Bab 14 - Bintang Yang Ku Gapai
Mona kini bukan lagi Maimunah Ramli dari Kampung Sri Menanti, sebuah kampung terpencil di pinggir Teluk Intan, dikelilingi ladang kelapa sawit milik ayah tirinya, Tuan Haji Taufiq Abraham.
Di Kuala Lumpur, dia dikenali sebagai Mona Lee—model baru yang sering menghiasi kempen-kempen fesyen dan disorot media sosial kerana kecantikannya dan penampilannya yang menggoda.
Namun di sebalik cahaya lampu dan gemerlapan dunia peragaan, Mona menyembunyikan sesuatu. Dia telah masuk ke dalam kancah gelap — bekerjasama dengan Datuk Razif, seorang pengarah filem terkenal yang sudah lama menjadi perbualan senyap di kalangan industri seni.
Datuk Razif adalah seorang duda berkarisma, berpengaruh, dan bermata keranjang. Ramai model dan selebriti muda pernah menjadi ‘bintang sementara’ dalam filem arahannya—tetapi di sebalik itu, ada yang hilang dari radar, reputasi musnah, atau menjadi mangsa rakaman sulit ketika mereka dipengaruhi dadah di rumah mewahnya di Damansara Heights.
Mona tahu siapa Datuk Razif. Tapi dia juga tahu betapa tingginya nilai RM50,000 dalam hidupnya sekarang. Ibunya sakit, adiknya Azman kerap memerlukan wang untuk berfoya-foya dengan kawan-kawan, dan dia sendiri sudah terbiasa dengan gaya hidup elit dan mewah. Jadi apabila Datuk Razif menawarkan ganjaran lumayan untuk ‘membawa’ Tamara ke rumahnya atas alasan "ujibakat eksklusif bersama syarikat produksi antarabangsa", Mona bersetuju tanpa ragu.
“RM20 ribu dulu, selebihnya bila Tamara sampai depan pintu,” kata Datuk Razif, menyuakan beg tangan berisi wang tunai.
Mona tersenyum puas.
---
Malam Kejadian
Malam itu sepatutnya menjadi detik penuh gemerlap untuk Tamara.
Program Bicara Bintang yang dijadualkan berlangsung di Star Gallery, Kuala Lumpur, merupakan acara eksklusif untuk meraikan kemunculannya semula selepas lima tahun menyepi dari dunia seni. Peminat sudah memenuhi ruang dewan utama sejak jam 7 malam, tidak sabar untuk bertemu idola mereka.
Namun, apabila jam terus berdetik melepasi angka sembilan malam — kelibat Tamara masih belum muncul. Riuh rendah khalayak yang pada awalnya dipenuhi keterujaan, kini berganti dengan bisik-bisik dan wajah-wajah penuh tanda tanya.
Di balik pentas, Linda, pengurus peribadi Tamara, semakin gusar. Dia sendiri bingung — bukan kerana Tamara tidak sampai, tetapi kerana Tamara hilang walaupun mereka sampai bersama-sama ke bangunan itu kurang tiga jam yang lalu.
---
Semuanya kelihatan normal pada mulanya. Mereka tiba bersama tepat jam 6:20 petang, disambut oleh petugas produksi dan terus dibawa naik ke tingkat tiga. Sebuah bilik persalinan telah disediakan khas untuk Tamara dan Linda — lengkap dengan sofa panjang, meja kopi, air mineral, makanan ringan, dan pendingin udara.
Linda yang selalu teliti, membawa beg keperluan Tamara dan meletakkannya di sudut sofa. Dia menoleh ke arah Tamara yang tampak sedikit letih.
“Rehat dulu, Tam. Saya turun kejap nak pastikan semua dah ready,” ujar Linda sambil memandang jam tangannya.
Tamara hanya mengangguk perlahan. Tanpa sepatah kata, dia menanggalkan kasut tumit tinggi yang dipakainya, lalu merebahkan tubuh di atas sofa panjang. Telefon bimbitnya digenggam kemas. Dia kelihatan tenang, mungkin terlalu tenang.
Linda keluar meninggalkan bilik itu, tanpa menyedari itulah kali terakhir dia melihat Tamara malam itu.
---
Tepat jam 7:50 malam, Linda kembali semula ke tingkat tiga, ditemani seorang krew wanita produksi. Sudah tiba masa untuk Tamara dibawa ke belakang pentas sebelum acara bermula. Mereka berdiri di hadapan pintu bilik dan Linda mengetuk dengan lembut.
“Ara? Dah siap?”
Tiada sahutan.
Dia mengetuk lagi. Kali ini lebih kuat.
Masih tiada jawapan.
Linda cuba membuka pintu, namun terkunci — dan ketika itulah dia teringat, kunci bilik itu ditinggalkan bersama Tamara.
Panik mula menjalar dalam nadinya. Dia segera menghubungi ketua produksi. “Tam tak buka pintu. Saya tinggalkan kunci dalam bilik. Dia tak sahut walaupun dah diketuk berkali-kali…”
Tanpa membuang masa, dua orang krew lelaki dikerahkan ke tingkat tiga. Mereka cuba membuka pintu menggunakan alatan khas, namun gagal.
Akhirnya, dengan berat hati dan keizinan pihak penganjur, mereka pecahkan pintu.
Praaangg!
Pintu terkuak. Mereka menyerbu masuk.
Namun bilik itu…
Kosong.
Tiada Tamara.
Yang ada hanyalah kasut tumit tinggi di bawah meja kopi.
Telefon bimbit dan beg tangan Tamara tersusun elok di atas sofa.
Makanan ringan dan botol air masih tidak terusik.
Semuanya seperti saat Linda tinggalkan bilik itu.
Kecuali satu perkara — Tamara telah hilang.
Tiada nota.
Tiada bunyi.
Tiada jejak.
Seolah-olah dia lesap dari bilik itu… tanpa meninggalkan sebarang petanda.
Linda melangkah perlahan, diiringi oleh ketua program dan dua orang petugas keselamatan bangunan. Langkahnya berat, namun tidak boleh tidak — laporan rasmi perlu dibuat. Kejadian kehilangan Tamara bukan sesuatu yang boleh didiamkan, apatah lagi apabila ianya berlaku di lokasi awam, sewaktu program besar sedang berlangsung.
Sewaktu mereka melewati ruang utama Star Gallery, suasana di situ masih riuh.
Jeritan peminat bergema di udara.
“Rania! Rania! Rania!"
Ada yang berdiri di atas kerusi. Ada pula yang masih setia duduk sambil berbual kosong, seolah-olah menunggu keajaiban berlaku — dan Tamara akan tiba dengan senyuman manis, seperti yang dijanjikan dalam poster promosi.
Di sudut dewan, suara pengacara kedengaran melalui sistem pembesar suara.
“Harap semua bertenang. Kami mohon maaf atas kelewatan ini. Rania menghadapi hal yang tidak dapat dielakkan. Kami akan maklumkan perkembangan terkini secepat mungkin…”
Linda menunduk. Dadanya sebak. Wajah Tamara terbayang-bayang dalam fikiran — riang, manja, degil, dan kadangkala terlalu tenang untuk gadis seusianya. Rasa bersalah menikam-nikam jiwanya.
Tamara, di mana kamu sekarang…?
---
Beberapa langkah dari situ, di sebuah kafe moden berdepan pintu utama Star Gallery, Armand duduk bersendirian.
Cawan kopi di sisinya sudah lama sejuk, tetapi dia tidak mengusiknya. Matanya tajam memandang skrin laptop, jari-jemarinya rancak menaip.
KEHILANGAN MISTERI RANIA ABRAHAM, BINTANG MUDA YANG KEMBALI BERSINAR
Malam yang sepatutnya menyatukan Tamara dengan peminat bertukar menjadi teka-teki besar dalam dunia hiburan.
Tamara dikatakan hilang dari bilik persalinannya tanpa jejak, meninggalkan kasut, telefon dan beg tangan…
Pihak pengurusan masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi, namun sumber dalaman mengesahkan laporan polis telah dibuat sebentar tadi.
Armand berhenti menaip.
Dia menghela nafas dalam-dalam, lalu bersandar. Matanya melirik ke arah bangunan yang semakin dipenuhi lampu kamera, wartawan dan peminat yang enggan berganjak.
Dia bukan sekadar wartawan malam ini. Dia juga… seorang lelaki yang hatinya perlahan-lahan tertawan. Dan kini, seseorang yang mungkin kehilangan lebih dari sekadar berita eksklusif.
Tamara… kalau ini satu permainan, kamu sedang permainkan banyak hati malam ni. Termasuk hati saya…
Tapi jauh di sudut hatinya, Armand tahu — Tamara tidak akan tinggalkan malam itu begitu saja. Bukan Tamara yang dia kenal.
Dan itu yang paling menakutkan.
-----
Kafe itu masih sama — hangat dengan bau kopi dan lampu malap yang menyinari wajah Armand yang tekun menatap skrin laptopnya. Bunyi tap-tap kekunci membelah sunyi malam yang kian larut.
Dia sedang menyusun semula ayat dalam artikel eksklusifnya. Maklumat masih samar, terlalu banyak spekulasi, terlalu sedikit bukti. Namun naluri kewartawanannya tahu — sesuatu yang besar sedang bersembunyi di sebalik kehilangan Tamara malam itu.
Sedang dia meneliti semula perenggan kedua tulisannya, satu suara lembut namun letih menyapanya dari sisi.
“Man…”
Armand mengangkat muka. Linda berdiri di hadapannya, wajahnya jelas keletihan, mata merah menahan emosi. Dia menarik kerusi dan duduk perlahan-lahan di sisi Armand sebelum meletakkan sekeping kertas bercop rasmi di atas meja.
“Polis report dah siap. Saya diminta buat malam ni juga,” ujar Linda, suaranya serak dan perlahan.
Armand menatap helaian itu. Dia mengambilnya, membaca satu demi satu ayat dengan penuh teliti. Dahinya sedikit berkerut, kemudian matanya terhenti pada satu baris di bahagian bawah laporan.
> Nama penuh: Tamara Rania Taufiq Abraham
Nama pentas: Rania Abraham
Matanya membulat sedikit.
“Yes!” bisik Armand separuh kuat. Dia segera memandang Linda. “Ini penting. Saya perlu dedahkan nama sebenar Tamara dalam tulisan saya. Orang ramai perlu tahu siapa dia sebenarnya, Linda. Ini akan mudahkan pencarian. Kalau ada sesiapa nampak atau kenal nama penuhnya, mereka boleh bantu.”
Linda tersentak sedikit.
“Man… saya tak boleh putuskan begitu saja. Rania pernah pesan — kalau ada apa-apa yang libatkan identiti peribadinya, saya mesti berbincang dulu dengan dia. Kita ada perjanjian...” Nada suaranya bergetar. “Dia tak suka kisah silamnya disentuh. Dia tak suka nama penuhnya diumum.”
Armand menghela nafas. Dia tahu, dia sedang memijak garis halus antara etika dan keperluan.
“Linda, ini soal keselamatan. Soal nyawa. Kalau dia diculik, atau hilang atas sebab yang kita tak tahu, orang ramai perlu tahu siapa yang sedang mereka cari. Rania Abraham mungkin dikenali dalam dunia seni, tapi nama sebenar dia... itulah yang mungkin tertera dalam dokumen, daftar hotel, rekod perjalanan. Ini bukan lagi tentang menjaga rahsia peribadi — ini tentang menyelamatkan Tamara.”
Linda terdiam. Jari-jemarinya menggenggam hujung lengan jaket. Hatinya masih terbelah antara kesetiaan kepada sahabat dan tanggungjawab kepada keadaan.
Akhirnya dia mengangguk perlahan, dengan mata berkaca.
“Baiklah… tapi janji dengan saya, tulis dengan hormat. Jangan ungkit kisah lama dia. Jangan buka cerita yang Tamara sendiri tak pernah mahu orang tahu.”
Armand mengangguk. “Saya janji.”
Dia segera kembali ke laptop, jari-jemarinya lincah menaip semula.
> Tamara Rania Taufiq Abraham — itulah nama sebenar bintang muda yang kini menjadi tajuk utama dalam satu kehilangan misteri malam ini
> Dikenali sebagai Rania Abraham dalam dunia hiburan, kehilangan Tamara bukan hanya kehilangan seorang selebriti — tetapi kehilangan seorang anak, seorang sahabat, dan seorang wanita muda yang masih menyimpan rahsia hidup yang belum sempat dikongsi kepada dunia.
----
Keesokan harinya, berita mengenai kehilangan Rania Abraham — atau nama sebenarnya, Tamara Rania Taufiq — tersebar ke seluruh pelosok negara. Dalam sekelip mata, wajah gadis itu muncul di skrin televisyen, di dada-dada akhbar, dan memenuhi laman media sosial. Nama yang selama ini menjadi misteri akhirnya terungkai, mencetuskan gelombang keprihatinan dan tanda tanya di kalangan masyarakat.
Siapa sebenarnya Rania Abraham?
Dan mengapa dia tiba-tiba hilang, tanpa jejak?
🌹🌹🌹
Emma menjadi resah. Nalurinya kuat mengatakan sesuatu yang buruk sedang berlaku. Dia segera mencari Mona.
“Mona, kau nampak Tamara? Dia tak datang latihan tadi,” tanya Emma sewaktu rehat di studio.
Mona menyandar di dinding, menyilangkan tangan, wajahnya selamba.
“Mungkin dia bercuti dengan sugar daddynya. Aku terdengar dia berborak dengan seseorang tentang ‘getaway’ seminggu.”
Emma memandangnya dengan dahi berkerut. “Sejak bila kau intai perbualan dia?”
Mona angkat bahu, senyum sinis. “Biasalah, Tamara tu bukan suci sangat. Dulu kat kampung pun dah biasa buat hal. Sampai kena tangkap basah dengan cikgu tua, ingat aku tak tahu?”
Satu suara lantang menyampuk.
“Bukan ke kau yang perangkap dia malam tu?” bentak Linda, yang kebetulan mendengar perbualan itu.
Mona tersentak. Wajahnya berubah. Dia menoleh, merenung Linda tajam. “Kau siapa?”
Linda melangkah ke hadapan, matanya penuh amarah. “Aku saksi malam tu. Aku tahu kau dan mak kau paksa Tamara keluar dari rumah. Kononnya kalau tak, ayah dia nak kahwinkan dia dengan Cikgu Hafiz. Sedangkan kau yang hantar mesej tu dari telefon Hafiz!”
Mona terkedu. Tangan yang tadinya menggenggam telefon kini menggigil. Matanya melilau, cuba mengingati siapa Linda—gadis misteri yang tahu kisah yang sepatutnya terkubur lima tahun lalu.
“Kau siapa?” ulang Mona, kali ini suaranya serak dan bergetar.
“Aku orang yang akan bongkarkan semuanya... dan kau akan bayar untuk apa yang kau buat,” kata Linda sebelum berpaling meninggalkan Mona yang kaku tak bersuara.
---
Sementara itu...
Di rumah agam mewah Datuk Razif, seorang lelaki sedang menonton skrin CCTV kecil dalam bilik khas yang tersembunyi di belakang almari buku. Di skrin itu, seorang gadis tidak sedarkan diri sedang terbaring di sofa kulit hitam, dengan sehelai selimut menutup tubuhnya.
Tamara.
Comments
Post a Comment