Bab 20 - Yang Hilang Bukan Cinta

Yang Hilang Bukan Cinta 


Sudah sebulan Hisham dan keluarganya kembali menetap di Malaysia. Dalam tempoh itu, kehidupan mereka seolah-olah kembali ke landasan yang bahagia, dikelilingi sanak saudara dan sahabat handai.


Malam ini, sebuah majlis makan malam keluarga diadakan di kediaman Rahman dan Hanum. Majlis itu bukan sekadar untuk meraikan kepulangan Hisham sekeluarga, tetapi juga sebagai ruang perkenalan antara Hisham dan rakan-rakan niaga Rahman.


Di ruang makan yang luas dan dihias indah itu, kelihatan beberapa pelayan dari restoran Satay Warisan cekap mengatur lauk pauk, kuih-muih dan minuman di atas meja panjang yang dihias mewah. Mariam, dengan senyuman manis di wajahnya, memerhatikan mereka bekerja. Hatinya bangga melihat restoran yang dibina bersama suaminya kini turut menyumbang dalam majlis keluarga.


Di sudut lain, Sofia kelihatan anggun berbaju kebaya merah hati. Dia duduk di sisi kakaknya, Mariam, asyik bercerita dan tertawa kecil. Kedua-dua beradik itu kelihatan benar-benar seronok dapat meluangkan masa bersama setelah sekian lama terpisah benua.


Sarimah dan Hanum pula duduk bersembang di satu sudut, ditemani tiga orang isteri kepada rakan niaga Rahman. Walaupun usia mereka sudah mencecah 70-an, keanggunan mereka jelas terserlah dengan baju kurung tradisional yang dikenakan. Wajah mereka dihiasi senyum, sesekali ketawa kecil mengisi ruang.


Di bahagian lain pula, kaum lelaki berbual rancak, gelak tawa mereka memeriahkan suasana. Hisham turut berada di situ, namun dari riak wajahnya, jelas dia masih menyesuaikan diri dengan semua perhatian yang diterimanya.


Sebaik semuanya bersedia untuk acara makan malam, Rahman bangun berdiri di hadapan ruang utama. Suasana perlahan-lahan menjadi tenang, semua mata tertumpu kepadanya.


Dengan suara yang lantang tetapi penuh kelembutan, Rahman membuat pengumuman yang mengejutkan semua tetamu malam itu.


"Saya ingin umumkan… selepas lebih 40 tahun bergelumang dalam dunia perniagaan… saya akhirnya memutuskan untuk bersara…"


Ruangan itu sepi seketika, semua saling berpandangan.


Rahman menyambung, matanya memandang tepat ke arah Hisham.


"Mulai hari ini, saya serahkan perniagaan dan segala urusan dan tanggungjawab kepada menantu saya… dan juga anak saudara saya… Hisham."


Riuh rendah suara bergema memenuhi ruang. Tepukan dan sorakan kedengaran dari segenap penjuru. Hisham terpinga-pinga, jelas terkejut dengan pengumuman itu.


Sofia segera menggenggam tangan suaminya, memberi isyarat semangat. Mariam dan Dr. Ridzuan turut tersenyum bangga. Sarimah dan Hanum saling berpandangan, hati mereka turut dipenuhi rasa syukur dan bangga.

Rahman menyambung, "Bukan itu saja… saya juga nak umumkan… sebuah bangunan dua tingkat di Jalan Sentral saya hadiahkan untuk Ridzuan, menantu saya untuk dijadikan kelinik."


Dr. Ridzuan tergamam. "Ayah… saya…"


Rahman tersenyum. "Ridzuan.... Ini hadiah dari ayah untuk ulang tahun kamu.....esok kan?"

Dr.Ridzuan segera memeluk ayah mertuanya dengan rasa terharu. Tidak disangka ayah mertuanya ingat tarikh hari lahirnya.

"Terima kasih ayah....." Katanya Dan mencium tangan ayah mertuanya dengan sebak. Mariam Dan Sarimah segera mendapatkan Dr Ridzuan dan mengucapkan tahniah.

Rahman menepuk bahu menantunya dengan mesra "Sama-sama. Terima kasih juga kerana menjadi suami dan ayah yang baik pada anak dan cucu-cucu abah".

Suasana jadi lebih meriah. Mariam memandang suaminya, mata mereka bertaut penuh syukur. 

Hisham dan Sofia silih berganti memeluk Rahman dan isterinya, mengucapkan terima kasih. 

 Rakan-rakan niaga Rahman pun bersalaman dan mengucapkan tahniah kepada Hisham dan Dr.Ridzuan. Isteri-isteri mereka pula bersalaman dan mengucapkan tahniah pada Mariam dan Sofia.

Sarimah mengesat matanya yang digenangi air sejak tadi. Dia sungguh terharu dan sebak bila mengetahui Rahman menyerahkan seluruh perniagaannya kepada Hisham. Dia memeluk Hisham sambil menangis teresak-esak. 

Hisham tersenyum.... kini dia menjadi pewaris syarikat ternama. Menjadi CEO Puncak Prima Holdings. Dia bukan lagi gembel jalanan, penjual satay tepi jalan seperti mana hinaan yang dilemparkan Pak Harun kepadanya hampir tiga dekad yang lalu dan dalam hatinya… dia tahu, cabaran baru sudah bermula.

.


Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini