Bab 2 - Di Bawah Lembayung Merah Jakarta

Yang Hilang Bukan Cinta 


Bandara Soekarno–Hatta, Jakarta, Indonesia


Pesawat mendarat dengan sedikit gegaran. Di luar tingkap, landasan kelihatan basah — Jakarta disambut gerimis senja. Lydia memeluk erat anak kecil di pangkuannya, tubuh kecil yang sejak tadi lena dalam dakapan. Nafasnya berat, tapi ditahan dengan sabar.


Pengumuman kedengaran perlahan dari pembesar suara pesawat: "Selamat datang di Bandara Internasional Soekarno-Hatta, Jakarta. Waktu setempat menunjukkan pukul lima lewat sepuluh petang. Harap tetap duduk dengan sabuk pengaman terpasang hingga lampu tanda sabuk dipadamkan. Terima kasih telah terbang bersama kami."


Lydia tunduk memandang anak kecil yang masih lena — Muhammad Daniel, usianya baru dua tahun. Kulitnya hangat, kepalanya terbenam di bahu ibunya.


“Daniel… kita dah sampai, sayang,” bisik Lydia perlahan.


Daniel menggeliat kecil, tapi tidak menangis. Lydia mengusap belakangnya dan memeluk lebih erat. Dia tahu, penerbangan ini terlalu panjang untuk tubuh kecil itu.


---


Ruang ketibaan sesak dengan manusia. Bau kopi, peluh, dan minyak wangi bercampur dalam udara berhawa dingin. Lydia melangkah perlahan sambil mendukung Daniel, beg sandangnya disangkut ke bahu. Dia tidak kisah tentang penat, tidak kisah tentang pandangan orang. Dia cuma ingin segera sampai ke tempat yang dijanjikan.


Dia datang kerana satu berita — neneknya sedang sakit tenat. Itulah alasan yang diberikan oleh ayahnya, Pak Harun, setelah 3 tahun mereka tidak bertemu. Panggilan dari Indonesia tempoh hari begitu mengejutkan, dan suara ayahnya… seperti merayu.


---


Di luar pintu kaca terminal, seorang lelaki bertubuh sederhana, berbaju batik dan berseluar hitam, memegang kertas bertulis:


> "LYDIA & MUHAMMAD DANIEL"


Lelaki itu nampak tersenyum sebaik Lydia menghampiri. “Selamat sore, Ibu Lydia,” ucapnya lembut. “Saya Hendra, utusan dari Pak Harun. Mobil sudah siap. Mari ikut saya.” kata pemandu itu sambil mengambil bagasi Dari tangan Lydia.


Lydia angguk perlahan. Dia tidak mampu berkata apa-apa selain menguatkan pelukannya pada Daniel yang sudah kembali tertidur di bahunya.

Jalan pulangnya telah bermula… tetapi ini bukan pulang yang dia rancang.


Lydia berjalan perlahan di belakang pemandu itu, langkahnya longlai namun teratur, mendukung erat Muhammad Daniel yang setia bersandar di bahunya. Mereka melangkah keluar dari pintu balai ketibaan, deretan manusia bersilih ganti melintasi mereka.


Setibanya di luar, pemandu itu berhenti, tepat di belakang seorang lelaki yang berdiri membelakangi mereka. Lelaki itu tinggi, berkulit putih bersih, tubuhnya tegap dalam balutan kemeja biru muda yang lengan bajunya dilipat kemas hingga ke paras siku.


"Pak Bobby..." sapa pemandu itu perlahan.


Lelaki itu segera memusingkan badannya. Pandangan matanya terhenti tepat pada wajah Lydia, lalu seulas senyum menghiasi bibirnya.


"Om Bobby!" Seru Lydia spontan. Dia terus mendekat dan mencium tangan lelaki itu, seperti kebiasaan yang diajar sejak kecil. Muhammad Daniel memeluk leher ibunya erat-erat, terkejut dengan situasi sekeliling yang asing baginya.


"Lydia... apa kabar? Kamu baik-baik saja?" tanya lelaki itu lembut sambil mengelus rambut Lydia dan Daniel silih berganti.


"Alhamdulillah, Om... Lydia baik-baik saja," jawab Lydia sambil mereka sama-sama duduk di bangku yang tersedia berhampiran pintu balai, menunggu pemandu mengambil kenderaan.


"Tadi ya... Lydia hampir tak mengenali Om Bobby," ujar Lydia berseloroh, cuba mencairkan suasana. "Soalnya, Om Bobby makin ganteng!"


Bobby tersenyum kecil, namun ada bayang kelelahan terpancar di wajahnya. "Ahh... biasa saja. Cuma Om sedikit kurus. Sibuk dengan pekerjaan... Lagian... Tante Sara sudah meninggal... dua bulan yang lalu."


Lydia terdiam sejenak. "Ohh... maaf, Om. Lydia tak tahu... Sakit kanker darah itu juga?"


Bobby mengangguk perlahan, wajahnya jelas berbalut kesedihan.


Lelaki itu, Bobby Sugara, bukan orang asing dalam hidup Lydia. Dialah orang kepercayaan Pak Harun — ayah Lydia — sejak Lydia masih kecil. Sejak dia belum mengerti apa-apa tentang politik keluarga, tentang permainan kuasa dan paksaan.


Hanya setelah Lydia dewasa, dia tahu kisah sebenar. Om Bobby, lelaki itu, sebenarnya pernah bercinta dengan Tante Jasmine — adik kandung ayahnya sendiri. Namun cinta mereka dipisahkan oleh kehendak keluarga. Bobby dipaksa menikah dengan Tante Maisara— anak sepupu ayahnya — kerana Tante Maisara tergila-gilakan Bobby, dan lebih memilukan, kerana Maisara mengidap leukemia sejak usia tujuh belas tahun.


Bobby Sugara... lelaki itu telah lama mengenepikan rasa cintanya pada Jasmine — adik kandung Pak Harun — demi memenuhi permintaan keluarga yang selama ini banyak berjasa padanya. Dia menjadi pemuda tampan yang sering menjadi perhatian. Kulitnya putih bersih, tubuhnya tinggi lampai, tutur katanya sentiasa sopan dan lembut — itulah yang membuatkan Maisara jatuh hati padanya.

Maisara, anak kepada Pak Andika, sepupu Pak Harun, telah lama menaruh hati pada Bobby. Sejak usianya tujuh belas tahun lagi, dia bukan sahaja tergila-gilakan Bobby, malah telah berperang dengan penyakit yang perlahan-lahan meragut kekuatannya — leukemia.

Pak Andika, yang selama ini menyedari keinginan dan kesakitan anaknya, akhirnya datang sendiri kepada Bobby. Suaranya tegas, namun ada nada merayu yang sukar ditolak oleh sesiapa pun.

"Maisara mungkin tak lama, Bobby..." kata Pak Andika dengan pandangan sayu. "Berilah dia kesempatan merasa bahagia... merasa dicintai... sebelum ajal menjemputnya."

Pak Harun yang berada di sisi, hanya mengangguk. Kata-kata Pak Andika masuk akal. Dia tahu Bobby mencintai Jasmine, adik kesayangannya. Namun, sebagai orang kepercayaan keluarga, sebagai lelaki yang telah banyak dibantu dan diangkat darjatnya oleh keluarga mereka, Bobby tahu... dia tiada pilihan.

Dengan hati yang berat, Bobby bersetuju. Dia mengorbankan cinta sejatinya kepada Jasmine... demi memenuhi permintaan orang-orang yang telah berjasa besar dalam hidupnya. Dan sejak hari itu, hidup Bobby berubah. Dia bukan lagi lelaki bebas memilih takdirnya sendiri, tetapi lelaki yang memikul tanggungjawab... atas nama budi, atas nama hutang... dan atas nama pengorbanan.

Ternyata, dugaan semua orang meleset. Maisara tidak pergi dalam waktu singkat seperti yang dijangka. Dia melawan sakitnya, bertahan... dan akhirnya, dia hidup selama dua puluh tahun selepas perkahwinan mereka.

Dua dekad. Begitu lama masa itu berlalu, dan dalam tempoh itu juga, Bobby menyimpan rapi rasa cintanya terhadap Jasmine, membiarkan perasaannya terkurung dalam ruang sepi yang tidak pernah diungkap. Dia menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami kepada Maisara, menjaga wanita itu dengan penuh sabar, penuh hormat, biarpun hatinya sering berdarah setiap kali memandang wajah Jasmine yang semakin menjauh.

Maisara akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya selepas dua puluh tahun usia perkahwinan mereka — setelah melalui jatuh bangun, rawatan yang silih berganti, dan harapan yang tidak pernah padam... sehinggalah takdir berkata, sudah tiba masanya.

Dan hari itu, barulah Bobby benar-benar merasa... dia akhirnya bebas, namun dalam kebebasan itu... tersimpan luka yang terlalu dalam, yang mungkin takkan pernah sembuh.


Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini