Bab 16 - Bintang Yang Ku Gapai

Suasana di Balai Polis Bukit Perdana kelihatan sibuk seperti biasa, namun bilik siasatan utama petang itu menjadi saksi kepada permulaan satu kes berprofil tinggi. Laporan kehilangan Rania Abraham  bintang muda yang sedang meningkat naik, bukan berita biasa. Pengurusnya, Linda, telah membuat laporan lengkap malam sebelumnya selepas Rania gagal muncul dalam rancangan bertemu peminat dan tidak dapat dihubungi sejak tengah hari.


Telefon bimbit, beg tangan dan dompet Tamara telah diserahkan kepada pihak polis sebagai bahan bukti. Kesemuanya ditemukan di bilik rehat yang disediakan penganjur program untuknya — tersusun rapi di atas meja, seolah-olah ditinggalkan dengan sengaja.

"Nombor dan nama ini muncul terlalu kerap," ujar Inspektor Hamid sambil menunjuk ke skrin komputer yang memaparkan senarai panggilan keluar dan masuk dari telefon bimbit Tamara."Setiap hari" tambah Inspektor Hamid yang mengetuai siasatan.

Inspector Daniel merapatkan tubuh ke arah skrin komputer, matanya tertancap tajam pada deretan nombor yang berulang-ulang muncul di paparan sistem.


“Armand Zulkifli… saya kenal,” katanya perlahan, hampir seperti bercakap dengan dirinya sendiri.


“Kawan?” tanya Inspector Hamid yang duduk di sisi.


Daniel mengangguk sedikit, jari telunjuknya mengetik pada baris nombor itu. “Ya....itu memang nombor telefon bimbit Armand.”


“Armand? Yang wartawan hiburan tu?” dahi Hamid berkerut.


“Ya. Dia kawan serumah saya. Sahabat sejak zaman universiti... kami sangat rapat,” jelas Daniel, nada suaranya masih tenang.


Hamid memusingkan kerusinya sedikit, menghadap Daniel penuh minat. “Saya bukan nak buat andaian liar... Tapi kau tengok sendiri pola panggilan ni. Hampir setiap malam — selepas jam 12 tengah malam. Dan awal pagi, sekitar pukul 7 atau 7.30. Masa yang pelik untuk ‘urusan kerja’, bukan?”


Daniel diam sejenak, menghela nafas panjang. Matanya masih terpaku pada pola panggilan yang tidak menipu. “Waktu tu... memang selalunya kami masing-masing dah masuk bilik. Armand jenis yang suka berbual di telefon dalam gelap sambil berbaring. Aku selalu dengar suara dia, kadang dia gelak kecil… aku fikir dia cakap dengan klien hiburan, biasa lah kerja dia.”


Hamid senyum sinis. “Klien hiburan atau seseorang yang lebih... peribadi?”

Daniel tidak menjawab. Namun hatinya mulai diganggu rasa yang tidak selesa. Dia tahu Armand profesional dalam kerja. Tapi dia juga tahu Armand lelaki yang penuh misteri bila soal perasaan.


“Armand pernah sebut pasal Rania?” soal Hamid, suaranya perlahan.


Daniel mengangguk. “Pernah. Tapi sepintas lalu. Tapi biasalah....wartawan hiburan kan. Katanya Rania artis berbakat besar… dan dia hormat kerja keras Linda sebagai pengurus. Dia tak pernah cerita lebih dari itu.”

"Linda pengurus Rania?" soal Inspektor Hamid, keningnya sedikit terangkat.


Inspektor Daniel mengangguk perlahan. "Ya. Dan dia juga sepupu Armand."


Inspektor Hamid menyandar sedikit ke belakang, wajahnya berfikir. Kemudian dia menunduk, mencatat sesuatu di dalam buku notanya sambil bibirnya berkumat-kamit membaca kembali maklumat yang baru diterima.


"Hmm... menarik," gumamnya, matanya masih tertumpu pada nota di tangannya.

Hamid bersandar ke belakang, menyilangkan tangan di dada. “Kalau hubungan mereka sekadar kerja… kenapa perlu telefon tengah malam buta dan awal pagi macam tu setiap hari?”


Daniel membisu. Entah kenapa, dadanya berasa sempit.


-----


Armand dipanggil ke balai untuk membantu siasatan. Dia hadir dengan wajah cemas, namun berusaha mengekalkan ketenangan. Dia tahu semua mata kini tertumpu padanya — dan bukan lagi sebagai wartawan yang melaporkan berita, tetapi sebagai individu yang mungkin mengetahui lebih daripada yang disangka.


"Encik Armand," suara Inspektor Hamid tenang tetapi tegas, "mengikut rekod telefon Cik Rania, awak berhubung dengannya hampir setiap hari. Kadang-kadang sehingga lima atau enam kali sehari. Awak juga orang terakhir yang dia hubungi pada malam sebelum dia hilang."


Armand menarik nafas panjang. "Saya tidak akan sembunyikan apa-apa, Tuan. Ya, saya dan Rania... kami lebih daripada sekadar rakan profesional. Kami... ada hubungan istimewa."


Inspektor Daniel yang juga berada di dlm bilik tu mengerutkan dahi. Dia langsung tidak menduga itu jawapan yang akan didengarnya — lebih-lebih lagi dari rakan serumahnya sendiri.


"Armand, kau serius?" tanya Daniel selepas sesi soal siasat ditangguhkan sementara. Mereka duduk di bilik rehat kecil di belakang balai.


Armand mengangguk perlahan. "Aku minta maaf sebab tak pernah cerita pada kau. Kami cuba rahsiakan… atas permintaan dia. Dia takut gosip, takut perkara ini rosakkan kerjaya dia."


Daniel hanya terdiam. Dalam benaknya, kes ini kini beralih arah. Hubungan peribadi Armand dengan Rania bukan sahaja meletakkannya dalam radar utama siasatan, tetapi juga membuka satu lembar baru — kemungkinan bahawa kehilangan Tamara melibatkan hal yang lebih rumit daripada sekadar kes artis yang menghilang.


-----


Dalam masa yang sama, di sebuah apartment sederhana di Setapak, Mona duduk bersila di atas tilam empuknya. Beberapa helai baju masih belum dilipat, dan rambutnya yang panjang masih basah selepas mandi Maghrib. Di tangan, telefon bimbit yang kini memaparkan aplikasi bank digital.


Mata Mona merenung angka yang terpampang.


Baki: RM5,167.43


Dia menghela nafas perlahan. Dua puluh ribu yang diberikan oleh Datuk Razif sebagai "upah khas" kerana berjaya membawa Tamara kepada pengarah tua keladi itu, kini tinggal serpihan. Sepuluh ribu diberi pada Azman, adiknya, sebagai deposit kereta baru — satu-satunya cara untuk budak itu berhenti merempit. Lima ribu lagi untuk kos hospital ibu mereka yang menghidap barah rahim dan sedang terlantar di hospital swasta. Tiga ribu diserahkan pada tuan rumah yang hampir setiap minggu mengejar sewa lima bulan tertunggak. Yang tinggal kini, hanyalah lima ribu lebih sedikit — itu pun campur dengan gaji terakhir dari Emma, RM3,000 yang dibayar dengan dingin selepas dia dipecat.


“Aku dah tak ada kerja…” bisik Mona, menggigit bibirnya.


Dia menatap wajahnya yang pucat di cermin kecil tepi almari. Solekan yang dulunya menjadi senjatanya kini tidak mampu menyembunyikan keletihan hidup. Dunia pentas, kamera, baju cantik dan senyuman palsu... semuanya hilang sekelip mata. Dia hanya ada kelulusan SPM — satu B, tiga C, yang lain semuanya gagal. Siapa yang nak ambil dia kerja? Kalau pun ada, paling tinggi dia akan jadi tukang cuci, bukan PA atau kerani macam dalam drama yang dia suka tengok waktu dulu.


Dia ketap bibir, jari kembali menekan ikon panggilan — nombor Datuk Razif.


Tuuut... tuuut...

Talian dimatikan sebaik sahaja dia menyebut, “Hello...”


“Kurang ajar!” bisik Mona sambil menghempas telefon ke tilam. Dia sudah berkali-kali cuba. Lelaki tua terkutuk itu seolah-olah mahu lepas tangan setelah dapat apa yang dia mahu.


Air matanya hampir menitis, tapi Mona cepat-cepat lap. Aku tak boleh lemah. Aku kena cari duit.


Matanya melayang jauh… teringat kembali bagaimana semuanya bermula.


Malam itu, selepas sesi photoshoot untuk jenama baju kurung ternama, dia, Tamara dan Liana sedang menunggu pemandu van dari agensi. Mereka duduk di lobi hotel lima bintang, berbual sesama sendiri sambil menatap gambar masing-masing dari sesi tadi.


Tiba-tiba muncul Datuk Razif — lelaki kurus tinggi, berkulit sawo matang, berkumis tebal, ditemani dua pengiring bersut gelap. Dia menyapa dengan senyuman manis, tetapi mata… tak lepas dari Tamara.


Mereka berbual-bual seketika. Tamara kelihatan tidak selesa dan hanya menjawab sepatah dua. Bila van tiba, dia pantas bangun dan meluru keluar, meninggalkan Mona dan Liana yang masih duduk. Datuk Razif memandang Tamara dengan senyuman nakal — penuh maksud.


Sewaktu Mona bangun hendak ikut sama, Datuk Razif sempat menghulurkan tangan.


“Datang malam ni. Suite 202,” bisiknya.


Mona tersenyum kecil. Dalam hati dia ketawa.

“Dapat ikan besar malam ni…”


Malam yang tidak pernah hilang dari ingatan Mona…...Kali pertama dia menjejakkan kaki ke bilik Suite 202 di Hotel Imperial.


Bilik itu luas dan berbau mahal. Karpet empuk, langsir berat warna krim keemasan, dan aroma gaharu dari diffuser elektrik memenuhi ruang. Di tengahnya, Datuk Razif — lelaki berkumis tebal dan bermata galak — sedang duduk bersandar di sofa, mengacau minuman dalam gelas kristal.


“Mona,” panggilnya sambil meneliti tubuh model muda itu dari atas ke bawah, “bukak semua… kecuali lingerie tu. Biar Datuk tengok pemandangan dulu sebelum makan malam.”


Mona menelan air liur. Jantungnya berdegup kencang, tetapi bukan kerana takut — sebaliknya kerana dia tahu, dia telah melangkah masuk ke dalam permainan yang dia sendiri pilih. Perlahan-lahan, tangannya menanggalkan dress hitam ketat yang melekap di tubuh. Kain satin itu jatuh ke lantai. Dia kini berdiri hanya dalam pakaian dalam renda merah yang disarung khas malam itu.


Datuk Razif tersenyum lebar, menyeringai bagai serigala lapar.


Mona hanya berdiri diam, membiarkan lelaki itu menghampiri, meraba, memuji, merayu dengan suara manja dan janji manis yang terlalu klise untuk ditolak. Dalam masa kurang sejam, semuanya berakhir — dan Mona terlentang di atas tilam empuk yang telah menyaksikan entah berapa banyak dosa orang tua itu.


Seketika kemudian, Datuk Razif menyerahkan sekeping sampul. Di dalamnya, lima ribu ringgit tunai.


“Untuk service tip top malam ni,” katanya sambil menyandar di kepala katil, senyum puas.


Mona menyambut dengan senyuman kecil. Dia masih berselimut, rambutnya berserabai, tapi wajahnya jelas bangga. Dia telah berjaya. Tidak perlu dipaksa, tidak perlu dibubuh dadah seperti perempuan lain yang sering Datuk Razif ceritakan sebagai 'liar dan melawan'.


“Awak hebat,” puji Datuk Razif, mencuit dagunya.


Mona ketawa kecil.


Dalam diam, lelaki tua itu menilik dalam hati.

"Yang ni tak payah racun. Dia serah sendiri. Satu lagi aku nak… yang manis tu....Rania... Aku mesti dapatkan dia."


Wajah Rania terbayang di matanya.


“Awak model dari agensi mana?” tanya Datuk Razif.


“Emma Modelling Agency,” jawab Mona sambil membetulkan rambutnya.


Kening lelaki itu terangkat. “Model dua orang lagi tu pun dari sana?”


Mona mengangguk. “Yang berlagak sombong tu… Tamara. Atau nama betul dia, Rania.”


“Oh?” Nada Datuk Razif berubah sedikit. “Yang tergesa-gesa keluar dari lobi tu?”


“Haah… yang tu. Orang kampung yang berlagak suci. Saya tahu sejarah dia. Pernah kena tangkap basah, lari dari rumah... berlagak macam anak dara sunti. Padahal... hmm.” Mona menjeling, menyindir.


Datuk Razif menyandar sambil senyum. Nada suara Mona penuh rasa tidak puas hati. Dia tahu, itu senjata yang boleh digunakan kemudian.


“Jangan sebut nama aku kat bos kau, si Emma tu,” pesan Datuk Razif sewaktu Mona bersiap untuk pulang.


Mona memandangnya. “Kenapa? Takut scandal?” Tanya Mona sambil tersenyum. "Datuk kenal dia?"


Lelaki itu ketawa terkekeh-kekeh. “Dia dulu mistress aku... long time ago.”


“Oh?” Mona kembali duduk di tepi katil. Matanya bersinar ingin tahu.


“Dah lama… masa tu umur dia baru awal 20-an. Pan-Asian look, seksi, suka duit. Tapi keras… dingin. Kena bagi ubat baru boleh layan. Tak macam kau, Mona… kau panas. Liar. Menggoda. Kau tahu kerja.”


Mona tersenyum nipis. Malam itu dia bukan saja menjual tubuh — dia membeli peluang. Rezeki lima ribu untuk hanya beberapa jam. Dan lebih mahal lagi… satu rahsia besar tentang bosnya sendiri.


Rahsia yang mungkin jadi peluru bila tiba masa.


Mona masih ingat dengan jelas bagaimana dia sekali lagi melangkah masuk ke Suite 202 untuk bertemu dengan Datuk Razif. Lelaki itu segera membawanya duduk di sofa kulit berwarna coklat gelap, sebelum mencapai sebotol Macallan 18 Year Old Sherry Oak, lalu menuangkan minuman itu ke dalam dua gelas kristal.


“Minumlah, sayang…” suara Datuk Razif perlahan dan menggoda.


Mona menyambut gelas itu, meneguk perlahan sambil membiarkan tangan lelaki tua terkutuk itu merayap tanpa haluan. Dia sudah biasa. Sudah lali. Malah dia tahu apa yang akan berlaku seterusnya.


"Ada berita baik?" tanya Datuk Razif, matanya tajam menikam wajah Mona.


Mona mengangguk perlahan sambil menghadiahkan senyuman menggoda.


"Okay... as usual... strip everything off before dinner," kata Datuk Razif, suaranya dalam dan penuh perintah.


Mona hanya tersenyum manja dan menurut. Satu persatu pakaiannya dilucutkan. Bila Datuk Razif cuba mengangkat tubuhnya ke atas katil, Mona tiba-tiba mengundur selangkah.


"Datuk bayar saya lima puluh ribu untuk maklumat ini," katanya tenang tapi tegas.


Datuk Razif ketawa kecil, suara seperti mengandung ejekan. "Make me happy first and you get the money."


Dia menarik Mona ke atas katil seperti barang mainan.


Beberapa ketika selepas itu, Datuk Razif bangkit, membuka laci kecil di sisi katil dan mengeluarkan satu sampul berwarna cokelat. Dia hulurkan kepada Mona tanpa memandang.


"Twenty thousand... apa maklumatnya?"


Mona menepis tangan itu sambil mencapai pakaiannya. "No... not twenty thousand. Fifty thousand."


Datuk Razif menyeringai. "Thirty thousand... bila Rania sudah makan malam dengan saya," katanya sambil ketawa kecil, penuh makna.


Mona segera menyerahkan maklumat lengkap kepada Datuk Razif tentang program Rania yang dijadualkan bertemu peminat di Star Galeri, Kuala Lumpur pada malam Sabtu hujung minggu itu, jam 8 malam. Dia memberitahu bahawa Rania akan berada di sebuah bilik rehat khas yang disediakan oleh penganjur kira-kira dua jam sebelum program bermula. Menurut Mona, tempat itu dilengkapi CCTV, namun kawalan keluar masuk tidak terlalu ketat.


Datuk Razif kemudian mengarahkan orang-orang kepercayaannya untuk melaksanakan tugas mereka — merosakkan rakaman CCTV, menyamar sebagai wartawan media dan petugas pembersihan pejabat. Salah seorang daripada mereka diminta bersedia dengan sapu tangan yang dibasahkan dengan kloroform.


Sekiranya pengurus Rania turut berada dalam bilik tersebut, mereka berdua akan dibius, tetapi hanya Rania yang akan dibawa keluar melalui pintu belakang galeri itu. Pengurusnya perlu ditinggalkan di situ sahaja.


Malam itu segalanya berjalan pantas. Operasi dimulakan sebaik sahaja individu yang menyamar sebagai tukang cuci melihat Linda melangkah keluar dari bilik itu. Tak lama kemudian, seorang lagi yang menyamar sebagai wartawan media datang dan mengetuk pintu bilik.


Sebaik pintu dibuka, dia segera menerpa masuk dan menekap sapu tangan basah ke muka Rania. Gadis itu meronta-ronta dan cuba menjerit, namun suaranya tersekat dek mulut dan hidung yang tertutup. Tenaganya semakin lemah, tubuhnya terasa ringan seperti melayang di awangan, dan akhirnya segalanya gelap.


------





Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini