Bab 8 - Bintang Yang Ku Gapai

 Malam sebelum pertandingan akhir dijalankan, Tamara langsung tidak dapat memejamkan mata.

Di bilik asrama yang sunyi, dia duduk termenung di sisi meja tulis. Beberapa helai kertas bertaburan di hadapannya — semuanya ditulis separuh, lalu dikoyak atau dibiarkan kosong. Kata-kata yang ingin diluahkan terlalu berat untuk diterjemah.


Air matanya menitis perlahan. Sunyi malam diselubungi suara hati yang bergema tanpa suara.


Akhirnya, dengan tangan yang sedikit menggigil, dia mencapai sehelai kertas baharu dan mula menulis lagi.


Ayah... apa khabar?

Ara sangat rindu pada ayah.

Maafkan Ara...

Ara pergi tanpa sempat meninggalkan pesan.

Ara pergi kerana tiada pilihan.


Ara tidak sanggup berkahwin dengan Cikgu Hafiz.

Ara tak pernah mencintainya.

Kami tak pernah lakukan apa-apa yang memalukan keluarga.

Kami difitnah.

Cikgu Hafiz berbohong bila dia kata kami sering berjumpa.


Ayah...

Maafkan Ara.

Ara tahu ayah marah.

Hingga ke saat ini, Ara belum mampu menghubungi ayah.

Tapi bukan kerana Ara lupakan ayah...

Ara cuma takut... takut mendengar kecewa dalam suara ayah..


Tangannya terhenti. Pena jatuh perlahan ke atas meja.

Air matanya tumpah tanpa ditahan.


Dalam hatinya, dia hanya mahu satu perkara — agar ayah suatu hari nanti tahu... Ara pergi bukan kerana membelakangi kasih seorang ayah, tapi kerana ingin menyelamatkan dirinya sendiri.

Tamara pernah berjanji dalam hati — satu hari nanti, dia akan kembali berdiri di hadapan ayahnya, bukan sekadar sebagai anak yang pernah dilukai, tetapi sebagai Tamara... alias Rania Abraham, yang kembali dengan kejayaan di genggaman.


Dia mahu ayahnya tahu, meskipun hatinya pernah retak, dia tidak tumbang. Bahawa di sebalik setiap langkah yang jauh, ada tekad yang menyala — untuk membuktikan bahawa dirinya bukan gadis lemah yang mudah dipatahkan. Dan pada hari itu nanti, dia tidak akan datang membawa air mata, tetapi membawa harga diri dan maruah yang telah dia pertahankan sendiri.

-----

Sorakan bergema di seluruh dewan. Cahaya pentas menyinari wajah Tamara yang berdiri tegak, seakan tak percaya namanya diumumkan sebagai juara pertandingan nyanyian paling berprestij tahun itu. Tangan kirinya menggenggam trofi kristal yang berkilau, manakala tangan kanannya mengusap dada yang bergelora.

Langkahnya perlahan menuju mikrofon, matanya berkaca. Di sebalik tirai pentas, Armand memandang tanpa berkedip — kagum melihat gadis kampung itu berdiri megah di atas pentas kota, memukau seluruh penonton.

“Saya... saya tak sangka akan berdiri di sini malam ini,” suara Tamara bergetar namun jelas. “Syukur alhamdulilah kepada Allah swt dan terima kasih kepada keluarga angkat saya Pak Osman sekeluarga.....kepada arwah ibu saya.... dan juga semua yang mempercayai saya. Ini bukan kejayaan saya seorang.”

Seketika kemudian, pentas dimeriahkan dengan medley lagu-lagu kegemarannya. Suaranya melantun indah, namun di wajahnya masih terpancar raut tulus — tiada riak megah, hanya rasa syukur yang mendalam.


---

Keesokan harinya,

Di belakang pentas sesi sidang media, seorang pengarah tersohor menghampirinya. “Tamara, saya mahu awak jadi heroin filem terbaru saya. Wajah awak ada nilai komersial, suara awak ada jiwa. Ini peluang besar.”

Tamara terdiam. Armand seorang Wartawan pelatih sedang membuat liputan, menoleh dari jauh. Dia tahu inilah detik yang bakal mengubah masa depan gadis itu.

Tapi Tamara senyum, matanya bersinar yakin.

“Terima kasih atas tawaran yang luar biasa ini. Tapi saya terpaksa menolak buat masa ini. Saya masih ada satu lagi pertandingan yang saya nak menang...”

“SPM.”

Wartawan senyap seketika. Kemudian kamera mula memfokus wajahnya yang tenang.

“Saya percaya pendidikan adalah landasan utama. Dunia seni tak akan ke mana, tapi masa belajar cuma datang sekali. Saya akan kembali, tapi bukan sekarang.”


---

Artikel Khas oleh Armand Zulkifli Azharuddin, Pelatih Wartawan:

"Dalam dunia hiburan yang sering mengejar glamor, muncul seorang bintang muda bernama Rania Abraham— yang memilih untuk menangguhkan populariti demi ilmu. Dia bukan hanya bersuara merdu, tapi juga berjiwa besar. Di mana ada prinsip, di situ ada harga diri."


"Adakah itu dia...?"

Lelaki itu merenung tajam pada gambar di sebelah artikel yang terpampang di skrin telefonnya. Dahinya berkerut, matanya tidak berkelip, seolah-olah cuba menembusi masa silam melalui wajah yang terpampang itu.


"Matanya... bibirnya..." desis hatinya. "Bukan dia..." Dia cuba menepis rasa yang datang bertalu-talu tanpa izin.


Namun, saat pandangannya singgah pada satu sudut kecil dari gambar itu—senyuman itu.

Dia terkedu. Jantungnya seakan terhenti seketika. Senyuman itu...


Tangannya yang menggenggam telefon sedikit menggigil. Perlahan-lahan, satu nama terbit dari bibirnya, nyaris tak terdengar.

"Ara..."

Dia menarik nafas panjang, dalam dan berat, lalu merapatkan telefon ke dadanya. Matanya terpejam. Di balik kelopak itu, kenangan yang telah lama dipendam kini menggugat kembali.

Wajah itu yang tak pernah hilang dari doanya.




Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini