Bab 15 - Bintang Yang Ku Gapai
Mentari baru saja memancarkan cahaya keemasan di perbukitan apabila bunyi kokok ayam dan hembusan angin pagi menyapa sebuah rumah kampung yang berdiri indah di hujung desa. Rumah itu unik — diperbuat daripada kayu cengal lama, berwarna coklat tua yang masih berkilat kemas hasil sapuan minyak kayu yang rapi. Bumbungnya dari genting tanah liat berukir halus, sementara tangganya masih mengekalkan struktur papan berukir motif flora klasik.
Namun rumah itu juga tidak sepenuhnya terperangkap dalam masa lalu. Bahagian dapurnya telah diubah suai dengan sentuhan moden — kabinet berwarna putih ivory, peralatan dapur serba keluli tahan karat, dan lampu gantung berbentuk silinder kaca yang elegan. Di ruang tamu, terletak satu set sofa rotan bergaya klasik moden, dihiasi bantal-bantal bersarung batik kontemporari. Televisyen nipis tergantung kemas di dinding yang masih memelihara lukisan tradisional dalam bingkai kayu.
Di rumah itulah tinggal Taufiq, lelaki pertengahan usia yang sederhana dan tenang, namun menyimpan pelbagai rahsia masa lalu — termasuk rahsia tentang anak yang tidak pernah dikenalnya sepenuhnya.
Di tangannya, tergeletak akhbar pagi yang baru dibuka. Namun matanya terpaku pada satu muka surat — tajuknya besar, bold, menyentak dada:
KEHILANGAN MENGEJUT RANIA ABRAHAM — NAMA SEBENAR: TAMARA RANIA TAUFIQ ABRAHAM
Taufiq membacanya berulang kali. Nafasnya terhenti seketika.
Nama itu… Tamara Rania Taufiq Abraham.
Anaknya.
Dia menggenggam akhbar itu dengan kedua tangan, menggigil. Air mukanya berubah, dari terkejut kepada resah, kemudian bertukar pilu. Dengan jari yang sedikit menggigil, dia mencapai telefon bimbit di atas meja kopi dan menekan nama yang kini telah menjadi sebahagian dari hidupnya.
Cikgu Hafiz, Adik iparnya.
Talian bersambut hampir serta-merta.
“Hafiz… kau tengok berita pagi ni?” Suara Taufiq parau.
“Kami tengah dengar radio sekarang bang. TV pun tengah siar hal tu....itu betul Tamara kan?”
Taufiq tidak mampu menjawab segera. Nafasnya dalam, cuba mengatur getaran hati.
“Ya... dia Tamara.”
Di hujung talian, Cikgu Hafiz terdiam, hanya terdengar helaan nafasnya yang berat.
Zaidah, yang berada di sisi suaminya turut terdiam. Wajahnya berubah sayu. Dia tahu lelaki itu menyimpan harapan. Hari ini — sepatutnya hari mereka bertiga akan ke Kuala Lumpur menaiki kereta Hafiz. Mereka sudah merancang untuk bertemu Tamara buat pertama kali selepas mengetahui kedudukannya bekerja sebagai model sambilan di Emma Modelling Agency melalui pengurusnya Roslinda Osman.
Namun takdir seperti mempermainkan perasaan mereka.
Hari yang sepatutnya menjadi hari pertemuan... bertukar menjadi hari kehilangan.
Zaidah menepuk lengan suaminya dengan lembut.
“Hari ni patut jadi hari bahagia buat kita semua.....dapat bertemu Tamara.” bisiknya dengan mata berkaca.
Taufiq terduduk lemah di kerusi kayu di beranda rumahnya. Akhbar terlipat di sisi. Matanya menatap kehijauan sawah yang terbentang di hadapan rumahnya, tetapi fikirannya melayang jauh — ke Kuala Lumpur. Ke sebuah nama yang kini menjadi sebutan seluruh negara.
Rania Abraham
Anakku… di mana kamu sekarang?
----
Udara pagi itu terasa lembap dan berat, seolah-olah membawa bersama kegelisahan yang tidak terucap. Emma melabuhkan punggung di kerusi empuk berbalut kulit hitam di pejabatnya. Hembusan hawa dingin dari alat penghawa dingin siling menyentuh kulit tangannya yang pucat, membuatnya menggigil walaupun jaket nipis sudah membaluti tubuhnya. Tangannya menggeletar sewaktu dia mendail nombor telefon Linda, cuba menahan getaran hati yang tak menentu.
Pejabatnya sunyi, belum ramai yang tiba. Di luar tingkap kaca besar yang memisahkan ruangannya dari bandar raya yang belum bangun sepenuhnya, langit kelabu masih berselimut kabus nipis. Kicauan burung pun terasa jauh dan sayup, seolah-olah tahu pagi ini bukan pagi biasa.
Pagi tadi, selepas mandi dan mengeringkan rambut, dia duduk di hujung katil sambil memegang telefonnya. Seperti rutin harian, dia menyemak berita di portal hiburan dan laman media sosial. Namun pagi itu, satu tajuk utama menyentak jantungnya:
"RANIA ABRAHAM HILANG SECARA MISTERI SEBELUM PROGRAM BERTEMU PEMINAT."
Terkedu. Dunia terasa seperti terhenti. Rania? Hilang?
Emma pantas bangun dan bersiap dengan tergesa-gesa. Rambutnya yang masih lembap diikat longgar, dan wajahnya yang biasanya dihiasi solekan lembut hari ini kelihatan pucat dan kosong. Ketika dia menoleh ke jam di telefon — baru pukul 8.30 pagi. Masih awal, tapi dia tahu dia tidak boleh menunggu.
Meskipun usianya sudah mencecah empat puluh tahun, Emma tetap tampak menawan dalam solekan tipisnya. Wajahnya yang berdarah Pan-Asian, dengan kulit putih bersih dan ketinggian 5 kaki 8 inci, menyerlahkan penampilan elegan dan berwibawa. Sosok tubuhnya yang langsing dan posturnya yang tegak menjadikan dia bukan sekadar pemilik agensi peragaan terkenal, tetapi juga seorang wanita yang dikagumi ramai — terutama oleh model-model muda yang memandangnya sebagai inspirasi.
Pagi itu, Emma memilih blaus berlengan panjang berwarna krim lembut Dan seluar jeans longgar yang terletak elok pada tubuhnya. Potongannya ringkas namun kemas, sesuai dengan citarasanya yang gemar kepada gaya klasik moden. Sambil menyisir rambut lurus separas bahu ke belakang telinga, dia memandang sekilas ke cermin. Senyum nipis terbit di bibirnya. Ada sesuatu dalam hatinya hari ini — seolah-olah hari itu akan menjadi hari yang penting.
Agensi itu miliknya. Dan Rania — gadis yang membawa sinar baru dalam dunia peragaan tanah air — adalah salah satu permata paling berharga.
Tanpa menunggu sarapan, dia terus memandu ke pejabat. Di dalam kereta, hatinya penuh pertanyaan — ke mana Rania pergi? Kenapa dia tidak pulang? Adakah dia diculik? Atau... lari? Tapi kenapa?
Setibanya di lobi bangunan pejabat, suasana masih lengang. Hanya ada suara jauh mesin pembersih dan derapan kasut pembersih bangunan. Lif terasa lambat, dan setiap detik seakan menikam sabarnya. Bila tiba di aras pejabatnya, dia lihat Kak Rokiah — wanita separuh umur yang setia membersihkan pejabat sejak agensi itu ditubuhkan — sudah berdiri di hadapan pintu sambil memegang penyapu dan mop.
“Selamat pagi, Cik Emma,” sapa Kak Kiah dengan senyum nipis, namun matanya jelas menunjukkan dia tahu sesuatu.
Emma menarik nafas dalam, cuba mengawal nada. “Pagi Kak Kiah. Awal hari ni…” jawabnya sambil mencapai kunci dari beg tangan.
“Biar saya tolong bukakan pintu,” kata Kak Kiah lembut. Dia menyandarkan mop dan penyapu ke dinding lalu mengambil kunci dari tangan Emma. Beberapa saat kemudian, pintu terbuka dan aroma khas ruang pejabat yang sudah dikenalnya bertahun-tahun menerpa hidungnya — campuran bau kopi lama, fail kertas, dan penghawa dingin yang baru dihidupkan.
“Terima kasih, Kak,” ucap Emma sambil melangkah masuk. Langkahnya perlahan, seperti dibebani oleh sesuatu yang berat.
Namun sebelum sempat pintu tertutup sepenuhnya, suara Kak Kiah menyusul, ragu-ragu tapi ingin tahu. “Cik Emma... Kakak nak tanya, betulkah Rania hilang?”
Langkah Emma terhenti. Dia berpaling perlahan, merenung wajah Kak Kiah yang kelihatan risau. Mata tua wanita itu merenungnya dengan empati.
“Ya, betul Kak. Tapi macam mana Kak Kiah tahu?” suara Emma serak sedikit.
“Dari kawan Kak yang bersihkan pejabat bawah. Dia cerita. Lepas tu Kak tengok juga berita di telefon ni,” kata Kak Kiah sambil menunjukkan skrin telefonnya yang memaparkan berita yang sama — wajah cantik Rania dan tulisan merah menyala: “KEHILANGAN MISTERI.”
Emma hanya mengangguk, lalu menarik pintu pejabatnya perlahan-lahan. “Tapi belum pasti dia hilang atau mungkin saja ke mana-mana... sebab belum cukup 24 jam. Jadi polis pun masih belum buka apa-apa siasatan.” Suara Emma kedengaran tenang, tapi ada bayang resah yang cuba disembunyikan.
Dia melabuhkan punggung di kerusi empuk di pejabatnya yang moden dan kemas. Jari-jarinya lincah mendail nombor telefon Linda sambil matanya sesekali memerhati Kak Kiah yang sedang mengelap kaunter hadapan, memastikan ruang pejabat sentiasa tampak profesional.
Nada dering baru saja berbunyi dua kali sebelum kedengaran suara di hujung talian.
“Hello… Cik Emma!” Suara Linda cemas, seperti sudah menanti panggilan itu sejak tadi.
“Linda… Rania masih belum ditemui?” tanya Emma, nadanya kini lebih perlahan dan berhati-hati.
“Belum, Cik Emma… semalam saya tak dapat lelap langsung. Panggilan masuk bertalu-talu. Semua nak tahu di mana Rania. Saya sendiri buntu, Cik…” Suara Linda bergetar menahan sebak. “Sebenarnya saya memang nak ke pejabat Cik Emma. Mana tahu ada petunjuk… apa-apa saja yang Rania mungkin tinggalkan. Tapi saya tunggu pagi sikit tadi…”
“Saya dah sampai di pejabat. Linda datanglah sekarang,” balas Emma, suara tegas namun penuh empati.
“Baiklah. Saya naik sekarang. Sebenarnya saya baru saja sampai… saya parkir di seberang jalan, depan ofis Cik Emma.”
“Baik. Saya tunggu.”
Emma berdiri di balik tirai mini blinds, jari-jarinya menguak perlahan kain penutup cermin sliding pejabatnya. Dari tingkat atas, pandangannya tertumpu kepada seorang wanita yang baru keluar dari sebuah kereta—Linda. Wanita itu berjalan tergesa-gesa menyeberangi jalan, langkahnya laju seperti dikejar waktu.
Tidak lama kemudian, kepala Linda muncul di ambang pintu kaca utama. Kak Kiah, segera membuka pintu dengan luas dan menuding ke arah pejabat Emma sambil membisikkan sesuatu.
Emma terus berdiri. Langkahnya cepat membuka pintu pejabatnya.
“Good morning, Cik Emma,” sapa Linda seraya melabuhkan punggungnya di kerusi hadapan meja. Handbagnya diletakkan ke sisi, manakala fail yang dibawanya tadi dibuka separa di atas permukaan meja.
“Morning, Lin. Saya pun risau. Baru pagi ni saya baca berita pasal Rania.” Nada Emma mendatar, tapi jelas tersisip kebimbangan.
“Sebab tu saya datang awal pagi ni. Saya dah arahkan semua girls datang lebih awal. Manalah tahu kalau-kalau ada antara mereka yang tahu sesuatu… atau terperasan sesuatu semalam. Suzana sedang uruskan panggilan kepada mereka,” sambung Emma, matanya merenung jauh. “CCTV ada tak?”
Linda menggeleng perlahan. “Kata pengawal keselamatan… CCTV rosak malam tadi. Sebelum ni tak pernah bermasalah.”
Emma mengetap bibir. “Macam sengaja saja. Pelik. Kenapa rosak tiba-tiba? Atau memang sengaja dirosakkan?” suaranya tegang.
Linda hanya mengangguk. Pandangannya jatuh ke atas fail di hadapan.
“HP Rania...” ujar Emma sambil memandang Linda, seolah-olah baru teringat sesuatu. “Mungkin ada petunjuk di situ.”
Linda mengangguk perlahan. “Polis dah ambil semalam. Kita tunggu saja siasatan selanjutnya,” balasnya dengan nada berat.
Emma menyandarkan tubuh ke kerusi dan memejamkan mata seketika, menarik nafas panjang. Keheningan sebentar mengisi ruang pejabat itu, hanya bunyi pendingin hawa yang berdesir halus.
“Saya harap sangat dia tak apa-apa, Lin...” ujar Emma perlahan, lebih kepada dirinya sendiri.
Linda menunduk. Di dalam hatinya, doa yang sama turut dipanjatkan.
“Lin, mari kita mula periksa dari meja Rania dulu. Lepas tu kita ke bilik persalinan dan ruang catwalk. Mana tahu ada petunjuk,” kata Emma sambil bangkit dari tempat duduknya.
Mereka berjalan menuju ke salah satu sudut ruang kerja yang tertata rapi—meja milik Rania. Di atasnya, tersusun beberapa buah buku, fail berpenanda warna, dan sebuah pasu kristal kecil berisi bunga ros merah yang sudah mula mengering di hujung kelopaknya.
Emma membuka satu persatu laci, menyelak buku dan meneliti fail-fail itu. Linda pula menyentuh bahagian bawah meja, mencari jika ada apa-apa yang disembunyikan. Namun, tiada apa-apa yang mencurigakan.
Mereka beralih ke bilik persalinan. Pintu dibuka perlahan, udara di dalamnya terasa dingin dan sunyi. Cermin besar di satu sisi memantulkan wajah-wajah yang penuh pertanyaan. Ruang catwalk juga sunyi seperti biasa, tiada jejak yang aneh, tiada barang tertinggal.
Semuanya kelihatan biasa… terlalu biasa.
Suzana, pembantu peribadi Emma, berdiri tegak di hadapan bilik mesyuarat sambil menyusun beberapa fail berlabel nama model di atas meja panjang berpermukaan kaca. Di sekelilingnya, para model yang hadir duduk dengan pelbagai ekspresi — ada yang tenang, ada yang resah, dan ada juga yang kelihatan tidak ambil peduli.
Sambil sesekali membetulkan skaf sut birunya, Suzana membuka suara. Nada suaranya tegas tetapi masih lembut, menandakan betapa seriusnya agenda pagi itu.
“Terima kasih semua kerana hadir. Cik Emma minta saya sampaikan bahawa perjumpaan hari ini bukan sekadar rutin biasa. Ini adalah pertemuan khas. Kita semua sedia maklum bahawa salah seorang rakan kita, Rania, masih belum dapat dikesan sejak semalam. Cik Emma ingin bertanya secara peribadi kepada setiap daripada kalian — jika ada sesiapa yang tahu di mana Rania berada atau ada apa-apa maklumat yang boleh membantu.”
Suzana berhenti sejenak, memandang wajah-wajah di hadapannya.
“Selain itu, Cik Emma juga ingin menyentuh soal disiplin dalaman agensi kita yang akhir-akhir ini makin longgar. Terlalu banyak isu — kelewatan, keengganan patuhi jadual, dan sikap tidak profesional. Semua ini akan dibincangkan nanti. Jadi, saya harap semua beri perhatian sewajarnya.”
Beberapa model berpandangan sesama sendiri, ada yang berbisik-bisik perlahan. Ketegangan di bilik itu terasa semakin menebal. Suzana menghela nafas perlahan. Dia tahu, pagi ini bukan sekadar perjumpaan biasa — ia bakal membuka pelbagai rahsia yang selama ini tersorok di balik kilauan dunia glamor.
Setengah jam kemudian, pintu bilik mesyuarat dikuak perlahan. Mona melangkah masuk dengan senyuman separa sinis, bibirnya disapu gincu merah terang. Matanya yang sarat solekan itu sengaja dikerdip-kerdipkan seperti ingin mencuri perhatian.
"Maaf, Cik Emma... maaf semua. Saya lambat. Jalan jem tadi," ujarnya sambil mengambil tempat duduk kosong di sebelah Linda tanpa sedikit pun rasa bersalah.
Linda menoleh, sekilas sahaja, tetapi lirikan tajam matanya tidak mampu disembunyikan.
Emma tidak membuang masa. "Baik... kita mulakan." Nada suaranya tegas dan terus kepada tujuan. "Saya panggil semua ke sini untuk beritahu sesuatu yang sangat penting—tentang kehilangan Rania sejak malam tadi. Dia tidak muncul dalam program bertemu peminat seperti yang dijadualkan."
Semua mata tertumpu kepada Emma. Beberapa wajah menunjukkan kerisauan, beberapa lagi kelihatan bingung.
Emma meneruskan, "Seperti yang kita semua tahu, Rania seorang yang sangat berdisiplin. Dia tak pernah lambat, tak pernah mungkir janji. Malah, dia tak pernah ada masalah dengan sesiapa pun dalam agensi kita."
Tiba-tiba, satu suara menyampuk—perlahan tapi cukup sinis untuk didengari.
“Elehhh… hilang ke, menghilang?”
Emma memalingkan kepala. “Apa maksud awak, Mona?”
Mona angkat bahu, bibirnya mengukir senyuman mengejek. “Saya cuma cakap... mana kita tahu? Mungkin dia saja-saja nak cipta drama. Publisiti murahan.”
"Awak tahu di mana Rania?" soal Emma. Nada suaranya naik sedikit, matanya tajam meneliti wajah Mona. "Atau awak ada apa-apa maklumat yang belum diberitahu pada kami?"
Mona menggeleng lambat-lambat, masih dengan senyum sinis. “Tak ada. Tapi saya tak terkejut pun kalau dia hilang. Dengan perangai dia tu…”
Linda menjeling geram. Nafasnya ditarik panjang untuk mengawal amarah.
Emma berdiri sedikit, tubuhnya condong ke hadapan. “Saya nak tekankan di sini. Kalau sesiapa antara kita tahu sesuatu, walau sekecil mana pun petunjuk, tolong beri kerjasama pada saya dan pada Cik Linda, Pengurus Rania.... Jangan main-main. Ini hal serius.”
“Ohh… awak pengurus dia, ya?” kata Mona tiba-tiba, memandang Linda dengan senyuman mencabar. “Atau lebih tepat… barua dia?”
“Mona!” Jeritan Emma memecah suasana. Meja mesyuarat bergegar sedikit akibat hentakan tangannya. "Cuba jaga mulut tu. Kita bukan budak-budak. Ini soal kehilangan manusia, bukan nak buka topik gosip murahan,” tegas Emma.
Mona mencebik. “Saya cuma cakap apa yang orang luar fikir. Rania tu... selalu nampak suci. Tapi siapa tahu? Kalau betul dia hilang, biar polis buat kerja. Bukan kita yang pening kepala. Mana tahu... mungkin sekarang dia tengah bercuti ke mana-mana... dengan sugar daddy dia?”
Mulut Mona sengaja dipeluk senyum nakal, matanya meliar memandang Emma dan Linda.
Wajah Linda merona merah, namun Emma cepat-cepat bersuara, menahan keadaan dari terus memburuk.
“Cukup, Mona. Kalau awak tak ada apa-apa sumbangan positif, lebih baik awak diam.”
Suasana bilik menjadi tegang dan sunyi. Semua yang hadir menunduk, masing-masing sedar—ini bukan sekadar kehilangan biasa. Dan mungkin, salah seorang dari mereka menyimpan lebih dari apa yang terlihat di permukaan.
Selesai sahaja sesi perbincangan, soal jawab serta peringatan tegas Emma tentang etika dan disiplin model-model di bawah agensinya, suasana bilik mesyuarat mula reda. Para model dan staf mula bangkit meninggalkan bilik satu persatu.
"Terima kasih semua," ujar Emma ringkas namun tegas sebelum menutup fail hitam di hadapannya.
Sebaik sahaja bilik kembali lengang, Emma berpaling ke arah Linda.
"Zana, Linda, ikut saya ke pejabat sekejap," katanya sambil melangkah keluar dengan gaya profesional yang tidak pernah luntur dari tubuhnya.
Suzana Dan Linda segera mengekor, membawa tablet dan fail jadual yang tadi digunakan semasa mesyuarat.
Setibanya di pejabat berpanel kaca gelap yang menghadap ruang kerja utama, Emma terus duduk di kerusi kulitnya diikuti dengan Linda duduk di hadapan Emma. Suzana pula berdiri di sebelah, menunggu arahan.
“Kita perlu semak semula jadual peragaan Rania,” ujar Emma sambil menyelak helaian dalam fail. “Banyak acara utama yang perlu kita cari pengganti segera.”
Suzana Dan Linda mengangguk perlahan. “Saya akan susun semula shortlist calon. Mungkin Suri atau Marsha boleh isi kekosongan tu.”
Emma kemudian Dian seketika. Matanya terarah keluar melalui cermin tinted pejabat yang memberi pandangan jelas ke ruang kerja luar.
Tiba-tiba, keningnya berkerut. “Tengok tu…”
Suzana Dan Linda ikut arah pandangan Emma. Seorang wanita dengan rambut panjang yang diluruskan rapi sedang duduk di meja kerja Rania. Tangannya lincah menulis sesuatu di atas sekeping nota berwarna kuning terang.
“Apa Mona buat di meja Rania?” suara Emma kedengaran rendah namun penuh curiga.
Suzana Dan Linda menjenguk sedikit ke hadapan. “Entah....saya tak pasti kenapa dia di situ.” kata Suzana.
Tanpa menunggu lagi, Emma bangkit dari kerusi. Langkahnya panjang dan mantap. Suzana dan Linda mengekori rapat dari belakang.
Pintu pejabat dibuka dan kedua-duanya menuju terus ke arah Mona yang masih tidak menyedari kehadiran mereka.
Nota kuning yang ditulis Mona masih berada di bawah penanya — dan wajah Emma kini semakin serius.
Comments
Post a Comment