Bab 27 - Di Bawah Lembayung Merah Jakarta

 Yang Hilang Bukan Cinta 


Angin musim panas meniup lembut di sepanjang pesisir pantai Coney Island. Matahari hampir tenggelam, mewarnai langit dengan semburat jingga dan ungu yang memantul di permukaan laut. Ombak kecil membelai pantai, menyapa kaki Andrian yang menyusur pasir tanpa arah.


Langkahnya perlahan, berat... seberat hati yang tidak lagi tahu ke mana harus berpaut. Sesekali dia berhenti, duduk di atas batu besar yang berlumut, memerhati lautan luas seakan mencari jawapan pada gelombang yang tak pernah jemu berlari ke darat.


Tangannya mencapai batu kecil, dilempar jauh ke tengah air. Plup. Tenggelam bersama kesalnya. Dia ambil lagi... dan lontar lagi. Setiap lontaran seolah mahu membuang serpihan kenangan yang masih melekat.


"Kenapa, Sophie?" bisiknya dalam hati. "Kenapa semudah itu kau melupakan aku?"


Mereka pernah berjanji. Janji yang mereka ikrarkan dalam linangan air mata dan degupan jujur. Janji untuk sehidup semati. Janji untuk menjaga maruah, saling menghormati, saling menyayangi.


Namun mereka juga manusia biasa… dan satu kesilapan terjadi. Andrian menyesal. Dia tidak menyangka mereka akan terjerumus sejauh itu, walau mereka pernah bersumpah menjaga segalanya.


Andrian memejamkan mata. Wajah Sophie muncul. Lembut, manja... lalu perlahan-lahan diganti wajah lelaki lain — lelaki yang kini menjadi suaminya. Dan anak kecil itu... betapa comel dan bahagianya mereka.


"Bagaimana dengan aku?" bisik hatinya makin deras.


"Aku kau tinggalkan, Sophie… Kau mungkir janji… Kau lupa cinta suci kita. Kau lupa impian kita mahu membina rumah tangga, mahu punya anak-anak comel, mahu bersama menua di bawah langit yang sama..."


"Tapi kau tinggalkan aku... Kau buang aku... Kau bina hidup dengan lelaki lain. Kau ada anak dengan lelaki lain... Dan aku? Aku?"


Tangannya menggenggam batu tajam. Nafasnya menderu.


"KAU KHIANATI AKU, SOPHIE!!!"


Jeritannya memecah senja. Menyelinap ke angin, bergema di dada langit, lalu tenggelam bersama ombak yang menghempas pantai.


Andrian terduduk. Bahunya terguncang. Matahari lenyap di ufuk barat, dan dia tahu — malam ini, dia harus membuat keputusan. Sudah tiba masa untuk pulang. Pulang ke Indonesia. Meninggalkan segala luka, dan memulakan hidup yang baru... tanpa Sophie.

Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini