Bab 4 - Bintang Yang Ku Gapai

Malam itu sunyi, hanya sesekali bunyi enjin kenderaan dari jalan utama memecah hening. Lampu malap di beranda menimbulkan bayang halus pada wajah Tamara yang duduk bersandar di dinding, lututnya dirangkul kemas. Di sebelahnya, Linda menghirup perlahan kopi yang semakin suam, sesekali melirik wajah teman barunya yang tenggelam dalam lamunan sendiri.


"Ara…..pasal kau lari dari rumah tu ..." suara Linda perlahan, "kalau kau tak selesa, tak perlu cerita. Aku tak paksa."


Tamara tersenyum nipis. Matanya masih merenung ke depan — jauh, seolah-olah mencari sesuatu yang sudah lama hilang.


"Aku rasa... aku perlu cerita, Linda." suaranya parau, namun penuh ketegasan yang dikumpul dari dalam dada.


Linda diam, memberi ruang.


Tamara menghela nafas panjang. Tangan kirinya mengusap pergelangan kanan, seperti membelai luka yang tak kelihatan.


"Orang nampak aku macam gadis kampung biasa... tapi tak siapa tahu apa yang aku simpan selama ni. Aku tak lari sebab suka-suka… aku lari sebab aku dah tak mampu..." suara Tamara mula bergetar.


Dia menoleh pada Linda dengan mata yang mula berkaca.

"Aku janji, aku akan cerita semuanya malam ni..." Kata Tamara dalam sedu sedannya.


Ayahku memilih untuk berkahwin semula dengan seorang janda beranak dua, Halimah namanya. Bersamanya datang dua anak – Maimunah, gadis sebaya denganku, dan adiknya Azman, yang lebih muda dua tahun. Sejak kehadiran mereka, hidupku berubah sekelip mata. Rumah yang dahulu menjadi syurga tempat aku berlindung, kini terasa seperti neraka yang menyesakkan. Tiga insan inilah yang tanpa belas kasihan telah merampas ketenangan hidupku, satu demi satu.

------


Langit senja menyapu kampung dengan semburat jingga yang damai. Dari kejauhan, suara burung-burung pulang ke sarang menyatu dengan desiran angin yang membelai ladang sawit milik keluarga Tamara. Di situlah Tamara yang berusia 17 tahun membesar — anak tunggal kepada Tuan Taufiq, pemilik ladang yang disegani di Kampung Sri Menanti.


Tamara bukan sekadar gadis kampung biasa. Suaranya merdu, wajahnya manis, dan hatinya tulus. Namun, hidupnya berubah setelah ibunya meninggal dunia dan ayahnya berkahwin lagi dengan Halimah — seorang janda berhati keras yang membawa dua anak bersamanya: Maimunah dan Azman.


Sejak itu, rumah yang dulunya penuh kasih bertukar menjadi neraka senyap. Halimah sering memandang Tamara dengan tatapan tajam, dan Maimunah tak pernah menyembunyikan rasa bencinya. Bagi mereka, Tamara adalah ancaman — waris tunggal yang bisa menggugat impian mereka terhadap harta peninggalan Tuan Taufiq.


Namun Tamara tidak pernah membalas dendam. Dia menumpukan perhatian pada pelajaran dan minatnya dalam nyanyian. Ketika sekolahnya terpilih untuk mewakili negeri dalam pertandingan koir Hari Kemerdekaan, Tamara menjadi harapan — bukan sahaja kerana suaranya, tapi kerana jiwanya yang bersinar.


Koir itu dipimpin oleh Cikgu Hafiz, guru Bahasa Inggeris yang muda dan berkarisma. Bersama rakan-rakan, termasuk Maimunah sendiri, mereka berlatih siang dan malam. Cikgu Hafiz, yang diam-diam menyimpan rasa terhadap Tamara, memilihnya sebagai penyanyi utama — sesuatu yang menambahkan bara dalam hati Maimunah.


"Kenapa bukan aku?" bisik Maimunah dalam hati setiap kali Tamara membuka suara.


Setelah kejayaan mereka di peringkat kebangsaan, Tamara diminta mewakili sekolah untuk menerima trofi kemenangan. Di saat seluruh kampung bangga, Maimunah dan Halimah menyusun rencana.


Beberapa hari selepas pertandingan, Tamara menerima mesej dari nombor Cikgu Hafiz, meminta dia hadir ke rumah gurunya malam itu. Aneh, kerana selama ini latihan hanya dibuat di sekolah pada waktu petang. Namun setelah Maimunah meyakinkan bahawa dia juga mendapat mesej serupa, Tamara bersetuju

Malam itu, bintang bertaburan di langit, tapi dalam hati Tamara, gelisah menggumpal seperti langit yang bersiap menurunkan hujan.


Dengan langkah sederhana, Tamara berjalan bersama Maimunah ke simpang jalan. Mereka berbual sebentar Dan tiba-tiba Maimunah teringat Pesan ibunya untuk membeli sedikit barang dapur di kedai Pak Samad, ketua kampung. Maimunah menyuruh Tamara pergi dahulu ke rumah Cikgu Hafiz. Tamara hanya mengangguk dan meneruskan perjalanan ke rumah Cikgu Hafiz—guru muzik yang sering mengadakan perjumpaan kecil dengan pelajar berbakat di kampung mereka.


Namun sebaik sampai, suasana terasa janggal.


Lampu di anjung rumah menyala, begitu juga lampu kecil di ruang tamu, tapi rumah itu sunyi. Tiada suara. Tiada bunyi perbualan atau tawa yang biasa mengiringi sesi perjumpaan. Tamara berdiri tegak di anak tangga dan memberi salam beberapa kali, tapi tiada jawapan.


Hatinya bergetar aneh.


Dia melangkah ke anjung dan sekali lagi memberi salam. Pintu tidak berkunci. Dengan niat baik, dia menolak daun pintu sedikit—dan saat itu, satu tolakan kuat dari belakang menghumban tubuhnya ke dalam rumah.


“Aduh!”


Tamara menjerit kecil. Tubuhnya terjatuh, dan sikunya terkena bucu meja kayu yang tajam. Darah mengalir. Dia mengerang perlahan, cuba menahan sakit.


“Tamara?!” 

Suara itu datang dari bilik tidur. Cikgu Hafiz muncul—basah dan hanya bertuala di pinggang. Dia terperanjat melihat Tamara terbaring di lantai, memegang sikunya yang luka. Tanpa berlengah, dia melangkah laju dan berlutut, cuba membantu.

“Tamara, kamu kenapa? Astaghfirullah...”

Namun saat dia membantu Tamara berdiri, pintu utama terbuka luas. Beberapa orang kampung muncul di muka pintu—antara mereka Ketua Kampung, Haji Samad, dan Azman, adik tiri Tamara.


Apa yang mereka lihat mengejutkan dan mencetuskan amarah.


Seorang gadis muda dengan pakaian kusut, luka berdarah. Seorang lelaki dewasa yang hanya bertuala, sedang memegang gadis itu. Tiada penjelasan yang cukup pantas untuk menghapuskan persepsi yang telah terbentuk.


“Allahuakbar! Apa ni, Cikgu?! Tamara?!” jerit Haji Samad.


Cikgu Hafiz terkejut mendengar suara-suara riuh di hadapan pintu. Wajahnya pucat bila melihat beberapa orang kampung berdiri memandang mereka. 

“Bukan seperti yang kalian fikir! Saya baru keluar dari bilik, dan—”


“Ini bukan tempat berdalih, Cikgu!” sela Azman. Wajahnya merah padam menahan marah. “Tamara, kau buat apa dalam rumah ni malam-malam?!”


Tamara menunduk. Air matanya jatuh tanpa henti.


“Saya... saya dijemput datang malam ni...” suaranya perlahan.


“Siapa yang jemput?” tempik seorang pemuda.


“Cikgu Hafiz... hantar mesej...” kata Tamara teragak-agak. Matanya mencari pengesahan di wajah cikgunya.


Tapi Cikgu Hafiz kelihatan keliru. “Apa? Saya tak jemput sesiapa! Telefon saya hilang petang tadi... masa saya main bola.”


Namun kata-katanya tidak dipercayai. Telefon bimbitnya ditemui oleh orang kampung di atas meja tulis—di tempat yang mudah dilihat.


Ketua kampung mendengus. “Ini jelas! Kalian telah melampaui batas. Kita tak mahu fitnah berpanjangan. Hafiz, kamu harus bertanggungjawab.”


Haji Samad memandang semua yang hadir.


“Kita tunggu Tuan Taufiq datang. Kita langsungkan pernikahan malam ini juga!”


Suasana menjadi tegang. Tamara menangis teresak. “Tidak! Saya tidak buat apa-apa... saya difitnah!”


Namun dalam tangisnya, dia memandang lelaki yang selama ini dia hormati. Cikgu Hafiz... mengapa dia tidak membelanya? Cikgu Hafiz hanya membisu.


Dan saat ayahnya, En. Taufiq tiba, wajahnya gelap menahan marah dan kecewa. Lelaki itu memandang anak gadisnya, lalu ke arah Cikgu Hafiz.


“Ara.... Jawab ayah dengan jujur. Adakah kau lakukan sesuatu yang memalukan keluarga kita?”


“Ayah... tidak, tidak sekali-kali...” Tamara menggeleng dengan air mata. “Tamara difitnah...”

Dia berpaling ke arah Cikgu Hafiz, mengharap sokongan.

" Cikgu....beritahulah ayah...kita difitnah"

Namun Cikgu Hafiz menghela nafas berat. “Saya tak nafikan... kami ada berhubung. Tamara pernah datang ke rumah sebelum ini. Saya... kami memang ada bertemu.”


Tamara membeku. Nafasnya terhenti. Dunia terasa terbalik.


“Cikgu...?”


Dia memandang lelaki itu dengan pandangan hancur.


“Tidak... saya tak pernah... kita tak pernah...”

Jeritannya tenggelam dalam keheningan malam.


Tamara tidak pernah membayangkan malam itu akan menjadi noktah kepada kehidupannya yang pernah damai—walaupun tidak sempurna.


Sebaik Tamara dibawa pulang oleh ayahnya dari rumah Cikgu Hafiz,  ibu tirinya tidak membenarkan dia masuk melalui pintu utama. Mak Halimah menarik lengannya kasar dan menolak tubuh kecil itu ke dalam rumah.


“Aib! Malu aku! Anak dara tak tahu malu!” tengkingnya.


Tamara terpinga-pinga, namun mulut ibu tiri itu tidak berhenti menghentam.


“Berani kau buat kerja tak senonoh macam tu! Aku bela kau selama ni, macam anak sendiri! Rupanya ular dalam semak!” kemudian Halimah menampar muka Tamara hingga dia jatuh terduduk


Tamara menahan tangis. Tubuhnya sakit, namun hatinya lebih terluka. Air matanya mengalir tanpa suara. Dia ingin menjerit—menjelaskan semuanya. Tapi siapa yang mahu percaya?


Ayahnya, En. Taufiq, berdiri dengan wajah yang sukar ditafsir. Matanya tajam. Nafasnya berat.


“Cukup, Halimah,” katanya perlahan, tetapi suaranya menggegar dada Tamara. “Kita akan kahwinkan dia dengan Hafiz secepat mungkin. Biarlah dia tanggung akibat perbuatannya sendiri.”


Tamara memeluk kaki ayahnya. “Tidak, ayah… Ara tak buat… ayah, percayalah…”


Namun tiada lagi ruang untuk penjelasan. Tiada telinga yang mahu mendengar.

Ibu tirinya mengheretnya masuk ke biliknya dan mengunci pintu tersebut dari luar.

Tamara tidak berusaha untuk meminta pertolongan dari ayahnya supaya dia jangan dikurung dalam bilik itu. Perlahan-lahan dia naik ke atas katil dan merebahkan tubuhnya yang terasa berat dan lemah.  Dia cuba melelapkan matanya namun tidak berjaya. 

Malam itu, saat semua rumah sunyi dibalut gelap dan beku, Maimunah masuk ke bilik Tamara tanpa mengetuk. Gadis itu masih teresak di sudut katil, dengan mata bengkak dan wajah penuh duka.


“Tamara…” suara Maimunah lembut, tidak seperti biasa. Dia duduk di sisi adik tirinya, memegang tangan Tamara perlahan. “Kakak tahu… kamu difitnah. Kakak percaya kamu.”


Tamara menoleh. Ada kehangatan dalam suara itu yang membuatkan dia ingin percaya. Dia genggam tangan Maimunah, berharap ada sekutu dalam malam yang begitu menghiris.


“Aku pun dapat mesej dari Cikgu Hafiz malam tadi,” kata Maimunah perlahan. “Katanya dia nak jumpa. Mujur aku tak pergi. Kalau tak, entah-entah aku pun terperangkap macam kau.”


Dia keluarkan telefonnya dan tunjukkan mesej yang kononnya dihantar oleh Cikgu Hafiz. Tamara memandang dengan mata berkaca.


“Kenapa dia buat begini pada kita? Aku tak faham… aku tak salah, kak… aku tak pernah berniat buruk…”


Maimunah mendakap Tamara, tapi di balik pelukan itu, senyuman licik menari di bibirnya.


Dalam hati, dia mendidih kerana rancangan asalnya digagalkan Azman. Sepatutnya, Tamara dihalau keluar dari rumah malam itu—bukan dipaksa berkahwin dengan lelaki yang dia sendiri cintai secara diam-diam: Cikgu Hafiz.


“Kakak boleh bantu kau keluar dari sini. Sekarang juga,” bisik Maimunah. “Sebelum ayah tahu. Sebelum mereka paksa kau kahwin dengan lelaki yang kau tak rela.”


Tamara terkesima. “Tapi... ke mana aku nak pergi?”


“Tak penting. Yang penting, kau selamat dulu. Aku dan mama akan bantu. Kami ada simpan sedikit duit dalam beg pakaian kau. Kau bawa baju apa yang sempat. Lari malam ni juga.”


Tamara terkedu. Dia pandang wajah Maimunah dan ibunya yang tiba-tiba muncul di ambang pintu, mengangguk kecil sambil menyerahkan beg pakaian kecil dan beberapa keping not lima puluh ringgit. 

“Ambil ini. Pergi sekarang. Jangan toleh belakang." kata Halimah perlahan, seperti cuba menebus makian siangnya.

Tamara teresak lagi, kali ini dalam syukur yang bercampur takut. “Terima kasih… terima kasih…”


Dia peluk kedua-dua mereka. Hatinya bergetar hebat. Dia tidak tahu sama ada ini pertolongan atau satu lagi jerat yang tersembunyi.


"Jangan balik ke sini lagi....." Itulah kata akhir ibu tirinya pada Tamara.

Namun dia tiada pilihan.


Dengan langkah berat, Tamara meninggalkan rumah yang pernah menjadi syurganya—menuju malam yang tidak menjanjikan apa-apa.

"Ayah.....maafkan Ara ayah....hati Ara luka."

Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini