Hari itu, gerai ditutup lebih awal dari biasa. Jam baru menunjukkan pukul tiga petang ketika Linda mula mengemas barang-barang dapur ke dalam bekas simpanan. Pelanggan terakhir sudah pun berlalu, dan suasana sekitar menjadi sedikit lengang, seperti memberi ruang untuk semua menarik nafas lega selepas penat seharian berniaga.
Pak Osman menyandang beg silang kecil, manakala Mak Jah—atau lebih dikenali sebagai Mak Zainab di kalangan jiran tetangga—mengenakan tudung labuh berwarna kelabu. Mereka berdua akan melawat jiran sebelah rumah mereka yang sedang dirawat di hospital kerana kanser payudara.
"Tamara, hari ni kita balik awal sikit ya," kata Linda sambil tersenyum. "Mak dan ayah nak ziarah Mak Timah kat hospital. Dah dua hari masuk wad, katanya makin lemah."
Tamara terhenti seketika. Dadanya terasa bergetar. Berita tentang penyakit itu seperti membuka semula luka lama. Arwah ibunya pun pernah menderita dalam diam — barah payudara yang hanya diketahui setelah terlalu lewat.
Tamara hanya mengangguk, bibirnya menguntum senyum kelat, namun matanya mula berkaca.
----
Rumah flat empat tingkat itu terletak hanya lima minit berjalan kaki dari gerai mereka. Bangunan lama, tapi masih kukuh dan terjaga. Taman di bawah flat kelihatan bersih, dengan pokok bunga raya dan pokok puding yang menghiasi laluan masuk. Beberapa anak kecil berlari-lari di kawasan lapang, suara mereka menggema ceria.
Pak Osman tinggal di tingkat dua. Tangga konkrit agak curam, tapi dicuci bersih, tidak seperti kebanyakan flat lain yang sering dihiasi sampah atau bau yang menyesakkan.
Sampai sahaja di muka pintu, Linda mengeluarkan kunci dan memulas tombol. Daun pintu dibuka perlahan, menyambut Tamara ke ruang yang asing tapi terasa tenang.
Tamara melangkah masuk dengan perlahan, seolah-olah bimbang akan mengganggu keharmonian rumah itu. Sebaik sahaja melangkah ke ruang tamu, hatinya diserbu rasa syukur yang tak terucap.
Rumah itu tidak besar, namun cukup selesa. Ada tiga bilik tidur, satu bilik air, ruang tamu dan dapur yang bersambung dengan ruang makan kecil. Sofa kayu berkusyen biru dan kuning tersusun kemas di ruang tamu, bersama rak buku sederhana dan televisyen kecil di sudutnya. Di dinding tergantung bingkai doa harian, gambar keluarga dan kaligrafi ayat Kursi yang sedikit pudar.
Dapur di bahagian belakang sempit tapi teratur. Pinggan mangkuk tersusun rapi, kain pengelap digantung di sisi kabinet, dan set meja makan kecil untuk empat orang diletakkan berhampiran tingkap. Cahaya petang yang menyinar masuk melalui tingkap itu menambah rasa damai pada keseluruhan suasana.
Tamara berdiri di tengah-tengah ruang, memerhati sekeliling dengan senyuman halus di bibir. Dalam diam, dia bernafas lega. Rumah ini bukan rumah mewah. Tapi tidak seperti rumah besar yang dia tinggalkan — rumah ini tidak menyesakkan dada, tidak membuat dia takut untuk bercakap, atau bersuara.
Ini rumah yang terasa hidup.
“Selesa tak?” tanya Linda sambil membuka pintu bilik kecil yang bakal jadi tempat tidur Tamara. “Bilik ni bilik kakak dulu, sebelum kakak pindah ke bilik belakang.”
Tamara hanya mampu mengangguk. Air matanya hampir gugur. Tapi kali ini, bukan kerana sedih. Tapi kerana syukur.
Dia berdiri sebentar di ruang tamu, memeluk beg kecilnya erat. Dalam hati, dia berbisik perlahan:
“Mak... tempat ini tak sebesar rumah kita dulu, tapi di sinilah Tamara rasa seolah-olah Tamara pulang ke rumah... untuk pertama kali sejak mak pergi.”
----
Malam itu, dapur kecil rumah flat Pak Osman dipenuhi aroma nasi goreng ayam ala Cina. Linda sibuk di dapur sejak Maghrib, mengacau kuali dengan penuh gaya seperti chef profesional. Tamara hanya memerhati dari meja makan, kagum melihat kepantasan tangan Linda memotong ayam, menumis bawang dan menyusun bahan seperti di rancangan masakan.
Beberapa minit kemudian, Linda muncul dari dapur dengan sepinggan besar nasi goreng yang disusun cantik seperti di restoran. Ayamnya dipotong dadu, ditabur daun bawang, dan diletakkan hirisan timun serta cili merah sebagai hiasan.
“Fuh… tengok ni,” kata Linda sambil meletakkan dulang itu di tengah meja, diikuti dua gelas jus limau kasturi dalam gelas berkaki, lengkap dengan straw berwarna-warni.
Tamara tergelak kecil. “Macam di restoranlah, Kak...”
Linda menyeringai bangga. “Kakak memang suka hidang macam ni… ala-ala restoran sikit. Dulu kakak ambil diploma kulinari kat UiTM. Lepas grad, ada dapat tawaran kerja kat hotel... tapi jauh — kat Kelantan.”
“Wah, patutlah semua masakan kakak sedap-sedap belaka. Rupa-rupanya kakak ni chef, ya!”
Linda ketawa besar, sampai tubuhnya sedikit terhentak ke belakang. Wajahnya memerah, entah kerana ketawa atau kerana malu dipuji. “Eh, janganlah puji lebih-lebih. Nanti nasi goreng ni terus rasa tawar!”
Tamara tersenyum senang melihat wajah Linda yang polos — kulitnya bersih tanpa secalit solekan, alisnya lebat dan teratur, mengingatkan pada pelakon barat, Lily Collins. Rambut pendeknya menyentuh tengkuk, dan tubuhnya sedikit gempal, namun gerak-geri dan ketawanya memancarkan keyakinan dan kehangatan.
“Sebenarnya masa tu, Kak Mira yang dulu kerja kat gerai kami, dia kahwin dan pindah ikut suami ke Melaka. Kasihan mak dan abah, tak cukup tangan urus semua benda. Kakak pun baliklah KL, ambil alih kerja tu,” cerita Linda sambil menyuap sesuap nasi goreng ke mulutnya.
“Besar pengorbanan kakak…” ujar Tamara perlahan.
“Biasa aje, Ara. Kalau bukan kita, siapa lagi nak tolong keluarga, kan?”
Tamara mengangguk, kemudian Linda bertanya dengan nada lebih perlahan dan lembut.
“Ara... awak dah habis sekolah?”
“Belum Kak....tahun ni Ara SPM”
“Mak ayah Ara masih ada?”
Tamara tunduk, nadanya mula perlahan. “Mak dah meninggal. Ayah kahwin lain.”
Suasana menjadi senyap seketika. Hanya bunyi kipas berdengung perlahan di dapur.
“Kenapa Ara nak ke KL? Nak cari kerja ke sana? Kan Ara masih lagi belajar"
Tamara menggeleng perlahan. Dia menunduk lagi, cuba menahan gelora dalam dada.
Linda memandang Tamara sambil mengunyah perlahan. Kemudian dia letakkan sudu, bersandar pada kerusi. “Ara lari ke…?”
Tamara angguk perlahan. “Ara lari, Kak… lari dari rumah.”
“Ahhh?” Linda hampir terbatuk. “Kenapa?”
Dia menoleh sepenuhnya ke arah Tamara. “Ini mesti kes ‘Mak Tiri Cinderella’, kan?”
Tamara tergelak kecil — tawa yang pendek, namun kedengaran penuh makna. Tapi mata gadis itu mula berkaca. Kenangan demi kenangan datang bertalu-talu, seperti ombak yang tak henti menghentam pantai hati.
Linda mencapai tisu dari atas meja dan hulurkan kepada Tamara tanpa banyak bicara.
“Kalau nak cerita, Ara cerita. Kalau tak, duduk sini pun dah cukup. Jangan risau, rumah ni selamat untuk orang yang luka.”
Dan malam itu, dua jiwa yang berbeza latar, duduk bersama di meja dapur kecil sebuah flat lama — satu dengan cerita luka, satu lagi dengan dada terbuka menadah cerita itu. Antara aroma nasi goreng dan jus limau kasturi, satu ikatan baru pun bermula.
----
Selesai makan, Linda dan Tamara duduk berehat di beranda rumah. Flat kediaman Pak Osman menghadap terus ke jalan raya utama. Suara deruan kenderaan berselang-seli dengan bunyi hon kereta dan lori, berbaur pula dengan gelak tawa kanak-kanak yang riang bermain di bawah.
Mereka duduk di atas kerusi rotan yang dialas kusyen empuk — dibawa khas dari sofa ruang tamu. Angin malam menyapa lembut wajah mereka, membawa sekali haruman bunga melur dari pasu di penjuru beranda.
“Kalau Ara tak ada, kakak dah lama masuk tidur waktu begini,” kata Linda, tersenyum sambil menyilangkan kakinya.
“Eh... esok kita nak bangun awal, kan?” Tamara bersuara. “Biasanya gerai buka pukul berapa?”
Linda tergelak kecil. “Aduh, kakak lupa nak bagitahu… esok gerai tutup. Itu sebab Mak dengan Abah balik lambat tadi. Abah nak ambil ikan dari rumah Pak Ngah untuk stok gerai.”
“Pak Ngah tu peraih ikan, kan?”
“Ya, dia tinggal agak jauh juga dari sini,” jelas Linda. “Jadi... malam ni bolehlah kita sembang-sembang lama sikit.”
Tamara menghirup teh panas dari mug yang disediakan Linda. Wapnya menyentuh wajah, membawa sedikit rasa tenang.
“Kakak nak juga dengar cerita pasal mak tiri Cinderella tu,” usik Linda sambil mengangkat kening.
“Panjang ceritanya, Kak…” jawab Tamara sambil tersenyum tawar.
“Pendekkanlah. Kalau panjang sangat nanti Cinderella tak sempat balik rumah. Mak tiri mesti bising,” seloroh Linda.
Kedua-duanya ketawa kecil, namun tawa itu perlahan-lahan tenggelam dalam keheningan malam.
Akhirnya, Tamara membuka mulut. Dia menceritakan segalanya — tentang sebab sebenar dia lari dari rumah, tentang luka yang dipendam bertahun lamanya, dan tentang betapa sunyinya hidup tanpa kasih sebenar seorang ibu.
Comments
Post a Comment