Kota metropolitan itu menyambut mereka dengan seribu janji dan harapan yang kabur. Maimunah menggenggam erat beg sandangnya, sementara ibunya dan adiknya hanya diam mengekori langkahnya. Mereka tidak punya tempat untuk dituju. Setelah dihalau oleh Taufiq tanpa belas, Kuala Lumpur menjadi satu-satunya pilihan.
Hari pertama di ibu kota, mereka menumpang di rumah seorang saudara jauh. Namun, Maimunah—yang sejak kecil sudah terbiasa dengan pujian tentang rupa parasnya—tidak mahu hidup bergantung belas orang. Dia mahu berdiri di atas pentas, dikenali dan dipuja. Dalam hatinya dia boleh juga menjadi seperti Tamara.
Bertemankan nasib dan keberanian, dia menghadiri satu sesi uji bakat di sebuah agensi peragaan yang dimiliki oleh Emma—wanita elegan yang bijak menilai bakat dan kecantikan. Sejak kali pertama melihat Maimunah, Emma sudah tahu gadis ini ada potensi besar. Mata yang galak, tubuh yang ramping dan gaya jalan yang penuh yakin. Namun, satu perkara membuat Emma sedikit ragu. Gadis ini penuh dengan cita-cita, tapi matanya menyimpan dendam yang belum padam.
Pada hari pertama dia melangkah masuk ke bangunan agensi peragaan itu, hatinya bagai dipacu angin yang deras.
Langkahnya penuh keyakinan, seiring impian tinggi menggunung untuk menjadi model ternama yang disanjung dunia. Dinding kaca bangunan itu memantulkan bayang dirinya — muda, yakin dan bersedia menakluk dunia glamor. Setiap ruang seakan menyambutnya dengan janji-janji gemilang.
Namun semua itu berubah sebaik matanya tertancap pada sosok yang tidak disangka akan muncul kembali dalam hidupnya — Tamara.
Wajah itu... wajah yang pernah menjadi bayang-bayang masa silamnya.
Tamara kini bukan lagi gadis kampung seperti yang dia kenal dulu. Gadis itu berdiri megah dengan aura seorang bintang — anggun, yakin, dan memikat. Kecantikan Tamara bagaikan satu tamparan lembut yang menampar egonya.
Geram. Benci. Cemburu.
Segala rasa bersatu dalam dadanya seperti api yang menjilat tenang. Dia menggigit bibir, cuba menelan rasa tidak puas hati yang membuak. Tamara tidak sepatutnya berada di sini. Dunia ini sepatutnya miliknya — bukan milik gadis yang dahulu hidup di bawah bayangnya.
Tapi kini, semuanya berubah.
Dan dia tahu, dia tidak akan membiarkan Tamara bersinar sendirian.
“Munah!” Jerit Tamara sebaik sahaja ternampak kelibat Maimunah berjalan di belakang Emma.
Wanita itu berhenti serta-merta, memalingkan wajah dengan renungan tajam. “Mona,” katanya perlahan, namun sinis. “Nama aku Mona… Cik Rania Abraham.”
Tamara terdiam seketika, dadanya berombak menahan kejutan dan perasaan yang bercampur baur.
“Baguslah kalau kamu berdua sudah saling kenal,” sampuk Emma sambil duduk di sofa bersebelahan Tamara. “Silakan duduk, Mona. Boleh saya lihat resume kamu tadi?”
Maimunah menyerahkan sampul coklat yang dibawanya tanpa bersuara. Matanya masih tidak lepas dari Tamara.
“Duduklah,” pelawa Tamara, cuba mengawal nada suaranya.
“Tak perlu. Biar aku berdiri saja,” balas Maimunah angkuh.
Tamara menelan liur. “Ayah… bagaimana keadaan dia sekarang?”
“Entah,” jawab Maimunah acuh tak acuh. “Dah lama aku tak jumpa si Taufiq tu. Dia halau kami keluar. Macam mana dia halau kau juga, kan?”
“Ayah tak pernah halau aku, Munah!” suara Tamara meninggi. “Kau dengan emak kau yang paksa aku lari malam tu! Kau lupa?”
“Sudah, cukup…” Emma mencelah, bangun dari sofa. “Mona, mari ikut saya masuk ke pejabat.”
Sebelum berlalu, Maimunah sempat menoleh dan berkata dengan senyum sinis, “Ayah kau kena langgar lari. Kaki dia patah. Entah hidup lagi atau dah mati...”
Tamara ternganga. Dunia terasa berputar.
“Kau ingat kami tak tahu kau siapa? Menyamar konon Rania Abraham… cuma ayah kau je yang tak tahu. Dia tak tengok pun rancangan hiburan macam ni.”
Maimunah merenung tajam, seolah-olah ingin menikam perasaan Tamara. “Tapi dia cari kau… merata-rata. Aku pernah nampak dia tanya orang di bandar Ipoh. Tunjuk gambar kau...”
“Mona!” panggil Emma dari dalam pejabat.
Maimunah berpaling tanpa sepatah kata, lalu melangkah masuk.
Tamara masih terpaku. Nafasnya tersangkut di dada. Perlahan-lahan air mata menitis, membasahi pipi.
Ya Allah… betulkah ayah terlibat dalam kemalangan? Betulkah kakinya patah? Kenapa dia halau mereka? Kenapa semua ini berlaku?
Tamara memejamkan mata rapat-rapat. Doanya mengiringi ingatan kepada seorang ayah yang masih menjadi tanda tanya di hati.
-------
Pertemuan itu menjadi permulaan kepada bayang-bayang gelap yang mula mengekori langkah Tamara. Mona mula menunjukkan belangnya—memperlekeh latihan Tamara, mencuri skrip peragaan, dan yang paling keji—merosakkan gaun pertunjukan Tamara pada saat akhir, menyebabkan Tamara terpaksa menarik diri.
Namun, yang paling menyakitkan bukan itu.
Dalam satu pertunjukan besar untuk jenama antarabangsa, Tamara dijadualkan menjadi model utama. Tapi hanya beberapa hari sebelum acara itu, Tamara terjatuh di tangga belakang studio—kakinya terseliuh parah. Tiada saksi, tiada rakaman. Hanya satu bayangan yang sempat dilihat Tamara sebelum rebah—Mona, berdiri di atas tangga, tersenyum kecil.
Tamara menangis sendirian di belakang pentas. Namun, sebaik keluar ke ruang utama, dia terkejut melihat Mona menggantikan tempatnya—memakai gaun yang sepatutnya menjadi miliknya malam itu, melangkah dengan penuh yakin di atas pentas, disorak dan dipuji.
Comments
Post a Comment