Bab 15 - Seagung Cinta Ini
Sinar mentari pagi menembusi celahan langsir, menyapa lembut ruang kamar dan menyentuh wajahnya bagai sebuah bisikan harapan baharu. Hangatnya cahaya itu seolah-olah menyinari hatinya yang selama ini tertutup rapat, membuka perlahan ruang yang lama terkunci. Ada sesuatu yang berbeza pagi itu… seperti sekuntum bunga yang kembali mekar setelah lama layu dibadai musim.
Sofea menatap pantulan wajahnya di cermin meja solek, bibirnya mengukir senyuman kecil yang lama hilang entah ke mana. Jemarinya mengangkat sebatang lipstick merah jambu — warna yang pernah menjadi kegemarannya dahulu, sebelum duka menjadikan dirinya kelam dan suram. Perlahan, dia menyapu warna lembut itu ke bibir, terasa janggal namun menyenangkan.
“Sudah lama…” bisiknya sendiri.
Biasanya, dia hanya memilih warna nude yang hampir menyamai warna asli bibirnya — ringkas, sederhana, seakan mahu menyembunyikan diri daripada dunia. Tapi pagi ini berbeza. Ada keberanian baharu yang lahir entah dari mana.
Dia kemudian mencapai eyeliner warna coklat tua dan memakainya dengan penuh hati-hati. Setiap goresan terasa seperti satu langkah kecil untuk meraih semula dirinya yang hilang. Saat selesai, Sofea menatap wajahnya lama-lama, dan senyuman itu kembali terukir.
Dia masih cantik. Masih seperti dulu. Namun ada sesuatu yang lain pada dirinya kini — wajah itu membawa kedewasaan, ketabahan, dan luka yang telah sembuh perlahan-lahan. Dan justeru itulah yang membuatnya semakin jelita.
Sofea menyentuh lembut bibirnya yang berwarna merah jambu, seolah-olah cuba meyakinkan dirinya bahawa ini bukan sekadar sentuhan gincu, tetapi satu permulaan baharu. Dia menarik nafas panjang, lalu melepaskannya perlahan. Ada sesuatu yang terasa ringan di dada, seakan beban yang lama dipikul semakin terlerai satu demi satu.
Namun, di sebalik senyumannya, hatinya masih berdebar… kerana setiap kali dia cuba menutup mata dan mendengar detik sunyi dalam dirinya, ada satu nama yang perlahan-lahan hadir, tanpa diundang.
Rayyan.
Dia menggeleng perlahan, cuba menafikan rasa itu, namun senyumannya sendiri mempersenda. Kehadiran lelaki itu sejak akhir-akhir ini bagai sinar mentari selepas hujan — hangat, menyenangkan, dan membuatkan sesuatu dalam dirinya kembali hidup. Tapi hati Sofea masih ragu-ragu. Luka lama masih berbaki, parutnya belum hilang.
"Jangan terburu-buru, Sofea," bisiknya pada diri sendiri.
Dia sedar, hatinya belum bersedia untuk menyerahkan segalanya semudah itu. Dia pernah hancur sekali, dan dia takut untuk jatuh lagi.
Namun, setiap kali mengingati renungan mata Rayyan yang tenang dan senyuman lembutnya, hatinya bergetar dengan rasa yang sukar ditafsir. Lelaki itu tidak pernah mendesak, tidak pernah memaksa. Kehadirannya sederhana, namun meninggalkan kesan yang mendalam.
Sofea mengusap perlahan bingkai gambar keluarga yang tergantung di dinding kamar. Dia teringat arwah mama dan papa, teringat janji pada dirinya sendiri untuk menjaga Nadia dan Adam sebaik mungkin. Hidupnya kini bukan hanya tentang dirinya. Dia tak boleh salah langkah lagi.
Namun, jauh di sudut hati, ada satu bisikan halus…
"Bukankah bahagia juga hakmu, Sofea?"
Dan pagi itu, buat pertama kali selepas sekian lama, Sofea mengakui satu perkara.
Dia layak bahagia.
๐ถ๐ถ๐ถ๐ถ
Langkah Sofea terasa ringan pagi itu. Setelah bersiap, dia mencapai beg tangan kecil dan melangkah keluar dari bilik. Suasana rumah masih tenang; Nadia masih lena, Adam pula sibuk dengan buku mewarna di ruang tamu.
Awal pagi tadi, sebelum melangkah keluar, Sofea sempat meninggalkan pesanan ringkas melalui WhatsApp kepada Helmy, meminta adiknya itu menengok-nengokkan Adam sementara dia keluar sebentar ke kedai bunga.
Helmy melangkah masuk ke ruang tamu, perut kenyang dengan nasi lemak yang baru ditelannya. Namun, langkahnya terhenti serta-merta. Ada sesuatu yang berbeza pada Sofea pagi itu. Wajah kakaknya kembali berseri, bibirnya menguntum senyum yang sudah lama tidak dilihatnya. Hati Helmy berbisik, lega melihat perubahan itu. Sebenarnya, ada soalan yang bermain di benaknya, sesuatu yang ingin dia tanyakan kepada Sofea. Tetapi niat itu ditangguhkan. Dia tidak mahu merosakkan keceriaan yang terpancar di wajah wanita itu, khuatir soalannya akan mengembalikan bayangan kelam yang selama ini cuba diusir Sofea. Biarlah kebahagiaan ini bersemi, fikirnya, sebelum dia mengusik ketenangan itu dengan persoalan yang mungkin menyakitkan.
Dia tersenyum, mengusap kepala adiknya sekilas, kemudian keluar rumah perlahan-lahan. Udara pagi menyapa lembut kulit wajahnya, membawa harum bunga kemboja dari halaman jiran. Langit biru terbentang luas tanpa awan, seolah-olah turut merestui hatinya yang mula mekar.
Sofea menapak ke arah kedai bunga di hujung jalan, kononnya mahu mencari sesuatu untuk menghias ruang kafe kecilnya. Namun sebenarnya, dia sendiri tidak pasti apa yang dia cari — mungkin hanya ruang tenang untuk melarikan diri seketika daripada fikirannya sendiri.
Baru beberapa langkah, satu suara dalam nada tenang menyapanya dari sisi.
> “Awal keluar pagi-pagi begini?”
Langkah Sofea terhenti. Degup jantungnya serta-merta berubah ritma. Dia menoleh perlahan, dan di situ, di sisi kereta hitamnya, berdiri seseorang yang namanya berputar di mindanya sejak tadi — Rayyan.
Dia mengenakan kemeja putih dengan lengan dilipat ke siku, tampak sederhana tapi segak. Rambutnya sedikit kusut ditiup angin pagi, namun senyumannya tenang… seperti selalu.
Sofea cuba menenangkan debaran dadanya, lalu mengukir senyum kecil.
“Sekali-sekala keluar hirup udara segar,” jawabnya perlahan.
Rayyan hanya mengangguk sambil mengukir senyuman tipis. Pandangan matanya terhenti seketika pada wajah Sofea, seolah-olah sedang membaca sesuatu di balik senyumannya itu.
> “Warna merah jambu tu… nampak sesuai dengan Sofea,” katanya, merujuk pada lipstick yang baru disapunya pagi tadi.
Sofea terkedu. Panas merayap perlahan ke pipinya. Dia memalingkan wajah, cuba menyembunyikan rasa yang tiba-tiba menjalar tanpa izin.
> “Terima kasih,” jawabnya ringkas, hampir berbisik.
Ada jeda seketika. Hanya bunyi burung-burung pagi dan desiran dedaun yang berlagu di antara mereka. Namun, diam itu langsung tidak menyesakkan; malah terasa selesa… tenang.
Rayyan bersandar pada keretanya sambil menyilangkan tangan. Pandangannya jatuh pada Sofea, tapi tiada sedikit pun nada memaksa atau mendesak. Hanya ada kehadiran yang lembut, yang membiarkan Sofea bernafas dalam ruangnya sendiri.
> “Kalau Sofea ada masa… saya nak ajak Sofea minum kopi pagi ni. Tak jauh dari sini. Ada satu kafe yang saya rasa Sofea akan suka,” katanya perlahan, nada suaranya penuh hati-hati.
Sofea diam sejenak. Ada sebahagian dirinya yang mahu menolak, menutup segala kemungkinan. Tapi ada juga bahagian lain, yang kecil tapi semakin kuat, yang berbisik bahawa dia tidak perlu lari lagi.
Dia menatap Rayyan, cuba mencari keyakinan pada wajah lelaki itu… dan anehnya, dia menemui ketenangan di sana.
> “Baiklah…” jawabnya akhirnya, dengan senyuman yang hampir tidak disedarinya sendiri.
Rayyan mengukir senyuman lega, kemudian menunduk sedikit sebagai tanda hormat.
“Terima kasih.”
Dan pagi itu, buat pertama kali selepas sekian lama, Sofea membiarkan dirinya membuka ruang kecil di hatinya — untuk sebuah peluang, dan mungkin… untuk sebuah rasa yang belum sempat dia namakan.
๐ถ๐ถ๐ถ๐ถ
Suasana kafe pagi itu begitu tenang dan lengang. Hanya kedengaran bunyi sudu berlaga dengan cawan dan deruan halus mesin pembuat kopi dari sudut kaunter. Mungkin kafe itu baru saja dibuka, namun aroma roti bakar yang hangat dan wangi kopi yang baru dikisar menyelimuti ruang, membuatkan pagi terasa lebih damai dan menyelerakan.
Sambil menikmati kopi panas dan roti bakar, Sofea dan Ryann duduk saling berhadapan. Bunyi sudu berlaga perlahan di cawan menjadi satu-satunya irama yang menemani mereka pagi itu. Senyuman kecil terukir di bibir masing-masing, seolah menikmati suasana tenang tanpa perlu banyak bicara.
“Adam suka roti bakar, kan?” suara Ryann memecah keheningan.
Sofea mengangguk sambil menyeka jemari yang berlumur jem strawberi. “Hm, suka sangat. Kalau boleh, hari-hari nak makan roti bakar.”
Ryann tersenyum nipis. “Adam apa khabar? Dia tak ikut Sofea pagi ni?”
“Adam sihat. Tadi dia tengah mewarna,” jawab Sofea perlahan, matanya bersinar lembut bila menyebut nama adiknya. “Lagipun, sebab Helmy ada di rumah, dia lebih suka duduk dengan Helmy.”
Ryann mengangguk perlahan, tapi kemudian memandang Sofea dengan renungan yang lebih serius. “Nadia ada beritahu apa-apa pada Sofea?”
Sofea menoleh, keningnya terangkat sedikit. “Tak ada… mengenai apa?”
“Uncle Joe.”
Sofea terhenti seketika, memandang Ryann dengan wajah yang jelas berubah. “Abang Joe? Kawan Nadia… pelukis tu?” Nada suaranya sedikit tegang, dan jantungnya mula berdegup laju. Fikiran Sofea terus melayang pada Nadia. Ya Allah… janganlah ada apa-apa yang tak elok terjadi pada adik aku…
Ryann mengangguk perlahan.
“Awak… awak kenal dia?” soalnya lagi, menahan debar yang semakin kencang.
“Dia… ayah saudara saya,” jawab Ryann akhirnya, tenang.
Sofea tersentak kecil. Dia memandang lelaki itu tepat di mata, bulat penuh keterkejutan. “Apa? Ayah saudara?”
Ryann hanya tersenyum, menikmati reaksi Sofea. “Uncle Joe… adik ayah saya.”
Sofea terdiam. Perlahan-lahan dia membuang pandang ke luar jendela kafe, cuba mencerna maklumat itu. Ada sesuatu yang berat terdetik di hatinya. Jadi… Ryann ni pun… Tengku juga lah… bisik hati kecilnya.
“Nadia tak pernah cerita…” ucapnya perlahan.
“Dia pun baru tahu,” balas Ryann, sebelum menghirup kopi yang sudah mula suam.
Mereka kembali diam seketika. Hanya bunyi orang lalu-lalang di luar kedai kedengaran, membuatkan hati Sofea kian sarat dengan persoalan.
“Uncle Joe nak datang… merisik Nadia,” kata Ryann akhirnya, tenang tetapi jelas.
Sofea terpaku. Jemarinya berhenti menyentuh roti bakar yang tinggal separuh. Sekelip mata, seluruh fikirannya hanya dipenuhi wajah adik kesayangannya.
lama-lama, seolah-olah cuba membaca sesuatu di balik riak wajah tenangnya. Lelaki itu hanya mengangkat sedikit kening sambil mengukir senyuman nipis.
“Ya… begitulah yang Uncle Joe beritahu saya,” ujar Ryann perlahan.
Sofea mengerutkan dahi. “Tapi… awak kata sebelum ni awak tak pernah lagi berhubung dengan keluarga awak.”
Ryann menghela nafas panjang sebelum menjawab, “Saya baru saja terjumpa Uncle Joe di Pasar Seni… dua hari lepas. Kebetulan masa tu Nadia ada sekali. Dia tengah melukis.” Ryann tersenyum nipis, mengimbas memori itu. “Saya berbual agak lama dengan Uncle Joe. Katanya… sudah lima tahun dia tak berjumpa saya. Saya beritahu padanya yang saya sekarang tinggal bersebelahan rumah Nadia.”
Sofea terdiam sejenak, lalu menghela nafas dalam-dalam, cuba menghadam semua yang baru didengarnya.
“Semalam pula, Uncle Joe ajak saya singgah ke galerinya,” sambung Ryann sambil menyandarkan tubuh ke kerusi, mencari sedikit keselesaan. “Nadia tak ada masa tu. Dan… di situlah Uncle Joe beritahu saya yang dia nak datang merisik Nadia.”
Sofea membulatkan mata. “Oh… jadi awak tahu dulu?”
Ryann mengangguk perlahan. “Tak lama lepas tu, Nadia sampai di galeri dan nampak saya tengah berbual dengan Uncle Joe. Dia terkejut… terus tanya sama ada kami berdua dah kenal sebelum ni.” Senyuman tipisnya terukir lagi. “Uncle Joe yang beritahu Nadia sendiri… bahawa saya ni anak saudaranya.”
Sofea mengeluh perlahan. “Tapi… Nadia tak cerita pun pada saya.”
“Mungkin dia sibuklah tu,” balas Ryann lembut. “Semalam ada rombongan pelancong dari Itali datang ke galeri. Nadia asyik membawa mereka tengok lukisan-lukisan… tak sempat nak beritahu apa-apa.”
Suasana menjadi senyap seketika. Ryann menunduk, jarinya membelai cawan kopi yang sudah mula sejuk. “Saya ada juga tanya Uncle Joe tentang ibu dan ayah saya,” suaranya sedikit perlahan. “Alhamdulillah… mereka sihat. Mereka… rindukan saya.” Dia berhenti seketika, bibirnya mengukir senyuman hambar. “Saya pun… rindu mereka.”
Hati Sofea tiba-tiba disapa rasa sebak. Melihat raut wajah Ryann yang menahan emosi membuatkan dadanya terasa sendat. Entah kenapa, kerinduan pada kedua arwah ibu bapanya sendiri tiba-tiba datang menikam jiwa.
---
Comments
Post a Comment