Bab 6 - Bintang Yang Ku Gapai

 Petang itu, langit mula redup, dan angin membawa bau gorengan dari warung Pak Osman yang tak pernah lengang sejak tengah hari. Tamara berdiri di sisi sekumpulan buskers muda yang sudah dikenalnya sejak beberapa minggu lalu. Tangannya menggenggam mikrofon lusuh, matanya melirik ke arah pelanggan yang sedang menjamu selera, termasuk sebuah kereta pacuan empat roda hitam yang baru sahaja berhenti tidak jauh dari warung.


Empat orang lelaki keluar dari kenderaan itu. Mereka kelihatan penat tetapi santai, berpakaian kasual. Seorang dari mereka memegang kamera kecil, seorang lagi memakai baju-T tertera logo syarikat produksi. Mereka mengambil tempat duduk berhampiran warung, lalu memesan makanan sambil berbual sesama mereka.


Pak Osman menghampiri mereka.


"Baru habis shooting video muzik dekat kampung sebelah," salah seorang daripada mereka memberitahu. "Sekarang nak balik KL."


Tamara tak menyedari semuanya. Fokusnya hanya pada lagu yang akan dinyanyikan. Lagu pertama—sebuah lagu pop ringan—membuka persembahan dengan suasana ceria. Beberapa pengunjung tersenyum, mengangguk mengikut rentak, dan ada yang ikut sama bersiul perlahan.


Namun, apabila Tamara memegang mikrofon sekali lagi untuk lagu kedua, wajahnya berubah. Senyum di bibir hilang. Matanya memandang jauh, tidak tertumpu pada sesiapa, seolah-olah sedang bercakap dengan seseorang yang tak kelihatan.


Dia menarik nafas panjang, dan alunan pertama lagu Hanya Rindu oleh Andmesh mengisi ruang petang yang hening.


> "Kuingin saat ini, engkau ada di sini

Tertawa bersamaku, seperti dulu lagi..."




Suara Tamara tidak kuat, tapi jernih dan dalam. Lirik itu keluar dari dadanya seperti air mata yang lama ditahan. Tersusun rapi tetapi penuh luka. Matanya mula berkaca, namun dia terus menyanyi, tak berganjak walau setapak.


"Walau hanya sebentar, Tuhan tolong kabulkanlah

Bukannya diri ini tak terima kenyataan..."


Suasana di warung berubah serta-merta.


Percakapan terhenti.


Suara senduk berlaga kuali pun tidak kedengaran.


Orang yang sedang makan meletakkan sudu mereka. Ada yang berhenti mengunyah. Beberapa orang pantas mengeluarkan telefon untuk merakam.


Termasuk lelaki-lelaki dari kereta pacuan empat roda itu. Mereka berpandangan seketika, seperti baru menyedari sesuatu yang luar biasa sedang berlaku di hadapan mereka.


"Hati ini hanya rindu... hanya rindu...


Saat Tamara menyebut bait terakhir,


"Kurindu senyummu, ibu..."

...dia tidak mampu lagi menahan tangisnya. Suaranya bergetar. Air matanya tumpah deras. Dia menangis tersedu-sedu, namun tidak memutuskan nyanyian. Dan apabila lagu itu tamat, suasana sepi sejenak—kemudian bergema tepukan panjang dan gemuruh.


“MasyaAllah…” bisik Linda yang berdiri di sisi warung. Matanya turut berkaca. Dia menyeka air mata sambil memandang Tamara dengan bangga.


Pak Osman mengangguk perlahan, wajahnya serius namun penuh rasa kagum.


“Suara tu datang dari hati,” katanya perlahan.


Salah seorang lelaki dari kumpulan produksi tadi bangun dan menghampiri Pak Osman. “Maaf, pakcik. Siapa nama adik yang menyanyi tadi?”


“Tamara,” jawab Pak Osman. “Dia kerja di sini, tolong makcik dia di warung. Kadang-kadang menyanyi saja-saja dengan budak-budak buskers tu. Hiburan petang orang kampung.”


Lelaki itu mengangguk sambil tersenyum. Dia membuka dompet, mengeluarkan sekeping kad nama dan menghampiri Tamara yang baru saja mengesat air matanya.


“Saya Zulfikar,” katanya sambil menghulurkan tangan dan kad. “Saya dari syarikat produksi suara dan media. Dua minggu lagi, kami akan buat uji bakat untuk program realiti nyanyian di sebuah hotel di KL. Kalau Tamara berminat… datanglah. Suara adik bukan biasa-biasa. Itu suara yang orang tak boleh ajar—datang terus dari jiwa.”


Tamara menyambut kad itu dengan tangan yang masih menggigil. Matanya besar, terpegun. Seakan tak percaya apa yang sedang berlaku.


“Terima kasih… terima kasih, encik…” suaranya hampir berbisik.


Dalam diam, Tamara menggenggam kad itu erat-erat. Untuk pertama kali, dia terasa seperti mungkin… benar-benar mungkin, bintang yang dia dambakan dari kecil… kini semakin dekat untuk digapai.


-----


Suasana pagi itu sedikit suram.  Awan kelabu menggantung rendah, seolah turut memeluk resah di dada Tamara. Namun di ruang makan warung Pak Osman suasana cukup hangat dengan sokongan dan kasih sayang.


“Ara betul-betul nak pergi audition tu?” tanya Pak Osman perlahan, namun matanya redup penuh kebimbangan seorang ayah.


Tamara angguk, tenang tapi yakin. “Ini peluang Ara, Pakcik. Saya nak cuba… Kalau tak dapat pun, saya tak menyesal.”


Mak Zainab memandang wajah Tamara lama. Tangan tuanya menyentuh tangan gadis itu lembut. “Mak pun bangga Ara berani. Tapi kami nak temankan. Biar Mak dan Pak ikut sekali.”


“Betul tu,” sampuk Linda yang duduk di sisi Tamara. “Ara takkan pergi sorang-sorang. Kami semua ikut. Kan Abah? Kita boleh  tumpang rumah Pak Ngah Azhar kat KL tu.”

Pak Osman mengangguk sambil tersenyum.

Tamara terharu. Air matanya bergenang tapi dia tahan. “Terima kasih… Ara tak tahu macam mana nak balas jasa semua orang…”


Mak Zainab tersenyum kecil. “Balas dengan berjaya, Ara. Itu saja yang kami harap.” katanya sambil menepuk2 lengan Tamara. 

Linda kelihatan teruja. Dia memeluk Tamara. "Kakak tau....Ara pasti berjaya"

"InsyaAllah.....Aamiin" kata Pak Osman Dan isterinya serentak. 

Tamara tak dapat membendung air matanya. Dia menangis teresak-esak kerana terharu dengan kebaikan yang ditujukkan oleh keluarga itu padanya.


---


Perjalanan ke Kuala Lumpur mengambil masa beberapa jam. Mereka bertolak seawal pagi menaiki kereta Proton Wira milik Pak Osman. Sepanjang jalan, Tamara diam merenung ke luar tingkap. Hatinya bercampur-campur — gementar, teruja dan penuh harapan.

Setibanya di rumah Pak Ngah Azhar, seorang pesara polis yang berwibawa namun mesra orangnya, mereka disambut penuh kehangatan oleh beliau dan isterinya, Mak Ngah Rubiah. Rumah teres dua tingkat itu terletak di kawasan perumahan yang tenang, dengan laman kecil yang dihiasi pokok bunga kertas dan pasu orkid gantung. Reka bentuk dalamannya ringkas tapi teratur, menggambarkan cita rasa sederhana dan kemas penghuninya. Dinding rumah dihiasi bingkai gambar keluarga serta sijil-sijil penghargaan zaman perkhidmatan Pak Ngah.


Tamara dan Linda dibawa naik ke tingkat atas dan ditunjukkan sebuah bilik sederhana besar yang menghadap ke jalan utama. Bilik itu kemas, dengan katil queen saiz berkepala besi, meja tulis dan rak buku yang masih tersusun rapi. Kata Mak Ngah Rubiah, itu bilik anak bujang mereka, Armand, yang jarang pulang sejak berpindah ke apartment lain bersama rakannya. Bau maskulin yang samar-samar masih terlekat di ruang bilik, membuktikan pemiliknya pernah di situ. Gambar Armand yang tersenyum ada terletak di atas meja tepi katil tetapi kemudian dipindahkan oleh Linda ke atas meja tulis. 

“Gambar ni pindahkan dulu. Tak payah kau tenung lama-lama gambar sepupu aku tu... nanti kau mimpi dia malam ni. Dia handsome tau, macam Aiman Hakim Ridza!” usik Linda sambil mengangkat gambar itu lalu meletakkannya di laci.


Tamara tidak menyahut. Matanya tidak langsung tertarik pada gambar itu. Fikirannya hanyut entah ke mana, dadanya berombak menahan gelora debar menjelang hari uji bakat esok.


“Ara tahu tak siapa Aiman Hakim Ridza?” soal Linda, separuh ketawa, cuba menceriakan suasana.


Tamara hanya menggeleng perlahan. Dia benar-benar tidak fokus dengan gurauan sepupunya itu.


Linda menjongket kening, lalu duduk di sisi Tamara. Tangannya singgah ke bahu gadis itu.


“Nanti Ara jumpa juga dengan sepupu Kakak tu...” katanya, separuh berbisik. “Jangan terkejut kalau dia sendiri yang datang hantar bunga bila Ara menang nanti.”


Malam itu, biarpun tubuhnya keletihan setelah perjalanan jauh, Tamara sukar melelapkan mata. Dia berbaring memandang siling, cuba menenangkan fikiran yang semakin ligat berputar. Namun bayangan pentas, mikrofon dan wajah-wajah juri yang bakal menilai nyanyiannya keesokan hari terus berlegar dalam mindanya. Jantungnya berdegup kencang setiap kali dia membayangkan dirinya berdiri di hadapan khalayak — kali pertama dalam hidupnya. Kipas siling berputar perlahan, namun debar dalam dada Tamara terus berdenyut deras, mengiringi malam yang panjang tanpa lena.


“Ara,” tegur Linda perlahan sambil menepuk lengan Tamara  yang gelisah sesekali memusing tubuhnya kerana tak dapat melelapkan matanya “Tidurlah… esok kita kena bangun awal.”


Tamara mengangguk. “Kakak… kalau tak berjaya macam mana?”


Linda senyum, mengelus rambut adik angkatnya. “Kalau tak berjaya, kita cuba lagi. Tapi Kakak yakin… suara Ara tu anugerah. Jangan takut, ya?”


Tamara akhirnya terlena dengan kata-kata itu. Dalam lena yang singkat, dia bermimpi dirinya berdiri atas pentas besar, lampu terang mengelilinginya, dan suara sorakan bergema. Itu mungkin cuma mimpi… atau satu bayangan masa depan yang menantinya di sana.

----

Pagi itu cuaca cerah menyambut mereka di ibu kota. Angin lembut bertiup, membawa udara nyaman ke celah-celah bangunan tinggi. Sebuah van Toyota Hiace milik Pak Ngah Azhar perlahan-lahan menyusuri jalan masuk ke Hotel Seri Bayu, sebuah hotel empat bintang yang menjadi lokasi uji bakat program pencarian bakat nyanyian terkenal – Bintang Impian.


Di dalam van itu, suasana agak meriah. Pak Osman duduk di hadapan bersama adiknya, Pak Ngah Azhar, yang memandu dengan tenang. Di baris tengah, duduk Mak Zainab dan isteri Pak Ngah, Puan Rubiah, sambil berbual mesra. Linda dan Tamara pula di belakang sekali, menghadap ke jendela dengan pemandangan kota yang belum pernah Tamara saksikan selama ini.


“KL ni memang sibuk ya…” Linda bersuara, memecah sunyi di belakang. “Tapi Ara....cuba tengok bangunan tu! Macam dalam drama TV je…”


Tamara senyum nipis, namun pandangan matanya tetap melayang jauh. Perutnya sebu. Nafasnya terasa sempit. Hatinya berdebar-debar menanti giliran yang belum pasti.


“Tamara, kamu okey?” tanya Mak Zainab sambil menoleh ke belakang.


Tamara hanya mengangguk perlahan. Dia cuba senyum, namun kekusutan dalam dadanya tak mampu dilindungi.


“Tenangkan hati. Ingat pesan Pak Ngah semalam… nyanyi dari hati, bukan dari mulut,” ujar Pak Ngah Azhar sambil menepuk bahu abangnya, Pak Osman, membuat semua tertawa kecil.


“Dan jangan lupa senyum manis tu! Kau kan ada senyuman yang boleh cairkan juri!” gurau Linda nakal, cuba menceriakan suasana.


Tamara hanya menjawab dengan senyum tipis. Dia tahu mereka semua mahu menyuntik semangat, namun hatinya masih bergetar hebat. Itulah kali pertama dia akan berdiri di depan juri profesional — bukan lagi bersama-sama buskers atau majlis sekolah. Ini adalah dunia sebenar, dunia yang boleh mengubah hidupnya selamanya.

Mereka tiba di hotel itu tepat jam 7.50 pagi. Dari jauh lagi, barisan peserta sudah menjalar panjang hingga ke luar pintu lobi. Tamara menelan liur. Ramainya manusia... sempatkah dia?

Syukurlah, Tamara masih sempat menerima borang pendaftaran—yang jumlahnya hanya terhad kepada 250 keping sahaja pada hari itu. Namun, sebelum menerima borang, pihak produksi terlebih dahulu membuat saringan awal. Tamara melepasi saringan itu dengan sedikit kelegaan. Dia menerima nombor 123.


Borang pendaftaran yang perlu diisi bukannya satu dua helai—tetapi enam keping semuanya! Linda dan Tamara mula mengisi dengan pantas tetapi cermat. Peluh mula merenik di dahi Tamara. Di ruangan nombor kad pengenalan ibu bapa atau penjaga, Linda menulis nombor kad pengenalan ayah dan ibunya. “Mujur aku hafal,” bisik Linda sambil tersenyum kelat.


Pendaftaran hanya dibuka pada pukul 9.00 pagi. Dan seperti yang dijangka, ramai yang datang selepas itu tidak berpeluang mendapat borang. Ada yang kecewa, ada yang termenung lama.


Rupanya, nombor 123 hanyalah nombor untuk saringan awal. Setelah borang lengkap diisi dan diserahkan semula, barulah peserta diberi nombor rasmi untuk memasuki sesi uji bakat. Nombor untuk sesi audition bermula dari 1000.


Tamara? Dia menerima nombor 1080.


Dia menatap nombor itu lama. Tangan menggigil sedikit saat pin nombor itu disematkan di dadanya. Debaran semakin kuat, seiring dengan detik waktu yang bergerak. Linda menggenggam tangan Tamara, memberi sokongan yang diam-diam sangat Tamara perlukan.

Audition bermula pukul 10 pagi.  Semakin nombor disebut mendekati 1080, semakin tubuh Tamara rasa sejuk panas. Nafasnya tak lagi teratur. Hatinya ligat berdoa, “Ya Allah... berikan aku kekuatan...”

Hari itu dia mengenakan blaus lengan panjang berwarna krim lembut yang tampak manis di tubuhnya yang langsing. Dipadankan dengan seluar palazzo cokelat tua dan kasut tumit dua inci warna senada, penampilannya tampak sederhana tapi kemas dan menarik.


Rambut panjangnya yang berombak dirapi cantik oleh Puan Rubiah awal pagi tadi. Wajah bujur sirih, kulit putih bersih, dan hidung mancung yang diwarisi dari ayahnya, En. Taufiq Abraham, membuatkan Tamara kelihatan begitu berseri — ibarat bintang yang sedang menunggu giliran untuk menyinar.


Tingginya lima kaki tujuh inci membuatkan dia mudah menonjol di antara peserta lain. Tapi saat itu, dia terasa sangat kecil.


“Mereka semua nampak yakin…,” bisiknya perlahan.


Pak Osman mendengar dan terus menyentuh bahu anak gadisnya itu.


“Ara... jangan bandingkan diri dengan orang lain. Kamu ada suara kamu. Kamu ada semangat kamu. Ingat… bukan semua orang sampai ke tahap ini.”


Tamara mengangguk. Matanya bergenang sedikit, tapi dia cepat menyeka.


“Terima kasih semua…,” katanya perlahan, “Tamara akan buat yang terbaik....doakan Ara ya"

“Yakin! Kamu semua datang dari jauh ni bukan nak balik tangan kosong, kan?” kata Pak Ngah sambil tersenyum.


Ketawa kecil menyusul. Mereka menunggu giliran Tamara dengan sabar, bergurau senda sambil melihat satu-persatu peserta masuk ke bilik audisi. Masa bergerak perlahan. Setiap nama yang dipanggil membuat jantung Tamara berdegup semakin laju.


Dan akhirnya…


“Nombor satu kosong lapan kosong..... Tamara Rania Taufiq,” panggilan itu bergema dari petugas di hadapan bilik audisi.


Semua mata memandang ke arahnya. Tamara bangkit perlahan. Nafas ditarik dalam-dalam. Langkah demi langkah dihayun ke hadapan. Di sebalik debaran, dia tahu — inilah saatnya.

------

Bilik itu sejuk dan bergema, dindingnya berwarna putih polos dengan hanya satu lampu sorot menghala tepat ke tengah ruang, tempat Tamara kini berdiri—seorang diri, dengan hati yang sarat debaran.


“Bismillah…” bisiknya perlahan, sebelum dia mengangkat wajah dan melemparkan senyuman sopan kepada barisan juri di hadapannya.


Tiga orang juri duduk tegak di meja panjang. Seorang lelaki pertengahan usia yang kelihatan tegas namun berkarisma — En. Zulfikar. Tamara terkejut sejenak. Itulah lelaki yang pernah memberinya kad nama di warung Pak Osman. Mereka bertentang mata seketika dan En. Zulfikar mengangguk kecil, seperti memberi isyarat semangat.


Di sebelahnya, seorang juri wanita tersenyum lembut. “Jangan takut… senyuman yang manis dan penuh keyakinan, ya,” katanya, dengan nada keibuan yang serta-merta meredakan gelora di dada Tamara.


Tamara menarik nafas dalam-dalam dan memperkenalkan dirinya dengan suara yang sedikit bergetar.

“Nama saya Tamara Rania Taufiq… berusia tujuh belas tahun… berasal dari Batu Gajah, Perak.”


“Silakan, Tamara. Lagu pilihan pertama awak,” arah seorang lagi juri.


Tamara mengangguk. Dia menutup mata sejenak, lalu mula menyanyi. Lagu itu tentang kerinduan—sebuah kisah kehilangan yang terlalu akrab dengan hidupnya. Suaranya merdu dan jujur, mengalun lembut namun penuh kekuatan. Ketika bait demi bait dinyanyikan, wajah ayahnya, wajah arwah ibu, dan segala luka yang pernah ditelan hidup mula bermain di matanya. Tanpa disedarinya, air mata mengalir perlahan di pipi.


Para juri tidak bersuara. Mereka terpaku. Setiap patah lirik yang keluar dari bibir Tamara bagaikan panah menusuk hati mereka.


Selesai lagu pertama, juri meminta Tamara menyanyikan lagu kedua yang mereka pilihkan — sebuah lagu tentang pengorbanan dan pengharapan. Sekali lagi, Tamara menyanyi dengan sepenuh jiwa, tanpa memikirkan teknik atau gaya. Yang ada cuma isi hati yang diluahkan melalui melodi.


Tamat sahaja lagu itu, suasana sunyi seketika… sebelum ketiga-tiga juri berdiri serentak dan bertepuk tangan.


“Terima kasih, Tamara…” suara En. Zulfikar kedengaran penuh perasaan.


Tamara mengangkat wajah, matanya masih basah. Hatinya tergetar — bukan kerana pujian, tetapi kerana dia tahu, untuk pertama kalinya, suaranya benar-benar didengar.


Tamara melangkah keluar dari bilik audition dengan tangan menggenggam sekeping kertas berwarna merah jambu. Di atasnya tertera dengan jelas perkataan "TAHNIAH!" yang dicetak besar dan tebal. Matanya masih berkaca, namun kali ini bukan kerana sedih — tetapi kerana sebak yang menyentuh dada. Dia masih terkesima. Masih belum percaya bahawa dia benar-benar telah berjaya menawan hati para juri dengan nyanyiannya.


"Ara!" jerit Linda sambil berlari ke arahnya. Tanpa menunggu, Linda melompat dan memeluk sahabatnya itu dengan erat. "Ya Allah! Tahniah, Ara! Aku dah agak kau boleh buat!"


Tamara tersenyum, nafasnya masih turun naik menahan debaran yang belum reda. Beberapa peserta lain yang berada di ruang menunggu turut tersenyum dan mengucapkan tahniah.


"Baguslah dik... suara awak memang merdu tadi. Saya sempat dengar sikit masa pintu tu terbuka tadi," kata seorang peserta lelaki sambil mengangkat ibu jari.


Tak lama kemudian, Pak Ngah Azhar datang mendekati mereka, wajahnya berseri-seri seperti baru saja mendengar khabar yang menggembirakan.


"Alhamdulillah... Pak Ngah bangga dengan Ara." Dia menepuk perlahan bahu Tamara. "Dah tengah hari ni. Jom kita makan. Hari ni Pak Ngah belanja sempena kejayaan pertama Ara!"


Tamara ketawa kecil. "Terima kasih, Pak Ngah..."


Mereka pun beredar dari tempat audition itu. Matahari tegak di langit, namun hati Tamara terasa sejuk dan lapang. Langkahnya ringan, seperti burung yang baru belajar terbang. Dia tahu — ini baru permulaan. Tetapi ia adalah permulaan yang sungguh bermakna.




Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini