Deruman enjin kereta Perodua Bezza merah milik Sofea perlahan-lahan terhenti di hadapan kiosk kecil miliknya yang terletak sederet dengan deretan kedai berhampiran pasaraya mini di Taman Damai Murni.
Matahari baru sahaja mengintai dari balik langit pagi. Udara masih segar dan jalan masih lengang. Hanya beberapa buah kenderaan lalu lalang, kebanyakannya milik peniaga yang turut bersiap memulakan perniagaan masing-masing.
Sofea melangkah keluar dari kereta dengan beg tangan di bahu dan kunci kiosk di tangan. Dia sempat menjeling ke dalam kereta, melihat Adam yang sedang khusyuk bermain permainan di telefon bimbitnya. Adik bongsunya itu memang akan duduk diam jika diberi sesuatu yang boleh mengalihkan perhatian.
"Adam, tunggu dalam kereta ya. Kak Long buka kedai sekejap," ujarnya lembut sambil tersenyum.
Adam hanya mengangguk, tanpa mengalihkan pandangan dari skrin.
Sofea membuka pintu besi kedai kecil itu dan mula menyusun dulang makanan yang telah disiapkan sejak subuh tadi — nasi lemak dengan sambal bilis pedas manis, mi, mihun Dan kuetiau goreng dalam kontiner plastik jernih dengan sticker nama Dan nombor telefon kiosk serta pelbagai jenis kek moden dan kuih-muih yang disusun kemas dalam bekas lutsinar berpenutup.
Semua makanan itu hasil air tangannya sendiri. Setiap bungkusan dirias cantik dan bersih — berbeza dari gerai biasa yang pernah dilihat pelanggan. Itulah yang menjadikan kiosknya sentiasa dikunjungi, saban hari.
Waktu pagi seperti ini, pelanggan tetapnya terdiri daripada pelbagai latar belakang — suri rumah yang hendak membeli sarapan buat anak-anak, pekerja swasta dan kerajaan yang singgah sebelum ke pejabat, pelajar sekolah menengah yang beratur awal, dan kadang-kadang pekerja pasaraya atau kedai berhampiran.
Setiap hari Jumaat pula, dia akan menyediakan lebih banyak kuih dan minuman sejuk kerana sudah menjadi kebiasaan jemaah masjid yang terletak hanya beberapa lorong dari situ akan singgah membeli selepas solat Jumaat.
Sofea baru sahaja meletakkan dulang terakhir kuih talam pandan dan bingka ubi ke atas rak jualan apabila dia berpaling ke arah kereta. Pandangannya singgah pada wajah Adam yang masih tekun memegang telefon.
Hatinya tiba-tiba dipagut rasa sebak.
Sudah tujuh tahun berlalu, namun setiap kali dia memandang wajah adik bongsunya itu, segala kenangan pahit yang pernah mengubah seluruh hidupnya, kembali menjelma satu persatu — jelas dan menyakitkan.
Ketika itu, Adam baru berusia tiga tahun, Helmy Adik kedua2nya berusia 18 tahun Dan Nadia berusia berusia 13 tahun.
Kemalangan tragis yang meragut tiga insan paling dicintainya berlaku pada petang yang sepatutnya menjadi hari penuh kegembiraan. Ibu dan ayahnya bersama Farid — tunang yang dijodohkan oleh keluarga — keluar untuk mengambil baju pengantin di butik serta bertemu perancang perkahwinan untuk menyelesaikan urusan doorgift.
Sofea tidak ikut serta kerana Adam demam panas dan perlu dijaga di rumah. Nadia pula masih bersekolah, dan Helmy di asrama. Hanya tiga orang itu menaiki kereta ke bandar — dan hanya kereta itu yang pulang dalam keadaan remuk.
Tanpa mereka di dalamnya.
Sofea pejamkan mata seketika. Dia tarik nafas perlahan, memujuk hatinya agar tidak terus hanyut dalam kenangan yang memedihkan. Dia tahu, dia tidak boleh lemah — bukan di hadapan Adam, bukan sekarang.
Sejak hari itu, dialah ibu, dialah kakak, dialah penjaga, dan dialah satu-satunya sandaran buat tiga adiknya.
Hari ini Sofea tidak menghantar Adam ke sekolah kerana ada temu janji penting dengan doktor pakar yang merawatnya. Sofea sudah pun merancang awal. Dia telah meminta bantuan jiran baiknya, Kak Liza, untuk menjaga kiosknya buat beberapa jam.
Kak Liza bukan sekadar jiran — wanita berusia awal 40-an itu merupakan pemilik kedai fotostat dan alat tulis yang terletak hanya beberapa lot dari kiosk Sofea. Rumah mereka pun dekat, cuma dipisahkan dua buah rumah sahaja. Dalam diam, Kak Liza sudah seperti kakak sulung tempat Sofea mengadu rasa dan meminta nasihat sejak kehilangan orang tersayang tujuh tahun lalu.
“Kak Liza, boleh tolong jagakan kejap ya? Saya bawa Adam ke hospital, macam biasa,” pesan Sofea malam sebelumnya sambil tersenyum letih.
“Jangan risau. Akak dah biasa dah. Gerai tu dah macam anak angkat akak juga. Pergi, jaga Adam elok-elok ya,” balas Kak Liza sambil menepuk lembut bahu Sofea.
Sofea menarik nafas dalam. Dia menyusun satu persatu bungkusan nasi lemak, mee goreng, kuey teow goreng, dan kek dalam pembungkusan menarik di atas meja jualannya. Semua itu dia siapkan sendiri sejak subuh tadi. Walaupun hari ini dia hanya berada di kiosk untuk seketika, dia pastikan semuanya sempurna.
-----
Adam duduk di kerusi kegemarannya di ruang menunggu klinik terapi kanak-kanak, matanya tidak lagi resah seperti dahulu. Tiada lagi rengekan mahu pulang awal, tiada lagi larian tak tentu arah yang sering membuat Sofea tergopoh-gopoh mengejarnya. Kini, pada usia sepuluh tahun, Adam sudah terbiasa dengan rutin rawatannya di Hospital Kuala Lumpur. Bahkan, dia sudah mula menyapa jururawat dan menyusun alat mainan terapi dengan cara tersendiri yang cukup teratur.
Sofea memerhatikannya dari sisi, senyum nipis menghiasi wajah yang penat. Hatinya terasa hangat melihat perubahan kecil itu. Tujuh tahun. Sudah tujuh tahun dia menjaga Adam sejak peristiwa hitam itu. Adam baru tiga tahun waktu ibu dan abah mereka meninggal dunia. Terlalu kecil untuk memahami apa itu kehilangan, tetapi cukup besar untuk merasa sepi.
Waktu malam dulu adalah saat paling sukar. Adam akan menangis mencari ibu. Kadang-kadang hanya menyebut, "Ibu mana?" dalam suara yang perlahan tetapi menghunjam dada Sofea seperti pisau. Malam-malam itu, dia hanya mampu memeluk adik kecilnya erat—hingga Adam tertidur sambil esaknya masih bersisa di dada kecilnya. Dan dia sendiri... akan menangis dalam diam, memandang siling kosong, bertanya dalam hati bagaimana mahu terus kuat.
Sofea kehilangan banyak perkara dalam satu masa. Kedua-dua orang tuanya... kepercayaan kepada Farid... dan impiannya untuk menyambung lagi pelajaran dalam bidang ijazah kulinari terhenti begitu saja. Tapi paling berat... adalah kehilangan dirinya sendiri.
Suatu malam, ketika Adam berumur enam tahun, dia memanggilnya "Mummy".
Sofea yang sedang menyikat rambutnya di tepi katil terdiam. Dia berpaling dengan dahi berkerut.
> Sofea: “Kenapa panggil kakak... Mummy?”
Adam tidak menjawab. Dia hanya menunjukkan tab kecil di tangannya, dengan video kartunbKaturi seekor ayam betina bermain bersama anak-anaknya. Dalam babak itu, anak-anak ayam memanggil ayam betina itu "Mummy", dan si ibu ayam memeluk mereka rapat ketika mereka mahu tidur.
Sofea tergelak perlahan. Hatinya disapa sayu.
> “Sebab Mummy peluk anak ayam masa malam, ya?”
Adam mengangguk perlahan.
“Macam Kakak peluk Adam sebelum tidur?”
Anak kecil itu memeluknya sambil bersuara kecil,
> “Adam suka bila Kakak peluk. Macam dalam kartun tu...”
Sejak malam itu, Sofea tidak lagi membetulkan panggilan itu. Kadang Adam masih memanggilnya Kakak. Tapi di saat-saat paling jujur dan lembut, dia akan memanggilnya Mummy.
Dan setiap kali itu, Sofea rasa... walaupun dia kehilangan banyak dalam hidup, Allah tetap mengurniakannya sesuatu yang tidak ternilai—peluang menjadi segalanya untuk seorang anak kecil yang istimewa.
๐ถ๐ถ๐ถ๐ถ
Seperti kebiasaannya, Doktor Awina — doktor yang telah merawat Adam sejak kecil — akan menyambut kehadiran pemuda istimewa itu dengan panggilan mesra yang sudah menjadi gelar tetapnya di bilik rawatan itu: “Handsome boy!”
Panggilan itu bukan lagi sesuatu yang asing bagi Adam. Malah, kadang-kadang, sebaik sahaja kelibat Doktor Awina muncul di hujung koridor, Adam akan menunjuk ke arahnya sambil tersenyum lebar dan berkata lantang,
“Handsome boy!”
Sofea yang sentiasa di sisi akan ketawa kecil melihat telatah Adam.
“Ini baru handsome boy,” katanya sambil menepuk-nepuk lengan Adam dengan penuh kasih sayang.
Hari itu tidak terkecuali. Sebaik sahaja mereka masuk ke bilik rawatan, Doktor Awina menepuk-nepuk sofa panjang di sudut ruangan, memberi isyarat kepada Adam untuk duduk di sebelahnya.
“Handsome boy!” panggilnya, seperti selalu.
Dengan langkah penuh semangat, Adam berlari kecil ke arah wanita pertengahan usia itu, mencium tangannya dengan penuh sopan. Kemudian dia pun duduk di sisi doktor kesayangannya itu.
“Handsome boy dah sarapan pagi ini?” soal Doktor Awina sambil menggosok kepala Adam dengan lembut.
“Dah,” jawab Adam.
“Makan apa hari ni?”
“Roti dengan susu.”
“Sedap tak?”
“Sedap!” jawabnya ceria sambil mengangkat ibu jari — gaya ‘thumbs up’ yang menjadi kegemarannya.
“Siapa buatkan?”
Adam terkedu seketika, lalu menjawab,
“Kakak... Long... ehhh... Mummy.”
Doktor Awina tersenyum sambil memandang Sofea. Bukan sekali dua dia mendengar Adam memanggil wanita itu dengan gelaran ‘Mummy’. Tapi setiap kali, hatinya tetap terusik dengan panggilan itu.
“Adam sayang Mummy?” tanya Doktor Awina.
“Sayang... Mummy sayang Adam,” balasnya penuh yakin.
“Adam sayang siapa lagi selain Mummy?”
“Sayang Abang Ngah... Kak Lang... sayang Doktor juga,” katanya bersungguh.
“Wahhh... pandainya Handsome Boy.”
Doktor Awina tersenyum, lalu mencapai stetoskop.
“Mari sini, doktor nak dengar apa nafas Adam nak cakap hari ini.”
Seperti biasa, Adam duduk tenang di kerusi pemeriksaan. Tubuhnya kini lebih matang, tiada lagi gelagat lasak seperti dahulu.
Dr. Awina kemudian mencapai buku catatan rawatan Adam yang tersusun rapi di meja kecilnya. Dengan tenang, beliau mencatat sesuatu — mungkin maklumat temujanji akan datang, mungkin juga catatan peribadi terakhirnya tentang kemajuan Adam yang selama ini begitu dekat di hatinya.
Selesai menulis, Dr. Awina menutup buku itu perlahan. Dia mengangkat wajah dan memandang Sofea sambil menghadiahkan senyuman yang sarat makna — senyuman seorang doktor yang bukan hanya merawat, tapi juga menyayangi.
"Sofea... temujanji seterusnya untuk Adam dengan doktor pakar psikiatri adalah dalam tempoh dua bulan dari hari ini ya. Tapi kalau ada apa-apa perubahan pada Adam, atau kalau dia rasa tak sihat dalam apa-apa keadaan, boleh saja datang ke hospital dan berjumpa dengan mana-mana doktor. Tak semestinya tunggu doktor pakar," katanya lembut.
Sofea mengangguk perlahan, menyimpan pesanan itu dalam hati. Dia tahu setiap perkembangan Adam kini amat penting, dan perhatian awal boleh mengubah banyak perkara.
"Tahniah Sofea... sebab jadi ibu Dan penjaga yang begitu sabar dan tabah untuk Adam," katanya perlahan, seakan berbisik tapi cukup kuat untuk meresap ke dalam hati
Sofea termenung sejenak, mengenang saat-saat ketika Adam masih kecil — waktu usianya sekitar enam atau tujuh tahun — betapa aktifnya dia, berlari ke sana sini, membuat bising di setiap sudut bilik ini.
Kini, pada usia 10 tahun, Adam banyak berubah. Dia suka berbual, suka bercerita. Bila orang bertanya, dia akan menjawab dengan penuh semangat. Kadang-kadang, keterusterangannya menimbulkan senyum dan tawa — bukan kerana lucu, tetapi kerana jujurnya hati seorang anak istimewa yang melihat dunia tanpa prasangka.
๐ถ๐ถ๐ถ๐ถ
Selesai sahaja sesi pemeriksaan, Dr. Awina menyimpan stetoskopnya perlahan-lahan. Riak wajahnya berubah sedikit tenang tetapi berat, seolah-olah ada sesuatu yang ingin disampaikan.
Sofea memandang doktor itu dengan tanda tanya. Adam pula masih duduk di kerusi, mengusap-usap lututnya, seperti biasa selepas selesai diperiksa.
“Adam,” panggil Dr. Awina lembut, berpaling ke arah pemuda kecil itu. “Bulan depan doktor dah tak ada kat sini, ya sayang.”
Adam memandang doktor kesayangannya itu dengan dahi berkerut.
“Doktor pergi mana?” tanyanya perlahan.
“Doktor kena kerja jauh sikit... pindah ke hospital lain di Kuantan. Jadi... bulan depan bukan doktor yang periksa Adam lagi,” jelas Dr. Awina sambil tersenyum nipis, cuba menyembunyikan getar di hati.
“Tak jumpa Adam lagi?” soal Adam, matanya mula berkaca.
Dr. Awina menarik nafas perlahan, lalu mengangguk.
“Mungkin susah sikit nak jumpa. Tapi akan ada doktor baru yang lagi pakar, yang baik... dan dia akan jaga Adam elok-elok, macam doktor juga.”
Tanpa berkata apa-apa, Adam bangun, lalu melangkah perlahan ke arah Dr. Awina. Dia memeluk wanita itu erat-erat, begitu erat hingga bahu kecilnya mula terangkat-angkat menahan esakan.
“Adam faham...” bisiknya sambil menangis tersedu-sedu di bahu doktor itu.
Pelukan itu membuatkan air mata Dr. Awina mengalir juga. Tangannya mengusap belakang tubuh Adam dengan penuh kasih.
“Doktor pun sayang Adam,” katanya perlahan. “Jadi anak yang baik ya... terus sihat, terus kuat. Jangan lupa doktor.”
Sofea segera menghampiri, memeluk Adam dari belakang, cuba menenangkan anak itu yang masih teresak.
“Sayang... dah, Adam... Mummy ada, kan? Mummy ada...” bisiknya sambil mengusap kepala Adam penuh kasih.
Dr. Awina mengesat air matanya perlahan, namun hatinya masih berat. Pelukan erat dari seorang anak istimewa itu terasa begitu dalam — seolah-olah membawa bersamanya satu ikatan jiwa yang tidak akan putus hanya kerana jarak dan waktu.
Dr. Awina menyeluk beg tangannya dan mengeluarkan sebuah bungkusan kecil berbalut kertas biru lembut. Dia hulurkan kepada Adam yang sudah mula tenang di pelukan Sofea.
“Untuk Handsome Boy… hadiah daripada doktor.”
Adam memandang hadiah itu dengan mata yang masih merah. Perlahan-lahan dia buka bungkusan tersebut.
Di dalamnya ada sebuah buku kecil berkulit tebal berwarna coklat tua, dan sebatang pen biru dengan nama "Adam" terukir di sisinya. Di muka dalam buku itu, tertulis nota tangan:
"Tulis semua cerita Adam di sini. Doktor nak Adam terus bercerita, walaupun doktor dah jauh."
Adam senyum sedikit. Dia peluk buku itu erat-erat. “Terima kasih, Doktor.”
Sebelum mereka berpisah, Dr. Awina memandang Sofea dalam-dalam, seolah-olah masih ada sesuatu yang ingin disampaikan dari hati seorang doktor kepada seorang ibu — atau lebih tepat lagi, penjaga yang telah memberikan seluruh jiwanya untuk seorang anak istimewa.
“Sofea...” katanya perlahan, “Saya nak Sofea tahu satu perkara.”
Sofea angguk, menanti dengan penuh perhatian.
“Adam semakin bertambah baik. Saya dapat lihat banyak perubahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dia lebih tenang, lebih fokus, dan cara dia berkomunikasi juga makin jelas. Itu satu pencapaian besar bagi anak autism.”
Sofea tersenyum sedikit, bangga tapi juga sebak.
“Tapi Sofea juga tahu... autisme bukan sesuatu yang boleh ‘sembuh’ sepenuhnya. Ia bukan penyakit yang boleh hilang dengan ubat,” ujar Dr. Awina lagi, nadanya tenang tetapi jujur.
Sofea mengangguk perlahan.
“Tapi Adam ada peluang yang sangat tinggi untuk berjaya dalam hidup, seperti anak-anak lain. Ada ramai anak autism yang cerdik, malah sangat luar biasa dari segi intelek dan kreativiti. Adam ada potensi itu. Dia hanya perlukan ruang, sokongan dan kasih sayang... yang selama ni Sofea dah beri dengan sepenuh hati.”
Air mata Sofea bergenang. Kata-kata itu terasa seperti satu anugerah, satu kelegaan yang tak ternilai.
“Tapi...” sambung Dr. Awina sambil menyentuh lengan Sofea dengan lembut, “... ciri-ciri autisme akan kekal dalam dirinya. Dia mungkin masih sukar memahami emosi orang lain, mungkin ada tingkah laku yang berulang, mungkin cepat gelisah dalam suasana tertentu. Tapi itu bukan kelemahan... itu sebahagian daripada siapa dirinya.”
Sofea menarik nafas dalam-dalam.
“Terima kasih, doktor. Bukan sekadar untuk rawat Adam... tapi sebab percaya pada dia, dan ajar saya untuk percaya juga.”
Dr. Awina tersenyum, mata berkaca.
“Teruskan percaya, Sofea. Sebab kadang-kadang... anak-anak seperti Adam bukan datang untuk diajar. Mereka datang untuk mengajar kita erti sebenar kasih sayang dan kekuatan.”
๐ถ๐ถ๐ถ๐ถ
Sofea berdiri di sisi tingkap kecil yang menghadap ruang menunggu. Dari situ, dia dapat melihat Adam sedang duduk di sofa bersama seorang jururawat muda yang sedang melayan ceritanya. Tangan kecil Adam bergerak-gerak, penuh ekspresi — seperti biasa bila dia bercerita. Wajahnya ceria semula, seolah-olah tangisan tadi sudah jauh berlalu.
Namun hati Sofea masih terasa berat.
"Anak ini…" bisik Sofea dalam hati, "…bukan dari darahku. Tapi Tuhan titipkan dia untuk mengisi ruang kosong dalam hidupku — ruang yang tak pernah aku tahu wujud sebelum ini."
Matanya tidak berkelip memandang Adam.
"Sungguh… aku tak tahu bagaimana hidupku kalau tanpa Adam. Dialah yang mengajar aku sabar, yang mengajar aku diam saat marah, kuat saat letih, tabah saat goyah. Dia bukan beban… dia adalah rahmat."
Air mata bergenang di hujung mata Sofea, tapi dia tidak menyeka. Dibiarkan saja mengalir perlahan. Dalam diam, dia berbicara dengan Tuhannya.
"Kalau inilah bahagiaku, ya Allah… maka izinkan aku menjaganya sampai akhir nafasku. Aku tak mahu dia rasa dia kurang, tak mahu dia tahu dunia ini kadang kejam pada anak seperti dia. Aku mahu dia tahu… dia disayangi, diterima… dan tak pernah bersendirian."
Dari jauh, Adam memandang ke arah tingkap. Seolah-olah nalurinya tahu ada mata yang sedang memerhati. Dia melambai dan tersenyum, senyuman polos yang cukup untuk melegakan jiwa Sofea.
Sofea membalas lambaian itu, dan kali ini dia senyum sambil berbisik perlahan,
"Selagi ada Mummy, Adam takkan pernah hilang tempat untuk pulang."
Comments
Post a Comment