Bab 3 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

 Yang Hilang Bukan Cinta 


Hisham memperlahankan kenderaannya, membelok ke jalan kecil yang menghala ke pantai — tempat di mana semalam dia duduk lama di atas batu besar, mencari damai dalam derita yang tidak berkesudahan. Tapi kali ini, dia tidak keluar dari kereta. Enjin masih hidup, pendingin hawa masih menyala, tetapi tubuhnya seakan lumpuh — fikiran buntu, tak tahu ke mana harus pergi mencari Bella.


Dia menyandarkan tubuh ke kerusi, merenung kosong ke arah ombak yang beralun perlahan di kejauhan. Angin laut bertiup lembut, namun dada Hisham terasa sesak.


Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Nama Andrian tertera di skrin. Hisham segera mencapainya — jantungnya berdegup kencang. Mungkinkah Bella ada di kamar hotel mereka?


“Hello...” jawab Hisham, suara bergetar menahan resah.


Tapi bukan suara Andrian yang menyapa, sebaliknya suara yang jauh lebih dikenal... dan dirindui.


“Hisham...” suara itu lembut, perlahan, menyebut namanya dengan penuh sayu.


Hisham memejamkan matanya rapat. Suara itu — suara yang pernah mengisi setiap hela nafasnya satu ketika dahulu. Suara yang kini hadir semula, menggoncang seluruh jiwanya.


“Lydia...” bisiknya lirih, nyaris tak kedengaran.


Kedengaran esakan halus di hujung talian, sebelum suara itu kembali bersuara.


“Dani telefon aku tadi... katanya dia sudah tahu siapa kamu. Dia dengar aku cerita pada Andrian... waktu dia naik ke kamarnya untuk ambil hadiah buat Bella. Katanya... Bella juga sudah tahu...”


Tangisan Lydia kini jelas kedengaran, pecah menembusi sunyi petang di dalam kereta.


Hisham menunduk. “Allahu Akbar...” lirihnya, seakan tercekik oleh pilu yang menyesak di dada.


“Dani bilang ke aku... ‘Ibu jangan susah hati. Aku sudah bilang sama Bella supaya jangan buat hal yang bukan-bukan. Fikirkan ibu kita... dan fikirkan tentang ayah kita yang sama...’”


Tubuh Hisham menggigil. Mata yang tertutup itu berkaca. Dada yang berombak menahan sebak tak mampu lagi menyembunyikan apa yang dia rasa.


Ayah kita yang sama.

Dani... panggil aku ayah.


Bagai disiat perlahan, kata-kata itu menembusi ke jantung hatinya.

Antara derita, kekesalan, dan cinta yang tak pernah padam — Hisham akhirnya sedar, semuanya sedang kembali kepadanya... satu demi satu. Dan dia harus bersedia — bukan untuk menghadapi Lydia, mahupun Andrian — tapi untuk menjadi seorang ayah yang pernah hilang dari hidup anaknya.

"Hisham....." Suara Dian di hujung talian kedengaran perlahan namun tenang. "Mungkin Bella ingin mencari ketenangan, ingin ruang untuk dia berfikir. Bukan mudah untuk menerima kenyataan yang dia dan Dani bersaudara," ucap Dian, suaranya seakan menahan sebak.


Hisham menarik nafas panjang, matanya merenung jauh ke ufuk laut.

“Tapi aku harus tahu di mana dia sekarang, Lydia. Aku takut dia dalam bahaya. Aku takut dia tidak dapat berfikir secara waras.”


Hening sebentar. Kedengaran deru nafas Dian di hujung talian.

"Ya... aku faham kerisauanmu, Hisham. Mari kita cari Bella sama-sama. Aku juga bertanggungjawab ke atas semua ini," balasnya dengan penuh rasa kesal.


“Bawalah suami kamu bersama. Kita ke rumah aku dan kita bawa isteri aku bersama.”

Hisham cuba menstabilkan nada suaranya yang penuh harapan.

“Kamu belum berkenalan lagi dengan isteri aku, kan?”


"Baiklah..." sahut Dian perlahan.


“Kamu tunggu di lobi… sebentar aku sampai.” Suara Hisham tegas, sebelum talian dimatikan.


Telefon itu kembali senyap. Hisham memandang ke arah laut yang kelihatan tenang  dengan ombak yang berkejar perlahan ke arah pantai. Dia menyandarkan tubuhnya di kerusi dan mengeluh berat.

Kemudian dia menghubungi isterinya dan memberitahu Sofia bahawa ayah Dan ibu Dani akan datang ke rumah dan mereka juga akan bersama-sama mencari dimana Bella.

Dia berpaling lagi melihat ke arah laut buat kali terakhir. Ombak tetap datang dan pergi — sama seperti insan-insan yang pernah hadir dalam hidupnya.

Dan kini, dia harus mengejar satu lagi ombak yang semakin menjauh — Bella.



Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini