Bab 3 - Di Bawah Lembayung Merah Jakarta
Yang Hilang Bukan Cinta
Dalam kereta yang sejuk dengan pendingin udara, Lydia memeluk erat Daniel yang kini sudah kembali tidur di pangkuannya. Cahaya senja di luar jendela makin malap, bersulam lampu neon dari bangunan dan iklan jalanan yang bersinar terang.
Fikirannya melayang — jauh ke tanah air yang baru sahaja ditinggalkannya. Wajah Hisham terbayang di mata. Lelaki itu sedang terbaring di katil hospital… lemah, tidak bermaya. Pandangan matanya yang suram sebelum mereka berpisah kini menghantui benaknya.
Cepat-cepat Lydia mencapai telefon bimbit dari dalam beg sandangnya. Tangannya sedikit menggigil saat menekan nombor suaminya.
Tiada sambungan.
Dia mencuba lagi… dan lagi. Masih tiada jawapan.
Dia cuba nombor Mariam — tiada nada dering. Ibu mertuanya juga tidak dapat dihubungi.
Lydia mengeluh panjang, lalu mengusap kepala Daniel yang lena dengan nafas kecilnya.
“Ayah akan baik-baik saja… insya-Allah,” bisiknya, lebih kepada dirinya sendiri.
---
Kereta terus meluncur di jalan raya Jakarta yang kini sesak dengan kereta dan pejalan kaki. Di kiri dan kanan, Lydia melihat bangunan-bangunan baru — mall besar, hotel tinggi, restoran mewah yang tidak pernah ada sewaktu dia meninggalkan negara ini dahulu.
"Jakarta sudah sangat berubah…" hatinya berbisik.
Namun, nalurinya mula tidak tenang. Jalan yang dilalui terasa asing. Dia tidak nampak tanda-tanda kawasan perumahan yang pernah dia lalui untuk ke rumahnya dulu.
Lydia menoleh ke hadapan. “Om Bobby….. kita ikut jalan mana ya, Om?” Tanya Lydia.
Bobby menoleh ke belakang “Kita ke rumah bapak.....jalan ini lebih aman. Ngak macet" semuanya.”
Matanya kembali tertumpu ke luar jendela. Hatinya resah. Sesuatu terasa tidak kena, tapi dia masih belum tahu apa sebenarnya yang sedang menantinya.
Kenderaan yang membawa Lydia dan anaknya akhirnya memasuki kawasan perumahan elit yang tenang. Jalan berbatu bersih, barisan rumah-rumah mewah berdiri megah di kiri kanan jalan. Lampu-lampu pagar memancar terang, manakala cahaya samar dari ruang dalam rumah kelihatan tenang di balik pintu kaca besar. Pokok-pokok bunga ditanam rapi, dijaga dengan penuh teliti — taman-taman itu seperti lukisan yang hidup.
Lydia mendukung Daniel yang masih lena. Matanya liar memerhati setiap sudut persekitaran. Lama dia tidak menjejak kaki di sini. Rindu datang menerjah ke relung hatinya. Rindu pada ibu, pada ayahnya.
Kenderaan membelok ke kiri, perlahan-lahan berhenti di hadapan sebuah bungalow mewah yang tersergam indah. Taman bunganya ditata penuh seni, lampu-lampu di halaman memancarkan aura tenang namun eksklusif. Di teras rumah, dua sosok sedang berdiri menanti.
Lydia terdiam sejenak.
Ibu dan ayahnya.
Sebaik pemandu membuka pintu, ibunya berlari kecil menyambut. Dengan mata yang sudah sedia basah, wanita itu terus memeluk Lydia dan cucunya.
“Anakku... Lydia...” suara ibunya tersekat-sekat di celah tangisan. Pelukannya erat, seolah tidak mahu dilepaskan.
Lydia memejam mata, menghela nafas panjang dalam pelukan ibunya. Air mata yang ditahan sejak di pesawat akhirnya mengalir perlahan di pipinya. Dia membalas dakapan ibunya sambil tersedu sedan.
Pak Harun berdiri sedikit ke belakang, memerhati sahaja. Wajahnya kaku, tapi matanya tidak dapat menyembunyikan rasa. Apabila Lydia menghampirinya dan mencium tangannya, dia tidak berkata apa-apa. Hanya anggukan kecil, kemudian dia memeluk Daniel yang masih lena dalam dukungan ibunya.
Pelukan itu lama — diam, berat, dan penuh rahsia.
Dari sisi, isterinya memandang suaminya. Tatapan yang membawa makna. Dia tahu lelaki itu sedang menyembunyikan sesuatu, dan sedang berusaha keras menahan semuanya daripada tergelincir keluar.
"Malam ini kita ke Bandung" kata Pak Harun sambil melangkah laju ke teras.
Marini segera membawa Lydia Dan anaknya menaiki tangga spiral untuk ke kamar atas. Tika, pembantu rumah mereka mengikuti dari belakang dengan membawa koper.
Comments
Post a Comment