Mona termenung di hadapan cermin meja soleknya. Wajahnya yang dilitupi solekan tebal direnung tanpa perasaan. Bulu mata palsu melentik, kanta lekap berwarna hazelnut menambahkan kilau matanya, dan bibir merah menyala seperti bara api membingkai senyuman yang tidak pernah ikhlas.
Tubuhnya dibalut pakaian dalam berwarna hitam dan sehelai baju nipis rona senada. Rambutnya diurai lepas, disemat headband mutiara yang membuatkan dirinya kelihatan seperti anak dara belasan tahun. Mona baru berusia 24 tahun—sebaya dengan Tamara. Mereka sama-sama cantik, tinggi pun seiras, dan memang layak menghiasi pentas peragaan. Namun jauh di sudut hatinya, Mona mengakui—Tamara tetap lebih cantik. Tanpa solekan pun gadis itu kelihatan anggun. Kulitnya putih mulus, hidung mancung mewarisi darah keturunan ayahnya.
Dan bila wajah Tuan Haji Taufiq menjelma dalam benaknya, dada Mona bergelora. Lelaki tua itu telah menghalau mereka—sekeluarga—seperti anjing kurap. Sehelai sepinggang, tanpa belas kasihan.
Mona menggigit bibir. Dia marah... bukan hanya pada Taufiq. Tetapi juga pada ibunya sendiri. Kenapa perlu curang? Sedangkan suaminya—ayah tiri Mona—adalah lelaki berharta, tampan, dan memberi mereka kehidupan yang mewah.
Segalanya berkecai. Harapannya untuk menjadi pewaris ladang, kekayaan dan nama keluarga Taufiq lenyap begitu saja. Yang tinggal hanyalah rasa sakit hati yang bernanah di dasar jiwanya.
Mona termenung di hadapan cermin meja soleknya. Wajahnya yang disaluti solekan tebal direnung lama. Bulu mata palsu lentik menari-nari di kelopak mata, kanta sentuh warna hazelnut membesarkan anak matanya, dan bibir merah menyala menambah garang penampilannya. Tubuh langsingnya dibalut pakaian dalam berwarna hitam dan baju nipis sutera hitam yang hampir tembus pandang. Rambutnya dibiarkan mengurai, dan seutas headband mutiara tersarung kemas di kepala, menyerlahkan sisi mudanya.
Usianya baru 23 tahun—seusia dengan Tamara. Mereka sama-sama cantik, sama tinggi, sama ramping. Cuma, dia harus mengakui Tamara tetap lebih menyerlah. Tanpa secalit solekan pun, Tamara sudah memukau. Kulitnya putih bersih, hidungnya mancung persis ayahnya. Bila memikirkan wajah lelaki itu, hati Mona kembali panas. Tuan Haji Taufiq. Lelaki yang menghalau mereka sekeluarga sehelai sepinggang, seolah-olah mereka ini manusia tak berguna. Seperti anjing kurap!
Mona menggertap bibir. Dia bukan hanya marah pada Tuan Haji Taufiq. Dia juga marah pada ibunya sendiri. Kenapa perlu berlaku curang? Sedangkan lelaki itu—ayah tiri Mona—berharta, tampan, dan menyediakan kemewahan buat mereka. Tapi kerana sikap ibu yang tamak, semuanya musnah. Harapannya untuk menjadi pewaris ladang, harta dan wang ringgit lelaki itu berkecai. Segalanya lenyap bila mereka dihalau tanpa belas kasihan.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Satu notifikasi masuk.
[Media Online]: ‘Artis popular Rania Abraham @ Tamara dilaporkan hilang. Polis kini menyiasat semua pihak termasuk individu terakhir bersamanya…’
Mona membacanya sambil mengerutkan dahi.
“Siapa individu terakhir bersamanya?” gumamnya.
Linda.
Mona tersenyum sinis.
“Linda… barua,” katanya perlahan. Ketawanya mula mengisi bilik.
Kemudian dia membaca sambungan berita itu.
Suspek - Wartawan Hiburan Kekasih Rania
Mona mengangkat bahu, senyumannya melebar. Dia tahu siapa wartawan itu. Seorang wartawan hiburan yang kelihatan cool, penuh sopan. Jarang bercakap, jarang tersenyum. Tapi satu yang tak pernah Mona lupakan—mata lelaki itu… seksi.
Mona ketawa lagi. Ketawa yang penuh kepuasan. Dia tidak perlukan cinta. Cinta hanya buat orang lemah. Dia juga tidak perlukan lelaki tampan, tinggi lampai atau bermata seksi seperti wartawan hiburan itu. Semua itu tidak menjamin apa-apa.
Yang dia perlukan hanyalah duit.
Lelaki tua? Boroi? Hidung belang? Dia tak kisah. Asalkan mereka mampu memberinya wang, dia sedia tersenyum manis. Wang adalah segala-galanya. Dengan wang, dia akan memiliki kuasa, pengaruh, rumah besar, kereta mewah, jenama mahal, dan perniagaan yang akan diwarisi tujuh keturunan.
Cinta? Itu nanti. Bila semuanya sudah dalam genggamannya, baru dia akan pertimbangkan soal cinta.
Sesekali fikirannya melayang kepada ibunya.
Mungkinkah ibu juga begitu?
Seorang ibu tunggal, dua anak, dan bertahun-tahun menyapu lantai dan mengelap meja pejabat di Teluk Intan. Hidup mereka serba kekurangan — sehingga munculnya Taufiq, duda beranak satu, yang kemudian menawarkan pekerjaan sebagai kerani ladang kepada ibunya.
Tak lama selepas itu, mereka berkahwin. Hidup mereka berubah sepenuhnya.
Dari rumah kecil ke banglo ladang. Dari pakaian bundle ke baju berjenama. Mona mendapat bilik yang sama mewahnya dengan Tamara — anak perempuan Taufiq. Adiknya, Azman, juga turut merasa kemewahan yang tidak pernah mereka bayangkan dulu.
Ibunya pula… seolah-olah lupa siapa dirinya sebelum ini. Saban hari bersolek, melaram, mengarah pembantu rumah ke sana sini. Tidak pernah berhenti bercermin. Tidak pernah bersyukur.
Ayah tirinya? Baik orangnya. Pemurah, beradab, rajin solat, malah selalu mengajak mereka berjemaah bersama atau ikut ke surau. Tapi ibu selalu membantah, memperlekeh nasihat lelaki itu.
Mona tahu, cinta ibu kepada Taufiq bukan cinta sejati. Ia cinta kerana peluang. Cinta kerana kemewahan. Sama seperti dirinya sekarang…
Anak tunggal kesayangan ayah tirinya, Tamara, sering menjadi sasaran kemarahan ibunya. Setiap gerak-geri gadis itu diperhati dengan mata benci, dan setiap peluang digunakan untuk menghina serta menjatuhkannya. Mona juga tidak ketinggalan — dia turut memperlakukan Tamara dengan kejam. Barang-barang Tamara dirampas tanpa belas kasihan, wang sakunya sering 'hilang' tanpa jejak, dan apabila Tamara bersuara, dia dituduh pula sebagai pencuri. Tamparan demi tamparan hinggap di wajah gadis itu seolah-olah tiada nilai kemanusiaan.
Penderitaan Tamara berlanjutan selama bertahun-tahun, hingga akhirnya mereka berjaya menyingkirkannya. Mereka merancang fitnah yang keji, menuduh Tamara berkhalwat dengan seorang guru sekolah di kampungnya sendiri — satu perbuatan yang memalukan dan mencemar maruah keluarga. Tamara dihalau keluar dari rumah yang suatu ketika dahulu tempat dia membesar, dan sejak hari itu... namanya jarang lagi disebut. Seolah-olah dia tidak pernah wujud.
Mona ketawa terbahak-bahak, matanya bersinar puas. Dalam benaknya, terbayang semula malam itu — malam yang penuh kebencian dan dendam yang akhirnya terbalas. Dia masih ingat jelas bagaimana dia dan ibunya mendesak Tamara agar segera meninggalkan kampung. Mereka tidak mahu gadis itu lagi — tidak dalam rumah itu, tidak dalam kampung itu, malah tidak wujud langsung di bumi Sri Menanti.
"Pergi! Dan jangan pernah kembali!" kata-kata ibunya bergema di bilik tidur Tamara malam itu, disertai dengan pandangan penuh benci.
Bagi mereka, pengusiran itu adalah satu kemenangan. Mereka mahu Tamara lenyap selamanya. Hilang daripada kehidupan mereka... dan yang paling utama, hilang daripada kehidupan Taufiq Abraham.
Dan kini, dia berjaya sekali lagi — menghilangkan Tamara dari orang-orang yang menyayanginya, dari para peminat, dan dari dunia glamor yang selama ini memuja gadis itu. Sekali lagi, Tamara hilang… dan kali ini, mungkin untuk selamanya.
Mona tersenyum sinis sambil memandang jam di telefon bimbitnya. 11 malam. Tepat seperti yang dirancang. Waktu yang sesuai untuk ke villa Datuk Razif.
“Malam ini…” bisiknya perlahan, “...aku akan pastikan si tua kutuk itu takkan pernah lupakan aku.”
Dengan langkah yakin dan hati penuh perancangan, Mona mencapai beg tangannya dan menuju keluar, meninggalkan bayangan dendam yang belum selesai.
-----
Mona tiba di villa itu dengan menaiki Grab. Dia berdiri lama di hadapan pagar besi automatik yang tinggi dan mewah, dihiasi ukiran berwarna hitam dan keemasan. Pandangannya naik ke atas, menilai villa megah itu seolah-olah menilai nilai dirinya sendiri. Dia mendail nombor Datuk Razif. Tiada jawapan.
Namun dia tidak putus asa.
Butang loceng ditekan berulang kali. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Dan akhirnya, pagar automatik itu bergerak perlahan dengan bunyi dengungan yang dalam. Mona terus meluru masuk ke halaman villa tanpa menunggu lagi.
Belum sempat dia sampai ke pintu utama, seorang lelaki berpakaian jaket hitam, seluar jeans dan sneakers putih berdiri tegap menghalang langkahnya.
“Cik Mona nak jumpa Datuk?” soalnya dengan suara datar tapi tegas.
“Ya. Datuk ada ke?”
“Datuk tak ada malam ni.”
Lelaki itu kekal berdiri menghalang, tetapi Mona tidak peduli. Dia cuba melangkah ke sisi, lelaki itu mengikut. Dia cuba menolak bahu lelaki itu ke tepi, namun lelaki itu tidak berganjak.
Pertengkaran kecil pun terjadi.
Dengan rasa marah yang memuncak, Mona membuka kasut tumit tingginya dan melemparkan sebelah daripadanya ke arah lelaki itu.
“Saya kata saya nak jumpa Datuk!” bentaknya.
Lelaki itu mengelak sepintas, lalu mengeluarkan telefon bimbit dan menekan nombor.
“Dia dah naik gila. Tetap juga nak masuk,” katanya sambil memandang Mona yang kini sudah terduduk di anak tangga pintu masuk.
“Ok... ok... baik.”
Dia menutup telefon dan berkata, “Datuk suruh Cik Mona tunggu di dalam. Jangan keluar sampai Datuk balik.”
Mona tersenyum puas. Malam ini, tiga puluh ribu ringgit itu mesti berada dalam tangannya.
Dengan langkah angkuh, dia masuk ke ruang tamu villa. Ruang itu sunyi dan luas. Hanya lampu meja Kristal berhampiran sofa yang menyala, memberi cahaya lembut keemasan yang mewah. Penghawa dingin sudah dihidupkan sejak tadi, dan aroma dari diffuser yang menyala memberikan suasana nyaman, seperti spa bertaraf lima bintang.
Mona mengelus lengannya yang disentuh dingin penghawa dingin. Pandangannya menyapu setiap inci ruang tamu itu — karpet baldu kelabu, meja kopi kaca, bingkai foto hitam putih, dan langsir tebal dari kain satin.
Beginilah kehidupan yang dia impikan.
Kayangan moden yang menjanjikan keindahan, kemewahan... dan kepuasan.
Tanpa sedar, dia terlelap di atas sofa empuk itu — sambil tersenyum.
-----
Mona tersentak apabila terdengar bunyi pintu kereta ditutup rapat, disusuli deruman enjin yang kembali bergerak menjauh. Dia segera berdiri, membetulkan rambutnya yang kusut dan merapikan bajunya. Nafasnya sedikit kencang, tapi matanya bersinar penuh harap.
Pintu utama villa terbuka. Seorang lelaki berbadan tegap, berkaca mata hitam dan berjaket kulit cokelat tua melangkah masuk. Di belakangnya, muncul susuk yang amat dikenalinya—Datuk Razif.
“Datuk… syukur alhamdulillah... akhirnya Datuk sampai juga!” seru Mona sambil meluru ke hadapan.
Namun, langkahnya dihalang lelaki berjaket itu. Lengannya diangkat kasar, menghalangnya dari menghampiri Datuk Razif.
Datuk Razif tidak memandangnya walau sedikit. Wajahnya dingin dan matanya lurus menatap ke arah tangga spiral. Tanpa sepatah kata, dia melangkah tenang menaiki anak tangga.
“Datuk!” Mona menjerit, suaranya parau dan tegang. “Saya nak Datuk tunaikan janji Datuk malam ni! Jangan mungkir lagi!”
Langkah Datuk Razif terhenti sejenak di hadapan pintu biliknya di tingkat atas. Dia berpaling separa, kemudian memberi isyarat dengan tangannya kepada lelaki berjaket itu.
“Bawa dia ke bilik hujung. Saya akan ke sana nanti,” katanya sebelum membuka pintu dan menghilang ke dalam.
Mona menjerit, cuba meronta dari genggaman lelaki itu. “Lepaskan! Sakitlah!” Suaranya menggema di ruang villa yang mewah dan sepi itu.
Dia berjaya merungkai dirinya dari cengkaman dan berlari ke tangga, mengetuk dan menendang pintu bilik Datuk Razif.
“Datuk! Saya tak main-main… Kalau malam ni Datuk tak bayar saya tiga puluh ribu tu, saya akan buat laporan polis! Saya tahu Rania ada dalam rumah ni!”
Tapi pintu itu kekal tertutup. Tiada sahutan.
Lelaki berjaket cokelat Tua itu meluru semula dan kali ini menggenggam bahu Mona lebih kuat. Dengan paksa, dia menyeret Mona menuju ke bilik hujung seperti diarahkan.
Jeritan Mona terus bergema, namun tiada siapa yang mendengar atau peduli.
Comments
Post a Comment