Bab 11 - Seagung Cinta Ini

 Dari jauh, Nadia memerhati kakaknya yang sedang berbual bersama Rayyan di tepi kiosk. Senyuman yang terukir di wajah Sofea membuatkan hati Nadia terasa hangat. Sudah lama dia tidak melihat kakaknya tertawa begitu — tulus, tanpa dipaksa.


Alhamdulillah… mungkin Along dah mula menerima cinta lagi, bisik hati Nadia. Dia tahu betapa sukarnya Sofea untuk membuka pintu hati selepas kecewa dengan kematian tunangnya. Tapi kini, melihat cara Sofea memandang Rayyan… Nadia yakin, ada sesuatu yang perlahan-lahan berubah.


Rayyan kelihatan begitu sabar dan berhati-hati melayan kakaknya. Seolah-olah dia tahu Sofea pernah rapuh, dan kini dia berusaha memulihkan kepingan hati itu sedikit demi sedikit. Nadia hanya mampu tersenyum, mendoakan agar kebahagiaan ini terus mekar.


 Rayyan membisikkan sesuatu kepada Sofea, membuatkan kakaknya ketawa kecil sambil menutup mulutnya. Wajahnya tampak begitu ceria — jelas sekali dia sedang benar-benar gembira.

“Happy nampaknya Along,” usik Nadia sebaik sahaja Sofea masuk ke dalam kereta.

Sofea tersenyum sambil menarik pintu rapat. “Apa doktor Ryann tu nak sebenarnya?” tanya Nadia lagi, matanya sempat melirik ke arah Rayyan yang tadi berbual mesra dengan kakaknya sambil mencatat sesuatu di telefon.


“Katanya nak belajar buat kek keju,” jawab Sofea sambil memasang tali pinggang keledar. “Dia tanya bahan-bahan. Along cakap tak payah beli sebab semua dah ada kat rumah… tapi dia nak beli juga.”


Nadia hanya tersenyum sambil mengangguk, kemudian memulas stereng, meninggalkan kawasan kiosk.


“Kenapa Adam tak ikut dengan Nad?” tanya Sofea apabila mendapati adiknya itu tidak bersama Nadia menjemputnya.


“Biasalah… sejak Angah balik, dia berkepit terus dengan Angah. Sekarang ni Angah pergi jumpa kawan dia.”


Sofea mengerling nakal. “Girlfriend?”


Nadia mengangkat bahu, tanda dia sendiri tak pasti.


“Bila doktor tu nak belajar buat kek, Long?” soal Nadia lagi sebaik mereka tiba di rumah.


“Esok pagi… sebab petang Along sibuk nak masak untuk makan malam kita,” jawab Sofea sambil tersenyum mengingatkan sesuatu. “Jangan lupa… esok malam Along nak semua ada. Along nak masak special untuk adik-adik Along.”


“Hari-hari pun Along masak special untuk kita orang,” balas Nadia sambil mencuit dagu kakaknya.


Sofea ketawa kecil, hatinya berbunga. Rasa gembira itu bukan kerana pujian semata-mata, tetapi kerana adik-adiknya menyedari setiap usaha dan kasih sayang yang dia curahkan.

๐Ÿ”ถ๐Ÿ”ถ๐Ÿ”ถ๐Ÿ”ถ


Keesokan paginya, suasana dapur rumah Sofea terasa hangat dengan bau mentega yang baru cair dan aroma vanila yang manis. Di atas meja, segala bahan untuk kek keju sudah tersusun rapi — tepung, gula, telur, keju krim, dan mentega.


Rayyan berdiri di sebelah Sofea, lengan bajunya digulung hingga ke siku. “Baiklah, cikgu. Arahan pertama?” tanyanya sambil memegang sudu kayu seperti seorang pelajar yang bersedia di depan papan hitam.


Sofea tersenyum nipis. “Mula-mula, pukul mentega dan gula ni sampai sebati. Biar lembut, jangan ketul-ketul. Ehhh....tengoklah arahan dalam resepi tu juga".


Rayyan mengangguk, lalu mula memukul adunan dengan penuh bersungguh-sungguh. “Macam ni cukup lembut tak?”


Sofea menjeling. “Itu dah macam nak buat senaman lengan.” Dia ketawa kecil lalu mengambil alih senduk di tangannya. “Biar saya tunjuk.”


Rayyan membiarkan, namun sempat mencuri pandang wajah Sofea yang serius mencampur adunan. Dia tiba-tiba membisikkan sesuatu di telinga Sofea.


Entah apa yang dikatakan lelaki itu, Sofea ketawa spontan sambil menutup mulutnya, cuba menahan rasa malu. Pipi yang sedikit merah itu membuatkan Rayyan tersenyum puas.


Dari ruang makan, Nadia bersandar di tiang, memerhati dengan hati yang hangat. Kakaknya kelihatan gembira… benar-benar gembira.


“Okay, sekarang masukkan telur satu-satu,” arah Sofea sambil menyerahkan mangkuk kecil kepada Rayyan.


Rayyan mengikut arahan, tetapi entah bagaimana, sebiji telur hampir tergelincir dari tangannya. Nasib baik Sofea cepat-cepat menyambutnya.


“Kalau jatuh, awak kena basuh dapur ni,” usik Sofea.


“Baik, bos!” balas Rayyan sambil memberi tabik hormat.


Nadia tersenyum sendiri. Malam ini… aku mesti beritahu Along tentang Italy. Dia yakin, dengan Rayyan ada di sisi, Along akan mendengar tanpa rasa marah atau risau. Lelaki itu pandai menenangkan dan membuatkan segalanya terasa mudah.


Tiba-tiba Helmy melangkah masuk ke dapur bersama Adam.

“Wah… patutlah dapur kita ceria pagi ni. Rupanya chef ada murid baru,” usiknya sambil tersenyum lebar.


Mereka semua serentak ketawa.


Adam terus mendekati Sofea dan Rayyan. “Cheese cake… Adam tahu!” katanya penuh yakin.


“Bijaknya adik ni,” puji Rayyan sambil mengangkat ibu jari. Sofea pula tersenyum dan menggosok lembut rambut adiknya.


“Jom kita sarapan dulu,” pelawa Helmy. “Doktor, marilah. Ada mi goreng mamak dengan cucur nangka.”


“Terima kasih… kami dah sarapan tadi,” balas Rayyan ramah.


“Ya, Angah… Along, doktor, dan Nad dah makan pagi tadi. Angah kan masih tidur masa tu,” tambah Sofea sambil tersenyum.


“Ohhh, ye ke?” Helmy tergelak kecil. “Jom, Adam… kita sarapan.”


Helmy dan Adam kemudian beredar ke ruang makan, meninggalkan Sofea dan Rayyan meneruskan kerja mereka di dapur.


๐Ÿ”ถ๐Ÿ”ถ๐Ÿ”ถ๐Ÿ”ถ


Selesai makan malam, Helmy bersandar di kerusi sambil mengesat mulut dengan tisu.

“Fuh… sedap betul nasi briyani Along malam ni. Lima tahun Angah rindu masakan ni,” katanya sambil menghela nafas puas.


Sofea tersenyum. “Biasa saja tu… mungkin sebab Angah dah lama tak makan, tu yang rasa sedap sangat.”


“Eh, bukan sebab tu saja,” bantah Helmy sambil tersenyum. “Dekat US pun Angah pernah makan nasi briyani… tapi tak ada yang sesedap briyani Along.” Dia mengangkat ibu jari tanda setuju dengan dirinya sendiri.


Rayyan yang duduk di hujung meja turut mengangguk. “Betul tu. Saya pun baru rasa nasi briyani paling sedap dalam hidup saya.”


“Nahhh… doktor pun kata benda yang sama,” sambung Helmy sambil ketawa kecil.


Sofea hanya menggeleng sambil tersenyum, hatinya terasa hangat dengan pujian itu.


“Mungkin sebab masakan ni dimasak dengan penuh kasih sayang,” ujar Nadia sambil tersenyum.


“Dan sebab chef kita sekarang tengah bahagia,” sambung Helmy nakal.


Sofea ketawa kecil. “Memanglah Along bahagia… adik-adik Along semua ada bersama. Dah lama Along impikan momen macam ni.”


“Kami pun bahagia… sebab Along dah jumpa semula kebahagiaan Along,” balas Helmy sambil sengaja menendang kaki kakaknya di bawah meja.


Wajah Sofea merona merah, matanya melirik ke arah adiknya itu.


“Kan, doktor?” kata Helmy sambil mengangkat kening ke arah Rayyan yang hanya tersengih lebar.


๐Ÿ”ถ๐Ÿ”ถ๐Ÿ”ถ๐Ÿ”ถ


“Eh… mari semua rasa kek keju buatan saya,” kata Rayyan sambil meletakkan kek keju yang mereka buat pagi tadi di tengah meja makan.


Helmy dan Nadia yang sedang menyusun pinggan mangkuk yang sdh dikeringkan ke dalam almari segera kembali ke ruang makan.


Sofea mencapai pisau pemotong kek Dan menghulurkannya pada Ryann. Rayyan tersenyum sambil mengangkat tangan.

“Awaklah yang potong… saya tak pandai. Nanti senget,” katanya, ketawa kecil.


“Eh, eh… tunggu dulu,” potong Nadia dengan nada nakal. “Dua-dua kena potong kek tu, baru adil.”


Helmy sudah bersedia dengan kamera di telefon. “Baiklah, chef dan muridnya potong kek. Saya nak ambil gambar.”


Mereka berdua berdiri rapat di tepi meja, memegang pisau bersama. Helmy dan Adam mengambil gambar dari pelbagai sudut, siap dengan gaya candid.


Tiba-tiba Rayyan mencuit sedikit krim kek lalu menyapunya di hujung hidung Sofea. Sofea terkejut, ketawa sambil menepis tangannya. Adam turut ketawa besar melihat aksi itu.


Sofea kemudian memotong sekeping kek dan meletakkannya di atas pinggan untuk Rayyan. Semua momen itu diabadikan oleh Helmy, lengkap dengan gambar-gambar penuh gelak tawa.



Setelah sesi bergambar penuh gelak tawa itu selesai, mereka semua kembali duduk di meja. Potongan kek keju yang lembut dan berkrim menjadi hidangan penutup, dinikmati bersama sambil berbual-bual dalam suasana hangat kekeluargaan.

Tiba-tiba Helmy meletakkan garfu di pinggan, wajahnya kelihatan serius tetapi matanya bersinar.
"Ada sesuatu yang saya nak beritahu pada semua," katanya, membuatkan Sofea, Nadia, dan Ryann berpaling kepadanya.
"Saya baru saja menerima tawaran kerja di Amerika Syarikat. Dalam nada tiga bulan lagi saya akan berangkat."

Sofea tersentak, senyuman di wajahnya perlahan-lahan pudar.
"Amerika?" soalnya perlahan, seakan tidak percaya.
Helmy mengangguk sambil tersenyum tipis. "Ya, Along… peluang ni memang saya tunggu-tunggu."

Belum sempat suasana kembali tenang, Nadia pula menyandarkan tubuhnya ke kerusi sambil tersenyum penuh makna.
"Nampaknya bukan Helmy saja yang ada berita," katanya sambil memandang seorang demi seorang di meja.
"Saya pun dapat tawaran biasiswa ke Itali… untuk sambung belajar dalam bidang seni lukis.

Sofea terpaku mendengar kata-kata kedua-dua adiknya. Berita yang baru disampaikan itu bagai dentuman halilintar menyambar di langit tenang. Dadanya terasa sesak, matanya tiba-tiba berkaca. Sebak yang sejak tadi ditahan kini menyesak di kerongkong, menunggu masa untuk pecah.

Perasaan kehilangan kembali membungkus relung hatinya. Rasa ditinggalkan itu terlalu familiar — seolah-olah takdir sedang mengulangi luka lama.
Ya Allah… aku bakal kehilangan lagi orang-orang yang aku sayang, jerit hati kecilnya.

Dengan langkah perlahan, Sofea bangun. Kerusi yang didudukinya bergeser perlahan, bunyinya seakan memecahkan kehangatan di ruang makan. Tanpa sepatah kata, dia meninggalkan meja itu, melangkah masuk ke biliknya.

Adam yang duduk di sebelah segera perasan perubahan wajah kakaknya. Dia pantas melompat turun dari kerusi, mahu mengejar, tetapi Helmy cepat menahan.
“Along… nanti jatuh lagi. Nanti Along sakit,” pujuk Helmy sambil memeluknya.
Adam mula menangis dalam dakapan abangnya, hatinya sama-sama terasa berat melihat kakak yang mereka sayangi itu menghilang.



“Nanti Along jatuh lagi… nanti Along sakit,” kata Adam sambil menahan esak tangisnya.
“Tak… Along okey tu,” pujuk Helmy, lalu menarik Adam ke dalam pelukannya.

Nadia hanya diam. Rasa kecewa mengusik hatinya kerana kakaknya masih belum mampu merelakan mereka pergi mengejar impian masing-masing.

Ryann memerhati suasana itu dengan hati yang sayu. Dia melihat betapa dalamnya kasih Sofea terhadap adik-adiknya, sehingga wanita itu seakan tidak sanggup berpisah walau seketika. Dia pernah menyaksikan bagaimana Sofea sanggup menunggu Nadia pulang lewat malam, memasak hidangan kegemaran adik-adiknya, dan menjaga Adam yang sentiasa mahu berada di sisi Alongnya.

Dia juga melihat bagaimana Helmy memeluk Adam penuh kasih sayang. Saat itu, Ryann mengerti hikmah di sebalik kehilangan tujuh tahun lalu — keluarga ini dianugerahkan kasih sayang yang luas, seperti lautan yang tiada bertepi.


Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini