Bab 4 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

 Suasana rumah itu hening seketika sebaik sahaja loceng pintu berbunyi. Sofia yang duduk di ruang tamu dengan mata yang sembab bangkit perlahan, menyapu wajahnya dengan tisu sebelum melangkah membuka pintu.


Di sebalik daun pintu, berdiri suaminya, Hisham, bersama sepasang suami isteri — wajah mereka kelihatan penat, tetapi mata mereka sarat harapan.


Hisham bersuara tenang, “Masuklah… sila duduk.”


Andrian dan Dian melangkah masuk. Pembantu rumah segera muncul dari dapur, membawa dulang berisi minuman panas dan kuih-muih, lalu meletakkannya di atas meja tamu.


Hisham memperkenalkan, “Ini isteri saya, Sofia…”


Sofia tersenyum kelat. Dia menyambut salam Dian dengan penuh sopan, namun hatinya masih luka dengan kehilangan Bella. Ada sayu yang tidak mampu disembunyikan.


"Dian…" ucap Sofia perlahan, suaranya bergetar.


Hisham kemudian berpaling ke arah Sofia. “Sayang, ini suami Dian…” katanya perlahan, sebelum memandang Andrian. “Ini Sofia, isteri saya.”


Andrian berdiri, menghulurkan tangan.

"Ayah Dani... Andrian Satria Prasetyo," katanya memperkenalkan diri.


Sebaik nama itu terbit dari bibir Andrian, tubuh Sofia menggeletar. Dia menyambut salam itu, tapi genggamannya menjadi erat tanpa sedar. Mata Sofia terbeliak, wajahnya pucat serta-merta.

“Andy…” bisiknya lirih.


Mata mereka bertemu. Sofia terdorong ke belakang dan duduk semula, air mata mengalir laju di pipinya.

“Ini aku… Sofia Khadijah.”


Andrian tersentak. Tangannya terlepas dari genggaman Sofia. Dia terduduk di sofa, matanya tidak lepas memandang wajah wanita yang sekian lama bertakhta dalam hatinya.


"Sofie..." bisiknya.


Dian, yang berdiri di sisi suaminya, segera memaut lengan Andrian.

"Pa… Papa kenapa?"


Dia kemudian memandang Hisham yang sedang memeluk isterinya yang teresak dalam dakapan. Keganjilan situasi itu mengundang rasa gelisah dalam dirinya.


“Dia kah Andy yang sayang ceritakan itu?” tanya Hisham perlahan.


Sofia hanya mengangguk, teresak dalam pelukan.


"Papa kenal sama Sofia?" tanya Dian cemas, melihat Andrian masih tertunduk dan menekup wajah dengan kedua telapak tangannya.


"Hisham… aku tak mengerti. Kalau kenal pun, takkan sampai begini?"


“Biarlah Sofia yang menjelaskan,” ujar Hisham tenang, namun suaranya sarat beban.


"Kenapa Sofia? Apa yang sebenarnya terjadi?" tanya Dian. Pandangannya beralih ke Andrian yang masih diam membatu.


"Dian…" suara Sofia pecah, bergetar. "Andy… Andy ayah Bella."


Andrian perlahan-lahan menurunkan tangan dari wajahnya. Matanya membulat memandang Sofia, dan tubuhnya mula menggigil.


Dian menekup mulutnya. “Tidak mungkin…”


"Sofie… benar ke ini? Kenapa kau sembunyikan dari aku? Kenapa aku tidak tahu?"


"Kau pergi dari aku… kau menghilangkan diri."


"Aku tak pernah menghilang, Sofie. Aku pulang ke New York, cari kau… aku nampak kau di depan kedai bunga Chloe."


"Kalau begitu… kenapa kau tak tegur aku?"


"Kerana aku sangka kau dah kahwin… dan punya anak."


Ruang tamu menjadi sunyi. Hanya esakan Sofia yang masih kedengaran, dalam pelukan Hisham.


“Sebab itu kau kahwin dengan Lydia? Sebab kau tak dapat Sofie?” tanya Hisham perlahan, memecah sunyi.


"Aku kahwin dengan Dian sebab aku sayangkan dia… dia banyak menderita bila kau tinggalkan dia." jawab Andrian, jujur.


“Aku tak pernah tinggalkan dia… Lydia yang pergi dari aku,” kata Hisham dengan mata yang berkaca.


Sofia mendongak, memandang Hisham — kemudian berpaling ke arah Dian.


“Abang… ini kah Lydia isteri abang dulu? Bukan ke isteri abang dah meninggal dalam kemalangan?”


Hisham mengangguk perlahan.


"Aku tak mati… sama seperti Hisham…" bisik Dian.


Dian dan Andrian berpandangan. Dalam diam, mereka mengerti — Dani dan Bella bukan adik beradik.


“Kau tak tahu betapa Dian menangis setiap hari kerana kau,” kata Andrian, menarik isterinya ke dalam pelukan.


“Kau fikir Sofie ketawa bila kau tinggalkan dia dengan anak dalam kandungan? Dia juga menangis… dia cari kau ke mana-mana… dia hampir mati sebab nak bunuh diri,” ujar Hisham, menahan sebak.


Mereka berempat terdiam. Hanya nafas yang kedengaran, dan jantung yang berdegup kencang dalam dada masing-masing.


Sofia memandang suaminya. “Sayang… Dani dan Bella… mereka adik beradik!” katanya sebelum menangis teresak.


Hisham memeluk bahu isterinya dan membisik perlahan, “Tidak sayang… Bella dan Dani bukan adik beradik.”


"Tapi Dani juga anak Andy..."


"Tidak Sofia… Dani bukan anak Mas Rian. Dia anak aku… dengan Hisham," kata Dian perlahan.


Sofia duduk tegak. Wajahnya berubah. Dia memandang Dian dan Andrian silih berganti. Andrian mengangguk lemah.


“Aku ada seorang anak dengan Lydia waktu dia dipanggil balik ke Indonesia. Kemudian ada yang khabarkan… Lydia dan Dani meninggal dalam kemalangan jalan raya,” jelas Hisham.


“Om Bobby, Ma… dia yang kasi tahu Hisham yang Mama dan Dani terkorban,” sambung Hisham.


"Oh Tuhan..." Dian menekup mulut. "Om Bobby juga yang kasi tahu aku yang Hisham hilang di laut dan tak ditemui hampir setahun." Tangisnya meledak.


"Kita semua dibohongi, Ma… Papa tak sangka Om Bobby sanggup buat begini. Dia orang yang kita percaya…" kata Andrian dengan nada kesal.


“Mari kita cari Bella sekarang,” kata Hisham. “Kita dah tahu kebenaran. Dani dan Bella bukan adik beradik.”


Sofia mengangguk perlahan.

“Jemput minum dulu…” katanya. “Dan makanlah kuihnya… Aku tahu Bella selamat. Dia takkan buat perkara yang bukan-bukan. Itu naluri aku sebagai seorang ibu.”


Dian tersenyum, lalu duduk di sisi Sofia dan menggenggam tangannya.


"Aku juga seorang ibu. Aku tahu perasaanmu, Sofia. Aku tahu Dani kecewa bila dia fikir dia dan Bella bersaudara. Tapi aku yakin, dia pun takkan buat yang bukan-bukan." Mereka berpelukan — dua wanita yang pernah mencintai lelaki yang sama, kini bersatu dalam kasih seorang ibu.


“Andrian, terima kasih kerana menjadi ayah kepada Dani dan menjaganya selama ini,” kata Hisham.


"Dan aku juga… terima kasih kerana sudah menjaga Bella dan menyayangi puteriku seperti anak kandung sendiri," balas Andrian, dan mereka berpelukan.


Hisham kemudian bersuara, suaranya terketar. “Tapi… hanya satu yang aku takut…”


Semua mata memandangnya.


“Bagaimana aku nak beritahu Bella… bahawa aku bukan ayah kandungnya? Aku tak boleh jadi wali masa akad nikahnya nanti…” Matanya basah, menunduk.


"Aku juga tak boleh jadi walinya…" kata Andrian perlahan.


Kesunyian menyelubungi ruang tamu itu sekali lagi.


Tiba-tiba… satu suara yang mereka kenal muncul dari arah pintu.


“Daddy…”


Mereka semua berpaling.


Bella berdiri di ambang pintu, wajahnya sugul dan matanya sembab. Suaranya tersekat dalam tangisan.


“Bella dah tahu… Bella dengar semuanya tadi…” katanya sebelum tangisannya pecah.


“Tapi Bella tetap sayang Daddy…”


Dia berlari, memeluk Hisham erat.


Dan pada saat itu — seluruh ruang tamu itu bergema dengan tangisan. Entah tangisan sedih atau gembira… hanya hati mereka yang tahu.


Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini