Bab 10 - Seagung Cinta Ini

 Sejak pertemuan pertama mereka di bilik rawatan itu, hubungan Sofea dan Ryann kian rapat. Ada sahaja kesempatan untuk mereka berbual — kadang-kadang di halaman rumah apabila Sofea membuang sampah atau bermain dengan Adam, kadang-kadang pula ketika Ryann pulang dari hospital atau selesai berjoging. Ada masa, Sofea menyuruh Adam menghantar sepotong kek kegemaran Ryann; dan ada ketikanya, Ryann pula muncul dengan bungkusan buah-buahan segar untuk mereka.


Namun, di sebalik momen-momen mesra itu, hati Sofea tidak pernah benar-benar tenang. Ada waktu-waktu tertentu, rasa takut datang menyelinap tanpa amaran. Takut jika hatinya semakin terpaut kepada lelaki itu. Takut untuk jatuh cinta sekali lagi. Takut dikhianati. Takut luka lama berdarah kembali.


Bila rasa itu menekan jiwa, Sofea memilih untuk menjauh. Dia mengelak daripada keluar rumah, bimbang terserempak dengan Ryann. Tetapi ada keadaan yang tidak dapat dielakkan — seperti di kiosk. Setiap pagi, Ryann pasti muncul. Waktu itu, Sofea hanya melayan seperti pelanggan lain, suaranya hambar, senyumannya sekadar formaliti.


Ryann, seolah memahami, tidak pernah memaksa. Tetapi ada kalanya dia sengaja menunggu Adam di luar pagar. Saat kelibat anak kecil itu muncul, dia segera memanggilnya. Pertanyaan yang keluar hampir sama setiap kali — di mana Sofea? Dan dengan jujur polosnya, Adam akan menjawab, “Mama tengah masak… atau bakar kek,” tanpa sedar jawapan itu membuat Ryann terus menunggu peluang lain untuk menemuinya.

🔶🔶🔶🔶


Hujan turun renyai malam itu.  Suasana kawasan perumahan Indah Permainan sunyi hanya ditemani bunyi titisan air di bumbung seramik. Sofea duduk di teres rumah sambil meneguk teh panas, memandang jauh ke jalan yang samar-samar dibasahi lampu jalan.


Kereta Ryann berhenti perlahan di hadapan pagar rumahnya. Lelaki itu keluar, melambai2 tangan ke arah Sofea, kemudian membuka pintu pagar dan masuk ke dalam keretanya dan kereta itu hilang di sebalik tembok rumah yang memisahkan rumahnya dengan rumah Ryann. Kemudian pemuda itu keluar Dan berdiri di hadapan pagar rumah Sofea dengan paying ditangannya. Dia tersenyum dengan senyuman yang sederhana tetapi cukup untuk membuat dada Sofea bergetar. Sofea memberi isyarat supaya Ryann masuk ke dlm tetes rumahnya. 


“Saya lalu sini tadi… nampak lampu rumah awak masih menyala. Harap tak mengganggu,” kata Ryann, suaranya rendah tapi hangat.


Sofea menggeleng, lalu menjemputnya duduk. Sejenak, mereka hanya mendengar bunyi hujan.


“Dah agak lewat ni… awak belum tidur lagi?” tegur Ryann dengan suara rendah, bimbang melihat Sofea masih di serambi rumah, memeluk lengannya sendiri menahan dingin malam.


“Saya tunggu Nadia,” jawab Sofea perlahan, matanya sesekali memandang ke arah jalan yang basah berkilau dek cahaya lampu. “Lewat pula dia balik malam ni. Saya call tadi, katanya masih di galeri… tapi dah lama. Lepas tu saya call lagi, tak ada jawapan.” Nada suaranya sarat dengan resah yang cuba disembunyikan.


 “Tunggu sekejap lagi… mungkin jalan jem sebab hujan. Tadi saya balik pun jem teruk, tu yang lewat sampai rumah.”


Sofea mengangguk perlahan. Kata-kata itu, walaupun ringkas, sedikit sebanyak melegakan hatinya. Di tengah deru hujan dan bunyi renyai di atas atap seramik merah, rasa risau itu perlahan-lahan berkurang — diganti dengan kesedaran bahawa malam ini, dia tidak menunggu sendirian.

“Adam dah tidur?” tanya Ryann perlahan, seolah takut mengganggu suasana malam yang hanya diiringi bunyi hujan renyai.


“Dah… jam sembilan setengah tadi dia dah masuk bilik,” jawab Sofea sambil membetulkan duduknya.


“Eloklah tu… budak-budak tak elok tidur lewat,” kata Ryann sambil memandangnya. Ada sedikit ragu di wajahnya sebelum dia bersuara lagi. “Saya nak tanya… maaf kalau soalan ni mengusik hati awak.”


Sofea tersenyum nipis. “Tanyalah… baru saya tahu mengganggu atau tak.” Dia sudah bersedia, walaupun tak pasti soalan apa yang akan keluar.


“Awak tinggal dengan adik-beradik… saya tak pernah nampak ibu bapa awak.”


Sofea terdiam. Dada terasa sesak. Bayangan wajah ibu dan ayahnya terlintas sekejap di fikiran. Dia menarik nafas panjang sebelum memandang Ryann, matanya berkaca.


“Mereka dah tak ada…” suaranya perlahan, hampir tenggelam dalam bunyi hujan.


Ryann segera tunduk sedikit, wajahnya penuh kesal. “Maaf… saya tak tahu. Saya tak berniat—”


“Tak apa,” potong Sofea lembut. “Mereka meninggal tujuh tahun lepas… kemalangan.” Dia menyeka hujung matanya dengan lengan baju.


“Allahu…” Ryann menghela nafas panjang. “Masa tu Adam…?”


“Baru tiga tahun,” jawab Sofea.


Ryann mengangguk perlahan, memandangnya dengan penuh pengertian. “Patutlah Adam rapat sangat dengan awak… dan awak pun layan dia macam anak sendiri.”

Sofea tersenyum. Dia sayangkan Adam seperti dia sayangkan adik-adiknya yang lain juga. Mereka sebahagian Dari diri Dan nyawanya.

“Ada masa… saya suka hujan,” kata Ryann perlahan. “Bunyi dia buat saya rasa… tenang. Macam dia cuci semua bising dalam kepala.”

Sofea tersenyum tipis. “Saya pun rasa begitu. Cuma… kadang-kadang hujan juga mengingatkan saya pada sesuatu yang hilang.”

Ryann merenung ke arah Sofea. Tidak dapat dijafikan wajah wanita itu sungguh ayu.

“Awak… kalau saya tanya satu soalan lagi… boleh tak?” suara Ryann kedengaran ragu-ragu.


Sofea mengangkat wajahnya sedikit. “Tanyalah… you’re free to ask.”


Ryann menelan liur. “Kenapa awak menangis masa di taman hospital hari tu?”


Pertanyaan itu membuat dada Sofea bergetar. Dia terdiam. Dalam hatinya, nama itu muncul lagi. Farid… kau lagi. Sampai sekarang kau masih menyusahkan hati aku. Nafasnya terasa berat. Perlukah dia menjawab? Selama ini, rahsia itu disimpan rapi. Nadia, Adam, malah Angah—tiada siapa yang tahu bahawa dia sudah lama mengetahui tentang wanita itu… dan anaknya.


Melihat Sofea membisu, Ryann cepat-cepat menambah, “Maaf… maaf, Sofea. Kalau susah nak jawab, tak payah.”


Namun kata-kata itu tidak mampu menahan air mata Sofea. Rasa sebak yang ditahan akhirnya pecah. Dia menangis teresak-esak, bahunya sedikit terangkat menahan sendu.


Ryann hanya mendiamkan diri, menyesal kerana bertanya. Ya Allah… kalau dia menangis sampai begini, pasti yang dia lalui bukan perkara kecil. Ini luka yang dalam, yang mencengkam hati.


“Maaf, Sofea… saya tak berniat buat awak menangis.”


Sofea menggeleng perlahan. Suaranya pecah di celah tangis. “Bukan awak yang buat saya menangis… hati saya yang tak mampu terima kenyataan ni. Luka ni… belum sembuh. Saya… masih belum boleh melupakan.”


Ryann memandangnya, kali ini tanpa mendesak. “Apa sebenarnya yang berlaku?”


Sofea menarik nafas panjang, seolah mengumpul kekuatan. “Tunang saya… dia terbunuh sekali dalam kemalangan tu. Malam yang sama dengan ibu dan ayah saya.”


“Allahu… awak kehilangan mereka serentak?”


Dia mengangguk. “Tapi… bukan itu saja yang buat hati saya pedih.”


Ryann diam, Ryann berpaling memandangnya, seakan meminta Sofea meneruskan. Dan malam itu, tanpa dia sedar, lidahnya meluah segalanya — kisah kemalangan yang meragut nyawa ibu bapanya, pengkhianatan Farid, dan bagaimana dia hampir hilang kepercayaan pada manusia. 


“Seminggu selepas kemalangan, saya ternampak seorang wanita datang ziarah kubur Farid. Dia menangis lama di situ… saya hanya memerhati dari jauh. Sejak hari tu, hati saya tertanya-tanya… siapa dia? Masa kami bertunang, tak pernah ada cerita pasal perempuan lain. Memanglah kami tak selalu jumpa—kerja saya di hotel sibuk, Farid pula banyak masa kerja di pelantar minyak.”


Sofea berhenti sekejap, mengesat sisa air mata. “Lima bulan kemudian, saya jumpa lagi perempuan tu di kubur Farid. Kali ni… kandungan dia besar. Saya tanya kubur siapa yang dia ziarah, dia jawab—kubur arwah suaminya yang meninggal dalam kemalangan di pelantar minyak.”


Ryann menahan nafas, mula mengerti arah cerita ini.


Sofea menarik nafas dalam sebelum menyambung. “Hari itu… di taman hospital, saya jumpa dia lagi. Tapi kali ni… dia bersama seorang anak perempuan. Cantik, comel… saya tanya namanya. Dia jawab—Nur Faridah Azlia binti Muhammad Farid Azli.”


Sofea tidak mampu meneruskan. Tangisnya pecah lagi.


Ryann hanya mampu menghela nafas berat. Rupanya… bukan aku saja yang pernah dikhianati orang yang paling kita sayang dan percaya.

Ryann mendengar tanpa menyampuk. Hanya matanya yang kelihatan semakin lembut, seolah memahami setiap retakan di hati Sofea. Bila dia mula bercerita tentang dirinya — kegagalan menjaga tunang yang akhirnya memilih adiknya sendiri, rasa kecewa kerana tidak mampu mengubah apa yang terjadi — Sofea pula menjadi pendengar yang diam namun penuh simpati.


Tidak lama kemudian, kedengaran deruman enjin kereta di hadapan pagar rumah. Hujan sudah mula reda, hanya tinggal titis-titis kecil yang jatuh perlahan di atas bumbung. Sofea segera bangun dan membuka pagar. Kereta Nadia perlahan-lahan masuk ke ruang parkir.


Nadia melangkah keluar, memeluk beberapa buah buku dan beg tangannya sekali gus.

"Sorry, Long... banyak kali Nad cuba call Along, tapi tak dapat. Tadi ada accident, jadi polis kawal trafik," jelasnya sambil menarik nafas lega.


Nadia sempat menoleh ke arah tetamu yang duduk di kerusi di tepi.

"Ehh… Along ada tetamu. Doktor sebelah rumah, kan?" tegurnya sambil tersenyum.


Ryann membalas dengan anggukan sopan sebelum bangun dan mencapai payungnya.

"Saya minta diri dulu… adik awak pun dah sampai," katanya dengan nada ramah.


"Baik… terima kasih," balas Sofea, memandang langkah Ryann yang perlahan menjauh.

Di luar, hujan sudah berhenti dan di dalam, dua hati yang pernah hancur mula merasakan sesuatu yang hampir mereka lupakan — rasa ingin percaya semula.


Dan walaupun kedua-duanya sedar mereka masih terlalu berhati-hati untuk menyebut perkataan “cinta”, malam itu meninggalkan sesuatu yang takkan mudah pudar.


Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini