Bab 2 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

 Yang Hilang Bukan Cinta 


Sejak hari itu… Hisham bukan lagi dirinya yang biasa.


Peristiwa di kafe dua hari yang lalu— saat dia memanggil “Lady D” dan wanita itu berpaling dengan wajah pucat laku pergi meninggalkannya— terus menghantui fikirannya. Sejak itu, tidur malamnya tidak lena. Hatinya sentiasa gelisah. Dirinya bagai hilang arah.


Pagi itu, dia berdiri di teras rumah. Matanya merenung jauh ke halaman kecil yang basah disirami gerimis semalam. Namun fikirannya… jauh melayang entah ke mana.

“Hilang di laut?”

Begitu mudahnya kata itu keluar dari bibir Lydia, seolah-olah aku ini benar-benar tenggelam dan tak pernah ada. Apakah begitu lemahnya aku dalam ingatannya, hingga dia lebih percaya pada berita palsu daripada bertanya sendiri kepada hatinya?


Atau… barangkali itu bukan sekadar kata. Barangkali itu adalah pilihan.

Pilihan untuk mematikan aku dalam hidupnya, agar dia bisa terus melangkah tanpa bayangan masa lalu yang menyakitkan.


Mungkin… aku tidak pernah mati,

tapi dia yang membunuh aku — dalam ingatannya.

Melenyapkan namaku, memadam jejakku, dan memakamkan cinta kami di sudut hati yang tak lagi ingin disentuh.


Hisham menghela nafas panjang. Matanya memandang ke langit yang masih belum bersinar.


“Kalau aku benar-benar telah mati dalam hatinya, mengapa namanya masih hidup dalam setiap hela nafasku?”

Setiap kali dia memejam mata, wajah Lydia hadir — bukan sebagai kekasih, tetapi sebagai kehilangan yang tak mampu dia lupakan.


Cinta ini belum padam. Tapi mungkinkah ia masih layak diperjuangkan... untuk seseorang yang telah menamatkan cerita mereka sebelum sempat tiba di bab terakhir?


"Adakah Dani itu... Daniel, anak aku dan Lydia?" soalan itu berlegar-legar dalam fikirannya tanpa henti.


Nafasnya dihela panjang. Wajahnya sukar ditebak, namun ada riak gelisah yang jelas terpamer. Matanya sedikit sembap, mungkin tidak cukup tidur… atau terlalu banyak menangis.


Tangannya menggenggam kuat pada pagar besi. Dadanya terasa sesak.


"Ya Allah… kalau benar itu Daniel… anakku sendiri…"

Air mata mula bertakung di hujung mata. Dihapus cepat-cepat, tapi sebak di dada tak mahu pergi.


"Ya, dia memang Daniel. Aku tahu....usia Dani seusia Daniel.


Takdir benar-benar mempermainkan perasaannya.


Daniel… anak yang pernah dia tunggu. Anak yang pernah dia doakan setiap malam walau wajahnya tidak pernah jelas dalam ingatan. Anak yang dibawa pergi oleh seorang wanita yang dia sayang setengah mati — dan kini muncul kembali, tapi dalam keadaan yang begitu asing dan menyakitkan.


Dan kini… Daniel jatuh cinta. Bukan dengan sesiapa… tapi dengan Bella, puteri kesayangan Hisham. Gadis yang dia jaga, lindungi dan sayangi sepenuh hati sejak kecil.


"Takdir telah membuat kau jatuh cinta dengan Bella, Dani... Dan aku bahagia melihat kau sayangi dia, sebagaimana aku pernah menyayangi ibumu dahulu."


Namun kegembiraan itu kini menjadi luka baru. Luka yang terlalu dalam.


"Kalau Bella itu jodoh Daniel.....Ahhh....klu saat Bella nikah nanti....."


Dia terdiam lama.


"Bagaimana harus aku beritahu gadis itu… bahawa bila saat dia diakad nikah nanti, aku tak boleh menjadi walinya… kerana aku bukan ayah kandungnya."


Dada Hisham berombak menahan sebak. Air mata yang cuba ditahan, jatuh juga membasahi pipi.


Langit pagi yang mendung seperti mengerti perasaannya. Angin bertiup perlahan membawa harapan yang entah akan pergi... atau kembali.

----

Lamunannya terhenti tiba-tiba apabila Sofia muncul dalam keadaan cemas, separuh berlari ke arahnya di teras rumah. Di belakangnya, Ryann mengekor dengan wajah bingung.

“Sayang… sayang…” Sofia bersuara dengan nada panik. “Bella hilang!”

Hisham terus berdiri. “Hilang? Bila?”

“Tadi Sofie naik ke bilik dia… tak ada. Semalam dia tak balik pun.”

“Allahuakbar…” Hisham terkesima. “Anak tak balik semalaman… sayang tak sedar kah?”

Suaranya meninggi tanpa sedar. Wajahnya tegang, memandang isterinya yang kini sudah mula teresak-esak. Air mata Sofia jatuh tanpa henti, menggelengkan kepala dalam kebingungan.

Dia kemudiannya memandang ke arah Ryann. “Kemana Along pergi, Ryann?”

“Tak tahu, ayah… Selalu dia tak macam ni,” jawab Ryann perlahan. Suaranya parau, jelas menunjukkan dia sendiri gelisah dan tidak tenteram.

Ketika itu barulah Hisham tersedar — dia sudah meninggikan suara pada isterinya. Hatinya dicengkam rasa bersalah. Keselamatan anak-anak bukan hanya tanggungjawab seorang ibu. Dia juga punya peranan.

“Maafkan abang, sayang…” ucapnya perlahan sambil menarik bahu isterinya dalam pelukan. Dia bimbing Sofia ke ruang tamu lalu mendudukkannya dengan lembut. “Ryann, dah tanya kawan-kawan Bella? Dani?”

Ryann menggeleng.

“Pergi tanya mereka sekarang,” arah Hisham tegas.

“Ryann tak ada nombor telefon Dani,” jawab anak muda itu sambil tunduk, suaranya rendah dan penuh rasa bersalah.

“Cuba cari dalam bilik Along… atau mana-mana tempat yang mungkin,” ujar Hisham. Nada suaranya sudah cemas. Jantungnya berdegup laju. Kemana Bella pergi?

Dia bergegas semula ke teras, mengeluarkan telefon bimbit dari poket dan menatal senarai nombor. Jari-jemarinya terketar-ketar saat mencari nombor hotel tempat Lydia dan keluarganya menginap.

Telefon bersambung. Ada suara lelaki di hujung talian.

“Hello…”

“Boleh saya bercakap dengan Dani?”

“Bapak siapa?” soal lelaki itu.

Hisham terdiam seketika. Fikirannya berkecamuk. Namun dia akhirnya bersuara, cuba menenangkan gejolak hatinya.

“Saya mahu bercakap dengan Dani,” katanya, kali ini lebih tegas.

“Dani tidak ada. Dia ngak pulang semalaman. Kami mahu lapor ke polisi.”

Darah Hisham terasa berderau. Dia kenal suara itu. Pasti Andrian — suami Lydia.

“Bella juga tak balik rumah semalam… Dani bawa anak saya ke mana?”

“Bella juga ngak ada?” Andrian jelas terkejut. Suaranya kedengaran memberitahu seseorang yang berada di sisinya. Terdengar suara seorang wanita mula menangis.

“Tolong cari anak saya… tolong…” suara itu bergetar, seperti tersekat-sekat. Ia terus menembus telinga Hisham — dan menusuk ke dasar jiwanya. Suara Lydia.

“Anak kita, Lydia… Dani anak kita…” bisik Hisham perlahan. Hatinya seakan ditusuk rasa yang tak mampu digambarkan dengan kata. Matanya melirik ke ruang tamu — Ryann sedang memeluk Sofia yang masih menangis. Jarak antara mereka cukup jauh, perbualan telefon ini tidak mungkin didengar oleh sesiapa.

Kemudian suara Andrian kembali kedengaran.

“Kita cari mereka sama-sama.”

“Tunggu saya di lobi hotel. Saya akan ke sana sekarang,” ujar Hisham sebelum menamatkan panggilan.

Dia masuk semula ke ruang tamu, memandang isterinya yang masih teresak. Lalu dengan suara yang lebih tenang, dia berkata, “Abang keluar cari Bella. Ryann, jaga ibu ya…”

Tanpa menunggu lama, Hisham mencapai kunci kereta dan melangkah pantas keluar dari rumah. Dalam hatinya hanya satu — mencari anak yang hilang… dan menemukan kembali ketenangan yang telah lama direnggut waktu.

----
Dalam kenderaan yang dipandunya sendiri, jiwa Hisham semakin kacau dan berat. 

Kemana Bella?

Ke mana Bella dan Dani pergi? Soalan itu berputar ligat dalam kepala Hisham, menyesakkan dada, memerangkap fikirannya dalam kebimbangan yang tak bertepi. Sudah hampir setengah hari mereka hilang tanpa khabar. Tiada pesanan. Tiada satu pun jejak yang ditinggalkan.

Adakah mereka menginap di mana-mana hotel… berdua-duaan?

Dadanya berombak, sesak menahan kemungkinan yang cuba ditolak akal. Dia cuba mengusir bayangan buruk itu, tapi semakin ditepis, semakin kuat ia menyerbu masuk.

Kenapa, Bella… kenapa sanggup melakukan sesuatu yang tidak baik?

Air mata lelakinya jatuh jua akhirnya. Tangannya mencengkam kuat steering keretanya. Memandang ke hadapan dengan pandangan yg mulai kabur oleh air mata. Dia mencapai sehelai tisu dari kotak tisu di tepinya dan mengesat matanya.

Tidak, Bella tak mungkin begitu. Dia bukan anak yang mudah hanyut dengan godaan dunia. Aku sendiri yang membesarkannya… yang menemaninya dalam sujud malam dan mengajarnya tentang halal haram, tentang batas dan maruah, tentang harga diri sebagai seorang Muslimah.


Dan Dani… anak itu bukan budak sembarangan. Lydia pasti telah mendidiknya dengan baik. Aku tahu Lydia — seburuk mana sejarah antara kami, dia bukan ibu yang cuai. Dani dibesarkan dalam didikan agama, dengan kasih sayang, dengan nilai-nilai yang luhur.

Mustahil Dani akan mencemarkan nama baik keluarganya begitu sahaja. Mustahil dia akan merosakkan maruah Bella.

Namun, persoalan tetap menggantung.

Kalau bukan kerana perasaan… mengapa mereka pergi bersama?

Dan jika benar kerana cinta… mengapa mereka memilih jalan yang menyakitkan hati orang tua?

Hisham menekup mukanya. Kepalanya semakin sarat dengan sangka buruk yang cuba ditahan, namun resah tetap tidak mahu pergi.

"Ya Allah… jika anak-anakku tersasar, kembalikanlah mereka ke jalan-Mu. Jangan Kau uji mereka dengan sesuatu yang tidak mampu mereka tanggung… dan jangan Kau uji aku dengan fitnah yang bisa menghancurkan hati seorang ayah…"

Suaranya tenggelam dalam doa. Hatinya hanya mahukan satu — kepulangan Bella dalam keadaan selamat dan bermaruah.

Dan andai benar semuanya hanya salah faham… dia berjanji akan memeluk anaknya seerat mungkin dan tidak akan membiarkan prasangka menghancurkan kasih yang telah lama mereka bina.

------

Lobi hotel sunyi saat Hisham dan Andrian akhirnya bertentang mata. Tiada kata yang terucap pada awalnya — hanya pandangan yang saling meneliti, mencari jawapan di wajah masing-masing. Mereka bersalaman dan memperkenalkan diri, lalu terus melangkah ke arah kenderaan milik Hisham.

Sepanjang perjalanan, hanya kebisuan yang mengisi ruang. Hisham memandu dengan hati yang penuh resah. Berat. Dia sendiri tidak tahu bagaimana harus memulakan bicara.

“Kita nak cari mereka di mana?” soal Andrian akhirnya, memecah sepi.

“Saya pun tak tahu...” Hisham mengeluh. “Telefon Bella pun tak dapat dihubungi.”

Andrian cuba menelefon Dani. Berkali-kali. Namun seperti sebelumnya — tiada jawapan. Talian tidak aktif.

“Kita cuba cari di mana-mana hotel, mungkin mereka menginap sementara,” cadang Andrian.

Hisham menggeleng perlahan. “Tak mungkin Bella buat macam tu...”

Andrian mengangguk perlahan, memandang ke luar tingkap. “Dani pun... aku kenal anak aku. Dia takkan buat hal.”

“Dia anak aku...” suara Hisham kedengaran lirih. Sebaris ayat itu merubah riak wajah Andrian.

Andrian menoleh, menatap wajah Hisham. Dan saat itu, hatinya mengaku — memang wajah Dani saling tak tumpah dengan lelaki ini. Wajah tampan, kulit cerah, hidung mancung — malah gaya tenangnya juga. Patutlah... patutlah Dian pernah mencintai lelaki ini.

“Maaf,” Hisham bersuara, memecah lamunan Andrian. “Saya... saya terlalu lama tidak jumpa mereka.”

Andrian merenung Hisham lama. “Bukankah kamu dah mati?”

Hisham menarik nafas panjang. “Saya tak pernah mati, Andrian. Yang diberitahu mati dalam kemalangan tu... Lydia dan Daniel.”

Andrian terdiam. Nafasnya terhenti seketika.

Kemudian serentak mereka bertanya, “Siapa yang beritahu?”

Hisham tersenyum kelat. “Seorang lelaki yang mengaku namanya Bobby. Dia cakap Lydia dan Daniel terkorban dalam kemalangan jalan raya.”

Jantung Andrian berdegup kencang. Nafasnya menjadi berat. “Om Bobby?” gumamnya. “Bobby Sugara? Saudara angkat ayah Lydia? Orang kepercayaan Pak Harun?”

Kedua-duanya terdiam. Masing-masing tenggelam dalam dunia sendiri, larut dalam gelombang resah yang sukar dibendung. Suasana dalam kereta terasa sempit, seakan-akan dindingnya menyimpan gema persoalan yang tak terjawab.

Dua hati — masing-masing dilanda kemelut dan keresahan yang sama berat.
Apa lagi yang belum mereka tahu?
Rahsia siapa lagi yang bakal terbongkar?
Kebohongan siapa yang akan tersingkap selepas ini?

Tiada siapa mampu menjawab. Yang tinggal hanyalah diam... dan jantung yang berdegup lebih laju dari biasa.


Tiba-tiba, telefon bimbit Andrian berdering. Skrin kecil itu memaparkan nama “Dian” yang terpampang jelas.

“Maaf... isteri saya telefon,” ujarnya perlahan.

Hisham sekadar mengangguk, membiarkan Andrian menjawab panggilan. Suasana dalam kereta sunyi, hanya bunyi penghawa dingin yang berbisik perlahan menemani debaran di dada masing-masing.

“Hello, Ma...” suara Andrian kedengaran rendah, cuba tenang meskipun kerut di dahinya mula kelihatan. Dia membisu sejenak, mendengar penuh perhatian suara isterinya dari seberang talian.

Beberapa saat berlalu.

Akhirnya dia bersuara, lembut namun berat, “Baik... nanti saya sampaikan.”

Sebaik sahaja panggilan ditamatkan, Andrian meletakkan telefonnya di ribaan dan menghela nafas panjang. Keluhan berat yang terlepas dari bibirnya seperti membawa bersamanya seribu kekusutan yang belum terurai.


“Dian beritahu, Dani sudah kembali ke Jakarta malam tadi,” katanya.

Hisham tersentak. “Bella? Adakah dia ikut sama?”

Andrian menggeleng. “Dani balik sendiri. Tanpa Bella.”

"Kenapa Dani kembali ke Jakarta? Bella dimana?" Tanya Hisham cemas. Tubuhnya terasa lemah. Kemana Bella pergi?

“Dani... dia dah tahu kamu ayahnya. Dian kata... dia kecewa. Terlalu kecewa. Itu sebab dia pulang ke Jakarta."

"Bella juga tahu?" Tanya Hisham. Tangannya mencengkam steering dengan kuat.

Andrian menggelengkan kepalanya.
"Mungkin juga Tau sebab itu dia pun tidak kembali ke rumah malam tadi. Mungkin dia mau cari tempat untuk bersendirian." 


Hisham memperlahankan kenderaannya, kemudian memberhentikannya di tepi sebuah taman permainan yang sepi. Ayunan berayun perlahan ditiup angin petang, dan gelak tawa kanak-kanak yang biasanya mengisi ruang itu kini tidak kedengaran — hanya sunyi yang meneman.

Dia menarik nafas panjang, mencuba sebaik mungkin meredakan kekusutan yang membelit dadanya sejak pagi tadi.

“Bella... ke mana kau pergi, sayang?” keluh Hisham dalam nada lirih, nyaris berbisik. Matanya redup menatap taman yang kosong, seolah-olah mengharapkan wajah Bella akan muncul di situ, berlari ke arahnya sambil tersenyum manja seperti selalu.

Andrian menepuk lembut bahu Hisham. “Sabar ya, Hisham. Mari kita cari Bella... bersama-sama.” katanya.

Namun Hisham hanya menggeleng perlahan. “Jangan... isteri kamu perlukan kamu saat ini. Aku faham. Biarlah aku minta bantuan staf di pejabat untuk cari Bella. Aku hantar Pak Andrian balik ke hotel dulu.”

Andrian mengangguk. Dia tahu Hisham juga sedang menanggung luka yang tak terucap. Luka seorang ayah yang sedang kehilangan.

Beberapa minit kemudian, mereka meninggalkan taman itu. Sunyi menemani sepanjang perjalanan, namun diam mereka bukan kosong — ia penuh dengan seribu rasa yang berselirat di dada.

Dua lelaki — dua ayah — yang sama-sama sedang mencari seorang anak. Dua jiwa yang pernah terpisah oleh dusta, kini kembali bertemu di persimpangan luka dan harapan. Dan di antara mereka, ada seorang gadis... yang mungkin menjadi jawapan kepada semua rahsia yang belum terungkap.

Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini