Bab 19 - Yang Hilang Bukan Cinta

 Yang Hilang Bukan Cinta 


Sejak kebelakangan ini, Dr. Ridzuan tidak dapat menafikan perubahan yang jelas pada isterinya. Mariam kelihatan semakin murung, resah dan sering termenung. Wajahnya jauh, seolah-olah fikirannya melayang entah ke mana.


Pernah beberapa kali, dia terjaga di tengah malam dan terlihat cahaya samar dari skrin laptop Mariam. Bila dia membuka mata, dia melihat isterinya sedang duduk di meja kecil di sudut bilik, mata tertumpu ke skrin laptop. Wajahnya serius, matanya berkaca.


Namun, sebaik Mariam menyedari dia terjaga, wanita itu cepat-cepat menutup laptopnya, mematikan lampu meja dan melabuhkan diri ke atas katil. Mariam memejamkan matanya rapat-rapat, namun Dr. Ridzuan dapat merasakan degupan jantung isterinya yang kencang.


Dia hanya memandang, tidak mahu memaksa. Namun, hatinya dipagut rasa ingin tahu yang semakin membuak.


---


Pagi itu, seperti biasa, sebelum Subuh, Dr. Ridzuan terjaga. Dia memandang ke sisi, namun katil sebelahnya kosong.


Matanya melilau ke sekeliling bilik. Dia terpandang Mariam, sudah bersimpuh di atas sejadah, mengangkat tangan berdoa. Wajah isterinya kelihatan sayu, penuh harapan… atau mungkin… penuh rasa bersalah.


Dr. Ridzuan tidak berkata apa-apa. Dia mencapai tuala, masuk ke bilik air untuk mandi dan mengambil wudhu.


Keluar sahaja dari bilik air, Mariam sudah sedia menghamparkan sejadah untuknya. Wanita Yang telah menjadi sebahagian hidupnya hampir 23 tahun itu kelihatan sugul. Dr Ridzuan memandang isterinya namun wanita itu seolah-olah tidak berani memandang tepat ke mata suaminya.


Usai solat, dia memandang Mariam, matanya tajam namun penuh lembut.


"Sayang.....kenapa abang tengok sayang sejak kebelakangan ni lain macam? Tengah malam bangun, termenung… pagi-pagi bangun awal… kurang tidur… saya perasan semua tu tau…"


Mariam tergamam. Hatinya berdebar-debar. Dia tahu lambat-laun dia tidak boleh berdiam diri lagi.

"Yam buatkan sarapan untuk abang dulu ya. Abang nak ke hospital awal kan hari ni?" Cepat-cepat Mariam membuka telekungnya, mengambil penggantung baju dan menggantung telekungnya. 

Dr Ridzuan memeggang lengan isterinya. Dia tahu Mariam cuba mengelak daripada menjawab pertanyaannya tadi.

"Abang masih ada wudhu tu...." Kata Mariam dan menarik lengannya dari pegangan suaminya.

"Dah selesai solat kan....." Dr Ridzuan melepaskan tangannya dari lengan isterinya. "Aaaaa.... pergilah buat sarapan dulu. Abang ada sikit kerja nak buat."

Cepat-cepat Mariam keluar dari bilik itu dan perlahan-lahan menuruni tangga menuju ke dapur. 


Dr Ridzuan duduk di meja tulisnya dan mencapai fail-fail yang dibawa balik dari pejabat semalam. Dia membelek borang-borang dalam fail yang diperolehinya daripada Ketua Kerani petang semalam. Borang-borang JPA untuk permohonan bersara pilihan dan borang maklumat peribadi untuk dilengkapkan. Namun hatinya masih teringat pada Mariam yang sejak kebelakangan ini kelihatan berubah. Sedih, sugul dan banyak termenung.


Dia menyusun kembali borang-borang yang masih belum dilengkapkan itu ke dalam fail. Matanya terpandang pada lap top isterinya yang terletak di atas meja itu. Tangannya segera mencapai laptop tersebut. Dia pasti di situ ada sesuatu yang membuat perubahan pada wanita itu. Tangannya segera membuka laptop itu....kemudian dia terhenti seketika dan kemudian dia meletakkannya semula laptop berkenaan ke tempat asalnya.

Dia tak akan menganggu privasi isterinya seperti mana isterinya hormat akan privasinya.


-------

Saat mereka bersarapan di dapur, Mariam akhirnya membuka mulut. Dengan nada perlahan dan penuh berhati-hati, dia menceritakan segala-galanya.


Tentang blog yang dijumpainya tiga tahun lalu.


Tentang pemilik blog itu — seorang anak muda Indonesia bernama Dani Prasetyo.


Tentang gambar-gambar yang terpampang di blog itu — gambar satay, gambar gerai Mak Imah Satay… dan gambar pintu masuk Butik Marlyn Chic Boutique. 


Wajah Dr. Ridzuan berubah sebaik mendengar butiran itu, namun dia tidak menyela.


Mariam menyambung ceritanya. Tentang bagaimana dia menghubungi Dani, bertanya dengan penuh hati-hati tentang asal-usul pemuda itu. Katanya pemuda it tidak banyak bercerita. Namun satu perkara yang membuatkan jantung Mariam hampir terhenti — apabila Dani memberitahu bahawa ibunya bernama Dian, dan bos tempat ibunya bekerja sering memanggil wanita itu dengan gelaran mesra Lady D.


Air mata Mariam bergenang sewaktu dia menceritakan hal itu.  Nama itu… panggilan itu… bukan asing baginya.


"Lady D?  Itu panggilan Hisham untuk isterinya?" Tanya Dr.Ridzuan. 

Mariam mengangguk.

Lady D… hanya satu orang yang pernah digelar begitu — Lydia, sahabat yang disangkanya telah pergi buat selamanya, isteri kepada sepupunya, Hisham.


Kenangan lama menerpa kembali. Dia teringat betapa Hisham pernah melarangnya memanggil Lydia dengan panggilan itu.


"Itu nama sayang aku untuk dia… jangan kau guna sembarangan Mariam…" ujar Hisham sambil ketawa, namun nadanya jelas serius waktu itu.


Mariam mengusap dada, rasa sesak tak terucap.


"Bang… Yam rasa… Lydia dan anaknya… masih hidup…"


Dr. Ridzuan menggenggam tangan isterinya erat, cuba menenangkan debaran yang jelas terpancar di wajah wanita itu.


"Kalau benar… kita kena cari kebenaran tu, Sayang… jangan biarkan silaturrahim antara ayah dan anak terputus.....sedangkan kita mengetahuinya." Dr.Ridzuan memeluk bahu isterinya. Hatinya lega setelah mengetahui apa yang selama ini menghantui fikiran isterinya.


Dan di hati kecil Mariam… dia tahu… kebenaran itu sudah semakin hampir… cuma menunggu masa untuk terbongkar.

Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini