa latihan koir. Dalam tu… dia tulis semuanya. Dia luahkan perasaannya. Tentang seksaan ibu tiri bila Encik Taufiq tak ada di rumah. Tentang dia sering jadi mangsa kakak dan adik tirinya. Difitnah, dipulaukan, dimaki. Katanya ayahnya… selalu suruh dia sabar saja.”
Taufiq menahan nafas. Matanya mula berkaca.
“Dia… dia juga sedih sebab kalung peninggalan arwah ibunya jatuh ke tangan kakak tirinya. Katanya ayahnya janji nak gantikan dengan yang baru… tapi itu cuma tinggal janji. Tamara selalu nak lari dari rumah tu, tapi dia ingat pesan arwah ibunya… untuk terus tinggal bersama ayahnya. Untuk jaga ayah bila ayah dah tua.”
Air mata Taufiq tumpah akhirnya. Dia tunduk, tangan mengesat wajahnya perlahan-lahan.
“Memang saya akui…” suara Hafiz perlahan, namun jujur. “Saya sukakan Tamara.”
Kata-kata itu jatuh perlahan, namun berat. Dia membuang pandangan keluar jendela kafe, merenung pepohon yang bergoyang perlahan di bawah langit mendung.
“Tapi dia murid saya, Encik Taufiq. Usia kami sepuluh tahun beza. Saya tahu batasnya…” Nada suaranya mulai tenggelam dalam kekosongan yang bergema dalam dirinya sendiri. “Dan saya tahu… Tamara tak pernah lihat saya lebih daripada seorang guru. Seorang cikgu biasa, tempat dia menimba ilmu… tempat dia bertanya, mengadu kadang-kadang. Tapi tidak pernah… tidak pernah dengan perasaan yang sama seperti saya rasa terhadap dia.”
Dia menarik nafas, perlahan dan dalam.
“Perasaan tu… saya simpan. Saya jaga. Saya tak pernah luahkan. Sebab saya tahu dia layak hidup bebas dari semua beban… termasuk beban perasaan saya.”
Taufiq memandang Hafiz lama. Kali ini tiada lagi sinis atau curiga di wajahnya. Hanya seorang ayah yang sedang cuba memahami lelaki yang pernah disalah erti, dan mungkin — satu-satunya yang benar-benar cuba melindungi anaknya dari jauh.
Zaidah pula diam membisu, jiwanya terbuai oleh kejujuran yang tidak dibuat-buat.
"Saya nak bawa dia keluar dari rumah tu. Saya nak dia bebas… bebas dari kekejaman ibu tirinya. Itu saja niat saya,” kata Hafiz dengan suara yang tenggelam dalam getar.
Zaidah diam membatu. Hatinya sebak mendengar kebenaran yang selama ini terkubur.
“Hafiz… Pakcik nak kamu tengok sesuatu,” kata Taufiq tiba-tiba. Suaranya perlahan tetapi tegas, penuh harap.
Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket dan menayangkan satu gambar pada skrin. Dengan tangan yang sedikit bergetar, dia hulurkan telefon itu kepada Hafiz.
“Cuba tengok ni… betul-betul,” pintanya.
Hafiz menyambut telefon itu, memandang skrin. Gambar seorang gadis bertudung hitam, wajahnya tenang, sedikit serius. Dia memerhati lama. Dahi berkerut. Kemudian perlahan-lahan dia menggeleng.
“Tak kenal,” jawabnya jujur.
Taufiq mengangguk perlahan, lalu menukar ke gambar seterusnya. Kali ini, wajah yang sama — tetapi dengan senyuman yang begitu lembut, begitu dikenali.
“Yang ini?”
Hafiz menatapnya… matanya membesar. Nafasnya tersekat.
“Tamara?!” Dia hampir berseru. Dengan tergesa-gesa dia mengambil telefon dari tangan Taufiq, matanya terus melekap pada wajah di skrin.
“Rania Abraham… ini Tamara… ya, ini Tamara. Hafiz pasti!”
Taufiq menyilangkan tangan, memandang tepat ke wajah Hafiz. “Macam mana kamu pasti itu Tamara?”
Hafiz tidak angkat wajah. Matanya masih terpaku pada gambar.
“Senyumannya…” katanya, hampir berbisik. “Senyuman itu tak berubah, Pakcik. Mata dia… lekuk pipi dia bila dia senyum… itu Tamara.”
Zaidah yang dari tadi diam, segera memanjangkan leher, ingin melihat sendiri gambar yang menjadi pusat perbualan dua lelaki di hadapannya.
Hafiz menoleh, menunjukkan skrin kepada kakaknya.
“Rania Abraham,” sebut Zaidah perlahan, matanya membulat sedikit.
“Dia sekarang tengah popular dengan lagu-lagu balada… lagu "Bayangmu di Antara Rindu," "Selamat Tinggal Semalam," dan "Hati Yang Kau Tinggalkan." Dia juara Suara Bintang Nusantara lima tahun lepas. Lepas menang, dia menyepi sekejap… sambung belajar katanya. Tapi baru-baru ni, dia buat konsert come back. Ramai yang kata suara dia makin matang dan menyentuh.”
Zaidah membuka zip beg tangannya, mengeluarkan telefon dan mula membuat carian. Jarinya ligat menaip nama “Rania Abraham”.
“Kalau Google, mesti ada gambar waktu dia convo,” katanya sambil meneliti hasil carian. Tak lama kemudian, dia mengangkat wajah.
“Jumpa.”
Dia menunjukkan telefon itu kepada Taufiq. Di skrin terpapar beberapa gambar Rania Abraham di pentas menerima ijazah — tersenyum manis dalam jubah konvokesyen. Ada juga gambar bersama rakan-rakan dan satu gambar istimewa: Rania berdiri di tengah keluarga angkatnya, memegang bunga.
Taufiq menatap gambar itu dalam diam. Wajah anak yang dirindui itu terpampang jelas, tersenyum… berjaya… berdiri teguh di pentasnya sendiri.
Air matanya tumpah tanpa dipinta.
Comments
Post a Comment