Bab 7 - Bintang Yang Ku Gapai
Suasana pagi di lobi hotel bertukar riuh dengan kehadiran krew produksi dan beberapa wartawan hiburan yang dijemput untuk sesi liputan khas bersama peserta Mentor Malaysia musim ini. Jurugambar sibuk mengatur tripod, penyunting video menyesuaikan mikrofon, manakala wartawan sibuk menyiapkan skrip pendek untuk sesi temubual mereka.
Di antara mereka, seorang lelaki berwajah tenang dan tampan berusia sekitar lewat 20-an melangkah masuk. Gayanya sederhana tapi kemas — berkemeja biru lembut, berjaket hitam dengan lencana media tergantung di leher.
“Armand Zulkifli Azharuddin, dari Gema Seni,” katanya memperkenalkan diri kepada penyelaras media produksi.
“Ya, nama awak dalam senarai. Sila ikut saya ke bilik media. Kita akan mulakan dengan peserta wanita dulu.”
Armand melangkah masuk ke bilik media, perlahan dan tenang, mengikut langkah wanita yang bertugas sebagai penyelaras. Bilik itu sedikit bising, dipenuhi perbualan ringan antara para peserta, juri, dan kru produksi yang sedang sibuk menyiapkan peralatan untuk sidang media yg akan diadakan tidak lama lagi.
Tiga orang wartawan sudah pun berada di situ, duduk bersandar di sofa sambil menyemak nota dan peralatan rakaman masing-masing. Armand menghampiri mereka dan menyapa dengan mesra, bersalaman satu persatu seperti biasa setiap kali berada di lokasi tugasan.
Armand kemudian memperkenalkan dirinya secara ringkas kepada penyelaras dan mengambil tempat di satu sudut yang disediakan untuk media.
-----
Pada masa yg sama, di bilik persolekan untuk para peserta yang terlibat dalam sidang media kelihatan Tamara berdiri di hadapan cermin besar di bilik itu, hampir tidak percaya dengan bayangan yang terpancar di hadapannya. Siapa gadis yang sedang merenung balik ke dalam matanya itu?
Bulu mata palsu melentik sempurna, memayungi anak mata yang kini berwarna coklat muda hasil dari kanta sentuh yang disarungkan sejak tadi. Bedak asas membalut wajahnya bagaikan lapisan baru—menyembunyikan setiap duka yang pernah terpahat. Bibirnya merah lembut, dibingkai teliti oleh jurusolek profesional yang hanya melihat wajah itu sebagai kanvas seni.
“Cantik sangat… macam bintang filem,” puji Linda yang turut hadir sebagai penyokong paling setia.
Tamara hanya tersenyum kecil, tapi di hatinya penuh debar. Hari ini dia bukan lagi Tamara Rania Taufiq dari kampung kecil di Perak. Hari ini, dia berdiri sebagai Rania Abraham—nama yang dipilih sendiri, gabungan namanya Dan nama ayah dan nama yang dirasakan cukup eksklusif untuk dunia hiburan.
Semuanya dirancang dengan rapi. Nama baru, wajah baru, gaya yang berbeza. Bukan kerana dia malu menjadi Tamara, tapi kerana dia tahu dunia yang bakal dia jelajahi ini tidak boleh dicemari dengan masa lalu. Dia mahu melangkah ke pentas ini sebagai seseorang yang benar-benar baru, bebas dari bayang-bayang ibu tiri dan dua beradik tiri yang telah menjerut hidupnya selama ini.
Dan hari itu, sewaktu dia melangkah masuk ke bilik media tidak ada sesiapa pun yang melihat dia sebagai Tamara—anak tiri yang dibenci, gadis kampung yang dipinggirkan. Mereka melihat Rania Abraham, seorang bintang yang sedang bersinar buat pertama kali di langit yang luas.
----
Tepat jam 11 pagi sidang media dimulakan.
hadapan, berdiri di sisi pentas kecil yang dihias ringkas. Di hadapannya, beberapa wakil media sudah bersedia — kamera, alat perakam suara, buku nota. Tamara duduk bersama dua orang peserta lain di kerusi yang disusun menghadap wartawan.
“Assalamualaikum dan selamat petang kepada semua rakan media. Terima kasih kerana hadir ke sesi sidang media peserta akhir Bintang Suara Nusantara musim ini,” ujar penyelaras itu dengan senyuman profesional. “Kami amat menghargai sokongan media sepanjang musim ini. Hari ini, anda semua berpeluang bertemu secara lebih dekat dengan tiga finalis kita — Rania Abraham, Hana Sofea dan Amir Aiman.”
Tamara tunduk sedikit dan tersenyum apabila namanya disebut, seperti yang diajarkan oleh pengurus produksi. Kamera mula berkelip. Flash menerpa wajahnya.
“Baik,” sambung penyelaras, “sesi ini terbuka untuk soalan, tetapi mohon agar soalan ditumpukan kepada pertandingan, pencapaian peserta dan perancangan mereka selepas ini.”
Seorang wartawan wanita dari portal hiburan tempatan mengangkat tangan terlebih dahulu.
“Saya Aida dari BuzzMy. Soalan saya kepada Rania — anda antara peserta paling muda dalam pertandingan ini dan mendapat markah paling tinggi. Bagaimana anda menghadapi tekanan bersaing dengan peserta lain yang lebih berpengalaman?”
Tamara mengambil mikrofon yang disediakan di hadapannya dan menjawab dengan sopan dan tenang. Suaranya jelas dan yakin, meskipun jantungnya berdegup kencang.
“Saya anggap pengalaman mereka sebagai motivasi, bukan saingan. Saya banyak belajar daripada mereka, dan saya bersyukur diberi peluang sampai ke tahap ini. Apa pun keputusannya nanti, saya mahu terus menyanyi.”
Wartawan lain mencatat, dan beberapa kamera mula merakam dengan lebih aktif. Armand hanya memerhati, belum bertanya apa-apa. Dia mengenali cara menjenguk suasana terlebih dahulu — memahami riak wajah, nada suara, dan celah-celah emosi yang boleh dijadikan naratif yang kuat nanti.
Penyelaras memberi isyarat kepada Armand.
“Encik Armand, jika ada soalan...”
Armand mengangguk sedikit, tangannya perlahan-lahan terangkat. Matanya memandang tepat ke arah Tamara.
“Saya Armand Zulkifli dari Suara Metro. Rania... suara awak unik dan penyampaian awak berkesan. Tapi ramai di luar sana yang tertanya-tanya — siapa sebenarnya Rania Abraham? Boleh awak kongsi sedikit latar belakang sebenar awak?”
Tamara terkedu seketika. Soalan itu ringkas, tapi menyentuh sesuatu yang dia cuba sembunyikan — nama sebenarnya, kisah kampungnya, dan hidupnya yang jauh dari glamor.
Comments
Post a Comment