Bab 14 - Seagung Cinta Ini

 Mentari senja merangkak perlahan, menumpahkan cahaya keemasan di hujung kaca jendela. Suasana taman perumahan dibaluti bayang-bayang redup yang kian memanjang, seolah-olah alam turut berkongsi sepi yang menapak di hatinya. Sofea duduk di beranda, memeluk lutut rapat ke dada, menghirup udara petang yang dingin dan terasa berat dengan kenangan. Ada sesuatu dalam cahaya senja itu yang membuatkan dadanya sesak — seolah-olah setiap hembusan angin membawa pulang kisah lama yang tak pernah padam.


Sejak Ryann meluahkan perasaannya, hati Sofea bagai dilanda badai yang tidak berkesudahan. Ada debaran yang tidak mampu dijinakkan setiap kali lelaki itu mendekat, ada senyuman yang mampu membuatkan dunia Sofea terasa lebih cerah. Namun, di sudut hati yang paling dalam, bayang-bayang masa lalu masih menghantuinya — luka lama yang belum kering, parut yang masih berbekas.


"Kenapa hati ini sukar benar untuk percaya pada cinta lagi?" bisik Sofea perlahan, suaranya hampir tenggelam dalam deru angin petang. Air matanya bergenang di pelupuk mata, menahan sesuatu yang selama ini cuba dikunci rapat.


Pengkhianatan Farid masih terasa perit, bagai duri yang tertanam jauh di dasar jiwa. Segala janji manis, segala impian indah, lenyap sekelip mata bersama sebuah kehilangan yang tidak pernah diminta. Luka itu belum pernah benar-benar sembuh. Sofea takut — takut untuk membuka hatinya lagi, takut untuk kembali menaruh harapan hanya untuk dihancurkan sekali lagi.


Ryann hadir dengan segala kebaikan dan ketulusan, terlalu sempurna hingga terasa bagai sebuah mimpi yang mustahil dimiliki. Adakah dia mampu membalas cinta lelaki itu? Adakah dia, dengan segala kekurangan dan ketakutan yang menghimpit, layak dicintai sebegitu rupa?


Setiap kali Ryann cuba mendekat, Sofea membina tembok. Dia mencipta jarak, mencipta alasan, menolak tanpa benar-benar menolak. Dia tahu, semakin dia mengizinkan dirinya hanyut dalam senyuman lelaki itu, semakin dalam dia akan jatuh. Dan jika dia jatuh… dia tahu, sakitnya nanti mungkin tak tertanggung.



---


Petang itu, ketika mentari senja menumpahkan cahaya keemasan di halaman rumah, Ryann muncul tanpa diduga. Sofea yang baru hendak melangkah masuk ke dalam rumah, terhenti di beranda. Degup jantungnya bertambah kencang.


"Sofea, kenapa awak mengelak daripada saya?" suara Ryann lembut, namun tegas. Ada sendu yang disembunyikan di balik tenang wajahnya.


Sofea memalingkan pandangannya, tidak berani bertentang mata. “Saya… saya perlukan masa,” suaranya lirih, hampir tidak kedengaran.


"Masa untuk apa, Sofea?" Ryann melangkah setapak ke hadapan, matanya menatap dalam ke wajah Sofea. "Untuk menolak saya?" Ada getar halus dalam nada suaranya — ketakutan seorang lelaki yang hampir kehilangan sesuatu yang amat berharga.


Sofea menggenggam erat hujung bajunya. Dia tahu dia tidak boleh terus bersembunyi. Nafasnya terasa berat, dadanya seolah-olah dihempap sesuatu yang tak terlihat.


"Ryann… saya takut," akhirnya Sofea bersuara, dan pada saat itu air matanya pecah juga. "Saya takut untuk jatuh cinta lagi. Saya takut untuk mempercayai seseorang. Saya takut… saya akan kecewa… sekali lagi."


Ryann terdiam seketika, sebelum dia berdiri tegak di hadapan Sofea. Tindakannya mengejutkan Sofea, membuatkan degup jantungnya makin tak terkawal. Ryann menggenggam kedua-dua tangan Sofea erat, seolah-olah cuba memindahkan sebahagian kekuatan dirinya kepadanya.


"Sofea," suaranya rendah, sarat dengan ketulusan, "saya tahu awak pernah terluka. Saya tahu, parut itu takkan hilang sekelip mata. Tapi saya nak awak tahu satu perkara — saya bukan dia. Saya takkan pernah biarkan awak melalui semua itu sendirian lagi. Saya janji, saya akan ada… untuk awak. Selamanya."


Sofea mendongak, memandang wajah lelaki itu. Perlahan-lahan Sofea melepaskan tangannya dari pegangan Ryann. Dia lihat segala janji terpahat di dalam mata Ryann — tiada dusta, tiada kepura-puraan. Hatinya mahu percaya, namun ketakutan itu masih menjerut kuat.


“Saya… saya tak tahu, Ryann,” suaranya pecah di hujung kata. “Saya perlukan masa untuk memikirkan semua ini.”


Ryann mengangguk perlahan. Wajahnya tenang, walau sepasang matanya sarat dengan rasa. “Baiklah, Sofea,” katanya lembut. “Saya akan beri awak masa. Tapi jangan lupa satu perkara — saya akan tetap di sini. Menunggu awak… walau selama mana sekalipun.”


Dia bangkit, kemudian melangkah pergi perlahan-lahan, meninggalkan Sofea berdiri di beranda dengan hati yang berperang hebat.


Sofea memandang bayang Ryann yang kian menjauh, dadanya bergetar hebat. Antara harapan dan ketakutan, antara mimpi dan trauma. Dia tahu, lambat laun dia perlu membuat keputusan.


Setelah Ryann pergi, Sofea termenung panjang di beranda. Kata-kata Ryann terngiang-ngiang di telinganya. Dia dapat merasakan ketulusan dalam setiap ucapannya, namun ketakutan masih menghalanginya untuk mempercayai Ryann sepenuhnya.

 

Sofea tahu Ryann juga menyimpan luka yang dalam di hatinya. Ryann pernah bercerita padanya tentang kisah lima tahun lalu, dimana tunangnya telah mengkhianatinya dengan adik kandungnya sendiri. Lebih menyakitkan, ibu dan ayahnya telah mengetahui tentang hubungan sulit itu, namun memilih untuk merahsiakannya daripada Ryann.

 

Pengkhianatan itu menghancurkan Ryann. Dia merasa dikhianati oleh orang-orang yang paling dekat dengannya. Ryann membawa diri jauh dari keluarganya, mencari ketenangan di tempat yang baru. Dia memutuskan hubungan dengan keluarganya, tidak mampu memaafkan mereka atas apa yang telah terjadi.

 

Suatu hari, Sofea memberanikan diri untuk bertanya kepada Ryann tentang masa lalunya. Mereka sedang berjalan-jalan di tepi pantai, menikmati angin sepoi-sepoi bahasa.

 

"Ryann, boleh saya tanya sesuatu?" Sofea memulakan bicara, suaranya berhati-hati.

 

Ryann menoleh, menatap Sofea dengan senyuman lembut. "Tentu, Sofea. Apa saja."

 

"Kenapa awak tak pernah cerita tentang keluarga awak, tentang ibu bapa awak....? Keluarga awak masih ada kan?" tanya Sofea lagi.

 

Senyuman di wajah Ryann memudar. Dia menghela nafas panjang sebelum menjawab. "Dulu ada. Tapi... keadaan dah berubah."

 

Sofea menunggu Ryann untuk meneruskan ceritanya. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang pahit dalam diri Ryann.

 

"Lima tahun lalu, tunang saya... dia ada hubungan dengan adik saya sendiri," Ryann akhirnya bersuara, suaranya bergetar. "Ibu dan ayah saya tahu tentang tu, tapi mereka tak pernah beritahu saya. Saya dapat tahu sendiri, daripada orang lain."

 

Sofea terkejut mendengar cerita Ryann tentang ibu bapanya yang telah mengetahui perkara itu terlebih dahulu. Dia tidak menyangka Ryann mengalami luka dan  pengkhianatan yang begitu menyakitkan.

"Saya minta maaf, Ryann. Saya tak tahu," kata Sofea, merasa bersalah kerana telah menyentuh luka lama Ryann.

 

"Tak apa, Sofea. Bukan salah awak," Ryann membalas, cuba tersenyum. "Saya dah lama pendam cerita ni. Rasa lega sikit bila dapat cerita pada awak."

 

"Kenapa awak tak maafkan keluarga awak?" tanya Sofea lagi. "Mungkin mereka ada alasan sendiri."

 

"Alasan apa, Sofea? Alasan untuk merahsiakan pengkhianatan daripada saya? Alasan untuk melindungi tunang saya yang curang? Melindungi adik Saya yang telah menikam Saya dari belakang? Saya tak faham," jawab Ryann dengan nada yang kecewa.

 

"Mungkin mereka takut awak akan terluka?" Sofea cuba memberikan pandangan yang lain.

 

"Saya dah terluka, Sofea. Lebih terluka bila tahu mereka dah tahu lama, tapi tak pernah beritahu saya," balas Ryann.

 

Sofea terdiam. Dia faham perasaan Ryann. Pengkhianatan itu bukan hanya datang daripada tunangnya dan adiknya, tetapi juga daripada orang tuanya sendiri.

 

"Saya tak tahu nak cakap apa, Ryann. Saya cuma harap awak dapat jumpa ketenangan. Mungkin satu hari nanti, awak akan dapat maafkan mereka," kata Sofea akhirnya.

 

Ryann tersenyum pahit. "Mungkin. Tapi, buat masa ni, saya rasa lebih baik jauh daripada mereka."

 

Sofea memandang wajah Ryann sambil menepuk2 bahu lelaki itu cuba memberikan sokongan. Dia tahu, Ryann memerlukan masa untuk menyembuhkan luka di hatinya.

 

Malam itu, Sofea memikirkan tentang Ryann. Dia menyedari, mereka berdua mempunyai luka yang sama. Mereka berdua pernah dikhianati oleh orang yang paling mereka percayai. Mungkin, itu adalah alasan mengapa mereka berdua bertemu. Mungkin, mereka dapat saling menyembuhkan luka masing-masing.





🔶🔶🔶

Malam itu, Sofea tidak lena tidur. Fikirannya sarat dengan wajah Ryann, dengan janji yang belum sempat dibalas. Dia tahu satu perkara — apa pun keputusannya nanti, ia bakal mengubah seluruh hidupnya.

Sofea termenung sendirian di tepi katilnya mendengar suara hujan yang deras membasahi bumi. Hatinya bergelora, berperang antara keinginan dan ketakutan.
 
“Kenapa aku rasa Ryann istimewa?” bisiknya perlahan dalam hati. “Setiap kali dia berada dekat, ada satu kehangatan yang aku tak pernah rasa selepas kehilangan dulu.”
 
Namun bayangan masa lalu terus menghantui. “Tapi, Sofea… ingatkah kau betapa sakitnya pengkhianatan yang pernah kau alami? Arwah tunangmu yang dulu bukan hanya pergi tanpa pesan padamu tapi meninggalkan Luka yang dalam sehingga menghancurkan kepercayaan yang sukar untuk dibina semula.”
 
Hati Sofea berdebar, takut untuk membuka diri. “Kalau aku beri ruang pada Ryann, apa jaminan dia tak akan menyakitiku? Aku tak sanggup rasa sakit yang sama lagi.”
 
Tapi sebaliknya, ada satu suara kecil berkata, “Tapi mungkin, ini peluang untuk kau sembuhkan luka itu, Sofea. Cinta baru ini mungkin bukan seperti dulu. Jangan biarkan ketakutan menghalang kebahagiaan yang mungkin kau layak dapat.”
 
Dengan perlahan dia menghela nafas panjang, matanya mulai berkaca, “Mungkin aku harus percaya sekali lagi… walaupun takut. Kerana tanpa kepercayaan, cinta takkan pernah hidup.”

Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 - Yang Hilang Bukan Cinta

Bab 7 - Cinta Yang Tak Pernah Pergi

Bab 2 - Seagung Cinta Ini