Sejak pertemuan makan malam bersama adik-adiknya tempoh hari, hati Sofea semakin kacau. Kehadiran Rayyan membuatkan senyuman kembali singgah di wajahnya, namun dalam diam ada sesuatu yang menahan.
Di balkoni rumah, Sofea berdiri memandang langit malam. Angin lembut menyapa wajahnya, seakan membawa bisikan yang tiada jawapan. Hatinya berdialog sendiri.
"Baru semalam aku mengenalinya… hanya beberapa bulan saja pun. Macam mana aku boleh izinkan hati ini terbuka lagi? Farid… bertahun aku mengenalnya. Tunangan sendiri, lelaki yang aku percaya… tapi akhirnya dia juga yang menikam dari belakang."
Sofea menarik nafas panjang. Ada rasa bersalah pada dirinya sendiri. Dia tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama.
Rayyan pula semakin kerap hadir — dengan cara yang sederhana. Kadang-kadang menghantar mesej bertanya khabar, kadang singgah ke kios membantu Sofea melayan pelanggan dan mencuba resipi-rese baru di hujung minggu ketika adik-adiknya berkumpul bersama. Saat-saat seperti itu adalah saat yang paling dinanti-nantikan Sofea. Dia gembira bila Ryann bersama adik-adiknya gembira menikmati masakan yang dia sediakan khas untuk mereka. Senyumannya Ryann ikhlas, namun bagi Sofea, semuanya masih terlalu awal untuk dia menilai.
"Kalau Farid yang aku kenal sejak di universiti pun mampu menghancurkan aku, bagaimana dengan Rayyan yang baru hadir sebentar ini? Apa jaminannya dia tidak sama?" bisik hatinya lagi.
Namun jauh di sudut hati, Sofea sedar ada sesuatu yang berbeza. Rayyan tidak pernah mendesak. Dia sekadar menunggu, seolah-olah memahami luka yang masih belum sembuh.
Sofea menutup mata, merasakan getar di dada. Antara takut disakiti dan harapan untuk disayangi, hatinya masih belum bersedia membuat keputusan.
Sofea menyandarkan tubuhnya pada kerusi, memerhati Rayyan yang tekun membantu Adam menyiapkan kerja sekolah di meja makan. Sesekali dia tergelak kecil bila Rayyan bersungguh menjelaskan jawapan seolah-olah dirinya guru sebenar. Adam pula nampak begitu seronok, seakan-akan Rayyan sudah menjadi abang yang lama dinantinya.
Hati Sofea kembali bergetar. Ada sesuatu pada diri lelaki itu yang membuatkan dia ragu untuk menolak, namun dalam masa sama berat untuk menerima.
"Aku pernah disakiti oleh orang yang aku kenal bertahun… Rayyan pun sama. Malah lebih perit rasanya. Dia dikhianati oleh darah daging sendiri. Seorang adik yang sepatutnya melindungi maruah keluarga, merampas tunangnya sendiri. Kalau aku rasa pedih dikhianati Farid, entah bagaimana pula luka di hati Rayyan?"
Sofea menarik nafas panjang. Tiba-tiba dia mengerti mengapa Rayyan sering mengelak berbicara tentang keluarganya. Mengapa dia lebih selesa menutup cerita lalu. Luka itu terlalu dalam. Barangkali itulah sebabnya dia memilih untuk menjauh, untuk tidak kembali kepada mereka.
Namun satu hal yang Sofea pasti, kesakitan itu membuatkan Rayyan lebih berhati-hati, sama seperti dirinya. Dua jiwa yang sama-sama retak, kini berdiri di persimpangan—antara mahu percaya, atau membiarkan dinding luka terus memisahkan.
Rayyan menoleh sejenak ke arahnya, mengukir senyum ringkas sebelum kembali memberi tumpuan pada Adam. Senyum itu cukup untuk membuatkan hati Sofea berbisik perlahan:
"Mungkinkah lelaki yang sama-sama pernah terluka ini mampu menyembuhkan hatiku?"
---
Kata-kata nasihat yang disampaikan oleh Rayyan di taman permainan tempoh hari sedikit sebanyak membuatkan dia belajar untuk redha dengan takdirnya. Dia sedar, adik-adiknya tidak akan selamanya berada di sisinya. Suatu hari nanti, apabila mereka sudah memiliki keluarga sendiri, tumpuan dan kasih sayang mereka pasti akan terarah kepada keluarga masing-masing.
“Ketika itu, aku tidak lagi berhak untuk mengikat hidup mereka denganku,” bisiknya dalam hati.
Yang tinggal hanyalah Adam — satu-satunya yang masih bersamanya, satu-satunya yang dikasihi sepenuh jiwa. Kini, perlahan-lahan dia belajar untuk membiarkan Adam membesar di sampingnya tanpa rasa terkongkong. Biarlah Adam mengecap kebebasan hidupnya sendiri, kerana meskipun Adam seorang anak istimewa, dia tetap punya hati dan harapan yang harus dihargai.
🔶🔶🔶🔶
Suasana di gerai tepi pantai itu riuh dengan suara pelanggan dan deruan ombak. Namun, di meja kecil mereka, hanya ada tawa ringan yang terasa hangat. Lama benar Sofea tidak menikmati udara luar begini, tidak perlu memikirkan tentang kios, tentang masakan, tentang tanggungjawab yang tak pernah habis.
“Along…” suara Helmy lembut, “kenapa tak buka kafe macam impian Along dulu? Kan lebih seronok.”
Sofea tersenyum tipis, lalu menggeleng. “Angah… impian tu Along dah lama tinggalkan. Sekarang, apa yang Along ada hanyalah kamu semua. Adam masih kecil, dia tanggungjawab Along.”
Helmy terdiam seketika, kemudian menghela nafas. “Kalau macam tu… Angah tak jadi pergi luar negara. Angah nak tolong Along buka kafe tu.”
Sofea menoleh, terperanjat. “Kenapa Angah nak tolak tawaran tu? Itu cita-cita Angah…”
“Cita-cita Angah boleh tunggu. Sekarang, Angah nak jaga Along pula.”
Sofea tergelak kecil, tapi matanya redup. “Cakap terus teranglah, Angah. Atau sebenarnya sebab Along tak izinkan Angah kerja jauh?”
“Tak, Long…” Helmy tersenyum. “Angah cuma nak ada dengan Along dan Adam. Lagi pun, kalau Nad betul-betul ke Itali nanti, siapa yang akan teman Along?”
Sofea memandang wajah Helmy, kemudian Nadia, silih berganti. Dia menggeleng perlahan, cuba menahan sebak. “Jangan, Angah. Jangan korbankan masa depan kamu berdua hanya kerana Along. Along dah putuskan, kamu berdua mesti kejar impian masing-masing. Along reda.”
Mata Sofea berkaca. Cepat-cepat dia menunduk, mengelus rambut Adam supaya air matanya tidak terlihat.
“Betul ke ni, Long?” suara Nadia bergetar. Dia menggenggam lengan Sofea.
Sofea hanya mengangguk perlahan.
“Alhamdulillah…” Nadia menadah tangan, bibirnya menguntum senyuman penuh syukur.
Helmy pula mengangguk kecil. “Tak apalah, Long. Kebetulan Angah dapat tawaran kerja di sini juga. Jadi Angah tetap boleh ada dekat dengan kamu semua.” Dia sengaja berkata begitu agar Alongnya tidak dihantui rasa bersalah.
Nadia tersenyum semakin lebar. “Terima kasih, Long… terima kasih, Angah.”
Helmy berpaling padanya dengan wajah berlagak hairan. “Kenapa terima kasih dengan Angah pula?”
“Kalau Angah ada di sini, Nad tak risau nak tinggalkan Along dan Adam. Sekurang-kurangnya ada yang jaga.”
Suasana kembali ceria. Helmy menepuk meja perlahan. “Sudahlah, jom makan. Nanti aiskrim cair tu. Tengok Adam, nak habis dah tu.”
“Adam makan nasi juga, ya… cepat besar nanti.” Helmy mengusik.
Adam tersengih sambil mengangguk. “Nanti Adam besar macam Angah… macam Abang Rayyan juga.”
Seketika dia terhenti, menoleh pada Sofea. “Long… kenapa Abang Rayyan tak ikut kita jalan-jalan hari ni?”
Sofea tersenyum, menyembunyikan sesuatu di balik tenangnya. “Abang Rayyan ada tetamu datang rumah. Lain kali dia ikut kita, ya.”
Adam hanya mengangguk-angguk, lalu kembali menjilat aiskrimnya dengan senyum puas.
Sedang mereka rancak berbual, tiba-tiba kelihatan seseorang melangkah dari arah pantai. Adam yang lebih dahulu nampak lalu bersuara, “Long! Tu Abang Rayyan!”
Sofea serta-merta mendongak. Lelaki itu melambai kecil, wajahnya tenang seperti biasa. Hati Sofea berdebar—dia tidak menyangka Rayyan akan muncul di sini.
“Assalamualaikum…” Rayyan menegur mesra sambil menarik kerusi di sisi meja mereka.
“Waalaikumussalam,” jawab Sofea perlahan. Helmy dan Nadia turut menyambut dengan senyum tipis.
“Boleh saya join sekali?” tegur Rayyan sambil tersenyum lebar, kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar.
Helmy menoleh dan mengangguk sambil membalas senyuman. “Boleh, silakan doktor! Nak makan apa? Saya orderkan.”
Rayyan menarik kerusi lalu duduk di sebelah Adam. “Terima kasih, tapi saya dah makan tadi. Uncle dan sepupu saya datang rumah, bawa pasembor dengan mee goreng Siam. Kenyang lagi ni.”
“Kalau macam tu, pesanlah minuman. Kita boleh sembang-sembang,” cadang Nadia sambil menolak menu ke arahnya.
Rayyan tersenyum kecil. “Hmm… okeylah. Saya nak Milo ais.”
Adam yang sejak tadi asyik menjilat ais krimnya tiba-tiba bersuara ceria, “Abang Rayyan nak ais krim tak? Sedap tau! Ais krim Oreo dengan vanilla!”
Rayyan tergelak kecil lalu mengusap kepala Adam. “Habis tu, kalau Adam kata sedap… saya pun naklah. Tukar, saya nak ais krim Oreo vanilla saja.”
Sofea tersenyum melihat telatah mereka. Gelak kecilnya tenggelam bersama bunyi deruan ombak dan angin laut yang menyapa.
Pelayan datang mengambil pesanan mereka lalu berlalu pergi.
Rayyan kemudian menoleh kepada Adam, suaranya lembut penuh mesra. “Lepas ni nak pergi mana pula, hero kecil?”
Adam memandang Helmy sejenak, kemudian menjawab, “Tak tahu lagi… tanya Angah.”
Helmy tersenyum sambil mengusap bahu adiknya. “Lepas ni Angah bawa Adam baliklah. Esok kan Adam kena bangun awal. Ada sekolah, kan?”
Adam mengangguk kecil sambil memeluk cawan ais krimnya, senyum puas.
🔶🔶🔶🔶
Sofea, aku ada benda nak cakap sikit," ujar Ryann sambil menyuap aiskrim ke mulutnya.
"Apa dia? Cepatlah cakap..." balas Sofea dengan nada ingin tahu.
Ryann menjeling Helmy sambil tersenyum kecil. Helmy faham, mungkin Ryann ada hal peribadi yang ingin dibincangkan dengan kakaknya.
"Kau habiskan dulu aiskrim tu..." kata Helmy kepada Ryann. "Aku nak bawa Adam dengan Nad pergi kedai buku kat seberang jalan tu," sambungnya sambil menunjuk ke arah kedai tersebut.
Adam terus bersorak riang apabila mendengar cadangan Helmy.
"Yeay! Adam nak beli buku cerita bahasa Inggeris!" katanya sambil menarik tangan Helmy.
"Okay... Nad ikut abang dengan Adam," kata Helmy. "Doktor... Along... korang berdua 'take your time'," pesan Helmy sambil memimpin Adam dan Nadia ke keretanya yang terletak di tepi jalan.
"Okay, aku habiskan dulu aiskrim ni... kau pun settlekan jus limau tu eh? Lepas ni kita jalan-jalan kat pantai, baru aku cerita," kata Ryann.
"Nanti Angah cari kita macam mana?" soal Sofea.
"Alah, handphone kan ada... Mesti Helmy atau Nadia call kalau diorang tak jumpa kita kat sini," jawab Ryann sambil tersenyum, perasan Sofea macam resah je.
Sofea angguk perlahan, cuba bertenang.
🔶🔶🔶🔶
Comments
Post a Comment