Bab 17 - Yang Hilang Bukan Cinta

 Yang Hilang Bukan Cinta 


Lima tahun berlalu. Masa pantas berputar, meninggalkan pelbagai kenangan — suka, duka, dan perjuangan hidup yang tak pernah berhenti.


Di Kuala Lumpur, Mariam kini bukan sekadar dikenali sebagai isteri Dr. Ridzuan, malah dia juga bergelar usahawan berjaya. Impiannya yang sekian lama terpendam akhirnya terlaksana.


Satay Warisan, restoran milik Mariam, berdiri megah di tengah kota. Satay yang pernah menjadi kebanggaan gerai Hisham dan arwah Mak Imah kini menjadi menu utama restoran tersebut. Namun, bukan sekadar satay — restoran itu turut menawarkan pelbagai juadah Melayu, masakan Cina, India, malah menu Barat yang digemari ramai.


Dari pagi hingga malam, restoran itu tidak pernah sunyi. Pelanggan datang silih berganti, menikmati rasa warisan yang tak lapuk ditelan zaman.



---


Mariam dan Dr. Ridzuan juga semakin bahagia dengan kehadiran dua cahaya mata — seorang anak lelaki yang cerdas dan seorang anak perempuan yang petah dan manja. Rumah tangga mereka sederhana, namun penuh kasih sayang.



---


Sementara itu, di seberang benua, kehidupan Hisham dan Sofia di New York juga tidak kurang bahagianya. Perniagaan restoran Spice Lane yang mereka usahakan bersama berkembang pesat. Malah, beberapa rangkaian restoran baru dibuka di sekitar kota New York, menjadikan perniagaan mereka antara yang dikenali dalam komuniti Melayu dan antarabangsa di sana.


Dua orang anak mereka, seorang perempuan, Nur Nabila, berusia 23 tahun dan seorang lelaki, Muhammad Ashraf, berusia 21 tahun. Kedua-duanya menuntut di University of Columbia — mengikuti jejak kecemerlangan akademik keluarga mereka.


Namun, setelah hampir 25 tahun menetap di bumi asing itu, hati Hisham semakin kuat merindui tanah air.


---


Keputusan besar akhirnya diambil. Hisham memilih untuk pulang ke Malaysia. Sofia tidak membantah, malah turut merindui keluarga dan akar asal mereka.


Tambahan pula, bapa mertua Hisham, Pak Rahman, telah pun pulang ke Malaysia lima tahun lebih awal, membuka semula perniagaan di Kuala Lumpur. Kepulangan itu memudahkan segala urusan mereka.


"Anak-anak kita masih belajar… biarlah mereka habiskan pengajian di sana…" kata Hisham tenang saat mereka duduk di ruang tamu, membincangkan keputusan itu.


Sofia mengangguk perlahan. "Ya… kita pun dah lama tinggalkan Malaysia… dah sampai masa kita balik…" 

"Pasti kita merindui tempat ni nanti kan?" Kata Hisham sambil menarik laci cabinet tv di ruang tamu

Hisham perlahan-lahan berdiri, menghampiri kabinet televisyen di sudut ruang tamu apartment mereka. Tangannya membuka laci paling bawah, mengeluarkan sebuah album usang yang sudah lama tersimpan rapi di situ.


Dia kembali duduk di sisi Sofia, membelek album tersebut dengan hati yang sayu.


"Tentu nanti kita merindui tempat ini kan?" ujar Hisham sambil jari-jemarinya menyelak satu persatu helaian album itu. Gambar-gambar lama yang penuh kenangan terpampang jelas — wajah mereka sekeluarga, detik-detik di Kuala Lumpur bersama ibunya, saat-saat bersama ayah dan ibu mertuanya serta foto-foto Mariam dan keluarganya.


Sofia hanya memandang, senyum tawar di bibirnya. Di matanya, kegusaran jelas terpancar.


"Tapi Sofie risau lah bang…" suara Sofia perlahan, matanya masih melekat pada wajah suaminya yang leka menatap gambar-gambar itu.


Hisham mengangkat wajah, memandang isterinya penuh tanda tanya.


"Risau… kenapa?"


Wajah Sofia dipandang lama. Garis-garis halus di tepi matanya tidak mampu menenggelamkan kecantikan semula jadinya. Walaupun usia mereka hampir mencecah 50 tahun, Sofia tetap anggun di matanya. Tubuh isterinya sedikit berisi, namun itu langsung tidak mengurangkan pesona wanita yang pernah memikat hatinya lebih dua dekad lalu.


Sofia mengeluh perlahan, wajahnya jelas gusar.


"Risau pasal anak-anak kita… pasal Bella…"


Kening Hisham sedikit berkerut.


"Kenapa dengan Bella?" tanyanya, suaranya tenang namun jelas mahu tahu.


Sofia menghela nafas panjang sebelum bersuara.


"Abang tau tak… dia berkawan dengan budak Indonesia…"


Hisham mengangguk perlahan, tidak menunjukkan reaksi terkejut.


"Habis tu…?" balas Hisham, masih menunggu penjelasan.


Sofia tunduk, matanya berkaca. Kenangan silam tiba-tiba datang menyapa. Luka lama yang cuba dikuburkan muncul kembali.


"Sofie risau… kalau dia dikecewakan… macam apa yang pernah terjadi pada Sofie dulu…" suaranya bergetar, seakan-akan menahan rasa yang sudah lama terpendam.


Hisham yang mendengar itu segera memahami kegusaran isterinya. Dia meletakkan album di atas meja, memeluk Sofia erat-erat, cuba meredakan kegelisahan yang bergelora di hati wanita itu.


"Abang faham kerisauan sayang tu…" bisik Hisham lembut di telinga isterinya. "Tapi kita tak boleh fikir yang bukan-bukan… takut nanti ia jadi satu doa. Banyakkan berdoa yang baik-baik untuk anak-anak kita…"


Sofia menangis perlahan dalam pelukan suaminya. Tubuhnya menggeletar menahan emosi yang menggunung.


Bayangan Andy… lelaki asal Indonesia yang pernah singgah dalam hidupnya, kembali menerpa ke minda. Andy yang pernah memetik janji setia, namun hilang tanpa khabar, meninggalkan dia sendiri — mengandung dan memaksa dirinya menerima lelaki lain untuk  membesarkan Nur Nabila, anak perempuan yang mereka sayangi hari ini.

"Abang… Sofie cuma tak nak sejarah berulang… Sofie takut sangat…" Sofia bersuara dalam sendu, jari-jemarinya menggenggam erat lengan Hisham.


"InsyaAllah… takkan ada lagi luka macam dulu…" Hisham memeluk isterinya erat, hatinya juga dipagut rasa bimbang. Namun dia tahu, sebagai suami dan ayah, dia perlu kuat. Untuk Sofia. Untuk anak-anak mereka.


Dan untuk Nur Nabila… si gadis yang kini mula mengatur langkah dewasa… dan yang hatinya kini sudah mula dimiliki seseorang.

Sofia membiarkan dirinya dalam dakapan suaminya. Sepertinya dia merasakan lelaki itu juga sedang memikirkan masa lalunya.

Sofia mengesat matanya yang basah oleh tangisnya. Hatinya perlahan-lahan mengakui sesuatu yang selama ini dia pendam, yang perlahan tapi pasti, meresap dalam diam — rasa itu… rasa cinta itu… akhirnya hadir juga.


Dulu sewaktu baru menikah, lelaki itu dengan setia dan penuh keikhlasan menerimanya, dia tak pernah percaya hati ini mampu belajar menyayangi lelaki itu. Dia hadir dalam hidupnya bukan atas dasar pilihan, bukan kerana janji-janji manis atau degupan cinta pertama. Tapi… waktu… waktu membuktikan segalanya. Waktu mengajarnya melihat lelaki itu bukan sekadar sebagai suami di atas kertas… tapi sebagai pelindung, teman, sahabat, dan kini… ayah kepada anak-anak mereka.


Dan entah bila tepatnya, hatinya mulai lembut. Mungkin ketika dia melihat lelaki itu bersusah payah memujuk anak mereka yang menangis malam-malam. Atau saat dia menyaksikan mata lelaki itu redup menatap mereka penuh kasih. Atau mungkin… saat dia sendiri sedar, dia sudah tidak mampu membayangkan hidup ini tanpa kehadiran lelaki itu di sisinya.


Sofia mengelus dadanya perlahan, memejamkan mata seketika.


“Alhamdulillah…” bisiknya dalam hati. “Terima kasih Ya Allah… kerana Kau izinkan cinta ini tumbuh… kerana Kau lembutkan hatiku… kerana Kau hadirkan dia… untuk aku… untuk anak-anak ini.”


Dia tahu, perjalanan mereka tak sempurna. Ada luka, ada duka, ada perit yang pernah terukir. Tapi hari ini… dia hanya mahu mensyukuri yang tinggal — kasih, keluarga, dan cinta yang perlahan-lahan tumbuh… dan dia yakin, cinta itu akan terus hidup… selagi dia percaya, selagi dia redha, selagi dia bersyukur.


---


Dan hari itu, setelah hampir tiga dekad hidup di perantauan, Hisham dan Sofia kembali menjejakkan kaki ke bumi bertuah itu — membawa bersama pengalaman, rindu, dan harapan baru.


Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini