Bab 4 - Di Bawah Lembayung Merah Jakarta

Yang Hilang Bukan Cinta 


Suasana di rumah Pak Harun malam itu terasa berat. Lampu di ruang tamu sengaja dimalapkan. Pendingin udara menyala senyap, namun udara tetap terasa tegang. Dua lelaki berbadan sasa berdiri di sisi pintu — keduanya memakai jaket kulit hitam dan cermin mata gelap walaupun sudah malam. Di antara mereka, Bobby Sugara kelihatan tenang, memeriksa telefon bimbit di tangannya.


Pak Harun berdiri di hadapan mereka, wajahnya serius dan dingin.


“Mobil sudah siap?” soal Pak Harun sambil menyelak jam tangannya.


“Sudah, Mas,” jawab Bobby. “Rute sudah ditetapkan. Lelaki-lelaki ini akan pastikan semuanya berjalan lancar.”


Pak Harun mengangguk perlahan. “Pastikan tidak ada yang mencurigakan. Bawa mereka keluar dari kota malam ini juga. Jangan beri peluang dia bertanya.”


“Baik, Mas.”


---

Dari sudut ruang tamu, seorang wanita berusia lewat lima puluhan duduk di sofa. Wajahnya pucat, matanya sembap. Ibu Lydia memeluk tisu di tangan, dan sesekali mengesat matanya yang basah. Dari tempat duduknya, dia memandang ke arah suaminya yang masih berdiri tegak memberi arahan.


“Pa...” panggilnya perlahan. “Kamu benar-benar mahu bawa Lydia malam ini juga?”


Pak Harun berpaling. Wajah isterinya membuatkan hatinya sedikit tergugat — sedikit, tapi tidak cukup untuk mengubah keputusannya.


Dia mendekati wanita itu dan duduk di sisi.


“Mereka baru saja sampai. Lydia letih. Anak itu masih bayi...” suara isterinya tersekat, antara sedih dan marah.


“Lebih baik malam ini,” kata Pak Harun perlahan, tapi tegas. “Kalau kita tunggu esok, dia akan mula bertanya. Dia akan mahu tahu ke mana kita bawa dia. Aku tak mahu itu berlaku.”


Isterinya menggeleng, air mata mengalir perlahan. “Tapi dia anak kita, Harun…”


Pak Harun memejam mata sejenak. “Justru kerana dia anak kita, kita perlu pastikan dia selamat. Percayalah… ini untuk kebaikannya.” katanya dengan Suara yang keras. "Lagi pun dia akan tetap dalam rumah ini. Kau tau kan rancangan kita?"

"Tapi Pa....."

"Sudah Ma....Papa janji dia akan baik-baik saja" kata Pak Harun sambil melihat arlojinya.

Wanita itu hanya diam, tunduk, dan menggenggam tisu erat-erat. Di luar, bunyi enjin kereta telah pun hidup.


Pak Harun memandang isterinya yang masih membisu. Dihampirinya wanita itu sekali lagi, kali ini suaranya direndahkan, lembut tapi tetap berwibawa.


“Kamu ikut sekali malam ini,” katanya perlahan tapi jelas.


Isterinya mengerutkan dahi. “Aku? Untuk apa?”


“Agar Lydia tak curiga. Kalau kamu ada dalam mobil itu, dia akan fikir kamu benar-benar bawa dia ke Bandung. Dia akan rasa selamat. Dia takkan tanya banyak.”


Wanita itu memalingkan wajah, matanya kembali berkaca. “Kamu tak patut permainkan dia begini, Harun…”


Pak Harun menarik nafas panjang. “Aku tahu. Tapi ini cara paling baik. Setelah semuanya selesai... barulah kita jelaskan padanya.”


Dia kemudian berdiri. Dari jauh, Bobby memberi isyarat bahawa kenderaan sudah sedia. Dua lelaki berbadan sasa menunggu di luar pintu, bersedia mengiringi mereka ke destinasi yang hanya Pak Harun dan Bobby tahu.


“Cepat siap. Kita keluar sebelum Lydia tahu apa-apa,” katanya lagi sebelum melangkah keluar dari ruang tamu.


Wanita itu hanya duduk diam. Tubuhnya menggeletar, bukan kerana sejuknya pendingin hawa — tetapi kerana hatinya sendiri yang tidak mampu membeku dalam kebohongan.

Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini