Bab 18 - Yang Hilang Bukan Cinta
Yang Hilang Bukan Cinta
Berita tentang kepulangan Sofia dan Hisham ke Malaysia membuat hati Mariam bergetar bahagia. Hampir 25 tahun mereka menetap di bumi asing itu, akhirnya pulang ke tanah air.
"Alhamdulillah… akhirnya Hisham balik juga…" bisik Mariam perlahan, senyum terukir di bibirnya.
Kenangan lama kembali menerjah ke fikiran. Mariam teringat saat hampir tiga tahun yang lalu, suaminya, Dr. Ridzuan, menghadiahkan dia sebuah laptop baharu untuk menggantikan komputer lama yang sering sahaja meragam di pejabat restoran Satay Warisan.
Mariam teruja dengan hadiah itu. Setiap kali ada waktu terluang, dia pasti menghabiskan masa melayari internet — mencari resepi-resepi baharu untuk dipelbagaikan dalam menu restoran miliknya.
---
Hari itu juga tidak terkecuali.
Mariam duduk di sudut kecil pejabat restoran, menatap skrin laptopnya sambil menaip carian berkaitan resepi Satay dari pelbagai negeri di Malaysia dan Indonesia.
Jarinya rancak menggerakkan tetikus, matanya tekun membaca setiap pautan yang terpapar. Namun, tiba-tiba, matanya terhenti pada satu posting yang benar-benar menarik perhatiannya.
Sebuah blogspot milik seorang anak muda.
Apa yang benar-benar membuat jantung Mariam berdegup kencang adalah gambar yang tertera di laman blog itu.
Seorang anak muda berdiri sambil memegang sepiring satay. Di bawah gambar itu, tertera kapsyen:
"Resep Satay Eyangku."
Namun bukan itu sahaja yang membuat Mariam terpaku.
Di belakang anak muda itu, jelas kelihatan gambar-gambar yang menghiasi dinding — Gambar-gambar yang dikenali, tempat yang pernah menjadi sebahagian dari hidup mereka.
Gambar Gerai Mak Imah Satay…
Dan gambar pintu masuk Butik Marlyn Chic Boutique…
Mariam terpempan. Tangannya menggigil kecil, hatinya berdebar-debar.
"Ehhh.....kenapa gambar-gambar ni ada pada pemilik blog ni? Dari mana dia dapat gambar-gambar ni? Siapa dia?" Bisik hati Mariam sambil jari jemarinya dengan pantas zoomkan gambar-gambar tersebut."Ahhhh.....Mustahil… ini tak mungkin kebetulan…" bisik Mariam, matanya terus memerhati setiap gambar satu persatu.
Rasa ingin tahu memuncak. Tanpa berfikir panjang, Mariam menaip mesej kepada pemilik blogspot tersebut. Dia memulakannya dengan memberi salam dan menyatakan hasrat kononnya dia berminat mempelajari resepi Satay daripada anak muda itu.
Tiga hari lamanya Mariam menunggu jawapan.
Akhirnya, mesej itu dibalas.
---
Mariam mengimbas kembali detik dia memberanikan diri menceritakan hal itu kepada Mak Imah, ibu Hisham.
Mak Imah yang mendengar berita itu tergamam. Air matanya jatuh tanpa disedari.
"Lydia dan cucu mak… masih hidup, Mariam?" suara Mak Imah bergetar, wajah tuanya dibasahi air mata.
Mariam mengangguk perlahan, matanya turut berkaca.
Namun jawapan Mak Imah selepas itu cukup tegas, cukup berat.
"Tapi… jangan kau bagitahu Hisham, Mariam. Hidup dia dah tenang… dia bahagia dengan isteri dan anak-anak dia sekarang. Jangan kau buka semula luka lama tu… biarlah… biarlah yang lepas, lepas…"
Mariam hanya mampu mengangguk, walau hatinya berat menyimpan rahsia sebesar itu. Dia hormat pada keputusan wanita tua itu. Lagipun, dia tahu, kisah silam Lydia, Hisham dan anak mereka… terlalu rumit untuk diungkit kembali.
Namun, jauh di sudut hati Mariam… dia tahu… lambat-laun, kebenaran pasti akan terbongkar.
Dan kini… dengan kepulangan Hisham dan Sofia ke tanah air… dia tahu, detik itu semakin hampir.
Comments
Post a Comment