Bab 2 - Bintang Yang Ku Gapai

 Langit masih gelap pekat ketika Tamara menjejakkan kakinya di stesen bas bandar Ipoh. Udara subuh yang dingin menyusup ke tulang, membuatkan dia memeluk tubuh sendiri sambil duduk di bangku kayu yang basah oleh embun malam. Suasana lengang. Beberapa lampu jalan masih menyala suram, memantulkan bayang-bayang panjang ke tanah.


Tamara melarikan diri dari rumahnya di Kampung Sri Menanti itu tengah malam tadi — dengan sehelai baju kurung, beg sandang lusuh, dan sedikit wang yang sempat dicuri dari laci meja ayahnya. Dia tidak tahu ke mana harus dituju. Yang dia tahu, dia mesti pergi… pergi sejauh mungkin dari rumah yang tak lagi dirasakannya sebagai tempat berlindung.


Dia menggigil. Bukan sahaja kerana sejuk, tetapi juga kerana takut. Hatinya berperang antara menyesal dan lega. Dia pejam mata rapat-rapat, mengharap waktu segera bergerak supaya hari cepat cerah.


“Assalamualaikum, dik…” satu suara tua menyapa dari sisi.


Tamara terkejut. Dia angkat muka perlahan. Seorang lelaki berkopiah putih berdiri dengan senyuman, ditemani sebuah bakul besar di tangan berisikan sayur-sayuran segar dan beberapa biji lemon.


“Dik buat apa duduk sini sorang-sorang waktu macam ni?”


Tamara diam. Bibirnya bergetar hendak menjawab, tapi kata-kata seakan mati di kerongkong.


Lelaki yang sebaya dengan ayahnya itu memerhati wajah pucat Tamara. Nalurinya sebagai seorang bapa menebak sesuatu yang tidak kena.


“Maaf, pakcik tanya sebab pakcik risau. Waktu macam ni bahaya duduk sorang-sorang. Anak pakcik perempuan juga. Kalau belum ada keluarga datang jemput Adik, mari ikut pakcik ke gerai. Pakcik buka warung dekat hujung jalan sana. Boleh duduk dulu sementara tunggu hari siang.”


Tamara masih ragu-ragu, namun tubuhnya terlalu lemah untuk menolak. Dia angguk perlahan.


“Terima kasih, pakcik.”

" Nama Pakcik Osman. Panggil Pak Osman saja."

Tamara mengangguk dan perlahan-lahan mengikuti langkah Pak Osman dari belakang.

Gerai Pak Osman tidak jauh dari stesen — hanya sepelaung saja. Ketika mereka sampai, isterinya, Mak Zainab, sedang menyusun bahan-bahan masakan. Seorang gadis sebaya Tamara yang dikenali sebagai Linda sedang menghidupkan dapur gas.


“Siapa ni, bang?” soal Mak Zainab, sedikit terkejut melihat suaminya datang bersama seorang gadis muda.


“Jumpa di stesen tu tadi. Nampak macam tak tentu arah. Kesian....lagi pun bahaya duduk seorang-seorang di tempat sunyi macam tu. Abang ajak duduk sini dulu sementara hari cerah.”


Mak Zainab memandang Tamara. Wajahnya yang tegas berubah lembut melihat keadaan gadis itu.


“Dik, lapar? Kami tengah siapkan sarapan untuk jualan. Duduk dulu, ya. Nanti makan sama-sama.”


Tamara duduk perlahan, matanya berkaca.


Ketika nasi lemak dan teh panas dihidangkan, Tamara makan perlahan-lahan, namun wajahnya tetap tunduk. Linda duduk di sebelah, memandangnya dengan senyum mesra.


“Nama awak siapa?”


“Tamara…”


“Tamara ada tempat nak tuju lepas ni?”


Tamara menggeleng.


Mak Zainab menghidang secawan teh panas di hadapan Tamara yang duduk diam di bangku panjang gerai mereka. Cahaya pagi mula menembusi dinding kayu, mencipta bayang-bayang lembut di ruang kecil itu.

"Nasi lemak dan Mee goreng belum siap lagi" kata Mak Zainab.

"Sekejap lagi Mak " terdengar satu suara Dari dapur gerai itu.

Mak Zainab duduk di sebelah Tamara, memandangnya dengan wajah keibuan.


“Adik nak ke mana lepas ni?” soalnya perlahan, penuh prihatin.


Tamara tunduk sejenak sebelum menjawab hampir berbisik, “Nak ke KL.”


Mak Zainab mengerut dahi sedikit. “Nak ke rumah keluarga kah?”


Tamara menggeleng perlahan.


Mak Zainab menambah lagi soalan dengan nada yang lembut. “Ada kawan di sana?”


Tamara hanya menggeleng lagi.


Mak Zainab memandang wajah muda itu lama-lama, kemudian menghela nafas. “Nak cari kerja, ya?”


Tamara mengangguk perlahan.


Dari sisi, Pak Osman yang sedang menyusun sayur-mayur di rak kecil turut mendengar perbualan mereka.


“Adik biasa di KL kah?” soalnya, suaranya tenang tapi penuh kebimbangan.


Tamara menggeleng lagi. Kali ini, gerak tubuhnya agak lambat, seolah-olah hatinya semakin berat.


Pak Osman menghampiri mereka, lalu berdiri bertolak pinggang. “Bahaya tu, dik. Tak ada keluarga, tak ada kawan di kota besar macam KL tu bukan sesuatu yang mudah. Apa lagi adik masih muda… tak tahu selok-belok tempat tu.”


Tamara diam, hujung matanya mula berkaca. Dia tunduk lebih rendah, menyorokkan keresahan yang semakin membuak dalam dada.


Tiba-tiba, muncul seorang gadis dari arah dapur — ber-T-shirt longgar dan berseluar track, rambut disanggul tinggi dan wajahnya bersih tanpa secalit solekan. Gayanya sedikit lasak, dengan cara berjalan yang tegap dan yakin. Di tangannya sedulang mee goreng yang masih panas, berasap.


“Adik lari dari rumah kah?” soal gadis itu tiba-tiba, sambil meletakkan dulang makanan ke dalam almari kaca dengan cermat.


Tamara tersentak kecil, namun hanya menggeleng perlahan.


Gadis itu — Linda, anak Pak Osman dan Mak Zainab — berpaling memandangnya. Wajahnya tidak marah, tapi juga tidak terlalu lembut. Hanya mata yang tajam, seolah-olah cuba membaca kebenaran yang disorok Tamara.


“Kalau ya pun, tak apa… tapi kalau nak mula hidup baru, kena jujur dulu. Biar orang senang tolong,” katanya sebelum berpaling semula ke dapur.


Tamara menggenggam jari-jemarinya sendiri, menunduk tanpa suara. Kata-kata Linda tadi menikam diam-diam. Jujur... Ya, mungkin itu yang dia belum cukup ada. Tapi bagaimana mahu jujur bila kisah hidupnya sendiri pun dia belum pasti mampu ceritakan tanpa air mata?


Mak Zainab meletakkan tangannya di atas tangan Tamara, menepuk perlahan. “Adik... kami bukan nak paksa adik cerita semua. Tapi kalau tak ada tempat nak pergi, kenapa tak tinggal sini dulu? Boleh tolong makcik di dapur. Linda pun kadang pening kepala urus dua tiga benda sekaligus.”


Linda yang sedang menyusun pinggan di rak mengangkat kening sambil tersengih kecil. “Ha’ah… sejak Kak Mira berhenti, saya buat kerja macam sotong. Ada assistant baru kira bonus lah.”


Tamara mengangkat kepalanya, matanya mencari wajah Mak Zainab. “Tapi… saya tak tahu masak sangat. Saya cuma… tolong-tolong sikit makcik dulu…”


Mak Zainab tersenyum sabar. “Tak apa, dik. Kita ajar perlahan-lahan. Yang penting niat. Biar ikhlas.”


Pak Osman pula menambah, suaranya tegas tapi bersahaja, “Kalau adik rajin, InsyaAllah boleh jadi rezeki. Tempat tinggal kami tak luas, tapi cukuplah kalau sekadar alas tidur dan bumbung atas kepala.”


Tamara menahan nafasnya yang tersekat-sekat. Perasaannya bercampur baur — antara lega dan sebak. Sudah lama tiada suara orang tua yang bercakap kepadanya begini, dengan lembut dan tanpa syarat.


“Terima kasih… pakcik, makcik… saya… saya tak tahu nak cakap apa…” katanya, suaranya menggeletar sedikit.


Mak Zainab tersenyum, lalu menepuk tangan Tamara dengan mesra. “Kalau betul adik sudi, malam ni boleh mula tidur sini. Esok kita ajar cara buat roti jala. Hari Sabtu biasanya ramai pelanggan.”


Linda tergelak kecil. “Dan kalau adik lulus ujian dapur mak, boleh rasmi jadi pembantu tetap gerai ni.”


Tamara mengangguk. Dalam hati, dia tahu — ini mungkin bukan kehidupan mewah yang dia impikan, tapi untuk pertama kali dalam hidupnya sejak ibunya pergi, dia rasa seperti dipilih… bukan ditolak.


Dan di situlah permulaan baru buat Tamara — di sebuah gerai kecil milik pasangan suami isteri berhati besar, yang mempercayai seorang gadis asing lebih daripada apa yang dia percaya pada dirinya sendiri.






♥️♥️🙏♥️

Pak Osman dan Mak Zainab saling berpandangan. Tiada kata perlu dilafazkan. Cukup dengan pandangan mata.


“Kalau Tamara tak keberatan,” ujar Mak Jah perlahan, “tinggal sajalah di sini buat sementara. Tolong makcik dan Linda urus gerai ni. Tak banyak, tapi cukup buat awak lepas makan dan tidur selesa. Boleh?”


Tamara menekup mulutnya. Dia tidak sangka, di tengah kesunyian dan ketakutannya, Allah kirimkan keluarga ini untuk membantunya.


“Terima kasih… makcik… pakcik… Saya janji saya akan kerja elok-elok.”


Mak Zainab mengusap bahu Tamara perlahan. “Kami pun bukan orang senang, Tamara. Tapi kalau kita boleh jadi jalan rezeki untuk orang lain, itu pun dah cukup bahagia.”


Dan pagi itu, di celah harumnya nasi lemak dan suara azan Subuh yang berkumandang dari surau berhampiran, Tamara tahu — ini mungkin bukan rumah yang dia lahir dan dibesarkan, tapi inilah rumah pertama yang buat dia rasa selamat.


“Nasi lemak dan mee goreng dah siap!” seru Linda sambil melangkah keluar dari dapur, kedua-dua tangannya memegang dulang berisi mee goreng yang masih berasap. Wajahnya sedikit kemerahan, mungkin kerana bahang dapur atau semangatnya yang sentiasa membara bila di dapur kecil itu.

Dengan cermat, dia meletakkan dulang mee goreng itu ke dalam almari kaca di hujung gerai. Kemudian dia berpatah balik masuk ke dapur, dan tak lama kemudian muncul semula dengan dulang kecil berisi ikan bilis goreng rangup dan semangkuk sambal yang berkilat merah, beraroma wangi hingga membuat perut Tamara terasa berbunyi.

Linda tersenyum sambil memandang Tamara. “Dik... nak nasi lemak ke, mee goreng?”

Tamara mengangkat wajah dan menjawab perlahan, “Apa-apa pun boleh, kak...”

Linda mengangguk. “Okey, kalau macam tu… kita mulakan dengan nasi lemak dulu.”

Dia mengambil dua pinggan, menyenduk nasi lemak panas-panas ke dalamnya, kemudian membawa pinggan-pinggan itu ke meja dan duduk di hadapan Tamara.

“Kita makan nasi lemak dulu ya,” katanya, sambil mencapai sudu dari bekas plastik yang terletak di atas meja.

“Adik mesti cuba dulu nasi lemak ni…” sambungnya sambil mencebik bangga. “Kakak buat special hari-hari,” katanya lagi, diiringi ketawa kecil yang riang dan mesra.

Tamara tersenyum buat kali pertama pagi itu. Suasana gerai yang sederhana itu terasa seperti dunia baru yang tidak asing lagi — dan nasi lemak panas di hadapan mereka, terasa seperti pelukan hangat yang dia rindu sejak lama.



Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini